Showing posts with label kepala babi. Show all posts
Showing posts with label kepala babi. Show all posts

Saturday, January 30, 2010

Tindakan mencemar di dua masjid cabar polis, gugat keselamatan negara: Tan Sri Musa

'Jangan main api'
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my

HISHAMMUDDIN pada sidang media di Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, semalam. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Tindakan mencemar di dua masjid cabar polis, gugat keselamatan negara: Musa

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memberi amaran polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara dengan mencemarkan rumah ibadat.

"Jangan cuba bermain dengan api, saya tidak mahu keselamatan negara diganggu. Polis juga tidak mahu orang ramai atau mana-mana parti mencabar polis dengan memainkan isu sensitif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penemuan empat kepala babi hutan bersama sejumlah wang tunai di dua masjid di Jalan Klang Lama di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian di Masjid Al-Imam At-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, seorang jemaah, Sharif Shaari, 57, menemui satu bungkusan putih mengandungi dua kepala babi di kawasan letak kereta masjid berkenaan ketika hendak menunaikan solat Subuh, kira-kira jam 5.30 pagi.

Beberapa keping wang kertas RM1, RM5 dan RM10 berjumlah RM35 juga ditaburkan di sekeliling bungkusan itu.


MUSA meninjau tempat kepala babi ditemui di Masjid Al-Imam At-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur, semalam.

Kira-kira jam 5.45 pagi pula, bilal Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun menemui satu bungkusan mengandungi dua kepala babi bersama 30 keping wang kertas RM1 di pintu belakang masjid berkenaan.

Musa yang ditemui pemberita di Masjid Al-Imam, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai perbuatan khianat dan polis tidak menolak kemungkinan dua kejadian itu dilakukan individu atau kumpulan sama.

Beliau berkata, ini berdasarkan persamaan modus operandi yang digunakan dalam kedua-dua kejadian itu.

Musa berkata, beliau sudah mengarahkan polis melakukan pemeriksaan segera di semua restoran dan kedai makanan eksotik di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan kes itu.

"Pemeriksaan itu memastikan sama ada kepala babi hutan itu dibawa dari premis berkenaan atau tidak," katanya.

Musa juga menasihatkan ahli jawatankuasa masjid dan orang ramai bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya salurkan maklumat yang ada bagi membantu polis menahan pihak terbabit.

"Kita bersikap adil dan tidak kira kumpulan mana dilaporkan, akan ditangkap dan dikenakan tindakan seperti kes kebakaran gereja, baru-baru ini yang hampir selesai," katanya.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20100128042128/Article/)

Memburu dari mana datangnya kepala babi



Salhan K Ahmad
Jan 28, 10
5:00pm

Kepala babi hutan yang ditemui di dua masjid di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semalam mungkin diperolehi daripada satu sumber ternakan haiwan tersebut, menurut seorang imam masjid terlibat.

Menurut ketua imam Masjid Al-Imam Al-Tirmizi di Taman Sri Sentosa, Abu Bakar Yaakob babi berkenaan mungkin diperolehi daripada ladang ternakan yang terdapat di Banting atau Semenyih.

"Babi hutan ini mungkin yang dipelihara di ladang itu. Mungkin saja, kita tak tahu betul atau tidak," katanya yang mendapat maklumat berkenaan melalui laporan akhbar.

Ketika ditemui Malaysiakini di masjid tersebut hari ini, Abu Bakar bagaimanapun tidak dapat memastikan tarikh dan keluaran akhbar yang dimaksudkannya itu.

"
Babi hutan ini dibela untuk pasaran makanan eksotik," katanya lagi dan menambah terdapat beberapa restoran yang menyediakan hidangan daripada haiwan seperti itu di kawasan berkenaan.

Abu Bakar juga berkata pihak yang bertanggungjawab meletakkan kepala haiwan berkenaan di perkarangan masjid mungkin merancangnya dengan rapi kerana kegiatan mereka sukar dijejaki.

"Kita tengok kerja mereka ini sangat rapi, macam sudah dirancang. Di masjid (Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya) pun seperti itu juga.

"Setakat ini kita masih belum boleh agak siapa punya kerja sebenarnya," katanya lagi yang tidak mahu membuat sebarang tuduhan liar agar tidak mengganggu siasatan polis.

Selitkan nasihat pada majlis tazkirah

Ditanya mengenai pendekatan yang diambil bagi meredakan kebimbangan ahli kariah masjid berkenaan, beliau berkata akan menyelitkan nasihat dalam majlis tazkirah yang dianjurkan.

"Kita juga akan nasihatkan para penceramah agama di masjid ini supaya tidak menimbulkan prasangka atau tuduhan-tuduhan kepada mana-mana pihak atas kejadian yang berlaku," katanya lagi.


Sementara itu, seorang lagi imam masjid tersebut, Zulkifli Mohamad berkata masjid itu kini sedang mengambil langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Kita bertemu dengan pengarah JAWI semalam dan beliau memberi reaksi positif untuk tempatkan pengawal keselamatan di masjid ini.

"Pengawal ini untuk berkawal di waktu malam sahaja. Buat masa ini, polis juga beritahu akan tingkatkan rondaan di kawasan ini," katanya.

Kepala babi hutan mungkin sisa buruan

Sementara itu, seorang pemburu pula berkata kepala babi berkenaan juga mungkin diperolehi daripada sisa buruan.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Loo menjelaskan, walaupun pemburuan dan penjualan babi hutan memerlukan lesen, bahagian-bahagian badan binatang itu tidak sukar untuk diperolehi.

Tambahnya, yang berpengalaman memburu babi hutan selama 20 tahun, pemburu lazimnya membuang kepala, perut dan belulang selepas binatang itu ditembak.

Katanya, bahagian-bahagian yang tidak dikehendaki itu, biasanya dibiarkan di hutan untuk dijadikan makanan binatang liar lain, ataupun diletakkan di dalam beg plastik dan dibuang di kawasan berdekatan.

Tambahnya, lokasi pemburuan haiwan itu termasuk di Hulu Langat, Hulu Klang dan juga Puchong.

Babi peliharaan mudah dikenali

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kin Hee berkata, babi hutan digunakan pada kes pencemaran masjid semalam mungkin kerana jika babi peliharaan digunakan ia mudah dikenali.

Beh menjelaskan babi dari satu-satu ladang itu boleh dikenal pasti melalui tanda yang dilekatkan di telinga binatang itu ketika ia berumur satu minggu.


(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123140)

Pasukan khas ditubuhkan untuk siasat kepala babi




Jan 28, 10 2:48pm

Polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian empat kepala babi hutan diletakkan di kawasan dua masjid di Petaling Jaya pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata pasukan khas itu telah dikerahkan mencari setiap maklumat bagi menyelesaikan kes berkenaan.

"Kes ini melibatkan keselamatan dan keamanan negara, dan perlu ditangani segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kewangan Berhemat di Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Sabtu berkata siasatan dijalankan untuk mengesan saksi dan petunjuk kepada kes itu selain mencari motif perbuatan itu.

"Kalau sesiapa ada maklumat, tolong salurkan kepada kita," katanya.

Semalam dua bungkusan kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 diletakkan di pintu masuk belakang ke perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Haron manakala dua bungkus lagi serta baldi berisi jumlah wang yang sama dijumpai di hadapan pintu masuk ke perkarangan Masjid Al Imam Al Tirmizi, Taman Sri Sentosa.

Pada ucapannya pada majlis itu pula, Muhammad Sabtu berkata penyelia kewangan di setiap balai dan ibu pejabat polis telah diarah untuk mengenal pasti pegawai-pegawai dan anggota di bawah selian masing-masing yang dibebani hutang.

"Langkah perlu diambil agar masalah hutang tidak mendatangkan kesan jangka panjang kepada mereka yang terlibat," katanya.

Muhammad Sabtu berkata pemantauan secara berterusan dan berkala juga hendaklah dibuat terhadap gaya hidup pegawai dan anggota supaya mereka yang terlibat dengan masalah ini hidup secara sederhana dan mengikut kemampuan.

- Bernama
(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123123)

KPN: Bertenang dan tampil bantu polis




Jan 27, 10 11:56am

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan polis.

Musa juga memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pagi tadi, kepala babi dikesan dilontarkan di dua masjid sekitar Jalan Klang Lama, di ibu negara,

Kepala babi berkenaan dijumpai di masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan di masjid Al-Imam Al-Tirmizi di Taman Sentosa.

Nurul Izzah turut di masjid

Dalam pada itu, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga berada di tempat kejadian berharap, satu siasatan diraja dilakukan bagi menangani kes-kes mencemarkan rumah ibadat.

Ditanya sama ada dia puashati dengan tindakan polis setakat ini, Nurul berkata, "Saya tak kata berpuashati tetapi saya lihat ada ketekunan".

Nurul Izzah juga berkata, kejadian seumpama itu adalah di luar jangkaan dan terdapat juga kebatasan dalam bilangan anggota polis.

Nurul Izzah tiba pada jam 9 pagi, manakala Musa pula tiba kira-kira jam 11 pagi, walaupun pihak polis dilaporkan berada di lokasi seawal jam 6.40 pagi.

Malam ini
, Nurul Izzah akan menghadiri majlis tazkirah di masjid yang sama.

Sementara itu, imam masjid berkenaan, Zulkifli Mohamad kesal dengan perbuatan tersebut.

Katanya, beliau keluar melihat bungkusan itu selepas dimaklumkan oleh seorang anak kariah.

Berikutan kejadian itu, mereka menghubungi polis.

Serangan mungkin cetuskan pertelingkahan kaum

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang sampai ke Masjid Jumhuriyyah Taman Datuk Harun pada jam 1.30 petang bersolat Zohor terlebih dahulu sebelum melawat tempat kepala babi hutan itu ditemui.

Bercakap kepada media selepas itu, Khairy berkata beliau meminta pihak polis melakukan rondaan kekal di masjid dan rumah ibadat bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau meminta semua pihak mengelakkan spekulasi berhubung perkara berkenaan.

Ditanya sama ada kes di Kampung Datuk Harun ini membimbangkannya kerana mungkin mencetuskan pertelingkahan kaum Khairy menganggap semua serangan terhadap rumah ibadat adalah membimbangkan.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/122985)

Kepala babi dilontar dalam perkarangan dua masjid




Jimadie Shah Othman
Jan 27, 10
10:55am
dikemaskini 2.50pm

Kepala babi ditemui dilontarkan ke dalam perkarangan dua buah masjid sekitar Jalan Klang Lama hari ini.

Kepala babi berkenaan dijumpai di perkarangan Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan Masjid Al-Imam Al-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Insiden itu merupakan yang terbaru perbuatan merosak dan mencemarkan rumah-rumat ibadat sepanjang tiga minggu lalu, yang membabitkan 11 gereja, sebuah kuil Sikh, sebuah masjid dan dua surau.

Serangan ini dipercayai ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahaan untuk 'God'.

Menurut saksi, dua kepala babi dijumpai oleh jemaah di perkarangan masjid ketika datang hendak menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.

Selain kepala babi, kepingan wang kertas juga ditemui ditaburkan di di situ.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pegawainya datang untuk menyiasat kawasan kejadian.

Wang juga dijumpai bertaburan

Sementara itu, satu beg plastik yang berisi dua kepala babi hutan di temui di tempat letak kereta Masjid Al-Imam Al-Tirmizi oleh seoang penduduk, Sharif Shaari, 57, yang datang pada jam 5.45 pagi tadi untuk mengerjakan solat Subuh.

Sharif, seorang peniaga, bersama seorang kawannya ternampak beg plastik itu tetapi tidak menyangka ia berisi kepala babi, lalu mereka terus masuk ke masjid untuk mengerjakan solat.

Selepas mengerja solat Subuh, mereka keluar semula untuk memeriksa beg tersebut dan terkejut apabila mendapati ia mengandungi dua kepala babi hutan.

Mereka juga ternampak kepingan wang kertas ditaburkan di situ. Ia termasuk sekeping wang RM1, RM5 dan RM10 - kesemunya bernilai kira-kira RM35.

Mereka kemudian terus masuk semula ke masjid dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid berkenaan, Zulkifli mohamad.

Seorang daripada mereka menelefon pihak polis yang tiba kira-kira 6.40 pagi tadi.





Bungkusan lutsinar


Manakala di Masjid Jumhuriyah Taman Datuk Harun, Petaling Jaya - berdekatan dengan lebuh raya Pantai Baharu (NPE) - terdapat dua kepala babi hutan ditemui di perkarangan masjid berdekatan di pintu belakang kira-kira jam 6 pagi tadi oleh anak kariah.

Jarak antara kedua-dua masjid tersebut adalah sejauh 3km.

Saksi kejadian, Mohd Hilmi Bakri, 20, seorang pelajar berkata ketika beliau ke masjid berkenaan untuk menunaikan solat Subuh, beliau ternampak kira-kira 20 orang sedang berkerumun melihat sebuah bungkusan lutsinar.

Berdekatan dengan bungkusan itu juga terdapat 30 wang kertas RM1. Mereka membiarkannya kerana menyangka bungkusan mengandungi bayi yag dibuang.


Kemudian, seorang pegawai masjid menghubungi pihak polis kira-kira jam 6.30 pagi. Dua anggota polis tiba dan membuka bungkusan tersebut, dan mendapati ia berisi kepala babi hutan.

Selepas itu, dua kereta peronda polis datang dan mengambil kepala babi hutan itu kira kira jam 7.30 pagi tadi.

Sementara itu, timbalan nazir masjid berkenaan, Hasbullah Zainal berkata beliau kesal dengan kejadiaan tersebut yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Beliau juga meminta anggota kariah supaya bertenang dan menyerahkannya kepada pihak keselamatan untuk menyiasat kejadian itu.


(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/122975)