Showing posts with label arkib utusan. Show all posts
Showing posts with label arkib utusan. Show all posts

Tuesday, July 15, 2014

Agenda Ambiga? NGO Negara-Ku

Pelancaran pergerakan pertubuhan bukan kerajaan Negaraku pada 10 Julai lalu dihadiri penggerak utamanya yang disokong 68 NGO. Gambar fail The Malaysian Insider.

Pelancaran pergerakan pertubuhan bukan kerajaan Negaraku pada 10 Julai lalu dihadiri penggerak utamanya yang disokong 68 NGO. Gambar fail The Malaysian Insider. 

Agenda Ambiga?

1.0 Sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Langkah aktivis propembangkang, S. Ambiga menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan nama Negara-Ku, mudah diketahui apa motifnya - politik.

2.0 Setelah gagal dalam banyak cubaan untuk mendapatkan sokongan rakyat termasuk siri-siri Perhimpunan Bersih (yang jijik sebenarnya), Ambiga mahu berselindung atas nama tersebut yang merupakan judul lagu kebangsaan.

3.0 Alasan kononnya NGO tersebut mahu memupuk keharmonian dan menangani ekstremisme serta rasisme hanyalah sandiwara. Ini satu lagi kejijikan. Pada Awang, tindakan menggunakan nama Negara-Ku sebagai usaha terdesak bagi membantu memulihkan imej pakatan pembangkang terutama PKR dan DAP.

4.0 Ramai yang kenal siapa Ambiga. Kemarahan rakyat Malaysia terutama umat Islam ke atas beliau berkaitan banyak isu, masih belum reda. Janganlah jadi kaduk naik junjung, yang dikhuatiri boleh mengundang ekstremisme.

5.0 Di Malaysia, sesiapa jua boleh menubuhkan NGO tetapi janganlah memperalatkan nama Negara-Ku apatah lagi bagi tujuan politik. 

6.0 Meskipun Awang sangat yakin NGO yang diasaskan oleh Ambiga itu sekali lagi akan dijijikkan oleh rakyat, diharap Pendaftar Pertubuhan bertegas menolak pendaftarannya. Biarlah ia jadi pertubuhan haram, melainkan ditukar nama antaranya AgendaKu. Ia lebih sesuai dengan rekod dan reputasi Ambiga.


terimakasih sumber: 

Artikel penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140713/re_04/ANALISIS-MINGGUAN--Bisik-Bisik-Awang-Selamat#ixzz37UuJV5Pj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, April 23, 2014

Masih kebalkah UMNO?

ARKIB : 22/04/2014

1.0 SENARIO politik negara kini berbeza berbanding dengan 20 dan 30 tahun lepas. Hal ini lebih jelas terutama pasca krisis 1998. UMNO mesti berubah. Orang UMNO, khususnya pemimpin mereka di semua peringkat mesti berubah. Tidak boleh lagi ambil mudah dengan apa yang telah, sedang dan yang akan berlaku. Dalam erti kata lain, "Can't take for granted".

2.0 Sekarang, rakyat semakin celik politik dan tidak menerima bulat-bulat apa yang pemimpin kerajaan atau menteri perkatakan. Mereka semakin pandai menilai mana yang betul dan sebaliknya. Kalau dahulu, orang Melayu khususnya, dengan mudah menerima apa sahaja yang diperkatakan pemimpin UMNO, kini kelihatannya tidak lagi. Kawasan pengundi yang majoritinya didiami orang Melayu bukan lagi boleh dianggap sebagai fixed deposit untuk kerusi-kerusi UMNO. Realitinya, UMNO suka atau tidak, harus menempuh cabaran yang mendatang.

3.0 Dari satu sisi, pengundi muda Melayu semakin ramai yang cerdik pandai. Mereka lebih kritikal dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan dan membuat perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan di negara lain. Pengundi muda masa kini lebih terbuka. Ini kerana mereka telah menerima pendidikan di luar negara yang secara umum suasananya lebih terbuka dan telah terdedah dengan cara pentadbiran kerajaan di luar negara yang begitu tinggi integriti mereka.

4.0 Jika itu pilihan mereka setakat hari ini, maka menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti adalah tidak adil untuk menyalahkan mereka ini bulat-bulat. Sebaliknya, kita - dalam konteks ini kerajaan Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO yang perlu menyedarkan mereka dengan menggerakkan program-program kenegaraan untuk mereka memahami struktur negara ini. Iaitu, dengan memfokuskan sejarah pembentukan negara Malaysia itu sendiri. Program perkaderan pelajar-pelajar di institusi pengajian dalam dan luar negara mesti diperkemas. Buat masa ini, kelihatan program perkaderan untuk pelajar-pelajar ini lebih didominasi oleh parti-parti pembangkang khususnya Pas. Hal ini perlu menjadi agenda utama dalam menarik sokongan akar umbi dalam kalangan para pelajar di institusi pengajian tinggi.

5.0 Cabaran UMNO selanjutnya adalah berhadapan dengan golongan pendidik agama yang lebih cenderung pula kepada pergerakan sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai nama partinya. Dianggarkan lebih 80 peratus golongan lulusan agama, sama ada dari dalam mahupun luar negara, lebih cenderung ke arah parti pembangkang iaitu Pas.

6.0 Pengundi-pengundi telah mula lebih kritikal dalam menilai tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka. Adakah cakap serupa bikin kerana kita lihat apa yang berlaku ketika ini ramai yang cakapnya tak serupa bikin pula. Sebagai contoh, hidup bermewah-mewah dan kelihatan di luar kemampuan sebenar dengan dibiarkan rakyat sekeliling hidup dalam kepayahan dan kesusahan. ‘Kumpulan’ ini kelihatannya masih tidak membantu peniaga-peniaga Melayu dalam erti kata sebenar. Mereka hanya membantu kroni sahaja dan sebahagian besarnya hanya menjadi nominee atau ali baba. Sedangkan peniaga-peniaga sebenar Melayu tidak dibantu atau dibantu hanya sekadar melepaskan batok di tangga. Kumpulan yang diamanahkan untuk membantu peniaga Melayu, masih lagi kelihatan rapat dengan peniaga-peniaga kaum asing dan membiarkan peniaga-peniaga Melayu sebenar terkontang-kanting tidak dibantu.

7.0 Dari sudut pandang lain pula, mahu tidak mahu ahli UMNO terpaksa akui survival parti-parti komponennya kian lemah dari sehari ke sehari. Parti-parti ini tidak dapat berdiri sendiri tanpa sokongan dan dokongan UMNO. Terbaharu, kekalahan MCA tempoh hari di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang walaupun calonnya yang diakui cukup berkredibiliti di atas kertas, telah memberi saingan yang cukup sengit. Cuma, hakikatnya peti-peti undi atau pusat daerah mengundi kaum Tionghua masih liat untuk kembali kepada MCA. Sedangkan, UMNO sendiri sedang bergelut mempertahan kerusi-kerusinya. Dalam masa sama pula, perlu berjuang untuk membantu parti-parti komponen lain mendapatkan kerusi-kerusi yang diperuntukkan kepada mereka. Jika ini berterusan, nescaya sesuatu yang tidak sihat akan memberi tempias kepada BN dalam tempoh jangka masa panjang ini.

8.0 Merenung ke dalam parti, kelihatannya masih berlaku 'cah keting'. Ia terjadi bukan setakat di peringkat cawangan atau bahagian, malahan di peringkat tertinggi. Kalau sesiapa perasan, kekadang berlaku black out berita terhadap pemimpin tertentu dalam media-media arus utama kerajaan. Terdapat beberapa faction dalam UMNO yang akan melemahkan UMNO dalam jangka masa pendek dan panjang.

9.0 Kita juga cukup bimbang andai kata sokongan kakitangan kerajaan kepada kerajaan BN/UMNO semakin merosot. Andai ketidakpuasan hati kakitangan kerajaan terhadap beberapa dasar dan keputusan kerajaan benar, apakah impaknya? Apakah kaedahnya untuk mengembalikan semula sokongan ini? Yakni, menjelaskan secara fakta, keputusan kerajaan itu memang tepat dan menepati kehendak ramai dan semasa.

10.0 Apakah benar dalam kalangan golongan pendidik, dianggarkan sekitar 70 peratus terdiri daripada penyokong dan aktivis parti pembangkang? Kita perlu menyemaknya dan membuktikan fakta ini sebelum segalanya sudah terlewat. Ini juga untuk mengelakkan tanggapan seolah-olah tidak ada sebarang usaha untuk menangani permasalahan ini. Cuma, yang sering hinggap di telinga adalah permasalahan ini begitu ketara sejak 2004. Bahkan, begitu jelas dalam dua pilihan raya umum yang baru lepas.

11.0 Terdapat segelintir pemimpin UMNO di pelbagai peringkat sibuk mengejar projek sehingga terlupa tugas hakiki mereka sebagai pemimpin untuk menjaga UMNO. Mereka ini perlu dikembalikan ke destinasi sebenar. Destinasi dan titik asal tujuan penubuhan UMNO.

Pastikan UMNO dapat merampas kembali kesemua kerusi yang majoriti pengundinya orang Melayu yang kini dipegang oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Buktikan bahawa orang Melayu masih memerlukan UMNO dan hanya menjadikan UMNO sebagai wadah pelindung dan penyelamat bangsa Melayu di Malaysia ini. UMNO mesti berubah. Tidak berubah nasib sesuatu kaum itu melainkan ianya merubah diri sendiri. Demi masa depan anak cucu kita, marilah kita bermuhasabah diri. Berlapang dada menerima teguran. UMNO wajib di transformasikan.
Hidup UMNO!

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.


terimakasih sumber: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140422/re_02/Masih-kebalkah-UMNO#ixzz2ziYCEJ3A
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Saturday, April 14, 2012

Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby dipenjara 27 tahun, denda RM894,400 :arkib utusan 13.04.2012



Md. Zaki Othman


KUALA LUMPUR 12 April - Bekas Pengurus Besar Kanan Sime Darby Engineering Sdn. Bhd. dihukum penjara 27 tahun dan denda RM894,400 selepas didapati bersalah atas lima tuduhan rasuah membabitkan penerimaan set perabot dan tiga utas jam tangan mewah berjumlah RM178,880 daripada seorang kontraktor antara 2007 dengan 2009.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Zamzani Mohd. Zain memutuskan demikian terhadap Md. Zaki Othman, 49, selepas mendapati pembelaan lelaki itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.

Ahmad Zamzani turut memerintahkan tertuduh dipenjara 112 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu dan kesemua hukuman berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh melalui peguamnya, S. Vijayan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Ahmad Zamzani dalam keputusannya berkata, keterangan pembelaan Md. Zaki bersifat penafian semata-mata selain penjelasan tertuduh tidak jujur dan tidak berasas.

''Keseluruhan keterangan Md. Zaki gagal membatalkan anggapan-anggapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan Seksyen 50(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung menerima rasuah dengan niat,'' kata beliau.

Sebelum itu, Vijayan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menyara seorang isteri dan empat anak, sudah berkhidmat di syarikat selama 25 tahun dan hilang pekerjaan selepas didakwa.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Saifuddin Hashim Musaini sebaliknya memohon hukuman setimpal dan adil dikenakan.

Beliau berkata, tertuduh yang bergaji bulanan RM39,000 pada waktu kejadian sepatutnya tidak melakukan kesalahan melibatkan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Mengikut pertuduhan, Md. Zaki didakwa menerima satu set perabot berharga RM33,600 dan seutas jam tangan Rolex RM21,700 daripada seorang kontraktor yang namanya tidak didedahkan bagi membantu melulus dan mempercepatkan kontrak bernilai RM23.9 juta. Kesalahan itu dilakukan di rumahnya di No. 4, Jalan Austin Perdana 2/11, Taman Austin Perdana di Johor Bahru, masing-masing 10 pagi, 14 Disember 2007 dan 9 malam, 10 Mac 2009.

Bagi kesalahan menerima perabot, dia dipenjara empat tahun dan denda RM168,000 atau penjara 18 bulan manakala kesalahan menerima jam tangan Rolex, dia dipenjara lima tahun dan denda RM108,500 atau penjara 20 bulan. Md. Zaki turut dihukum penjara lima tahun dan denda RM153,000 atau penjara 20 bulan atas tuduhan meminta suapan seutas jam tangan jenama IWC bernilai RM32,980 daripada kontraktor sama di pejabat syarikat The Hour Glass Sdn. Bhd. Lot G1, Ground Floor, Lot 10 SC, Jalan Sultan Ismail di sini pada 13 Mac 2009.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh dihukum penjara enam tahun dan denda RM164,900 atau penjara 24 bulan kerana bersetuju menerima seutas jam tangan Hublot bernilai RM60,000 daripada kontraktor terbabit di tempat sama pada pukul 10 pagi, 15 Mei 2009.

Sementara bagi tuduhan terakhir iaitu meminta suapan RM30,600 daripada kontraktor tersebut bagi bayaran tiga set perabot rumah pada 28 November 2009 di Europe Asia Furniture Expo Sdn. Bhd., No. 15A, Jalan Universiti, Petaling Jaya, Md. Zaki dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM300,000 atau penjara 30 bulan.

Kesemua pertuduhan itu dibicarakan bersama-sama di Mahkamah Sesyen di sini.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada Februari tahun lalu itu, sebanyak 29 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.