Showing posts with label awang selamat. Show all posts
Showing posts with label awang selamat. Show all posts

Monday, May 18, 2009

Jagalah hati Melayu




ARKIB : 17/05/2009

UMNO, parti utama dalam komponen Barisan Nasional (BN) menyambut ulang tahun ke-63 pada 11 Mei lalu. Sambutan kali ini walaupun diadakan serba sederhana, mempunyai keistimewaan tersendiri. Parti itu baru sahaja menyaksikan peralihan kepimpinan di bawah Presiden, Mohd. Najib Tun Razak dan penampilan barisan baru ahli Majlis Tertinggi (MT).

Pada saf tersebut, terpikul cabaran besar dan getir pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang mengubah dengan ketara landskap politik tanah air. Malah pada tarikh ulang tahun UMNO itu, parti tersebut dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Perak, yang tidak memihak kepada BN.

Berita mengenai keputusan kes itu mencuri perhatian rakyat dan turut menjadi bualan hangat ahli-ahli serta para penyokong UMNO. Keresahan berikutan kes berkenaan reda apabila para pemimpin UMNO berhimpun sempena sambutan tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra, di ibu negara pada malam itu. Turut hadir Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Najib telah memberikan reaksi yang cukup tenang. Katanya, UMNO pernah lalui ujian lebih getir ketika parti itu diharamkan dan akhirnya mampu bangkit. Bahkan beliau menampakkan keyakinan untuk menangani kemelut di Perak. Tiada pun riak kegusaran di wajahnya. Sebenarnya keyakinanlah yang amat diperlukan oleh UMNO bagi mengembalikan kekuatannya. Untuk menguruskan sebuah parti yang besar, telah lama berkuasa dan berjaya seperti UMNO, bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi parti itu berdepan dengan asakan paling kuat dari pelbagai penjuru, kesan keputusan pilihan raya umum lalu (PRU-12) yang membawa tamparan besar kepada BN dan UMNO.

Pakatan pembangkang sudah membayangkan peluang lebih cerah untuk menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang. Dengan kata lain, UMNO di ambang kematian dan kerajaan BN yang ada sekarang merupakan yang terakhir. Benarkah? Berdasarkan banyak petunjuk terbaru Awang yakin apa yang diramalkan oleh pembangkang tidak akan berlaku.

Pembaharuan yang digerakkan oleh Najib mula menampakkan kesan positif. Perkembangan terkini politik tanah air juga tidak banyak memihak kepada pembangkang.

Pada masa yang sama, UMNO masih menjadi sandaran utama orang Melayu yang boleh dibuktikan menerusi undi yang terus meningkat dalam beberapa pilihan raya kecil selepas PRU-12 (sedangkan majoriti pengundi Cina misalnya, masih menyokong pembangkang).

Jangan lupa pada pilihan raya umum itu juga UMNO memperoleh 79 kerusi - parti tunggal yang mempunyai kerusi terbanyak. Prestasi BN merudum tetapi tidak bagi UMNO. Parti pesaing bagi UMNO iaitu Pas hanya mempunyai 22 kerusi dan PKR 31 kerusi.

Ia juga memberi mesej yang jelas bahawa UMNO perlu meneruskan agenda menjaga kepentingan Melayu. Janganlah kerana ghairah mahu menarik sokongan bukan Melayu, UMNO mengabaikan pula asas kekuatannya.

Ketika DAP, MCA, MIC misalnya makin lantang memperjuangkan kepentingan kaum mereka tanpa sedikitpun rasa kekok, tiada sebab untuk UMNO teragak-agak dan terlalu mahu menjaga hati kaum lain.

UMNO perlu bijak menyulam peranannya sebagai pemimpin BN untuk semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu. Jasa UMNO terlalu besar kepada orang Melayu, begitu juga kepada kaum lain walaupun hakikat ini cuba dinafikan.

UMNOlah yang mempertahankan bukan Melayu sejak awal kemerdekaan daripada aliran politik ekstremisme. Ketika Pas menjauhi parti dan kaum bukan Melayu serta menganggap mereka kafir selama beberapa dekad lamanya, UMNO menghulur tangan permuafakatan.

Menerusi dasar dan naungan UMNO, kaum minoriti bukan sahaja terjamin hak malah mampu menguasai ekonomi negara.

Sesungguhnya UMNO tidak pernah mengkhianati bukan Melayu. Apa yang mula berlaku adalah sebaliknya. Jadi, jagalah hati Melayu terlebih dahulu.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

(sumber; http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm)

Komen zmsegamat;

Harapan semoga nasib Melayu kekal terbela, dan tidak terjadi seperti peribahasa Melayu "Lain orang memperanakkan, lain orang dipanggil bapa"

Sunday, April 12, 2009

Bisik-Bisik Awang Selamat; PRK 07april2008

ARKIB : 08/04/2009
BISIK-BISIK

AWANG tidak terkejut apabila Barisan Nasional (BN) gagal merampas balik kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang.

Ini kerana sentimen kebencian yang dimainkan pembangkang sepanjang kempen berlangsung di dua kawasan terbabit amat kuat. Isu-isu lama banyak dibangkitkan.

Apa pun Awang cukup percaya tidak timbul sama sekali soal referendum terhadap kerajaan berdasarkan pengundian di Bukit Selambau dan Bukit Gantang itu, walaupun itulah yang akan dijaja oleh pakatan pembangkang.

Jika mahukan referendum, tunggulah pilihan raya umum akan datang.

Awang yakin kerajaan di bawah kepimpinan baru akan membawa perubahan yang jelas dalam sedikit masa lagi demi rakyat. Berikan ia masa dan ruang.

Namun berdasarkan hasil dua pilihan raya kecil tersebut, antara isu yang perlu kerajaan BN tangani ialah penolakan berterusan pengundi bukan Melayu.

Parti komponen BN yang mewakili mereka iaitu MCA, MIC dan Gerakan perlu menjawab dan tidak boleh lepas tangan!

Mereka perlu mampu menawan hati rakyat bukan Melayu dan tidak hanya menuding jari kepada UMNO setiap kali BN kalah pilihan raya.

Awang – Tidak panik.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0408&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm)

Sunday, March 22, 2009

Siapa jadi pilihan?

Detik penentuan bagi pemilihan UMNO sudah hampir. Setelah dikejutkan dengan keputusan Lembaga Disiplin melarang calon Timbalan Presiden, Ali Rustam daripada bertanding atas kesalahan politik wang, bahang pemilihan makin terasa panas.

Persaingan bagi jawatan Timbalan Presiden kini tertumpu antara Muhyiddin Yassin dan Muhammad Muhd. Taib. Banyak pihak daripada rakyat, ahli akademik sehinggalah kepada negarawan melihat Muhyiddin lebih layak menjadi gandingan Najib tetapi yang akan membuat penentuan adalah perwakilan.

Sejauh mana para perwakilan akan mengundi berdasarkan aspirasi masyarakat Melayu, adalah satu persoalan yang menarik. Mungkinkah Muhammad akan melakukan kejutan dengan andaian penyokong Ali akan mengalihkan sokongan kepada beliau? Sukar untuk dipastikan pada peringkat ini kerana Muhyiddin masih menjadi calon favourite dan sudah ada juga anggota jentera kempen Ali yang menyokong Muhyiddin atas pelbagai faktor.

Bagi pemilihan jawatan tersebut, para perwakilan dijangka membuat penilaian lebih ketat berbanding jawatan lain. Persaingan tersebut juga diwarnai dengan pelbagai cakap-cakap politik termasuk melihatnya sebagai ‘perang proksi’. Menurut ramai pemerhati, Abdullah dikatakan menyokong Muhammad sementara Najib dilihat memihak kepada Muhyiddin.

Siapa pula tiga calon Naib Presiden yang akan menang? Apakah kesemuanya muka baru dan agak muda atau mungkin ada gandingan pemimpin veteran. Setakat ini, difahamkan, Zahid Hamidi mendahului rating bagi jawatan itu yang menjadi rebutan lapan calon.

Bagi jawatan Ketua Wanita UMNO, apakah Rafidah Aziz yang telah lebih dua dekad menjadi ketua pergerakan itu mampu mempertahankan jawatan atau pesaingnya, Shahrizat Abdul Jalil akan muncul sebagai ketua yang baru?

Tumpuan utama juga pastinya kepada jawatan Ketua Pemuda antara Mukhriz Mahathir, Dr. Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin. Ketiga-tiganya dikatakan mempunyai peluang yang hampir sama untuk menang.

Tidak kurang mendapat perhatian ialah persaingan bagi jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT), Ketua Puteri dan Naib Ketua Pemuda. Kini semua calon dan ejen mereka memperhebatkan kempen menjelang saat-saat akhir.

Meskipun sudah ada pemimpin UMNO dikenakan tindakan atas kesalahan politik wang tetapi berdasarkan banyak maklumat terkini, ia nampaknya tidak menakutkan calon apatah lagi perwakilan. Realitinya penggunaan wang masih berleluasa yang kemuncaknya dijangkakan pada malam sebelum pengundian.

Sudah banyak yang diperkatakan tentang politik wang tetapi tiada perubahan. Sementara UMNO mengambil langkah merombak sistem pemilihan parti, para perwakilan perlu diberikan gelombang peringatan terutama dalam ucapan Najib pada perasmian persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri serta amanat Presiden pada perasmian perhimpunan.

Awang juga mencadangkan agar sekretariat UMNO memperdengarkan bacaan ayat suci al- Quran untuk seketika di dewan pemilihan sebelum perwakilan mengundi. Al-Quran ada ‘frekuensinya’, semoga sedikit sebanyak dapat mendorong keberanian dan kebijaksanaan memilih barisan baru yang berwibawa demi agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya perwakilan menjadi penentu sama ada UMNO mampu bangkit atau tersungkur lebih awal. Tidak perlu pihak luar membunuh UMNO...

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

(sumber;utusan-online)