Showing posts with label malaysiakini. Show all posts
Showing posts with label malaysiakini. Show all posts

Wednesday, September 22, 2010

'Gurau' dengan TNB: Hassan Skodeng didakwa


'Gurau' dengan TNB: Hassan Skodeng didakwa

Joseph Sipalan

Seorang penulis blog, Irwan Abdul Rahman, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini terhadap tuduhan menggunakan aplikasi internet bagi menghantar komen palsu pada Mac lalu.

Beliau yang menggunakan nama Hassan Skodeng di laman web, didakwa membuat dan memulakan hantaran komen palsu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, di hadapan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz.
Menurut peguamnya, Jahaberdeen Mohamed Yunoos, ini adalah kali pertma seorang penulis blog didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat-naik artikel berbentuk parodi atau satira di blognya.

Jika didapati bersalah, Irwan berdepan dengan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Irwan yang juga editor eksekutif akhbar Malay Mail bagi seksyen gaya hidup dan hiburan itu, memuat-naik artikel yang berjudul "TNB to sue WWF over Earth Hour" pada 25 March tahun ini.

Tindakannya itu menyaksikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat aduan rasmi kepada SKMM pada 2 April lalu.

"Tuduhan seperti ini akan memberi impak yang besar terhadap perkembangan sastera dan penulisan di Malaysia,” kata Jahaberdeen di luar mahkamah.

SKMM diwakili oleh timbalan pendakwa raya Badius Zaman Ahmad dan pegawai pendakwanya, Zairul Nahar Zakaria.

Hakim kemudiannya membenarkan Irwan dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Penasihat Kumpulan Red Berry Media, Datuk Ahiruddin Atan yang juga dikenali dengan nama Rocky bertindak sebagai penjaminnya.

Hayatul kemudian menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan.

Sementara itu, DAP dalam satu kenyataan membidas tindakan SKMM mengheret Irwan ke mahkamah berhubung tulisannya yang berbentuk satira itu.

DAP: SKMM tak faham gurauan?

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng berkata tindakan itu bukan sahaja “keterlaluan tetapi juga mengarut.”

"Adakah ini bermakna satira atau gurauan sekarang ini adalah salah dari segi undang-undang di Malaysia? Apa yang terjadi dengan negara sekarang ini?” soalnya.

Irwan pada artikelnya itu secara bersenda mengambarkan presiden dan ketua pegawai eksekutif TNB, Datuk Che Khalid Mohd Noh sebagai berkata kempen 'Earth Hour' itu menjejaskan kewangan syarikatnya dan menuduh penganjur kempen berkenaan, World Wide Fund for Nature sebagai "pengganas hijau".

Lim yang berkata satira itu sepatutnya diterima - berhujah bahawa tokoh wartawan negara dan pejuang kebangsaan, Datuk Ishak Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Pak Sako juga menggunakan satira dalam perjuangannya menuntut kemerdekaan.

Beliau juga memetik penulis satira berbangsa Inggeris yang terkenal, Jonathan Swift, yang pernah berkata: "Satire is sort of glass, wherein beholders do generally discover everybody's face but their own."

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/141707)

Tuesday, August 3, 2010

Jeffrey: Bahagikan Sabah, Sarawak jadi 16 negeri


Jeffrey: Bahagikan Sabah, Sarawak jadi 16 negeri
Joe Fernandez
Ogos 2, 10

Pemimpin pembangkang Sabah, Jeffrey Gapari Kitingan menggesa kerajaan negeri Sabah dan Sarawak supaya menimbangkan secara serius mewujudkan beberapa negeri baru di kalangan mereka.

Katanya, keluasan kawasan yang besar, kecekapan mentadbir yang lebih baik melalui desentralisasi dan memaksimumkan potensi sebagai alasan untuk berbuat demikian.

Ideanya adalah Sabah dibahagikan kepada lima negeri - Tawau, Sandakan dan Kudat di pantai timur dan utara manakala dua lagi negeri iatu Pantai Barat dan Pedalaman.

Bagi Sarawak pula, menurut Jeffrey, semua sebelas bahagian dijadikan negeri-negeri Sarawak, iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

"Jumlah 16 negeri dan satu wilayah persekutuan Borneo akan menengelamkan 11 negeri dan dua wilayah persekutuan di Semenanjung Malaysia,” katanya semasa ucaptama tertutupnya yang berjudul 'The Genesis of Malaysia Revisited' dan 'The Way Forward' di Kota Kinabalu, semalam.

Forum itu diadakan sebagai pembuka tirai bagi sambutan rasmi Hari malaysia yang pertama yang dijadualkan pada 16 September ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Warisan Borneo dengan kerjasama Heritage Common Interest Group Malaysia (CigMA), dan beberapa pertubuhan lain.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/138930)

Monday, May 17, 2010

'Malaysia bukan masyarakat judi'

'M'sia bukan masyarakat judi'
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Mei 9, 10
5:52pm

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus.

Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri.

Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?

Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu.

Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima.

Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia.

Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan.

Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi.

Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'.

Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi.

Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama.

Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang.

Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen.

Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen?

Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

(sumber;http://www.malaysiakini.com/columns/131353)

Sunday, May 16, 2010

Wee Cho Keong akhirnya tinggalkan PKR



Wee Cho Keong akhirnya tinggalkan PKR
Mei 14, 10 4:37pm

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Cho Keong hari ini mengumum keluar dari PKR dan menjadi ahli Bebas.

Dalam sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa di pusat khidmatnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, Wee berkata tindakannya itu berkuat-kuasa hari ini.
Menurut Wee, beliau meninggalkan PKR kerana kecewa dengan cara parti itu dan kerajaan negeri Selangor dalam menangani skandal pasir menerusi Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Wee juga mengumumkan meletakkan semua jawatan partinya, termasuk ketua PKR Wilayah Persekutuan.

Pada 21 April lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan khabar angin yang bertiup kencang bahawa Wee adalah pemimpin PKR yang bakal melompat tetapi beliau enggan mengulas apabila diajukan soalan berkenaan.

Beliau tidak mengesahkan ura-ura itu mahupun menafikannya tetapi sebaliknya berkata wartawan lebih mengetahui perkara berkenaan.

“Anda tahu segala-galanya. Kenapa perlu bertanya lagi? Anda lebih mengetahui, mengapa tidak anda siarkan berita itu terlebih dahulu?” katanya.

Beliau juga menyerang media baru yang dilabelkannya sebagai tidak bertanggung-jawab.

“Saya akan hanya bercakap dengan media tertentu kerana sesetengah media adalah tidak bertangung-jawab,” katanya.

Menurut Wee sesetengah portal berita tidak boleh dipercayai kerana “mereka akan hanya memutar-belitkan kata-kata saya...mereka akan tukar B ke A dan A ke B”.

[Berita penuh menyusul]

(SUMBER;http://www.malaysiakini.com/news/131815)

Friday, May 14, 2010

Malaysiakini: Memori suram 13 Mei





Malaysiakini: Memori suram 13 Mei
Wartawan Malaysiakini

Mei 13, 10
7:26pm
Ianya bermula apabila keputusan pilihan raya pada 10 Mei 1969 diumumkan pada hari berikutnya.

Buat pertama kalinya sejak kemerderkaan, Perikatan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tumbang di Kelantan dan Pulau Pinang.

Dewan undangan negeri Selangor dan Perak pula digantung kerana tiada parti yang mencapai kemenangan majoriti.

Bagaimanapun, di Selangor, Perikatan kemudiannya dapat menguasai negeri itu selepas mendapat sokongan calon Bebas tunggal.

Untuk merayakan kemenaangan itu, pembangkang telah mengadakan perarakan kemenangan pada 12 Mei dengan kebenaran pihak polis.

Penyokong India dan Cina parti Gerakan yang merupakan parti pembangkang ketika itu, turut menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh ikon Gerakan Dr Tan Chee Khoon dari klinik dan pejabat politiknya, Tan Dispensary, yang terletak di Jalan Batu (sekarang dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman).

Dalam memoirnya 'May 13 Before and After' Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman berkata perarakan untuk 1,000 anggota parti itu telah bertukar menjadi perarakan samseng.

Beliau menulis bahawa kegilaan ekoran kemenangan itu mencapai kemuncaknya dan orang ramai tidak dapat dikawal lagi.

Menurut Tunku lagi pihak komunis mengambil kesempatan dengan membakar emosi mereka.

Perarakan itu kemudian berubah haluan menuju ke Jalan Campbell (sekarang Jalan Dang Wangi) dan Jalan Hale (sekarang Jalan Raja Abdullah) menuju ke kampung majoriti orang Melayu - Kampung Melayu - dan melalui kediaman Menteri Besar ketika itu, Datuk Harun Idris.

Menurut seorang saksi yang berusia 18 tahun ketika itu, mereka berarak sambil membawa penyapu, cuba mengatakan bahawa bangsa Melayu akan disapu. Katanya, mereka membawa penyapu untuk menyapu Datuk Harun dari rumahnya itu.

Dalam keghairan untuk menunjukkan siapakah yang berkuasa, mereka melaungkan kata-kata menghina orang Melayu di kawasan itu sambil memperlihatkan pelakuan yang kurang ajar. Pada saat itulah ia membangkitkan kemarahan orang Melayu, katanya.

Demonstrasi itu kemudiannya reda, tetapi ia tidak berakhir di situ apabila orang Melayu pula merancang untuk mengadakan perhimpunan pada hari berikutnya.

Rumah menteri besar yang kini merupakan tapak pembinaan kondominium, dijadikan pusat operasi untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

Menurut para saksi, orang Melayu dari beberapa kubu kuat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, telah berhimpun di rumah Datuk Harun dengan bersenjata seperti batang kayu dan parang.

Berita dilaporkan bahawa orang Cina telah menyerang dua orang Melayu di Setapak. Dan pertumpahan darah bermula kira-kira jam 6 petang.

[Baca berita penuh]

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/131739)

Sime Darby kerugian RM1.6 bilion, CEO diarah bercuti


Sime Darby kerugian RM1.6 bilion, CEO diarah bercuti
Mei 13, 10 4:33pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Mursyid, diarah bercuti sehingga tamat tempoh kontraknya pada 26 November depan.

Bagi mengisi kekosongan itu, jawatan Zubir (kiri) dipangku oleh Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perladangan Sime Darby, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Azhar akan berkerjasama dengan ketua pegawai operasi kumpulan, Abd Wahab Maskan yang bertanggung-jawab terhadap operasi kumpulan dan ketua pegawai kewangan kumpulan, Tong Poh Keow.

Sime Darby juga hari ini mengumumkan kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion, membabitkan projek minyak dan gas Bulhanine dan Maydan Mahzam di Qatar serta projek hidroelektrik Bakun.

PM: Kerugian tak akan ditutup

Mengulas perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menutup kerugian akibat lebihan kos berjumlah RM1.6 bilion yang ditanggung Sime Darby kerana ia selaras dengan prinsip urus niaga yang baik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby bercuti sementara tamat kontraknya juga perlu dibuat bagi mencerminkan prinsip ketegasan, ketepatan dan ketelusan dalam syarikat itu.

Dalam pada itu, Sime Darby dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu akan mengalami impak negatif sebanyak RM964 juta ke atas keputusan separuh kedua tahun kewangan 2010 berikutan kelewatan dan kos berlebihan beberapa projek di Qatar dan projek empangan hidro elektrik Bakun.

Konglomerat itu juga mengambil tindakan yang belum penah dilakukan sebelum ini dengan membuat perubahan pengurusan, termasuk mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid bercuti sebelum kontraknya tamat pada 26 November depan.

Kenyataan itu berkata kumpulan itu mengambil langkah segera dan tepat untuk membetulkan kekurangan yang dikenal pasti oleh Kumpulan Lembaga Kerja yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu.

Kumpulan itu ditubuhkan bagi mengkaji semula operasi bahagian tenaga dan utiliti dan menilai tadbir urus korporat dan prestasi susulan keputusan kewangan 2009.

Kumpulan Kerja dianggotai Datuk Seri Panglima Andrew Sheng sebagai Pengerusi, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Datin Paduka Zaitoon Datuk Othman, mengkaji semua projek yang terjejas dan mengumumkan penemuan itu hari
ini.

Projek terbabit Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (Projek QP); projek Maersk Oil Qatar (Projek MOQ); sebuah projek yang membabitkan pembinaan kapal untuk kegunaan dalam projek MOQ (Projek Marin) dan projek empangan hidro elektrik Bakun.

Projek QP, yang diperoleh pada April 2006 dan dijadual siap pada Ogos 2008, mengalami kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian melebihi RM500 juta yang sudahpun diambil kira.

Bahagian itu sedang berunding dengan pelanggan mengenai Projek QP atas tuntutan bagi kos yang berlebihan, kata kenyataan itu.

Walaupun rundingan sedang berjalan, berikutan kelewatan memuktamadkan perkara itu, lembaga memutuskan untuk menukar semua perolehan sebanyak RM200 juta yang diperakui sebelum ini dalam akaun kumpulan bagi tahun kewangan 2010.

Bagi projek MOQ, yang diperoleh pada Januari 2007, dan dijadual siap pada Oktober 2009, kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian RM526 juta bagi tahun kewangan 2010.

Daripada jumlah itu, RM367 juta diperakui dalam keputusan separuh pertama 2010 kumpulan dan lembaga itu memutuskan untuk memperakui baki RM159 juta.

Rundingan sedang dijalankan dengan pelanggan bagi Projek MOQ, kata kenyataan itu.

Sementara itu, projek marin terbabit meliputi pembinaan dua bot tunda dan baj Derrick Lay untuk kegunaan dalam projek MOQ.

Bagaimanapun baj belum diserahkan dan lembaga itu menganggarkan projek mungkin mencatatkan kerugian kira-kira RM155 juta dengan pengurusan masih mengkaji semula semua opsyen yang ada.

Projek empangan hidro elektrik Bakun, dengan Sime Engineering Sdn Bhd menguasai 35.7 peratus kepentingan, diluluskan pada September 2002 dan dijadual siap pada September 2007.

Berikutan pelbagai faktor, penyiapan tertangguh dan kos meningkat.

Pengurusan menganggarkan potensi kos tambahan sebanyak RM450 juta ditanggung oleh kumpulan dalam keputusan tahun kewangan semasa,

Rundingan juga sedang dilakukan dengan pelanggan dan subkontraktor mengenai projek itu dan kumpulan melantik penasihat teknikal bebas untuk projek berkenaan.

Sime Darby berkata pengumuman lanjut akan dibuat selepas rundingan dengan pelanggan bagi setiap projek, dimuktamadkan.

Sementara itu, Sime Darby mengumumkan keuntungan RM1.113 bilion bagi separuh pertama 2010 manakala keputusan suku ketiga dijangka dimumumkan pada 27 Mei, 2010.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/131713)

zmsegamat kata: sila jemput SPRM ke Sime Darby

kenangan di ‘kubur tiruan’…Al-Fatihah Abuya Ashaari Muhammad



kenangan di ‘kubur tiruan’…Al-Fatihah Abuya Ashaari Muhammad
Mei 14, 2010 oleh syahrilkadir

semalam kita semua dikejutkan dengan pemergian bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya ke rahmatullah

actually selepas diharamkan, Al-Arqam sebenarnya ‘muncul’ semula tetapi dengan nama yang berlainan, orang-orang dia juga dah tak pakai jubah hijau seperti yang kita lihat dulu

namun semua orang tahu, biarpun dengan imej baru, namun tak banyak perubahan yang boleh kita terutama dari segi kesetiaan serta perasaan sayang mereka terhadap Abuya

bercakap pasal ini, tidak lama dulu heboh satu Malaysia bila Rufaqa Corporation mengadakan simulasi kubur atau kubur tiruan di pejabat mereka yang terletak di Bandar Country Home, Rawang

Rufaqa ialah sebuah badan perniagaan dan ekonomi yang ditubuhkan oleh bekas pengikut al Arqam. JAIS mendakwa Rufaqa cuba mengembangkan kembali ajaran al Arqam di kalangan remaja dan mahasiswa di institusi pengajian awam dan swasta, wallahualam, betullah kot

actually kubur tiruan ini dibuat bagi tujuan menyedarkan umat Islam mengenai kematian, ia diilhamkan daripada konsep rumah hantu yang kita lihat kat Fun Fair sebenarnya

dipendekkan cerita, bila JAIS mengharamkan Rufaqa, automatik kubur tiruan ni pun diperintahkan tutup kerana JAIS percaya ada unsur meragukan dalam simulasi ini

untuk itu, pihak Rufaqa telah menjemput aku dan bos aku ketika itu, Zul Bakar untuk melawat kubur tiruan berkenaan bagi menunjukkan yang tiada unsur ‘meragukan’ seperti mana dakwaan JAIS

sampainya kami di sana, kami terus diminta untuk masuk ke kubur itu, sorang-sorang pulak tu, adooyyyyyyyyyy

“Selamat Datang Ke Alam Barzakh”begitulah kata-kata aluan yang tertera pada papan tanda di suatu sudut dalam bangunan milik Rufaqa’Corporation itu

ketika kami sampai, pihak Rufaqa memberitahu, dah lebih 600 orang datang ke situ untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam sebuah kotak kayu berukuran 6 x 4 kaki persegi yang tersedia di sana

kotak kayu itu dilengkapi sepasang batu nesan dengan sekujur tubuh replika mayat terbaring kaku ditepinya, ditutupi dengan kain batik panjang.

kami berdua punyalah cuak nak masuk sampai aku dengan Zul bertolak-tolak siapa yang nak masuk dulu!

last-last sebab taknak gaduh, aku pun beralah, aku masuk dulu

masuk saja dalam kubur tu, aku kena baring macam mayat juga. then betul-betul depan mata aku dipasangkan skrin TV, masa tu diaorang tunjuklah macam mana keluarga kita menangis, macam mana mayat kita diusung dan macam mana tanah dikambus ke tubuh kita, phewwwww!!!

lepas itu aku diperdengarkan pula dengan jeritan mayat-mayat yang berjiran, derapan kaki tujuh langkah pengiring meninggalkan aku seorang diri setelah dikebumikan serta pelbagai bunyi-bunyian lain yang menakutkan.

detik paling mendebarkan apabila datang Malikat Munkar Nakir yang bertanya beberapa soalan berkaitan Iman, masa tu kita dengar bunyi saja

tapi yang aku nak tergelak tu, aku macam perasan suara ‘Malaikat’ itu, memang betullah tekaan aku, tu sebenarnya suara penyanyi Sheqal, antara individu yang paling awal memasuki liang lahad itu sewaktu Alam Barzakh mula-mula dibuka

tapi yang buat korang nervous nak mampus apabila volume suara Sheqal tu dikuatkan, mak oooiiiiii punyalah scarry, aku rasa dah betul-betul ‘kiok’ masa tu, peluh ni jangan cakaplah

aku memang tabik habislah cara diaorang buat kubur tiruan tu, dengan megunakan sistem teknologi sistem audio dan video yang canggih, ia menjadikan Alam Barzakh rekaan ini menjadi lebih berkesan.

aku difahamkan tayangan video adalah tayangan sebenar diambil daripada kematian salah seorang staf di Rufaqa

walaupun cuma lebih kurang lima minit saja aku kat dalam tu, tetapi gerunnya Tuhan saja yang tahu

nasib baiklah lepas keluar ‘kubur’ tu, staff Rufaqa jamu kami dengan nasi beriani kambing, terubatlah juga ‘ketakutan’ tu hehehehe

semoga roh Ustaz Ashaari akan dicucuri rahmat, salah atau betul pegangan dia bukan soalnya lagi, itu beliau dengan Allah, kita hanya mendoakan yang terbaik.

Al-Fatihah.

(sumber;http://syahrilkadir.wordpress.com/2010/05/14/kenangan-di-kubur-tiruan-al-fatihah-abuya-ashaari-muhammad/)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ashaari Muhammad meninggal dunia
Mei 13, 10 5:16pm

Bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad meninggal dunia di Hospital Ipoh Specialist Center pada jam 2.10 petang kerana jangkitan paru-paru.

Menurut Utusan Malaysia Online, jenazah beliau akan dibawa ke Rembau, Negeri Sembilan selepas solat jenazah di Ipoh.

Ashaari yang juga Pengerusi Syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd berada di Ipoh dalam siri lawatan ke rangkaian perniagaan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Bernama memetik seorang kakitangan syarikat berkenaan, Marzuki Hussein bahawa jenazah Ashaari yang dipanggil Abuya oleh para pengikutnya telah dibawa ke kampung asalnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Katanya, Ashaari berada di Ipoh selepas melawat Thailand dan Kedah dan dikejarkan ke hospital Isnin lalu selepas mengadu sakit dada.

Jurucakap hospital berkenaan sementara itu berkata Ashaari meninggal dunia pada 2.10 petang tadi.

"Ini siri lawatan biasanya ke rangkaian perniagaan Global Ikhwan," kata Marzuki kepada Bernama selepas jenazah Allahyarham Ashaari disembahyangkan di sebuah banglo milik syarikat itu di Ipoh.

Marzuki berkata rumah berkenaan adalah rumah tamu syarikat berkenaan.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau berlepas dari rumah berkenaan pada kira-kira 5.30 petang tadi.

Kira-kira 200 pengikut Allahyarham turut berada di rumah berkenaan.

Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah dan aktivitinya berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai kira-kira 10,000 pengikut.

Kumpulan itu dilaporkan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan,perniagaan, perubatan, dan pertanian.
Ashaari menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar dan meramalkan dirinya akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/131721)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
13 Mei, 2010 23:58 PM

Jenazah Ashaari Selamat Dikebumi

REMBAU, 13 Mei (Bernama) -- Jenazah bekas pemimpin kumpulan Al Arqam yang diharamkan, Ashaari Muhammad selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pilin dekat sini kira-kira pukul 10 malam.

Jenazah Ashaari, yang dibawa dengan kereta persendirian dari Ipoh tiba bersama rombongan di kampung asal Allahyarham, Kampung Pilin kira-kira pukul 8.30 malam.

Jenazah kemudian ditempatkan di surau kampung itu bagi membolehkan sanak saudara dan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan yang terletak bersebelahan dengan surau kampung itu.

Kira-kira 1,000 orang hadir pada majlis pengkebumian.

Ashaari, 73, lebih dikenali dengan panggilan Abuya oleh para pengikutnya meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang, tiga hari selepas dimasukkan di hospital itu kerana jangkitan paru-paru.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=498056)

Wednesday, September 24, 2008

malaysiakini:Johor: Ada bahagian mahu gandingan Najib-Muhyiddin

Johor: Ada bahagian mahu gandingan Najib-Muhyiddin

(http://www.malaysiakini.com/news/90275)
Muda Mohd Noor | Sep 24, 08 11:19am

Sebahagian besar Umno bahagian di Johor menyerahkan kepada para perwakilan untuk memutuskan dalam mesyuarat perwakilan masing-masing bulan depan, calon presiden dan timbalan presiden Umno.

Tinjauan Malaysiakini di Johor mendapati ada bahagian yang akan mencalonkan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, masing-masing jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bahagian-bahagian berpendapat suara perwakilan perlu didengar, khususnya, dalam pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti, kerana ia boleh menyelamatkan parti dan orang Melayu.

Ketua Pemuda Umno Sekijang, Ayub Rahmad berkata, parti perlu melihat keadaan persekitaran, iaitu apakah kehendak ahli teramai.

"Jika mereka mahukan perubahan kepimpinan utama, parti mesti melakukan perubahan tanpa terikat dengan tempoh tertentu.

"Walaupun kita menyokong pelan peralihan kuasa tetapi pada masa yang sama, kita tidak boleh menafikan hak ahli parti," katanya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian Tanjong Piai, Suhaimi Salleh pula berkata, bahagiannya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan calon presiden.
Peralihan kuasa

"Biar perwakilan bahagian menentukan sama ada hendak mematuhi peralihan kuasa yang telah ditetapkan pada 2010 atau membuat cadangan lain," katanya.

Beliau berkata, daripada maklumat yang diterima ramai ahli Umno di Tanjong Piai, mereka mahu Najib bertanding jawatan presiden manakala Muhyiddin bertanding timbalan presiden.

Manakala naib ketua bahagian Muar, Halim Hashim berkata, cara terbaik ialah menyerahkan kepada ahli jawatankuasa bahagian untuk menentukan siapakah calon presiden.

"Bahagian Muar sehingga ini belum berbuat demikian tetapi akan membincangkannya dalam mesyuarat bahagian nanti.

"Di bahagian ini ada yang mahukan Abdullah, Najib, Muhyiddin dan tokoh veteran, Tengku Razaleigh Hamzah menjadi presiden parti," katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, AJK bahagian Segamat, Mohd Azami Othman berkata, ahli bahagian ini berbelah bagi mengenai siapa yang perlu menjadi presiden parti.

Katanya, ramai pemimpin utama bahagian mahu Abdullah kekal sebagai presiden, manakala golongan berusia 50 tahun ke bawah mahukan perubahan dalam kepimpinan tinggi.

"Oleh kerana itu lebih baik ia diserahkan kepada suara majoriti (perwakilan) untuk menentukan siapa yang mereka mahu menjadi ketua parti mereka.

Rumusan mesyuarat cawangan

"Saya ingin menasihatkan Abdullah supaya tidak tertipu dengan maklumat terutama dari yang suka membodek," katanya .

Menurutnya, ramai ahli Umno Segamat berpendapat Muhyiddin seorang pemimpin yang ada pendirian.

Seorang AJK bahagian Johor Baru, Ahmad Kemim pula berkata, kebanyakan golongan akar umbi di bahagian itu mahukan gandingan Najib dan Muhyiddin menerajui parti itu.

Katanya, rumusan dari mesyuarat cawangan bahagian ini mendapati mereka mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan.

Oleh kerana itu, katanya, pemimpin parti termasuk Abdullah perlu menilai kehendak ahli sebelum membuat sebarang keputusan.

Manakala AJK bahagian Kota Tinggi, Basri Kutai @ Lamsah pula berkata, ramai ahli cawangan masih menyokong Abdullah sebagai presiden parti.

Bagaimanapun, katanya, ada juga yang mencadangkan supaya ia ditentukan dalam mesyuarat bahagian yang akan diadakan bulan depan.

"Oleh itu kita kena mengikut kehendak ramai kerana kekuatan parti terletak kepada ahli," katanya.

Beliau berkata, tiada faedahnya bergaduh untuk memilih pemimpin kerana ia akan menyebabkan parti menjadi semakin lemah.