Showing posts with label 1malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1malaysia. Show all posts

Saturday, January 16, 2010

Kerajaan Tetapkan 14 Hari Bagi Jabatan, Agensi Jawab Surat - Murugiah

Kerajaan Tetapkan 14 Hari Bagi Jabatan, Agensi Jawab Surat - Murugiah

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Kerajaan telah menetapkan tempoh 14 hari bagi semua jabatan, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk menjawab surat dan pertanyaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Katanya kerajaan memandang serius mengenai perkara itu dan Biro Pengaduan Awam (BPA) memantau rapi situasi berkenaan.

Beliau menggesa mereka yang belum menerima sebarang maklum balas dalam tempoh ditetapkan itu supaya memaklumkannya ke pejabat BPA yang berhampiran melalui surat, e-mel, faksimili, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau datang sendiri ke pejabat BPA.

"Kita memberi jaminan kepada rakyat, BPA akan mengambil aduan itu dengan secepat mungkin dan memberikan maklum balas semula kepada si pengadu," katanya kepada Bernama Khamis.

Semalam, Menteri Penerangan Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Perdana Menteri sendiri akan memantau semua jabatan dan agensi kerajaan dalam menyelesaikan permintaan rakyat dari semasa ke semasa untuk memastikan tindak balas daripada jabatan dan agensi kerajaan menepati masa.

Dalam perkembangan lain, Murugiah berkata beliau mahu tindakan larangan peraduan menerusi SMS dikenakan kerana ia sering disalahgunakan oleh mereka yang mempromosikan peraduan berkenaan.

Menurutnya BPA menerima banyak aduan daripada peserta peraduan yang menyatakan mereka terkeliru dengan peraduan sedemikian.

Sebagai contoh, satu peraduan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat telefon bimbit baru-baru ini dan peserta mengadu bil bulanan mereka "melambung tinggi" selepas mereka diumumkan sebagai pemenang.

Sementara itu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati ketika menyertai peraduan sedemikian.

Setiausaha Agungnya, Mohammed Shaani Abdullah berkata pengguna perlu membaca syarat-syarat utama peraduan sebelum membuat keputusan untuk menyertai peraduan itu.

Bagaimanapun, katanya kadang kala terdapat syarikat yang gagal memberikan maklumat terperinci kepada pengguna dan ini melanggar peraturan.

Beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau peraduan sedemikian bagi mengelakkan penyalahgunaan.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=468462)

Friday, May 1, 2009

Jangan ambil kesempatan dari 1Malaysia - Reezal






Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Reezal Merican menggesa mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan terhadap ‘1 Malaysia’ dengan membuat pelbagai tuntutan kesamarataan.

Beliau mengulas kenyataan Biro Pendidikan Pemuda MCA yang menggesa kerajaan mempertimbangkan kemungkinan memansuhkan sebarang kuota pengambilan matrikulasi berlandaskan ‘1 Malaysia’.

Kenyataan beliau itu dihantar kepada Agendadaily melalui SMS.

Katanya, “menggunakan '1 Malaysia' sebagai platform membuat tuntutan bukanlah sesuatu yang positif pada ketika ini. Janganlah hendaknya mana-mana pihak terlalu menjurus kepada soal 'kesamarataan total' semata.”

Menurutnya, 1 Malaysia, turut mempertahan semangat saling menghormati, rendah diri dan kerja kuat. Elok kita perkukuhkan dahulu elemen peneguh ‘1 Malaysia’ ini dahulu dan bukan mengemukakan pelbagai tuntutan.

Reezal yang juga Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan matrikulasi masih diperlukan sebagai platform untuk membuka peluang 'akses kepada pendidikan berkualiti' di kalangan Bumiputera.


Katanya, “masih ramai kalangan Bumiputera (di luar bandar, Sabah dan Sarawak) memerlukan akses kepada sistem matrikulasi ini.”

Beliau juga menegaskan bahawa GPMS mahukan kalangan pelajar bukan Bumiputera yang miskin dan serba kekurangan diberikan akses secara automatik tanpa perlu soal kuota diperbesarkan asalkan yang berhak mendapat akses yang diinginkan serta boleh dipenuhi.“Sistem nilaian berasaskan 'indikator sosio-ekonomi' mesti diperketatkan. Jangan sampai menafikan peluang pelajar miskin beroleh akses kepada pendidikan berkualiti, waima kaum mana sekalipun.” ujarnya.-30/4/2009


(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_f83307fa-7f000010-65178400-45044f19)