Showing posts with label makan-makan. Show all posts
Showing posts with label makan-makan. Show all posts

Saturday, January 16, 2010

Bisnes :JOM MAKAN Perkenal Masakan Malaysia Di Peringkat Dunia

Sabtu Januari 16, 2010
JOM MAKAN Perkenal Masakan Malaysia Di Peringkat Dunia

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pengarah urusan JOM MAKAN United Kigndom, Muhd Zuhri Abdullah mencuba hidangan roti canai dan teh tarik terbaik di kota London.

LONDON: Usaha-usaha hebat untuk memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa akhirnya terbayar apabila restoran JOM MAKAN di United Kingdom baru-baru ini melancarkan cawangan keduanya hanya dalam masa setahun di pusat membeli-belah paling ramai dikunjungi di Eropah - Westfield Shopping Centre, London.

Westfield, yang berkeluasan 1.6 juta kaki persegi ruang niaga dan mencatatkan lebih 20 juta pengunjung sejak dibuka, menawarkan lokasi yang amat strategik untuk restoran JOM MAKAN menawarkan hidangan masakan tempatan kepada masyarakat asing.

Pusat membeli-belah itu terletak di luar stesen Shepherds Bush Underground di Central Line dan berhampiran dengan BBC. Ini bererti JOM MAKAN mampu memikat pontensi pengunjung yang sentiasa berulang-alik untuk menikmati hidangan masakan Malaysia setiap hari.

Restoran itu menyediakan masakan Malaysia halal dan mudah disediakan kepada lebih 15,000 pengunjung sebulan di dua cawangannya di kota London. Perkhidmatannya juga mudah dan cepat.

"Setiap tahun JOM MAKAN menawarkan hidangan jenama Malaysia ini kepada 180,000 penduduk London dan masyarakat dunia," kata usahawan Malaysia Mohd Zuhri Abdullah yang juga Pengarah Urusan JOM MAKAN.

Chef restoran JOM MAKAN sedang membakar satay.

Sambil menikmati juadah di JOM MAKAN, pelanggan juga diberi pendedahan tentang Malaysia dan perkara-perkara menarik yang terdapat di negara ini.

Pelapik-pelapik meja menarik yang menghiasi restoran ini mengandungi maklumat tentang tarikan utama Malaysia seperti wayang kulit, wau bulan, durian dan menara berkembar Petronas.

Mohd Zuhri berkata, beliau gembira dan bangga apabila JOM MAKAN cawangan Westfield terpilih untuk pelancaran Kempen Malaysia Kitchen 2010 di London pada Isnin lalu apabila media British dan chef-chef selebriti antarabangsa berpeluang menikmati hidangan Malaysia yang disediakan di restoran itu.

JOM MAKAN menghidangkan satay, nasi lemak, rendang daging, kway teow goreng, ayam percik, nasi ayam Hainan, nasi goreng, nasi beriyani, gado-gado, mee Hailam, mee goreng, mee kari, sambal tumis udang dan lain-lain. Malah minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik turut dihidangkan.

Restoran JOM MAKAN Westfield mencerminkan outlet pertama terletak di Pall Mall yang menggunakan konsep dapur terbuka dengan menitikberatkan makanan segar dan cepat disediakan di mana para penunjung boleh duduk makan dalam suasana santai dan pada masa yang sama, turut mematuhi tahap piawaian kebersihan dan kesihatan paling tinggi.

Muhyiddin bergambar bersama kakitangan JOM MAKAN.

Kesungguhan restoran Malaysia ini melambangkan contoh cemerlang tentang kejayaan konsep Malaysian Kitchen dan pembukaannya di Westfield yang serba mewah mampu dilakukan setelah berjaya membuktikan prestasinya sebagai jenama restoran Malaysia di kota kosmopolitan London.

JOM MAKAN telah melaburkan lebih 800,000 pound sterling untuk membangunkan restoran kedua mereka di Westfield. Dengan keluasan 3,100 kaki persegi, restoran dua tingkat itu boleh memuatkan 120 pelanggan.

"Restoran JOM MAKAN Westfield meramalkan pulangan mencapai 1.2 juta pound sterling pada tahun pertama beroperasi," kata Mohd Zuhri.

Perasmian restoran kedua membawa keseluruhan pelaburan JOM MAKAN di United Kingdom kira-kira 1.9 juta pound sterling. Kedua-dua restoran itu mempunyai pajakan selama 25 tahun.

Dengan mempromosikan konsep 'Sekarang semua orang boleh nikmati makanan Malaysia, semua orang boleh masak masakan Malaysia', JOM MAKAN telah mencipta satu impak besar di London bagi memenuhi lebih 3,500 orang pelanggan setiap minggu yang mana 85 peratus adalah warga British.

Mohd Zuhri turut memuji usaha kerajaan dalam mempromosikan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan bersungguh-sungguh bagi menggalakkan usahawan restoran Malaysia mencipta nama dalam dunia kulinari di peringkat antarabangsa.

"Model perniagaan JOM MAKAN telah diuji, dan menawarkan prospek cemerlang dan pengembangan cepat di seluruh dunia untuk hidangan Malaysia. Sama ada di London, Paris atau New York, JOM MAKAN dengan mudah boleh dibina dan siap sedia untuk beroperasi dalam masa seminggu," katanya.


"Kami berharap dapat membuka lima cawangan di United Kingdom menjelang 2012 dan mengintai peluang untuk membawa konsep tersebut ke Amerika Syarikat.

"Dengan sokongan daripada kerajaan Malaysia, kami yakin hasrat murni kami untuk memperkenalkan makanan Malaysia ke tahap paling tinggi ke bandar-bandar utama dunia akan tercapai," katanya.

Menurutnya, dengan sokongan pengunjung seramai 15,000 orang setiap bulan, rangkaian JOM MAKAN turut mempromosikan Malaysia secara besar-besaran melalui pelancongan makan-makan.

Kedua-dua cawangan restoran JOM MAKAN di London beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari kecuali pada Ahad (10 malam). Setiap cawangan diuruskan oleh 30 kakitangan.

(sumber;http://www.mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/1/16/mstar_manusia_peristiwa/20100115200342&sec=mstar_manusia_peristiwa)

Agrobiz :Yee.. haa! nanti kunjungan peminat daging

ARKIB : 15/01/2010
Yee.. haa! nanti kunjungan peminat daging

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

berkonsepkan makanan Barat, Yee..haa! menampilkan fesyen ala koboi.

SETELAH berjaya membangunkan perniagaan produk sejukbeku di bawah jenama Perfect Fresh & Frozen, KMJ Suplies Sdn. Bhd. maju setapak lagi.

Kini syarikat berkenaan memperkenalkan perniagaan makanan panas yang berasaskan daging dengan membuka kiosk makanan ala koboi dengan jenama 'Yee...Haa!'

Pengarah Urusan Perfect Fresh & Frozen, Nordin Mat berkata, kiosk berkenaan mempromosikan pelbagai menu daging segar berdasarkan permintaan pelanggan.

"Kami menawarkan menu utama berasaskan daging kambing seperti Chevon Boer Steak dan Chevon sage," katanya semasa ditemui.

Chevon Boer Steak merupakan kepingan kambing Boer yang diperap dan dihidangkan dengan sos pilihan cendawan atau lada hitam, coleslaw, kentang goreng dan pilihan nasi atau roti.

Hidangan ini dihasil menggunakan kambing Boer muda terpilih.

Kambing Boer yang berasal dari Afrika Selatan terkenal kerana keenakan dagingnya selain daripada khasiat.

Rasa dagingnya pula manis, tidak berbau hamis berbanding dengan kambing-kambing lain.

Chevon sage pula merupakan resipi baru yang pertama kali dihidangkan di negara ini menggunakan daging kambing.

Hidangan sosej segar yang diperbuat daripada daging kambing terpilih dengan campuran rempah ratus yang dihidangkan bersama-sama sos pilihan sama ada sos cendawan atau lada hitam, coleslaw, kentang goreng yang boleh dimakan dengan nasi atau roti.

Resipi Chevon sage dihasilkan sendiri oleh Perfect Fresh & Frozen bagi mempromosikan daging kambing tempatan untuk dinikmati oleh pelanggan.

Promosi daging kambing bukan saja dapat membantu penternak memasarkan kambing mereka tetapi juga bagi memperkenalkan daging kambing sebagai diet terbaik yang kurang kolestrol hanya tiga peratus berbanding biri-biri 16 peratus.

Selain itu kiosk Yee... Ha! juga menghidangkan pelbagai menu lain termasuk rib eye steak, la,b chop, beef sage, breaded chicken chop, fish and chip, chicken sage, country roll dan rodeo fries.

Apa yang lebih menarik, semua produk berkenaan dihasilkan sendiri oleh Perfect Fresh & Frozen telah menerima pengiktirafan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Nordin berkata dengan pembukaan cawangan kiosk Yee...Ha!, bukan saja dapat memberikan peluang perniagaan kepada anak muda tempatan tetapi juga memacu industri penternakan ruminan negara.

Sementara itu Panasejuk Food Beverage Sdn Bhd diberikan mandat menguruskan kiosk-kiosk Yee... Ha!

Pengarah Pemasarannya, Ashaari Mohd Nasir berkata, pihaknya amat tertarik dengan konsep yang diperkenalkan dan menu-menu yang menarik dan sedap.

"Saya yakin Yee...Ha! akan dapat menarik perhatian orang ramai seterusnya menjadi pilihan kepada penggemar makanan Barat," katanya.

Kini kiosk Yee...Ha! pertama dibuka di Restoran Kampung Pandan, manakala yang lain akan dibuka di kawasan Lembah Kelang dalam masa terdekat.

"Dalam tempoh setahun, kami merancang membuka cawangan lain di lokasi strategik di seluruh negara," katanya.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat untuk membuka cawangan kiosk Yee...Ha! boleh menghubungi Adli di 012-6773036.

'Layan' sampai licin

ARKIB : 15/01/2010
'Layan' sampai licin



Kuah chicken chop yang cukup membuka selera pengunjung ke Marisa Burger and Western di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

Malam semakin larut dan jarum jam di tangan sudah menghampiri pukul 12 tengah malam.

Secara logik mengikut putaran alam, sepatutnya waktu begitu kebanyakan kita sedang berkira-kira untuk masuk tidur dan mungkin juga sudah ada yang dibuai mimpi enak.

Namun senario sebaliknya cukup berbeza apabila anda berada di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

Ini kerana orang ramai masih lagi memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.

Tanpa menghiraukan kedinginan malam dan embun pagi yang mula menitis, penangan makanan Barat di gerai Marisa Burger and Western adalah jawapan kepada segala-galanya.

Gara-gara chicken chop yang berharga hanya RM5, hidangan Barat itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena di kalangan pengunjung.

Pemiliknya, Rahmat Atan, 41, tidak perlu meletakkan set karaoke di atas pentas atau pun skrin layar besar seperti di restoran mamak sebagai tarikan utama ke gerainya.

Hanya berteman suasana malam yang romantik, ia sudah cukup membuatkan pengunjung ralit menikmati hidangan.

Di kelilingi konsep ala-ala pondok yang mampu membuat pelanggan berasa selesa dan santai, pastinya kunjungan anda meninggalkan satu kenangan terindah.

Hari ini, masyarakat perlu mengakui bahawa chicken chop semakin mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu bukan lagi sekadar menjadi pilihan orang kebanyakan.

Siapa mampu menepis keenakan hidangan chicken chop yang panas-panas baru di angkat dari kuali dan dilimpahi sos lada hitam untuk dimakan bersama air jus oren.

Namun bagaimana pula kalau chicken chop itu hanya berharga RM5 berbanding harga standard sekitar RM10 malah ada yang mencecah harga hingga RM20?

Dengar macam tidak percaya membuatkan penulis bersama jurugambar, Raja Jaafar Ali agak teruja untuk mencubanya.

Sempat terlintas di fikiran mungkin saiznya telah dikecilkan, kuantiti kentang goreng dan coleslaw yang sedikit serta hiasan salad ala-ala kadar sahaja.

Sebaik rezeki sudah di depan mata, melihat hiasan hidangan itu saja sudah membuka selera perut yang sedang berkeroncong.

Sebaik sahaja menikmati hidangan berkenaan, tiada rasa yang kurang malah kombinasi daging ayam, kentang goreng, coleslaw dan salad begitu menjadi hingga membuat kami 'melayan' sehingga licin.

Hilang semua telahan negatif yang bermain di fikiran dan ingin pula mengetahui rahsia di sebalik hidangan daging ayam yang digoreng dengan serbuk roti itu.

Bekas chef hotel

Gerai Marisa Burger dan Western dikendali chef profesional, Rahmat yang berpengalaman luas dalam bidang sajian makanan Barat di beberapa hotel terkemuka negara ini sejak 23 tahun lalu.

Rahmat bersama isteri, Suhaili Md. Nor, 34, kini tidak lagi menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus bermula pukul 6.30 petang hingga 2.30 pagi setiap malam.

Ditanya mengapa chicken chop itu hanya berharga RM5, dia menjelaskan, tanggapan negatif masyarakat yang sinonim mengatakan makanan Barat adalah mahal perlu dikikiskan.

Dia mahu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat termasuk yang berpendapatan rendah atau pun golongan pelajar untuk menikmati hidangan makanan itu pada harga berpatutan.

"Setiap malam, sebanyak 40 hingga 50 kilogram (kg) daging ayam digunakan untuk chicken chop, tujuh hingga lapan kg daging lembu untuk stik dan 20 kg daging kambing.

"Untuk menjimatkan kos, saya hanya menempah daging mentah itu dan akan memotongnya sendiri selain menghasilkan sos lada hitam ciptaan sendiri," katanya..

Rahmat berkata, dia dan isteri menjanjikan kepuasan tinggi agar pelanggan yang datang menjamu selera di gerainya gembira dengan apa yang disajikan.

Katanya, ini kerana menjadi matlamat Marisa Burger and Western untuk menyajikan hidangan berkualiti dan kuantiti yang berbaloi dengan harganya.

Kepada mereka yang ingin membuat tempahan atau membuat pesanan, anda boleh menelefon Rahmat di talian 013-7472013 dan 013-7550192.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm)