Friday, October 16, 2009

Tan Sri Abdul Aziz Tapa



PROFIL

Tarikh lahir: 13 Jun 1923
Tempat lahir: Kampung Rim, Jasin.
Isteri: Puan Sri Maznah Lasim
Anak : Sembilan, 35 cucu dan empat cicit

Pendidikan:

Sekolah Melayu Jasin
Kelas Khas Melayu di High School Malacca
Sultan Idris Training College (SITC) kini UPSIKerjaya:
Askar sukarela (1940)
Guru (1945-1975)

Kerjaya dalam politik:

Bendahari Umno cawangan Merlimau (1955)
Timbalan Ketua Umno Bahagian Jasin (1974-1979)
Naib Ketua Umno Bahagian Jasin (1982-1986)
Bendahari Umno (1955-1973)Jawatan dalam kerajaan:
Ahli Dewan Negara (Senator) (1975-1977)
Speaker Dewan Undangan Negeri (1978-1982)
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nyalas (1978-1982)
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) (1982-1986)

Jawatan lain:

Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan Kebangsaan (1976)
Timbalan Pengerusi Majlis Amanah Balai Seni Lukis Negara (1974)
Timbalan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (1978)
Penasihat Projek Cahaya dan Bunyi
Ahli Jawatankuasa Perbadanan Muzium Melaka
Pakar rujuk Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep)
Timbalan Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)

Anugerah dan Darjah Kebesaran:

Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri
Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira
Darjah Kurnia Setia Jasa (DKSJ) yang membawa gelaran Datuk
Kesatria Mangku Negara (KMN)
Ahli Mangku Negara (AMN)
Pingat Jaksa Kebaktian (PJK)
Jaksa Pendamai (JP)
Tokoh Guru Kebangsaan
Penghargaan Khas Permuziuman Malaysia 2002
Anugerah Tokoh Budaya Negeri Melaka 2003

Pinjam Ceti Cari Sumber Kewangan Parti

"Orang dahulu berjuang,
pertama hilang,
kedua terbilang,
tetapi orang sekarang berjuang,
pertama cari menang
,sudah menang cari wang,
dapat wang jatuhkan orang,
hidup di awang-awang,
akhirnya jatuh terlentang".

ITULAH antara kata-kata sinis, intipati ucapan veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa sebagai perwakilan Melaka ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno pada 1978.
Walaupun diucapkan 27 tahun lalu, namun ungkapan itu tetap relevan. Bagi ahli Umno yang cintakan parti ungkapan itu boleh dijadikan teladan.

"Jika saya inginkan kekayaan, saya boleh memilikinya melalui parti. Bayangkan saya menjadi bendahari Umno di peringkat cawangan, bahagian dan negeri selama 18 tahun".
"Bagaimanapun ramai tidak tahu suka duka dan pahit getir ketika hendak menghidupkan Umno, satu-satunya parti yang dimiliki orang Melayu," kata veteran Umno itu.
Menyertai Umno sejak 1955, Aziz dilantik sebagai bendahari cawangan Umno Merlimau dan ketika itu bertugas sebagai guru di Sekolah Melayu Merlimau.

Ketika itu, ketuanya, Allahyarham Datuk Ahmad Isnin, abang kepada Datuk Seri Abu Zahar (bekas Ketua Menteri Melaka) dan setiausahanya Allahyarham Cikgu Osman Abdullah.

"Saya ni jadi bendahari cawangan Merlimau. Masa tu, nak cari duit, nak jalankan Umno. Zaman itu, Umno masing-masing cari duit, ada yang jual surat khabar, ada jual pakaian terpakai, pendek kata macam-macam dilakukan untuk nak cari duit, nak pergi mesyuarat agung Umno".

"Saya ni tadi, berpakat bertiga mencari sumber kewangan Umno cawangan Merlimau. Kebetulan ketika itu wayang Siput Sarawak ada masuk Merlimau, jadi sewalah dewan, tapi nak bayar sewa tak ada duit".

"Oleh kerana tiada pilihan lain, pinjamlah duit daripada ceti RM75. Cetak tiket dan bayar sewa dewan. Ketika itu, saya pun turut berlakon, lupa apa wataknya... juallah tiket untuk mendapatkan wang," katanya.

Aziz berkata, kebetulan petugas yang menjual tiket itu adalah anak jati Merlimau.
"Apa lagi, saudara mara dia masuk percuma. Tiket habis, duit tak dapat. Kami hanya dapat kumpul antara RM40 hingga RM50 saja. Duit itu kemudian dibayar balik kepada ceti berkenaan".

"Oleh kerana jumlahnya tidak mencukupi, kami terpaksa berhutang dengan ceti sebanyak RM30 termasuk bunganya sekali. Dua tahun baru habis bayar. Tukang bayarnya ialah bendahari, yang lain lepas tangan... Itulah satu peristiwa yang tak dapat saya lupakan hingga ke hari ini," katanya.

Aziz berkata, lebih melucukan apabila ceti datang ke rumah mencarinya ketika beliau keluar mengajar.

"Orang rumah kata apa kau hendak. Ceti jawab, cikgu ada hutanglah... Apa hutang? Wah orang rumah saya dah marah, bawa penyapu, lintang pukang ceti tu lari..."

Kemudian ceti tu jumpa saya, apalah kau punya bini, banyak garanglah... Ayaa datang rumah apa buat, bukan saya selalu ada di pekan, cakap sama sayalah... Habis engkau tarak (tidak) bayar. Saya ada bayar... Ceti jawab, bunga ada bayar, pokok tarak bayar..."

"Lain kali jangan pergi tau. Lepas tu saya bayar sedikit-sedikit melalui duit gaji RM3 sebulan dan akhirnya dua tahun baru selesai."Ini Umno dulu, Umno sekarang macam mana?. Sebab itu saya kata dulu lain, sekarang lain," katanya ketawa mengenang peristiwa itu.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang politik, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama dua penggal, selain sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) dan Speaker Dewan Undangan Negeri.

Kepemimpinannya dalam Umno digerakkan ke arah memajukan orang Melayu khususnya dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, agama dan kebajikan ahli.

Gaji 4 Sen Gali Batas Keledek

Sedih kenang kesusahan rakyat Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua

TIAP kali membuka bicara, tokoh budayawan dan politik veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa akan menggunakan ungkapan atau pantun. Begitulah ketika memulakan perbualan dengan Berita Harian, beliau bermula dengan pantun empat kerat;

Buah beluru, buah belerang,
Buah dedalu atas bukit;
Lain dulu lain sekarang,
Jauh beza bukan sedikit.

“Saya memang mengagumi pemimpin negara yang mampu merancang pembangunan negara sehingga menjadi seperti sekarang. Ini semua demi rakyat,” katanya ketika ditemui di kediamannya, Jalan Rim, Jasin, baru-baru ini.

Mengenang keadaan sebelum Perang Dunia Kedua dan zaman Jepun, beliau mengesat air mata kerana teringat kesusahan rakyat Tanah Melayu ketika itu yang hanya makan ubi kayu kerana ketiadaan beras.

Lebih malang, jika ada kematian, jenazah hanya dibaluti dengan tikar mengkuang atau guni kerana ketiadaan kain kafan.

Jika diserang penyakit, rata-rata hanya bergantung kepada akar kayu atau bahan lain yang boleh digunakan untuk menyembuhkannya.

"Ketika zaman Jepun, saya pernah mengalami deman kura (Malaria) selama tiga bulan. Pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menyembuhkannya".

"Usaha terakhir ialah dengan memarut daun ati-ati dan dicampur dengan arang para serta air untuk dijadikan ubat."

"Selepas minum, perut rasa bagaikan nak terbalik kerana pahit tetapi ternyata mujarab kerana selepas itu penyakit saya sembuh," katanya.

Ketika zaman Jepun pada 1945, Aziz bekerja dengan Jepun membuat batas keledek dengan bayaran gaji empat sen sehari.

Melalui upah itulah, beliau membeli beras untuk menyara keluarga dan dua adiknya yang lain.

Selepas itu, Jepun memanggilnya untuk menjadi guru dan dari situ, beliau berpeluang mempelajari bahasa Jepun.

Ketika bertugas sebagai guru, beliau turut mengambil kesempatan menjual pakaian terpakai untuk menambah pendapatannya.

"Ketika zaman Jepun, saya fasih berbahasa Jepun sebab setiap hari berdepan dengan mereka, Namun kini sudah terlupa, hanya ingat dua tiga patah perkataan saja sebab lama tidak menggunakannya," katanya.

Selepas British mengambil alih pemerintahan apabila Jepun menyerah kalah pada 1946, beliau diberi peluang mengajar budaya Melayu kepada Pegawai Daerah Jasin ketika itu.
"Oleh kerana saya dapat menguasai bahasa Inggeris sebelum perang, jadi tidak ada masalah berkomunikasi dengan pegawai Inggeris berkenaan. Dia dapat menerima budaya Melayu dengan baik," katanya.

Aziz berkata, pada 1947 dan 1948, beliau menyambung pengajiannya di Sultan Idris Training College (SITC) kini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sebelum itu tertangguh akibat Perang Dunia Kedua.

Ketika di maktab, beliau menunjukkan bakat dalam bidang pidato dan sering mengambil bahagian dalam pertandingan perbahasan anjuran maktab. Beliau pernah menyandang johan dalam pertandingan perbahasan pada 1947.

Melalui Ikatan Persuratan Melayu (IPM) yang ditubuhkan di Melaka bersama Allahyarham Yusof Harun dan Allahyarham Samad Ahmad (Asmad) pada 1950, beliau menggerakkan perkembangan kebudayaan Melayu melalui kegiatan penulisan dan rekaan senibina, penerbitan dan pertemuan badan kebudayaan dan persuratan dari seluruh Tanah Melayu.
IPM adalah sebuah badan bahasa dan kebudayaan yang ditubuhkan di Melaka pada 17 November 1950 dan Aziz adalah tokoh yang memainkan peranan aktif dalam menggerakkan kegiatan IPM termasuk menganjurkan Kongres Kebudayaan Melayu pertama pada akhir Disember 1957.

Menceritakan bagaimana beliau berminat dengan budaya, Aziz berkata, ketika kecil bapanya menghantarnya mengaji al-Quran di rumah guru agama setiap malam.
Namun jika ada joget pada hujung minggu, beliau ponteng kelas mengaji kerana mahu mendengar pantun yang diutarakan penari joget.

"Bermula dari sini, saya mula tertarik dengan pantun Melayu dan mula menghafalnya," katanya.

Bagaimanapun, minatnya tidak disukai oleh bapanya yang cukup tegas dalam soal pendidikan anak-anak terutama mengenai pendidikan agama.

Katanya, pada suatu hari, guru al-Quran mengadu ketidakhadirannya di kelas al-Quran yang membuatkan bapanya berang lalu merotannya.

"Mulai saat itu, saya tidak lagi ponteng kelas al-Quran walaupun hati membara untuk mempelajari pantun Melayu," katanya sambil ketawa.

Pengalamannya yang luas dalam bidang kebudayaan menyebabkan beliau diberi kepercayaan menjawat pelbagai jawatan dalam badan dan institusi berkaitan budaya.
Kini Aziz menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan berkebun di sekeliling rumah selain memenuhi jemputan memberi ceramah sama ada dalam bidang politik, sejarah dan kebudayaan.

"Lazimnya sebelum menyambut Hari Kemerdekaan, jadual saya agak padat kerana pelbagai undangan diterima untuk berceramah di sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT)".
"Saya cukup seronok jika dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain terutama generasi muda selepas merdeka yang memerlukan bimbingan dan nasihat yang sewajarnya".

"Kalau tak boleh jadi pohon rendang tempat musafir tumpang berteduh atau mengambil buahnya, jadilah seperti rumput untuk menahan tanah supaya tidak runtuh," katanya mengakhiri perbualan.

(SUMBER:http://ezadahmad.blogspot.com/2006/01/sembang-sabtu-tan-sri-abdul-aziz-tapa.html)

1 comment:

Anonymous said...

thanks for the info