Showing posts with label polis. Show all posts
Showing posts with label polis. Show all posts

Friday, September 17, 2010

"Hantar Maklumat Ke Laman Facebook Saya Jika Takut Buat Laporan", - Khalid


"Hantar Maklumat Ke Laman Facebook Saya Jika Takut Buat Laporan", - Khalid

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan anggota polis di negeri itu tetapi tidak berani membuat laporan supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke laman Facebook beliau.

Khalid berkata orang ramai mungkin takut diancam atau diugut jika laporan yang dibuat diketahui oleh anggota yang menyeleweng tetapi ini tidak akan berlaku jika ianya disalurkan terus kepada beliau.

"Orang ramai tidak perlu takut melaporkan sebarang penyelewengan anggota polis kepada pihak berkuasa...kalau tak berani, terus berhubung dengan saya.

"Bagaimana sesuatu penyelewengan itu hendak disiasat jika tiada sebarang laporan yang dibuat dan jika benar ada penyelewengan berlaku kenapa takut untuk membuat laporan?," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Jumaat.

Khalid diminta mengulas dakwaan terdapat anggota polis telah "dibeli" (dirasuah) oleh suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi menutup kegiatan jahatnya.

Pada Khamis, Khalid meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kegiatan itu supaya melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman, atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut beliau tidak menafikan terdapat anggota polis yang bergaji kecil tetapi hidup mewah dan berkata unit tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkara tersebut.

"Unit tatatertib sendiri yang ditugaskan untuk menyiasat jika seseorang pegawai itu hidup mewah dibandingkan dengan gaji mereka.

"Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota mahupun pegawai yang menyeleweng," tegas beliau.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=528408)

Wednesday, March 17, 2010

Adu, Jika Anggota Polis Enggan Terima Laporan - Ismail Omar

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Orang ramai diminta supaya mengadu kepada Ketua Polis Daerah atau mana-mana pegawai polis sekiranya terdapat anggota polis yang enggan menerima laporan yang mahu diuat, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Aduan juga boleh dibuat terus kepada Urus Setia Ketua Polis Negara Bahagian Tatatertib di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi talian 03-22626150 atau 03-22626151, katanya.

Beliau berkata butiran seperti nama anggota yang terbabit, tarikh, masa dan balai polis berkenaan harus disertakan semasa membuat aduan.

"Masih terdapat rungutan daripada orang ramai yang mendakwa terdapat balai-balai polis yang masih enggan menerima pengaduan daripada masyarakat," Ismail berkata dalam satu kenyataan.

"Justeru jika berlaku keadaan ini, orang ramai dinasihatkan supaya mengadu kepada Ketua Polis Daerah atau mana-mana pegawai polis sekiranya terdapat anggota polis yang enggan menerima laporan," tambah beliau.

Ismail menegaskan tidak ada balai polis yang dikecualikan dari menerima aduan orang ramai, terutama sekali yang melibatkan kes jenayah, kemalangan jalan raya atau sebarang musibah.

-- BERNAMA