Showing posts with label dato seri mohd ali rustam. Show all posts
Showing posts with label dato seri mohd ali rustam. Show all posts

Tuesday, October 8, 2013

Saya kerja 'tiga syif' demi kesejahteraan rakyat



KATA DATUK SERI MOHD. ALI RUSTAM kepada kami, kalau nak berehat dari dunia politik, beliau memang sudah lama melakukannya.
Ini lebih-lebih lagi selepas kalah mengejut di kerusi Parlimen Bukit Katil, Melaka, 5 Mei lalu. Tapi, kata beliau, masih ada kerja yang belum lagi diselesaikannya.
Ketika ditemui Wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan KAMIL MASLIH serta jurugambar ASWAD YAHYA di pejabat Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) di Plaza Sentral, Kuala Lumpur Isnin lalu, Mohd. Ali yang tidak lekang dengan songkoknya, berkongsi hasrat untuk bertanding Naib Presiden UMNO.
Antaranya dalam melihat betapa pentingnya hak Melayu, bumiputera dan agama Islam perlu dipertahankan setiap masa mengikut Perlembagaan negara.
MINGGUAN: Ada pihak mempersoalkan mengapa Datuk Seri masih mahu bertanding Naib Presiden sedangkan telah kalah dalam pilihan raya umum lepas di Parlimen Bukit Katil. Kata mereka `buat apa nak popular sangat dalam parti sedangkan rakyat tolak dalam pilihan raya’?

MOHD ALI: Kita masuk parti untuk berjuang terutamanya dalam UMNO yang asas perjuangannya adalah untuk mempertahankan hak orang Melayu, bumiputera dan agama Islam mengikut Perlembagaan negara. Ini asas perjuangan yang saya pegang teguh. Kerana itu, walau hadapi pelbagai cabaran, perjuangan mesti diteruskan.

 Dan kalau kita lihat konsep kalah, banyak pemimpin juga di masa lepas telah kalah pilihan raya misalannya, Lim Kit Siang pernah kalah dua kali, sekali di Melaka dan sekali di Perak tetapi masih berjuang walaupun telah lepasi umur 70 tahun. Karpal Singh sendiri pernah kalah di Pulau Pinang, sudah lepas usia 70 tahun pun masih berjuang. Kalau lihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, macam itu juga, pernah kalah di Terengganu pun, lepas umur 70 tahun masih berjuang. Kalau lihat perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, pernah kalah di Kedah dan beliau terus berjuang dan berjaya bawa Malaysia seperti hari ini. 

Dan saya adalah seorang pejuang untuk bangsa Melayu, agama Islam dan negara kita. Kekalahan saya dalam pilihan raya lepas kerana tsunami pengundi Cina. Kalau buat perbandingan, saya boleh teruskan perjuangan bagi membela nasib orang Melayu, bumiputera dan agama Islam untuk pastikan ia terus dipertahankan mengikut Perlembagaan.


MINGGUAN:Ada pihak akui Datuk Seri memang rapat dengan ahli akar umbi, malah mereka senang dengan Datuk Seri. Tapi waktu itu Datuk Seri ada kuasa (Ketua Menteri Melaka). Tapi sekarang lain. Kata mereka, Datuk Seri kini keseorangan. Majlis-majlis yang dihadiri pun tidak banyak kelibat yang hadir. Apa kata Datuk Seri?

MOHD ALI: Dalam lawatan saya ke beberapa tempat, nampaknya sambutan masih lagi baik seperti dahulu. Ada jawatan pun ada kelebihan, tiada jawatan pun ada juga sedikit kelebihan. Saya boleh bertemu dengan lebih kerap dengan akar umbi dan ahli-ahli parti bagi mendengar masalah mereka dan bawa ke peringkat tertinggi. Ini membantu memperkuatkan lagi parti, kerajaan dan membantu juga Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.


MINGGUAN:Bagaimana Datuk Seri melihat sistem pemilihan UMNO kali ini yang memberi mandat kepada kira-kira 146,000 perwakilan untuk memilih pemimpin mereka?

MOHD ALI: Sistem baru ini memberi peluang kepada akar umbi membuat pilihan secara terus. Ia dapat menunjukkan keterbukaan akar umbi memilih pemimpin mereka mengikut kriteria yang mereka inginkan. Ini adalah proses baik yang diperkenalkan. Saya berpendapat wajar saya juga menawarkan diri untuk proses pemilihan ini agar parti mempunyai peluang untuk memilih dan membuat penilaian di kalangan pemimpin-pemimpin yang ada. Saya tiada niat untuk menidakkan sesiapa, semuanya kawan-kawan kita dan mereka memegang jawatan dan berpengalaman. Semuanya sahabat termasuk yang baru juga. Saya percaya yang menang, tidak menang semua, yang kalah, tidak kalah semua.


MINGGUAN: Selepas PRU-13, Datuk Seri ada tak mendapatkan maklum balas dari orang Cina?

MOHD ALI: Bila saya duduk dengan rakan-rakan MCA seminggu selepas pilihan raya, saya kata apa yang mereka (orang Cina) hendak, mereka kata MCA tidak boleh jawab sebab DAP dan Dong Zong telah cucuk masyarakat Cina, katanya 'Ini kalilah' untuk mengambil alih kerajaan negeri Melaka dan kerajaan pusat dan Putrajaya. Jadi, jasa saya langsung mereka tidak kisah sehingga banyak orang MCA dan Gerakan pun terpengaruh.


MINGGUAN: Adakah ini bermakna orang Melayu memang amat perlu bersatu hati?

MOHD ALI: Kalau orang Melayu terus berpecah, masa depan negara seperti telur di hujung tanduk. Jadi kita perlukan semangat baharu yang lebih berkobar-kobar untuk pertahankan hak orang Melayu dan hak Islam mengikut perlembagaan. DAP sedang mendesak dan kita mesti menghadapinya. Saya kalau hendak berhenti memang boleh tetapi takkan saya hendak biar berlalu depan mata sedangkan kita telah alami tsunami Cina bagaimana mereka tidak menghargai jasa-jasa kita.

Saya sedia berjuang bersama. Oleh kerana dalam sistem negara, politik menentukan kerajaan, jadi saya yakin UMNO adalah wadah terbaik untuk memelihara hak orang Melayu dan agama Islam. Saya berpendapat lebih elok saya tawar diri untuk mempertahankan hak orang Islam mengikut Perlembagaan dan terpulang kepada ahli-ahli UMNO membuat pertimbangkan. Saya ada pengalaman luas dalam parti, dalam kerajaan di peringkat negeri dan nasional dan peringkat antarabangsa.


MINGGUAN: Dengan umur Datuk Seri yang memasuki 64 tahun, tidakkah ini dilihat `bertentangan’ dengan usaha untuk meremajakan UMNO?

MOHD ALI: Saya lihat banyak orang-orang muda yang menawarkan diri dalam Majlis Tertinggi, ini adalah perkembangan yang amat baik. Dan kalau kita lihat semua calon-calon Naib Presiden, semuanya melepasi usia 40 tahun, semua dah masuk golongan pertengahan usia. Saya, walaupun sudah berusia 64 tahun tetapi saya ikut cara di Jepun, 'Life began at 60' (hidup bermula pada 60). Walaupun usia saya 64 tahun tetapi tenaga saya macam 24 tahun, masih boleh bekerja lagi. Tentang usia, saya berpendapat orang lama juga perlu bersama. Tiada yang lama, tiada yang baharu.


MINGGUAN: Mahu tidak mahu akan ada orang kaitkan Datuk Seri dengan soal integriti yang mana Datuk Seri telah dilucutkan hak bertanding untuk Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan 2009?

MOHD. ALI: Saya fikir yang terbaik menjawabnya adalah Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO. Mereka adalah yang terbaik untuk menjawabnya. Saya sudah sebut dalam pemilihan yang lepas, saya tiada apa hendak jawab lagi. Kalau ada apa-apa, yang terbaik menjawabnya adalah Pengerusi Lembaga Disiplin.


MINGGUAN: Walaupun kalah pilihan raya, Datuk Seri seolah-olah mendapat 'nyawa kedua' apabila dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB). Apa komen Datuk Seri?

MOHD. ALI: Terpulanglah kepada siapa pun hendak mentafsirnya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melantik saya sebagai Pengerusi PUNB. Saya lihat banyak boleh saya sumbangkan untuk memperkasakan bumiputera dalam bidang ekonomi. PUNB adalah salah satu daripada agensi yang bertanggungjawab membantu bumiputera untuk mencapai hasrat Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kita lihat dari dari tahun 1970 hingga 1990, DEB tidak berjaya sepenuhnya.

Bila saya sampai di sini (PUNB), saya lihat salah satu punca matlamat penguasaan bumiputera tidak dicapai adalah kerana kita tidak menetapkan sasaran yang jelas. Bidang mana yang hendak mencapai 30 peratus, bidang mana nak capai 60 peratus. Baru-baru ini saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), saya minta untuk ditetapkan matlamat dan berapa banyak tugas untuk PUNB. 

Saya telah menubuhkan jawatankuasa kecil antara pegawai-pegawai PUNB dengan EPU dan kita jangkakan pelan perancangan akan dikeluarkan pada akhir tahun ini. Tentang berapa banyak peranan PUNB, itu terpulanglah kepada EPU dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju). Kita tidak mahu mengeluh atau terburu-buru menjelang tahun 2020.


MINGGUAN: Adakah Datuk Seri memerlukan pasukan untuk bergandingan bersama dalam pemilihan ini?

MOHD. ALI: UMNO tidak membenarkan adanya berpasukan, ini adalah tradisi. Kalau ada kebetulan, orang sebut-sebut, itu tiada masalah. Saya memang bergerak solo dan sudah tentunya ada tiga tempat untuk Naib Presiden. Kalau berlakunya berpasukan seperti dahulu adanya Team Wawasan dan bukan Team Wawasan, akan berlakunya masalah. Bagaimanapun, saya yakin ahli-ahli UMNO sudah matang.


MINGGUAN: Laporan muka depan Utusan Malaysia baru-baru menyebut Datuk Seri akan menarik diri daripada bertanding Naib Presiden. Adakah ini gimik untuk menaikkan lagi rating Datuk Seri?

MOHD ALI: Semua itu spekulasi, adat bertanding, orang akan kata macam-macam, kita terima sahaja, itulah politik. Saya pun tidak tahu dari mana datang puncanya, macam-macam orang buat spekulasi.


MINGGUAN: Dengan tarikh 19 September kian hampir, bagaimana tahap keyakinan Datuk Seri untuk mengisi slot tiga kerusi Naib Presiden?

MOHD. ALI: Macam sahabat-sahabat yang lain, semuanya kata yakin berjaya mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. Bila semua kata mereka boleh berjaya, saya pun nampak saya boleh mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. Semua ada peluang yang baik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131006/re_07/Saya-kerja-tiga-syif-demi-kesejahteraan-rakyat#ixzz2h3OkaD8X
© Utusan Melayu (M) Bhd 


(terimakasih sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131006/re_07/Saya-kerja-tiga-syif-demi-kesejahteraan-rakyat)

Tuesday, October 1, 2013

Kepimpinan Datuk Seri Mohd Ali bin Hj.Mohd Rustam



1.0 Kepimpinan Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Mohd Ali bin Hj.Mohd Rustam amat disenangi oleh rakyat diNegeri Melaka.Beliau seorang pemimpin yang amat luar biasa dan komited terhadap tugas hakiki khususnya sebagai seorang Ketua Menteri dalam merealisasikan pembangunan mampan ekonomi Negeri dan juga berusaha kearah peningkatan pendapatan berkapita rakyat Negeri Melaka.

2.0 Ketua Menteri ini amat berbeza diantara Menteri Besar dan juga Ketua Menteri diseluruh Malaysia hatta didunia sekalipun.Ali Rustam berusaha keras menjejaki gaya kepimpinan Nabi SAW dan mungkin juga gaya kepimpinan para sahabat Nabi SAW seperti Saidina Umar Al Khattab, jika dilihat kepimpinan dan kepengikutan Mahatma Gandhi, sedikit sebanyak perjuangan,ketelusan dan pembangunan fizikal dan spiritual yang pernah dilakukan oleh Gandhitelah dipratikan oleh beliau dari kalangan rakyat di Negara ini, khususnya dinegeri Melaka.

3.0 Diantara sebab, hujah dan dalil mengapa Ali Rustam perlu disokong,diberikan mandat dan dipilih oleh majoriti rakyat dan pengundi diNegara ini adalah disebabkan gaya kepimpinan,dalil,kredibliti dan juga sentuhan emosi beliau terhadap isu berikut, 

4.0 yang pertama Beliau amat berjiwa rakyat dan bersifat rendah diri, jika dilihat dan diperhalusi beliau amat senang berbicara,dibawak bincang dan didekati oleh rakyat dan seluruh lapisan masyarakat diNegeri dan Negara ini, Ali Rustam tidak akan memilih status jantina, keturunan,bangsa,agama mahupun taraf pendidikan setiap individu yang mahu berhubung dengan beliau, asalkan niat baik makanya beliau akan memberikan perhatian terhadap isu yang dibangkitkan oleh individu berkaitan.

5.0 Sifat rendah diri sebagai pemimpin tertinggi Negeri juga telah menyebabkan rakyat amat menyayangi dan senangi beliau, sebut sahaja apa rintangan dan permasalahan beliau akan ada golongan rakyat yang menuju ke lokasi beliau berada,bila sahaja, dimana sekalipun tanpa mengira waktu, semangat dan pertalian serta kekuatan untuk membantu Ketua Menteri ini lahir dalam diri setiap individu dan pengundi hanya disebabkan amalan beliau berbuat baik dibalas dengan budi yang baik.

6.0 Dalil kedua merujuk kepada kemampuan beliau membawa pembangunan yang mampan terhadap Kerajaan Negeri Melaka, walakupun agak sukar untuk mendapatkan peruntukan dan dana yang besar daripada kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan, lantaran daripada kemampuan Melaka menjana ekonomi menerusi industri pelancongan Negeri, namun diatas keintelektualan dan daya usaha beliau, pembangunan ekonomi,politik dan sosial Negeri mampu dipelihara dengan terbaik mungkin.

7.0 Sebagai bukti yang amat jelas, negeri Melaka telah diitiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, Melaka Bandarteknologi Hijau, Melaka World Solar Valley dan Negeri ini juga berjaya menjana pendapatan tertinggi KDNK Negeri menerusi sumber penjanaan industri pelancongan dunia dinegara ini.

8.0 Hujah ketiga yang amat sukar diikuti oleh pemimpin lain, adalah pengorbanan dan keterlibatan beliau berkhidmat 24 jam dalam menangani apa sahaja isu dan kebajikan rakyat serta kepentingan Negeri dan Negara.

9.0 Beliau pantang terdengar mahupun dimaklumkan berkaitan sebarang bentuk permasalahan rakyat serta musibah, tanpa mengira waktu,lokasi dan majlis Ali Rustam akan bergegas ke lokasi untuk meninjau dan mengambil tindakan drastik, 

10.0 untuk menangani sebarang bentuk permasalahan dan polimik rakyat.Seluruh pasukan pengerak,kakitangan kerajaan,NGO,GLC dan Mahasiswa dan siswi akan mengikut rentak dan gaya kepimpinan beliau, tanpa mengira waktu baik disiang hari,petang,malam mahupun subuh, setiap pejuang ini akan berkumpul mendengar arahan dan perlu mengambil tindakan segera terhadap isu yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri ini.

11.0 Dalil keempat pula hadir turun padang tanpa perlu dikerah atau mencari publisiti murahan, beliau amat komited,serius, rajin dan berhemah tanpa memilih waktu dan lokasi baik dikawasan BN mahupun PKR, Ketua Menteri ini tetap turun padang untuk menghulurkan bantuan,jika dihina,dicaci baik disindir sinis, namun beliau tetap menunaikan janji untuk membantu rakyat.

12.0 Dalil ke lima, seorang pemimpin yang peramah,rendah diri dan mudah didekati, belum pernah seorang Ketua Menteri,Menteri Besar mahupun pemimpin yang rajin menghantar sms kepada rakyat tanpa memilih bulu,kedudukan dan status, namun Ali Rustam akan menghantar sms,berkomunikasi serta mendekati sesiapa sahaja dengan cukup mudah,peramah serta mendengar pandangan serta nasihat mereka, amat teruja dan terharu apabila Ketua Menteri menerima pandangan orang bawahan tanpa mengira latarbelakang akademik mahupun keturunan, sifat ini amat mulia serta menyebabkan rakyat amat menyayangi beliau.

13.0 Dalil keenam,hujah dan pengucapan serta ceramah beliau tidaklah menghentam seseorang pemimpin mahupun musuh beliau secara ekstrem,sifat mahupun ucapan memaki-hamun,fitnah, aib-mengaib ini kurang diterjemahkan oleh beliau, namun memang wujud sindiran sinis ketika beliau berucap terhadap beberapa isu peribadi pihak lawan, namun beliau tidak akan lari daripada perbincangan dan agenda utama ketika memberikan ucapan.Pemimpin yang memberikan fokus terhadap pembangunan dan isu kebajikan rakyat akan lebih disenangani daripada memburukan pihak lawan.

14.0 Dalil ketujuh Ali Rustam, tidak mengutamakan protokol, agak berbeza dengan para pegawai dibelakang takbir pengurusan Pejabat dan juga CEO diorganisasi Jabatan Kerajaan.Beliau hanya memerlukan penglibatan,kehadiran dan keberkesanan sesuatu program mahupun perjumpaan,rakyat mahupun pengundi amat gemar dan bersyukur terhadap kepimpinan beliau yang tidak rijik terhadap isu penerimaan dan halangan berjumpa dengan rakyat mahupun sesiapa yang berhajat berhadapan dengan beliau, rakyat dialu-alukan hadir dipejabat Ketua Menteri, dikediaman rasmi mahupun diserata Negeri dan Negara asalkan beliau berkelapangan dan sihat, itulah dia perbezaan dalam mengutamakan agenda rakyat melebihi isu protokol, namun wujud segelintir pegawai kerajaan yang amat rijik,protokol dan amat birokrasi dalam menangani isu dan persoalan rakyat, namun dibumi Melaka ibarat Hang Tuah kembali diberikan mandat, maka Ali Rustam mengalas mandat berkaitan dengan terbaik mungkin.

15.0 Dalil kelapan, beliau akan hadir disebarang bentuk majlis, ketika majlis pernikahan,musibah mahupun terlantar akibat uzur, beliau pantang sekali menerima sms mahupun perkhabaran daripada rakan-rakan, makanya beliau akan bergegas meninggalkan majlis tanpa mengira waktu dan keadaan.

16.0 Dalil yang kesembilan, rakyat mudah berkunjung ke kediaman rasmi beliau, jika dilihat kediaman Menteri Besar dan Ketua Menteri,lazimnya akan dikawal ketat dan adalah merupakan kawasan larangan dimasuki oleh mana-mana pihak, namun amat terharu apabila rakyat diNegeri Melaka dan seluruh Malaysia mampu hadir berjumpa Ketua Menteri ini, tanpa mengira waktu, apa yang perlu mereka lakukan adalah masuk ke kediaman rasmi Ketua Menteri duduk, makan apa sahaja rezeki yang ada dan tunggu ketibaan Ketua Menteri untuk melayan dan mendengar serta mengambil tindakan terhadap isu yang diutarakan.

17.0 Dalil yang kesepuluh, Ketua Menteri ini amat terkenal dengan sikap berintergriti tinggi,efisen,pantas dan berkualiti, beliau amat dikenali oleh rakyat dan kakitangan serta pejawat awam di Negeri ini, asal diarah,disebut dan diminitkan sebarang bentuk surat,pekeliling, dasar mahupun polisi setiap pegawai kerajaan,NGO,GLC serta individu perlu bertindak segera, dan sebagai amalan budaya yang baik majoriti kakitangan dan pasukan perjuangan beliau telah mengikuti jejak beliau, perlu bekerja lebih masa,menyelesaikan isu dan arahan segera mungkin dan turun padang tanpa mengira waktu.

18.0 Setelah kita mendengar,meneliti dan menyelami sendiri gaya kepimpinan beliau, apakah tindakan kita sebagai rakyat dan pengundi diNegeri ini, adakah beliau wajar dipilih,diberikan mandat dan terus dinaikan darjat mahupun kita bertindak pasif membiarkan mutiara ini hilang daripada milikan seluruh masyarakat diNegeri dan Negara ini.


19.0 Apa yang jelas beliau sangat layak bagi memiliki salah satu daripada kerusi naib presedin umno malaysia,kepada para pewakilan dan ahli umno seluruh malaysia, mereka inilah yang sebenarnya yang akan menentukan undi majoriti untuk kepimpinan umno malaysia yang baru, mudah-mudahan seluruh pengundi tidak kira negeri buatlah pilihan yang terbaik, jangan kerana marahkan seekor nyamuk habis satu kelambu dibakar, buatlah pilihan yang bijak

(terimakasih sumber:https://www.facebook.com/photo.php?fbid=569927713045207&set=a.529454087092570.1073741829.529439220427390&type=1&theater)

Monday, May 6, 2013

Mohd Ali: Rakyat tidak hargai jasa




6 Mei 2013
Mohd Ali Rustam
Mohd Ali Rustam















MELAKA - Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan kekalahannya di kerusi parlimen Bukit Katil kerana jasanya selama 13 tahun berbakti di Melaka tidak dihargai rakyat.
  
Mohd Ali yang juga pengerusi BN Melaka berkata pengundi khususnya kaum Cina seolah-olah tidak menghargai segala jasa dan usaha yang telah dilaksanakan kerajaan BN dalam membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat.
  
"Saya berasa amat kecewa dengan keputusan pilihan raya kali ini yang tidak berpihak kepada saya dan BN, seolah-olah BN tidak melakukan apa-apa untuk rakyat.
  
"Keputusan kali ini membuktikan kaum Cina langsung tidak menghargai kerajaan, mereka hanya hendak ubah sahaja tanpa fikirkan kesannya, tidak fikir apa yang telah kita buat selama ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diadakan pukul 1.30 pagi di kediamannya di Seri Bendahara di sini.
  
Mohd Ali yang mendapat 40,720 undi tewas dengan majoriti 5,447 kepada Pengerusi PKR Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menerima 46,167 undi.  

Bagaimanapun beliau bersyukur BN masih mampu mempertahan Melaka dengan kemenangan majoriti dua pertiga.
  
BN Melaka berjaya memenangi 21 kerusi dewan undangan negeri (Dun), kurang dua kerusi berbanding 23 kerusi yang dimenanginya pada PRU12.
  
Mohd Ali berkata beliau akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan calon ketua menteri yang baharu menggantikan beliau dalam masa terdekat.
  
Ditanya mengenai masa depan politiknya, beliau berkata "biar masa menentukannya".  - Bernama

Tuesday, January 29, 2013

Kenyataan Kit Siang biadab



 Khairy bidas Kit Siang isu kematian William

MELAKA 28 Jan. - Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta mendakwa Malaysia tidak selamat untuk kanak-kanak seperti William Yau Zhen Zhong, 6, disifatkan sebagai biadab.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tuduhan melampau itu tidak seharusnya dikeluarkan oleh seseorang yang berpengalaman dalam politik seperti Kit Siang.

"Saya amat kurang senang apabila diberitahu Lim Kit Siang menuduh UMNO dan BN tidak menjaga keselamatan kanak-kanak. "Perkara ini berlaku di Selangor, sepatutnya yang dipersalahkan ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana beliau merupakan Pengerusi Keselamatan negeri itu, bagaimanapun kita tidak mahu menuduh beliau.

"Tetapi apabila Kit Siang yang merupakan ahli politik senior membuat tuduhan sebegitu, ini sesuatu yang tidak baik, tuduhan yang amat kurang ajar," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang William pada upacara pembakaran mayat di Taman Memorial Melaka, Sungai Putat, Batu Berendam di sini hari ini.
Sebuah blog, pengundibaharu.blogspot.com, memaparkan kenyataan Kit Siang melalui laman sosial Twitternya, "6yr William Yau's tragic death - apart from UMNO/BN Ministers/leaders, Msia just not safe even 4children like William" di ruang statusnya kelmarin.


terima kasih utusan:  Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130129/dn_07/Kenyataan-Kit-Siang-biadab#ixzz2JN1pdetD
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Laporan DNA sahkan mayat William

Mohd. Ali Rustam mententeramkan nenek kepada William Yau Zhen Zhong, Chee Chou Moi yang tidak dapat menahan kesedihan apabila beliau tidak dapat melihat cucunya semasa urusan pembakaran mayat di Taman Peringatan Melaka di Bukit Jelutong, Batu Berendam, Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD

SUBANG JAYA 28 Jan. - Polis mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada Khamis lalu adalah William Yau Zhen Zhong.

Keputusan itu dikeluarkan oleh Unit Forensik Jabatan Kimia petang semalam setelah mengambil sampel rambut dan tulang mayat kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli memberitahu, ujian yang dijalankan mendapati dua sampel itu sepadan dengan spesimen darah milik ibu William, Goh Ying Ying, dan bapanya, Yau Kok Kang.
“Polis juga akan memanggil semula ibu bapa William dan keluarga terdekatnya untuk diambil keterangan dan membantu siasatan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap kanak-kanak itu.

“Saya minta semua pihak tidak membuat spekulasi kerana kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan polis akan menyiasat secara menyeluruh berdasarkan beberapa kemungkinan mengenai punca kematian William ketika ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Mayat William, 6, ditemui di Pelabuhan Klang sembilan hari selepas dia dilaporkan hilang oleh ibu bapanya pada 16 Januari lalu berhampiran sebuah kedai menjual barangan elektrik di Putra Heights.
Proses bedah siasat yang dijalankan sehari selepas mayat itu ditemui gagal mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu berikutan keadaan mayat dan organ dalaman yang reput.

Menurut Yahaya, laporan perubatan juga mendapati William dipercayai meninggal dunia dalam tempoh kehilangannya itu iaitu sejak 16 Januari.

Bagaimanapun katanya, polis sedang menyiasat beberapa kemungkinan yang timbul mengenai punca kematian kanak-kanak itu iaitu sama ada terjatuh dalam longkang atau disebabkan perkara lain termasuk jenayah.

“Polis sudah mendapatkan pandangan pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) mengenai keadaan longkang yang menjadi punca William dihanyutkan sehingga ke Pelabuhan Klang.
“Menurut JPS tidak mustahil seorang kanak-kanak dihanyutkan sejauh itu kerana tiada halangan dalam saluran longkang tersebut.

“Mayat itu mungkin tidak tersangkut pada perangkap sampah di sepanjang sungai itu kerana kebiasaannya mayat hanya akan timbul selepas tiga hari," jelasnya.
Tambah beliau, perangkap sampah pula hanya dapat memerangkap objek hanyut di bahagian atas permukaan sungai dan kemungkinan mayat William tidak timbul dan dihanyutkan arus sehingga sejauh 30 kilometer ke Klang.

Selain itu, Yahaya turut memaklumkan kes ini disiasat jika terdapat unsur penderaan berikutan penemuan kesan parut lama di kepala kanak-kanak itu.

Katanya, polis belum mengesan mana-mana suspek yang boleh dikaitkan dengan kematian William namun telah mengambil keterangan sebanyak 30 individu bagi membantu siasatan.

Sementara itu di MELAKA, suasana pilu menyelubungi Taman Peringatan Melaka di Bukit Jelutong, Batu Berendam apabila mayat William dibakar hari ini.

Mayat mendiang dibawa dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menaiki van tiba di taman peringatan kira-kira pukul 1 petang bersama ibu bapanya yang menaiki kereta berasingan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Tahir Hasan adalah antara yang hadir memberi penghormatan terakhir dan turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM5,000.

Nenek kanak-kanak malang itu, Chee Chou Moi, 68, tiba sambil menangis dan meronta-ronta memanggil nama mendiang.

“Saya mahu sayang cucu, sudah seminggu saya ingat cucu saya, hari-hari ingat cucu," katanya sambil menangis dan meronta di hadapan bilik pembakaran sehingga terpaksa ditenangkan oleh Mohd. Ali dan ahli keluarga mendiang.


terima kasih utusan: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130129/dn_05/Laporan-DNA-sahkan-mayat-William#ixzz2JN2hLChg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, December 25, 2012

Guan Eng bangkit isu kalimah ALLAH alih isu tanah balak




25 Disember 2012
Lim Guan Eng
Ketua Menteri Lim Guan Eng














NIBONG TEBAL - Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membangkitkan semula isu menuntut kerajaan pusat membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian ramai daripada isu dakwaan pemberian tanah balak di Gua Musang, Kelantan kepada dua pemimpin DAP Perak.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, dalam keadaan sekarang rakyat mahukan penjelasan daripada DAP berhubung dakwaan itu dan tindakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu membangkitkan semula isu berkenaan adalah cubaan menutup kesalahan pemimpin parti mereka.

"Pada pendapat saya beliau (Lim) cuba bangkitkan semula isu kalimah ALLAH itu kerana cuba alihkan perhatian rakyat terhadap dakwaan pemimpin parti DAP yang menerima tanah balak. Bila timbul salah di pihak mereka, Lim cuba timbulkan isu lain dengan harapan rakyat akan mengalihkan perhatian (ke isu lain).
"Tetapi rakyat sekarang bukannya bodoh dan mereka boleh berfikir yang mana baik dan sebaliknya. Ketua Menteri Pulau Pinang itu perlu sedar perkara berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung kali ke-18 Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), di sini hari ini.

Turut hadir Presidennya Jamaludin Yusof.

Guan Eng dalam perutusan khas sempena Krismas di laman blognya menggesa kerajaan pusat diterajui Barisan Nasional (BN) membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu.

Mohd Ali yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata masyarakat Kristian di Melaka tidak pernah membangkitkan isu menuntut membenarkan kalimah ALLAH digunakan dalam Bible versi Melayu.

"Ramai orang Kristian di Melaka dan saya sentiasa bertemu mereka dari semasa ke semasa, tetapi sehingga hari ini tiada yang pernah menuntut seperti Lim itu dan mereka juga boleh menerima keputusan yang telah dibuat.

"Jadi mengapa Lim cuba bangkitkan semula isu itu dan saya tidak nampak perkara lain kecuali politik parti DAP. Mereka (orang Kristian) meraikan Krismas hari ini dan ia disambut penuh meriah," katanya.

Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 sudah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah ALLAH dan memutuskan ia adalah kalimah suci khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

Sementara itu, Mohd Ali menyifatkan tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh menempelak dua pemimpin utama parti itu, Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim kerana menerima darjah kebesaran yang dikurniakan raja-raja Melayu yang membawa gelaran Datuk, sebagai hipokrit.

Beliau berkata DAP sepatutnya memecat kedua-dua pemimpin yang terlibat kerana sebelum ini ia menetapkan anggota parti itu yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dilarang memiliki atau menerima sebarang tanah.

"Sekarang mengapa Karpal tidak pecat mereka kerana mendapat tanah dan dua Adun berkenaan juga sepatutnya meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana telah menerima rasuah. Saya harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dapat menjalankan siasatan kes itu segera," katanya
. - Bernama (terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/nasional/guan-eng-bangkit-isu-kalimah-allah-alih-isu-tanah-balak-1.115424)

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.