Showing posts with label barisan nasional. Show all posts
Showing posts with label barisan nasional. Show all posts

Saturday, June 29, 2013

14 cabaran BN menjelang PRU-14


PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang berlangsung pada 5 Mei lalu merupakan ujian yang amat getir untuk Barisan Nasional (BN). Walaupun BN sekali lagi menerima mandat daripada rakyat dan berjaya membentuk kerajaan, suara-suara sumbang masih lagi kedengaran dari kem pakatan pembangkang yang enggan mengiktiraf pilihan rakyat.

Serangan demi serangan dilancarkan pakatan pembangkang terhadap BN menerusi penganjuran siri perhimpunan haram di seluruh negara yang diterajui oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kebiadapan pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang mencabar kesabaran kerajaan yang memerintah bukan fenomena baharu.

Mereka semakin berani mempertikaikan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya kedudukan agama Islam, institusi diraja dan hak istimewa orang Melayu. Malah, segelintir orang Melayu yang lupa daratan turut bersekongkol menjayakan agenda menghapuskan ketuanan Melayu di tanah air sendiri. Sesiapa sahaja yang bersuara lantang mempertahankan hak orang Melayu termasuk Utusan Malaysia pasti menjadi sasaran serangan mereka.

Kelmarin, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dengan kerjasama Utusan Malaysia telah menganjurkan sesi perbincangan meja bulat yang bertemakan 'Cabaran Dalam Menghadapi PRU-14... Kelangsungan Politik Bangsa' di Ibu Pejabat Mubarak di Bangunan UMNO Lama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Perbincangan yang julung-julung kali diadakan itu dipengerusikan oleh Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mubarak turut diwakili oleh Datuk Abdul Rahman Ibrahim (Setiausaha Agung); Datuk Abdul Rahman Sulaiman (Ketua Penerangan); Tan Sri Abdul Aziz Samsudin (Ahli Majlis Tertinggi). Peserta-peserta lain dalam perbincangan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Shamsul Adabi Mamat.
Yang lain pula ialah pensyarah Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Perunding, Pusat Kajian Dasar Malaysia, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff dan pemimpin-pemimpin pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Antara rumusan menarik untuk diketengahkan hasil perbincangan tersebut ialah 14 cabaran yang perlu ditangani BN dan UMNO bagi menghadapi PRU-14. Kesemua cabaran terbabit tidak boleh diambil mudah kerana kegagalan BN menanganinya seolah-olah memberi laluan mudah kepada pakatan pembangkang untuk mendominasi persiapan dan kempen menjelang PRU-14.

Cabaran pertama: Menarik sokongan pengundi di kawasan bandar.
Usaha mengembalikan keyakinan pengundi bandar yang majoritinya kaum Cina mesti dipergiatkan. Gejala perpecahan pengundi Melayu di beberapa kawasan Parlimen seperti Shah Alam dan Pandan juga hendaklah diatasi. Gerakan pemindahan pengundi antara kawasan Parlimen dikesan berlaku di bandar menjelang PRU-13. Persoalannya, adakah pengundi yang membuat permohonan tukar alamat pada daftar pemilih SPR benar-benar berpindah ke alamat baharu? Bagi mengelakkan keraguan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta memperketatkan prosedur pertukaran alamat pada MyKad seperti mewajibkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan seperti bil air dan elektrik.

Cabaran kedua: Melawan fitnah yang ditaburkan pakatan pembangkang menerusi media sosial.
Rata-rata peserta perbincangan meja bulat mengakui tentera siber pakatan pembangkang berteraskan kekuatan 'Red Bean Army' yang didalangi DAP sangat komited menyebarkan fitnah terhadap kerajaan dan BN. Ada yang berpandangan, BN tewas dalam medan peperangan media sosial. Dari sudut positif, faktor itu disebabkan budaya fitnah tidak wujud dalam BN.
Namun, tentera siber BN tidak boleh sekadar mengambil pendekatan bertahan dan hanya memberi penjelasan terhadap fitnah yang disebarkan pembangkang di media sosial. Serangan balas hendaklah dilancarkan dan BN seharusnya mewujudkan unit media baharu di setiap negeri malah sekiranya boleh, di setiap bahagian. Jentera yang terlibat dalam peperangan siber hendaklah tersusun, terlatih, komited dan berpengetahuan.

Cabaran ketiga: Kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang yang aktif dan teratur.
BN tidak boleh memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh NGO propembangkang termasuk Suaram dan Bersih. Dakyah-dakyah yang disebarkan NGO-NGO terbabit bertujuan mengikis keyakinan rakyat terhadap BN dan SPR. Lebih membimbangkan, ada di antara NGO propembangkang menerima dana asing untuk membiayai kegiatan mereka. Malangnya, tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengawal penyaluran dana asing kepada NGO di negara ini.

Cabaran keempat: Penyaluran dana asing kepada parti politik pembangkang.
Banyak negara di dunia mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan jumlah dana asing yang diterima namun tidak pasti sama ada peraturan serupa diamalkan di Malaysia. Parti politik mesti telus dalam perkara ini agar pengundi boleh membuat pertimbangan sewajarnya. Mungkin pihak asing yang memberi dana itu ada kepentingan tersembunyi. Sekiranya parti politik yang menerima dana asing diberi mandat untuk memerintah, kerajaan yang dibentuk pasti terpaksa tunduk kepada telunjuk pihak luar.

Cabaran kelima: Persepsi negatif terhadap media arus perdana.
Dalam hal ini, Utusan Malaysia yang lantang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sejak 2008 dijadikan sasaran utama oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba menjatuhkan kredibiliti Utusan Malaysia dengan melabelkannya sebagai akhbar penyebar fitnah dan pembohongan serta bersifat perkauman. Kempen memburukkan nama Utusan Malaysia turut melibatkan media propembangkang.
Utusan Malaysia tidak gentar meneruskan perjuangan walaupun diancam dengan tindakan saman oleh pembangkang. Salah seorang peserta perbincangan turut menyarankan agar media arus perdana mengelakkan laporan berunsur spekulatif bagi mengembalikan keyakinan pembaca terutamanya golongan muda.

Cabaran keenam: Pakatan pembangkang lebih agresif dalam usaha menambah pengundi baharu.
Sepanjang Mei 2013, pendaftaran pengundi baharu oleh parti-parti komponen BN adalah sebanyak 516 orang (UMNO-449, MCA-43 dan MIC-24). Bilangan 524 pengundi baharu yang didaftarkan oleh DAP sahaja sudah mengatasi prestasi BN. Itu belum dicampur dengan pencapaian Pas dan PKR yang masing-masing mendaftarkan sebanyak 110 dan 65 pengundi baharu. Kesimpulannya, BN mesti mempergiatkan gerak kerja mendaftar pengundi baharu kerana kumpulan ini diunjurkan mempunyai peratusan yang tinggi dalam demografik pengundi PRU-14.

Cabaran ketujuh: Menarik pengundi atas pagar.
Antara 20 hingga 30 peratus pengundi di setiap kawasan Parlimen mengambil sikap berkecuali dengan tidak cenderung memihak kepada mana-mana parti. Bilangan pengundi atas pagar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih rendah, dianggarkan sekitar 10 hingga 15 peratus. Di kawasan bandar, pengundi atas pagar lazimnya membuat keputusan berdasarkan isu nasional manakala di kawasan luar bandar, keputusan mereka lebih dipengaruhi oleh isu peribadi.

Cabaran kelapan: Komitmen tinggi ejen tempat mengundi, ejen mengira undi dan ejen barong (PACABA) pakatan pembangkang.
PACABA pakatan pembangkang memainkan peranan yang agresif pada hari mengundi PRU-13. Mereka didakwa terlibat dalam menjayakan tohmahan warga Bangladesh keluar mengundi. Komitmen wakil-wakil BN dalam perkara ini dikatakan masih jauh ketinggalan berbanding pesaing mereka daripada pakatan pembangkang.

Cabaran kesembilan: Mendekati generasi Y yang berumur 21 tahun ke atas di kampus.
Pakatan pembangkang lebih hampir dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan mereka menganjurkan banyak program tidak formal bagi mencapai matlamat itu. Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang dilihat lebih mesra mahasiswa dan tidak terlalu terikat dengan protokol. Mereka sanggup bersembang dengan pelajar-pelajar IPT tempatan di warung-warung tepi jalan secara terbuka. Pemimpin-pemimpin BN pun menggunakan pendekatan serupa tetapi bilangan mereka boleh dibilang dengan jari. Turut dibangkitkan ialah kecenderungan BN menggunakan khidmat pelajar-pelajar universiti luar negara untuk berkempen sedangkan peranan pelajar-pelajar IPT tempatan dipinggirkan.

Cabaran ke-10: Mendekati jemaah masjid dan surau.
Sekali lagi, Pas mengatasi UMNO dalam cabaran ini. Kesannya, orang Melayu dan umat Islam yang sering mengimarahkan masjid dan surau lebih cenderung menyokong pakatan pembangkang.

Cabaran ke-11: Pengedaran akhbar-akhbar parti pembangkang iaitu Harakah, Suara Keadilan dan Roket tanpa sekatan.
Orang ramai bebas membeli ketiga-tiga akhbar terbabit di pasaran walaupun permit pengedaran dihadkan dalam kalangan ahli parti sahaja. Selain itu, pakatan pembangkang giat mengedarkan risalah-risalah politik kepada orang ramai secara berterusan.

Cabaran ke-12: Portal media 'online' oleh pakatan pembangkang dan NGO propembangkang.
Lambakan portal media 'online' propembangkang turut meningkatkan kegiatan menghentam kerajaan dan BN. Pengundi muda lebih gemar mendapatkan maklumat daripada media baharu ini walaupun laporannya tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Cabaran ke-13: Pertambahan kawasan baharu.
Pakatan pembangkang tidak mahu kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan SPR sejak merdeka dikekalkan. Mereka tetap membantah walaupun persempadanan semula mesti dilakukan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini dijangka menghadapi kesukaran memandangkan BN tidak menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Cabaran ke-14: Usaha menjatuhkan kredibiliti institusi awam.
Tiga institusi yang sering dijadikan sasaran serangan pakatan pembangkang ialah SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila rakyat khususnya bukan Melayu hilang keyakinan terhadap institusi berkenaan, mereka tidak lagi mempercayai kerajaan. Serangan dijangka lebih hebat menjelang PRU-14.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130628/re_05/14-cabaran-BN-menjelang-PRU-14#ixzz2Xax7ONcK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, May 29, 2013

Parti tunggal, siapa yang untung?



1.0 URA-URA mahukan satu parti politik sahaja, perlu dibuat kajian yang amat teliti, mendalam dan serius.Cadangan ini telah kita ketahui telah lama disarankan oleh parti Gerakan setelah mereka kalah dalam PRU-12.

2.0 Kita sebagai orang Melayu dan parti UMNO khasnya haruslah memikirkan dari segi untung ruginya jika satu parti sahaja diwujudkan iaitu Barisan Nasional (BN).

3.0 Sudah tentu tiada lagi UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PBB dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak!
Parti-parti ini umumnya berjuang dan berpaksikan kepada satu kaum atau bangsa dan aspirasi perjuangan bangsa sejak sebelum dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

4.0 Berdasarkan masyarakat majmuk di Malaysia, adakah cadangan ini baik atau menguntungkan orang Melayu dan Islam? Jika kita mahu mengambil contoh negara lain atau negara jiran terdekat seperti Thailand dan Filipina, mereka terdiri daripada kaum sama atau setidak-tidaknya mereka berfahaman dan menganut agama sama.

5.0 Di negara kita amat berbeza sekali kerana majoriti penduduk yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, manakala kaum minoriti orang Cina dan India pula yang berfahaman dan menganut agama yang berbeza.

6.0 Keputusan PRU-13 yang lepas kita telah menyaksikan berlaku tsunami orang Cina mengundi pembangkang terutama DAP.

7.0 Parti komponen BN terutamanya MCA dan Gerakan telah kalah teruk. Jika tanpa sokongan orang Melayu yang menjadi majoriti senyap, maka parti UMNO pun sudah lama 'bungkus'.

8.0 BN pun pasti rebah dan tumbang menyembah bumi jika tanpa bantuan orang Melayu, bumiputra Sabah/Sarawak dan segelintir orang India.

9.0 Jadi kita rasa jika sistem satu parti atau parti tunggal dipersetujui, maka yang untung bukanlah orang Melayu tetapi orang bukan Melayu atau orang Cina dan India!

10.0 Sejak PRU pertama selepas Merdeka, UMNOlah yang mempunyai calon ADUN dan Parlimen yang ramai kerana mewakili majoriti penduduk Malaysia.

11.0 Wakil UMNO yang menjadi majoriti dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Wakil UMNO yang menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan majoriti menteri-menteri kerajaan BN.
UMNO mendominasi dan menjadi tulang belakang parti Perikatan atau Barisan Nasional sekarang!
Jika hanya ada parti tunggal adakah perkara ini akan diteruskan?

12.0 Platfom manakah mereka mahu berkumpul dan bincang hal agenda Melayu seperti persidangan tahunan UMNO?

13.0 Adakah kita sudah menganggap agenda bumiputra sudah selesai? Cukup setakat ini sahaja kita tolong orang Melayu? Tahap ekonomi Melayu sudahkah mencapai 30 peratus?

14,0 Sudah tertubuhkah universiti berteknologi tinggi untuk anak-anak Melayu atau universiti UMNO?
Kita jangan lupa MCA dan MIC telah lama ada universiti dan institusi pengajian tinggi mereka sendiri!
Agenda mereka mungkin sudah selesai, kerana hampir keseluruhan perniagaan di negara ini telah dikuasai mereka! Apakah kita sudah mahu mentalkinkan UMNO sebagaimana yang ditunggu-tunggu oleh DAP?

15,0 Tanpa UMNO, adakah orang Melayu perlu pergi mengadu kepada Perkasa atau NGO-NGO Melayu lain?Atau orang Melayu akan kecewa dan beralih angin ke parti lain seperti Pas pula atau menubuhkan sebuah parti Melayu baru?

16.0 Persoalan-persoalan inilah yang perlu dijawab oleh pemimpin politik kita sebelum keputusan muktamad diambil. Beberapa tabung uji perlu dikaji dan diselidik dalam makmal yang akan ditubuhkan.
Patut diingat dengan adanya satu parti, maka pihak yang kalah dan minoriti akan sentiasa terselamat dan menjadi penumpang kepada parti lain lebih dominan iaitu UMNO!

17.0 Sekiranya wakil kaum ini tidak menang, tiada siapa pun boleh mempertikaikan kerana yang kalah adalah calon parti sama?

18.0 Jadi, apabila susunan Kabinet jemaah menteri dibuat, maka orang Cina dan India akan juga dilantik mengikut kouta yang dipersetujui walaupun mereka kalah teruk!

19.0 Bagaimanakah pula jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Jika telah dalam satu parti, maka orang Cina dan India juga berminat jawatan-jawatan tersebut. Apa alasan kita jika mengatakan mereka tidak layak?

20.0 Sedangkan mereka juga berada dalam parti sama? Apakah Perlembagaan Malaysia juga nanti perlu dipinda? Kita juga harus ingat adakah telah terjamin jika kita adakan parti tunggal, orang Cina akan mengundi BN nanti pada PRU-14?

21.0 Begitu juga orang Melayu, adakah mereka akan terus menyokong BN jika bukan lagi atas nama UMNO?


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130529/fo_02/Parti-tunggal-siapa-yang-untung#ixzz2Uf6iIY4C
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, February 5, 2012

Mana gula-gula saya ..!! oleh yusri harun



4 FEB —

1.0 Kebelakangan ini, galak sungguh pihak kerajaan pemerintah pimpinan Barisan Nasional memperkenalkan pelbagai inisiatif mudah, mesra kepada golongan yang pendapatan isi rumah mereka kurang daripada RM3,000. Saya tidak mempersoalkan tindakan tersebut malah menyokong segala inisiatif yang diadakan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah apabila diberi undi oleh rakyat, iaitu untuk memakmurkan kehidupan rakyat.

2.0 Namun, apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam keghairahan ini, telah tidak langsung meminggirkan golongan pertengahan tinggi yang merupakan golongan yang paling banyak membayar cukai pendapatan, cukai perkhidmatan dan merupakan pencarum kepada Skim Kumpulan Simpanan Pekerja.

3.0 Golongan pertengahan tinggi ini dikategorikan oleh kerajaan sebagai golongan mampu tetapi mereka sebenarnya terpaksa membayar segala bentuk perkhidmatan yang diperlukan seperti yuran asrama anak yang tinggi, kos makanan anak di asrama, bayaran bulanan pembelian rumah, tol, minyak, kenderaan, Astro, khidmat Internet, khidmat kesihatan hatta cukai perkhidmatan yang dikenakan kerajaan di restoran-restoran.

4.0 Mereka ini adalah pembayar cukai yang tinggi sehingga gaji bulanan yang dikategorikan sebagai tinggi dan mampu oleh kerajaan sebenarnya adalah rendah dan menyesakkan.

5.0 Namun, apa yang golongan ini dapat daripada pelbagai inisiatif kerajaan pemerintah pimpinan Barisan Nasional sekarang? Boleh dikatakan tidak ada langsung. Yang ada mungkin hanya wang RM100 untuk bantuan persekolahan anak dan baucer buku bernilai RM200 bagi anak-anak mereka yang belajar di universiti.

6.0 Perkhidmatan asas seperti bantuan penuh untuk anak-anak di asrama, pengecualian cukai perkhidmatan di restoran-restoran, diskaun tol dan diskaun perkhidmatan kesihatan patut diperkenalkan kerajaan bagi membantu golongan pertengahan tinggi ini dalam memastikan mereka juga patut menikmati hidup yang lebih makmur.

7.0 Kerajaan pimpinan Barisan Nasional patut sedar bahawa golongan pertengahan tengah inilah merupakan golongan pengundi yang celik hak dan mereka berupaya melakukan perubahan dalam PRU13 yang akan datang. Mereka patut diberi perhatian!

RAKYAT MARHAEN

http://www.themalaysianinsider.com/sideviews/article/mana-gula-gula-saya-yusri-harun/

zmsegamat kata:

golongan pertengahan tinggi termasuk lah warga bisnes yang menjalankan bisnes terutama golongan kontraktor yang berdaftar dengan pkk kelas F, pkk kelas E dan pkk kelas D.. dengar2 ada kontraktor pkk kelas D sejak tahun 2008 tidak pernah dapat apa-apa job dari kerajaan atau agensi kerajaan dan ramai yang akan golong tikar..

dan sekarang ini pula kerajaan sedang mengenakan tekanan pada kontraktor pkk kelas f dengan mensyaratkan semua permohonan pembaharuan kontraktor kelas f diwajibkan melalui program tapisan/proses pemutihan secara temuduga. (umpama nanti pemilik lesen memandu kena temuduga dulu apabila nak renew lesen) ini pun gula2ke

Saturday, February 5, 2011

TERIMA KASIH!...Dua perkataan yang cukup mudah.


Mesir : Apakah terlalu sukar ucap Terima Kasih!

Oleh: ROSLAN BIAN

TERIMA KASIH!...Dua perkataan yang cukup mudah.

Bagaimanapun,ianya terlalu berat untuk keluar dari mulut pemimpin pembangkang terutama PAS dan PKR walaupun mungkin ada anak mereka antara sedang diselamatkan kerajaan Malaysia ekoran insiden tunjuk perasaan anti Hosni Mubarak di Mesir.

Sebaliknya, macam-macam gambaran buruk diberikan ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Luar Kohilan Pillay ,Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Shahlan Ismail dan Kelab Putera 1 Malaysia yang diketuai Datuk Azeez Abdul Rahim bertungkus lumus dalam Operasi Piramid bagi mengeluarkan segera semua pelajar dan rakyat Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu.

Ini belum masuk bantuan pegawai ATM melalui TUDM, MAS dan Air Asia serta pegawai-pegawai Kementerian Luar.

Peliknya, ada yang sengaja sebar fitnah kononnya kos angkut pulang itu kena tanggung sendiri pelajar atau keluarga mereka sedangkan semua ditanggung kerajaan.

Ada pula marah-marah kerana pelajar itu tidak dibawa terus keluar ke Malaysia sebaliknya transit di Jeddah.

Mereka tidak terfikir berapa belas jam diperlukan bagi satu penerbangnn dari Mesir ke tanah air.

Itu belum ambil kira macam-macam masalah teknikal babitkan kelulusan menggunakan ruang udara jika pesawat tentera digunakan dalam operasi menyelamat tersebut..

Pastinya Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memikirkan semua dengan mendalam sebelum meluluskan operasi besar-besaran bagi memindahkan semua rakyat Malaysia.

Tapi sayang, bila usaha itu datangnya dari kerajaan Barisan Nasional walaupun baik, jarang dihargai pembangkang.

Kerajaan Kedah, Kelantan dan Selangor juga membisu dalam usaha menyelamat ini.

Malah di Selangor, kerajaan PKR sanggup membiayai kos perundangan bagi menyelamatkan Adun Seri Muda Suhami Shaifiei yang akan dihadapkan ke mahkamah Isnin ini atas tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Inilah perjuangan pembangkang yan sebelum ini cuba jadi jaguh rakyat dengan kononnya memperjuangkan hak rakyat negara ini tetapi akhirnya tembolok sendiri diutamakan.

Kekecohan di Mesir dan usaha menyelamat rakyat Malaysia dari negara itu memang tidak wajar dipolitikkan seperti kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katannya, yang penting semua rakyat Malaysia selamat.

“Bekalan makanan pun ada, cuma proses pemindahan memang memerlukan tempoh masa sedikit,” katanya.

Beliau berkata arahan perintah berkurung di Kaherah merumitkan usaha untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak menghargai usaha kerajaan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dan tidak mempolitikkannya.

“Saya tahu, ada pemimpin-pemimpin pembangkang mempolitikkan langkah kerajaan dengan mendakwa kita lambat dan sebagainya.

“Kerajaan Mesir yang dalam keadaan kucar kacir tidak mudah untuk respons kepada permintaan Malaysia sahaja kerana terdapat rakyat dari lebih 40 buah negara yang berusaha menyelamatkan rakyat masing-masing,” katanya.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia patut bersyukur kerana kerajaan sudah melaksanakan tugas sebaik mungkin mengeluarkan ahli keluarga mereka dari Mesir.

Sebenarnya, tidak sukar mengucapkan terima kasih.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob sendiri pun berat mulut untuk berterima kasih kepada kerajaan kerana usaha menyelamat itu.

Ketika ditanya, apakah terlalu berat mulut untuk pemimpin pembangkang mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan itu, Salahuddin menjawabnya dalam nada seorang pemimpin politik.

“Ini satu inisitif yang memang dharap dan ditunggu rakyat Malaysia. Apapun, kita ucapkan tahniah atas semua pihak yang beri komitmen. Kita harap dapat tingkat usaha kerana kita bimbang berlaku kebuluran apabila makanan tidak dapat dibeli dan mereka tidak dapat kembali ke tanah air. Terima kasih untuk semua,” katanya.

Beliau ditemui selepas demonstrasi menyerahkan memorandum anti Hosni Mubarak ke Kedutaan Amerika selepas solat Jumaat.

Katanya, PAS turut menghantar wakil dan memberikan derma yang berjaya dipungut sebelum ini.

“ Dalam hal ini saya rasa tidak ada sentimen politik. Tidak ada pelajar puak mana. Yan penting kita selamatkan semua atas semangat kita bersama,” ujarnya.

Salahuddin berharap MAS dan Air Asia meningkatkan juimlah pesawat yang digunakan untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir.

Mungkin ramai nak dengar komen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ini. -4/2/2011


(sumber;http://agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)

Datuk Seri Jamil Khir Baharom : Mesir: kos pindah pelajar pulang...semua PERCUMA


Mesir: kos pindah pelajar pulang...semua PERCUMA

Oleh: HELME HANAFI DARI KAHERAH

Semua kos pindah balik pelajar di Mesir pulang ke tanahair adalah PERCUMA.Para pelajar tidak akan dikenakan satu senpun bayaran penerbangan dan sebagainya.Ia ditanggong sepenuhnya oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam sidang akhbar di Kaherah jam 4 petang Jumaat (waktu Malaysia) kesal dengan fitnah yang disebarkan oleh pihak tertentu mendakwa kononnya para pelajar kena tanggong kos itu.

Katanya dalam waktu yang rumit di negara sedang bergolak dan tidak menentu itu sepatutnya semua pihak harus fokus kepada usaha memindahkan segera semua para pelajar dan rakyat Malaysia sebaliknya sekarang jenuh kena layan jawab fitnah segala macam.

Dalam pada itu rupa-rupanya ada juga para pelajar yang berkeras tidak mahu pulang ke Malaysia. Menyentuh hal ini Jamil menasihatkan ibubapa pelajar berkenaan mendesak anak-anak mereka pulang.

Ini katanya kerana keadaan amat tidak menentu di Mesir sekarang.

Menteri itu berkata bagi para pelajar yang tidak mahu pulang juga soal keselamatan adalah tanggungan mereka sendiri.

Mengenai proses memindahkan pelajar, beliau memberitahu kapal Bunga Mas TLDM mungkin tidak akan digunakan.

Sebaliknya jumlah pesawat ditambah jadi MAS 3 buah, Air Asia 2 manakala TUDM 3.

Katanya hari ini dijangka seramai 3,000 lagi pelajar akan diterbangkan ke Jeddah.

Semalam jumlah yang sudah ke sana ialah 760 orang. - 4/2/2011

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_f2e513e6-7f000010-2cbbb200-164a5168)

Wednesday, December 8, 2010

Juara MCA atau juara rakyat?


Juara MCA atau juara rakyat?

Oleh DATUK DR. PUAD ZARKASHI

1.0 Dalam Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulas panjang mengenai winnable candidate. Menurut beliau, calon tersebut tidak semestinya popular di dalam parti, tetapi popular dalam kalangan rakyat. Calon seperti itu akan diberi keutamaan. Justeru, Najib memberi amaran, jangan pilih calon hanya untuk menguatkan kedudukan presiden parti, sedangkan calon itu tidak menang dalam pilihan raya.

2.0 Pepatah Melayu mengatakan, siapa makan cili maka dialah yang terasa pedasnya. Dalam konteks ucapan Najib itu, semua pemimpin komponen di atas pentas bertepuk tangan tanda bersetuju dengan Najib, hanya Soi Lek yang tidak senyum dan tidak bertepuk tangan. Kenapa?

3.0 Terpilihnya Dewan San Choon milik MCA sebagai tempat berlangsungnya Konvensyen BN menunjukkan kesungguhan BN untuk bermuafakat. Malangnya tanpa mengira sensitiviti pihak lain, Soi Lek meminta secara terbuka supaya UMNO tidak bersikap seperti 'Big Brother'. Dalam BN katanya, tidak ada abang sulung atau adik bongsu.

4.0 Dia juga menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan 'Ketuanan Melayu' kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan. Dia turut meminta supaya sebarang polisi jangan diumum dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO.

5.0 Kalau Soi Lek berkata demikian untuk tujuan menguatkan kedudukannya dalam kalangan ahli MCA dan menjadi popular hanya di dalam partinya, maka ia sudah bercanggah dengan apa yang disarankan oleh Najib. Sikap beliau tidak selari dengan presiden parti-parti komponen yang lain.

6.0 Apa yang beliau katakan itu adalah 'unnecessary.' Tidak patut dan tidak perlu. Menunjuk keberanian di hadapan penyokong atas isu yang tidak wujud, tidak berbangkit dan tidak relevan amatlah tidak wajar dan tidak bijaksana.

7.0 Apakah UMNO bersikap 'big brother' yang mendiskriminasi dan menzalimi parti-parti komponen yang lain. Sudah tentu tidak. Sebab itu UMNO sanggup mengorbankan banyak kerusi yang majoriti Melayu untuk ditandingi oleh calon dari parti komponen lain seperti MCA dan Gerakan. Lihat sahaja di Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Air Hitam, Labis, Simpang Renggam dan lain lain.

8.0 Secara kebetulan kerusi yang dimenangi oleh UMNO lebih banyak, maka atas prinsip BN yang mengutamakan konsensus, permuafakatan dan rundingan, maka Presiden dan Timbalan Presiden UMNOlah yang menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Itulah yang dipersetujui sekian lama.

9.0 Tidak wujud soal buli atau abang sulung yang zalim. Semuanya atas dasar muafakat sebab itu bukan mudah untuk mengagihkan kerusi dalam kalangan parti-parti komponen yang begitu banyak.

10.0 Dan bukan mudah pula untuk mengagihkan kerusi anggota Kabinet walaupun ada parti tersebut kehilangan banyak kerusi dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke-12 termasuk MCA.

11.0 Dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor walaupun ada desakan daripada pemimpin UMNO Bahagian, kerusi itu tetap diserahkan kepada MIC dan UMNO bekerja kuat untuk memastikan kemenangan Kamalanathan. Dan ini turut dibuktikan di Batu Sapi. Walaupun Timbalan Ketua PBS Batu Sapi adalah Bumiputera Islam dan kawasan itu majoriti Bumiputera Melayu, namun calon berketurunan Cina daripada PBS tetap diberi keutamaan.

12.0 Bahkan untuk menyelamatkan BN, UMNO segera melakukan transformasi parti. Bukan untuk kepentingan UMNO seorang tetapi untuk kesinambungan tradisi perjuangan BN. Walaupun program Juara Rakyat kurang dapat dokongan daripada beberapa rakan tertentu dalam BN, tetapi UMNO tidak pernah patah semangat untuk meneruskan dan menjayakannya.

13.0 Soi Lek harus melihat pendedahan Pengerusi SPR mengenai trend daftar pemilih yang mana DAP lebih agresif berbanding dengan MCA. Apakah ia berpunca kerana UMNO bersikap 'big brother'?

14.0 Mengenai Ketuanan Melayu, istilah ini timbul apabila Datuk Abdullah Ahmad bekas Ahli Parlimen Kok Lanas membentangkan kertas kerja di Singapura. Dia menyebut tentang Malay dominance yang diterjemahkan oleh media sebagai Ketuanan Melayu. Seorang penulis bukan Melayu pada tahun 2007 juga menulis mengenai 'Malay Hegemony' dan 'Malay Supremacy'. Ia turut diterjemahkan sebagai Ketuanan Melayu.

15.0 Kenapa Soi Lek mahu melihat konsep itu dalam kerangka barat yang dikaitkan dengan 'Lord and Serf' atau 'Master and Slave'. Orang Melayu melihat Ketuanan Melayu dalam kerangka pemikiran orang Melayu yang berkaitan dengan bahasa, budaya, agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu dan semuanya itu dengan jelas termaktub dalam Perlembagaan Negara.

16.0 Ia sama dengan perjuangan Soi Lek mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Bahasa Mandarin dan terbaru mengenai pengiktirafan sijil UEC. Apakah itu bukan perjuangan 'Ketuanan Cina'? Maka kenapa pemimpin seperti Soi Lek mahu mempolimikkannya. Ketuanan Melayu tidak ada kena mengena langsung dengan konsep 'supremacy' atau 'hegemony'. Soi Lek patut menyalahkan dirinya sendiri kerana terperangkap dengan konsep yang cuba diputarbelitkan oleh Anwar Ibrahim.

17.0 Ketuanan Melayu tidak menghalang pun kaum bukan Melayu berniaga, membeli tanah, termasuk hartanah. Kalau UMNO bersikap 'big brother' dan Ketuanan Melayu itu zalim, bagaimana pula orang Cina lebih dominan berbanding dengan orang Melayu dalam bidang perniagaan?

18.0 Oleh itu, di mana soal hamba dan tuan, atau 'big brother' yang arrogant yang dimaksudkan oleh Soi Lek itu? Untuk memastikan kemenangan BN, apakah keutamaan beliau. Menjadi popular hanya dalam kalangan penyokong parti atau dalam kalangan rakyat keseluruhannya? Di situlah kejayaan Najib. Beliau serius mahu rakyat didahulukan. Menjadi juara rakyat adalah keutamaan.

19.0 Sebab itu undi BN semakin meningkat di Manek Urai, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Galas dan Batu Sapi. Itu tanda mereka menyokong kesungguhan Najib.

20.0 Semoga Presiden MCA itu tidak terperangkap dengan Anwar. Pada 14 April 2008 Anwar mengisytiharkan PKR menolak Ketuanan Melayu dan digantikan dengan Ketuanan Rakyat. Dulu dialah yang lantang bercakap mengenai Ketuanan Melayu. Sekarang dia mengaitkan Ketuanan Melayu dengan konsep tuan dan hamba. Dia cuba membunuh UMNO dengan cara tersebut.

Sedangkan dialah yang mempraktikkan dasar tuan dan hamba dalam PKR. Apakah Soi Lek tidak nampak itu semua?

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm)

UMNO bertindak sebagai nakhoda Barisan Nasional

UMNO bertindak sebagai nakhoda Barisan Nasional
Oleh Nazura Ngah dan Mohd Zaky Zainuddin
bhnews@bharian.com.my
2010/12/08
Pemimpin nafi wujud istilah abang besar, adik dalam parti

KUALA LUMPUR: UMNO menolak dakwaan wujud 'big brother' dan 'small brother' dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya pengaruh, kuasa dan haknya sebagai parti terbesar dan terkuat dalam gabungan itu kerana memiliki kerusi terbanyak di Parlimen memberinya pengaruh serta kuasa yang setimpal.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata politik adalah perjuangan berasaskan bilangan, kepentingan dan kedudukan Presiden UMNO selaku Perdana Menteri yang tidak boleh disamakan dengan presiden parti lain dalam BN.

“Memang tidak ada istilah 'abang besar' dalam BN tetapi Pengerusi BN tetap memiliki 'residual power' (kuasa lebihan) dan 'residual influence' (pengaruh lebihan) dari sudut perundangan dan kekuatan legislatif, dua ciri yang Dr Chua (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan partinya (MCA) tak ada.

“Sejak Tunku Abdul Rahman hingga Najib, ia tidak pernah hilang atau digadaikan. Oleh itu kuasa Perdana Menteri selaku ketua kerajaan dan Presiden UMNO tidak terjejas dan tak pernah hilang.

“Pendapat Dr Chua itu adalah pendapat egalitarian (orang yang mendukung fahaman egalitarisme (fahaman bahawa semua orang sama rata) dan bersifat sosialisme tanpa mengambil kira fakta dan sejarah Parti Perikatan dan BN selama ini,” katanya.

Ahad lalu, Dr Chua ketika berucap di Konvensyen BN, menyarankan amalan ‘big brother’ (UMNO) atau `small brother’ (parti komponen lain) dalam BN dihapuskan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata BN memerlukan seorang pemimpin yang bertindak sebagai nakhoda dan pemimpin itu adalah Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO tetapi pada masa sama UMNO mendengar suara parti komponen lain.

“Kita perlu bersama membina negara ini. BN adalah barisan 1Malaysia,” katanya yang menyifatkan persepsi `big’ atau `small brother’ itu mungkin disebabkan UMNO mewakili Melayu dan Bumiputera iaitu dua pertiga atau 67 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini.

Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, berkata Wanita BN akan meneliti saranan itu secara serius kerana ia menggambarkan rasa tidak puas hati parti lain terhadap peranan UMNO dalam BN.

Sambil menolak wujudnya konsep ‘big’ atau `small brother’ dalam BN, Kamilia berkata peranan UMNO sebagai `nakhoda’ mengemudi BN diiktiraf sejak dulu lagi.
“UMNO tidak pernah membuli atau bertindak sebagai abang,” katanya.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata UMNO sentiasa menghormati parti komponen lain yang turut memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

“UMNO juga tidak pernah menganggap dirinya sebagai `big brother’ dan parti komponen lain sebagai ‘small brother’,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata konsep abang dan adik hanya persepsi, sebaliknya dalam BN istilah ketua atau nakhoda adalah lebih tepat untuk menggalas tugas menjaga satu keluarga besar.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNObertindaksebagainakhodaBarisanNasional/Article)

Monday, December 6, 2010

‘Rakyat didahulukan’ dalam penentuan calon BN untuk PRU 13


‘Rakyat didahulukan’ dalam penentuan calon BN untuk PRU 13

Mereka yang berhajat nak jadi calon Barisan Nasional untuk pilihanraya umum ke 13 nanti kenalah pandang kiri kanan dan ukur diri samaada mereka popular dikalangan orang kawasan atau tidak.

Ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak kata kali ini BN menentukan pilihan calon berdasarkan kehendak rakyat dan bukan ikut selera politik.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas Konvensyen BN di Wisma MCA petang Ahad sebagai menjawab soalan samaada BN akan memastikan ‘ rakyat didahulukan’ dalam menentukan kriteria calon yang akan dipilih kelak.

‘‘Asas pokok, kita perlu mengutamakan konsep rakyat didahulukan dalam serba-serbi sama ada di peringkat tertinggi mahupun akar umbi.

‘‘Dengan cara ini sahaja yang akan dapat menambahkan keyakinan dan sokongan rakyat kepada BN,” katanya.

Hal ini dianggap penting memandangkan didapati antara sebab kekalahan banyak calon BN semasa PRU ke 12 lalu adalah kerana faktor calon.

Antara mereka diletak juga atas kehendak politik kalangan parti komponen dan atas faktor cable dengan pihak atasan.

Sedangkan calon-calon berkenaan diketahui kurang disenangi oleh penduduk tempatan.

Menyentuh tentang soal kuota kerusi antara parti komponen,Najib menjelaskan perkara berkenaan akan diputuskan menerusi rundingan nanti atas semangat BN.

Kepada soalan lain,Perdana Menteri berkata konvensyen yang diadakan kali ini tidak semestinya kerana pilihanraya.

Menurutnya ia sebagai usaha berterusan untuk memantapkan BN.-5/12/2010

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_b8726503-7f000010-1d956ad0-befe7f03)

Saturday, June 5, 2010

Nukilan Husin Lempoyang: Sibu: Kenapa kita kalah (Bhg 2)?

Isnin, Mei 24, 2010
Kenapa kita kalah (Bhg 2)?



Bilik 1301 Hotel Katarina kini salah satu tarikan pelancungan Batu Pahat

Chua Soi Lek salahkan Perkasa

KUALA LUMPUR Mei 19 - Presiden MCA, Dato Dr Chua Soi Lek menyalahkan Perkasa atas kekalahan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil di Sibu.

Dr Chua yang pernah menuduh Perkasa atas keengganan pengundi Cina di Hulu Selangor mengundi BN diberitahu wartawan bahawa antara timbal balas yang diterima adalah pengundi Cina suka calun muda BN, P Kamalanathan tapi enggan memberi undi kepada BN kerana mahu mengajar MCA.

Beliau menafikan maklumat tersebut dan menganggapnya tidak tepat kerana pengundi tersebut berada dalam keadaan kurang jelas kerana diberi terlebih minuman bir oleh Perkasa.

Wartawan turut bertanya pula mengenai khabar bahawa ada sabotaj antara pengikutnya dan ADUN MCA di Batang Kali. Dr Chua turut menafikan bahawa ini adalah khabar angin yang disebarkan oleh Perkasa.

Ditanya berkenaan peranan Perkasa di Sibu yang menyebabkan beliau menyalahkan Perkasa atas kekalahan BN di Sibu, Dr Chua memperakui Perkasa tidak terlibat dalam PRK Sibu tapi menyalahkan kewujudan Perkasa di Semenanjung.

Katanya sebagai Presiden MCA, beliau berhak menuduh sesiapa yang beliau suka. Beliau perlu bersikap arrogan dan menolak kenyataan untuk menunjukkan MCA masih releven.

Bila diberitahu wartawan bahawa 12 dari 15 kerusi Parlimen yang dipegang MCA adalah kerusi ehsan yang diberi oleh UMNO, Dr Chua akhirnya mengaku MCA tidak ada sokongan dari kaum Cina.

Namun begitu, Dr Chua masih bertegas menyeru UMNO yang berubah dan bkan MCA, kerana beliau menganggap dirinya sama taraf dengan Dato Seri Najib, Presiden UMNO.

Tan Sri Muhyiddin yang merupakan Timbalan Pengerusi BN pun bawah dia kerana dia perlu bersikap angkuh untuk mengekalkan releven MCA.

Akhir katanya, "Saya telah buktikan keupayaan kejantanan saya berbanding dengan semua pemimpin-pemimpin UMNO." - Agensi Husin Lempoyang
Nukilan Husin Lempoyang Pada 11:30 AM

(sumber;http://the-antics-of-husin-lempoyang.blogspot.com/2010/05/kenapa-kita-kalah-bhg-2.html)

Tuesday, May 18, 2010

Syed Ali cadangkan tubuh ‘bank data BN’


Tuesday, May 18, 2010
Syed Ali cadangkan tubuh ‘bank data BN’ kumpulkan isu tempatan dan aduan rakyat
BARISAN NASIONAL (BN) disarankan supaya menubuhkan ‘bank data’ di peringkat bahagian dan cawangan bagi mengumpul pelbagai aduan rakyat dan isu-isu tempatan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee ketika mengusulkan cadangan tersebut berkata, penubuhan ‘bank data’ itu penting bagi mengenalpasti sikap dan gerakkerja anggota komponen BN.

“Dari situ, kita boleh kenalpasti samada anggota BN benar-benar ikhlas berkhidmat untuk parti dan bekerja untuk rakyat ,” tegasnya.

Beliau berkata, kegagalan BN mempertahankan kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Kecil baru-baru ini jelas membuktikan kalangan anggota komponen BN gagal berfungsi mengikut kehendak pengundi.

“BN ternyata gagal memahami kehendak pengundi disamping tidak berupaya untuk menangkis pelbagai isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang terutama pada saat-saat akhir hari pengundian,” tegasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berpendapat, dengan adanya ‘bank data’ tersebut, segala permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk setempat dapat diselesaikan secara pro-aktif.

“Kita tidak mahu apabila berlakunya satu-satu pilihan raya, maka kerajaan akan berikan pelbagai bantuan untuk mengatasi masalah rakyat, tetapi bantuan itu diputarbelitkan oleh pembangkang kononnya BN amalkan politik mee segera,” ujarnya.

Tambah menyedihkan kata beliau, bantuan segera yang membabitkan peruntukan jutaan ringgit yang disalurkan oleh kerajaan seperti peruntukan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SRKC) langsung tidak dihargai dan pengundi tetap memilih calon pembangkang.

“Kita sudah lihat bagaimana kira-kira 70 peratus pengundi Cina menolak calon BN walaupun sebelum itu pelbagai peruntukan diberikan kerajaan, sepertimana berlaku di Hulu Selangor dan Sibu,” katantya.

Dalam hubungan ini, Syed Ali mencadangakn kerajaan BN supaya menukar strategi dengan tidak lagi memberikan bantuan segera, sebaliknya disalurkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Cadangan tersebut jelasnya, bukan bermakna kerajaan BN mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi sebagai satu pengajaran supaya pengundi tahu berterima kasih kepada kerajaan yang sebelum ini telah banyak membantu mereka.

Mengambil contoh dengan apa yang berlaku di Sibu baru-baru ini, beliau menjelaskan hanya kira-kira 15 peratus sahaja pengundi Cina yang memihak kepada calon BN.

Mengenai kekuatan UMNO menghadapi pilihan raya akan datang, beliau menegaskan UMNO harus mengubah pendekatan dengan mensasarkan perhatian kepada pengundi Melayu.

“Mahu tidak mahu, UMNO harus mencari alternatif untuk segera berubah bagi mengelak berlakunya kemerosotan undi disamping sikap pengundi yang tidak mahu keluar mengundi,” tegasnya.

Posted by syed ali alhabshee at 1:39 PM

(sumber;http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2010/05/syed-ali-cadangkan-tubuh-bank-data-bn.html)

Monday, December 21, 2009

Info Corner: Eloklah Kalau PM Buat Kenduri Kesyukuran


Friday, December 18, 2009

Eloklah Kalau PM Buat Kenduri Kesyukuran

Peristiwa yang berlaku pada malam 14 Disember 2009 dalam sidang Dewan Rakyat haruslah dilihat sebagai suatu “rahmat” bagi pucuk kepimpinan YAB Perdana Menteri kita.

Setinggi tinggi lafaz kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah swt kerana TIDAK menjadi kenyataan bahawa kerajaan Barisan Nasional yang bertahta puluhan tahun hampir hampir ditukarkan atas dasar masalah teknikal dan rakyat sudah pasti akan terpinga pinga sekiranya Anwar Ibrahim duduk dikerusi Ketua Kerajaan manakala Datuk Seri Najib pula memanaskan kerusi Ketua Pembangkang…….

Berita ini tidaklah menjadi kecoh oleh media utama negara ini kerana mungkin tidak mahu rakyat menjadi panik dan diwaktu yang sama golongan atas pagar boleh melihat dengan jelas bahawa TIDAK mustahil untuk Anwar Ibrahim melantik Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri seandainya wakil rakyat BN tewas melalui proses kiraan undi kepada wakil rakyat Pakatan dalam meluluskan Bajet 2010 yang telah dibentangkan oleh Najib Tun Razak.

Menurut laporan yang disediakan oleh portal Agendadaily, keadaan boleh dikatakan cemas juga sehinggakan sms terpaksa dihantar kepada kesemua wakil rakyat masing masing tidak kira samada dari BN mahupun Pembangkang agar segera datang ke Parlimen untuk proses pengundian..!

Walaupun kerajaan Najib-BN kekal setelah menang tipis iaitu beza 3 undi, namun pada hakikatnya untung nasiblah yang sebenarnya menyelamatkan Najib untuk terus kekal sebagai PM kita. Dalam erti kata lain belum ada REZEKI buat Anwar Ibrahim menjadi Ketua Kerajaan yang sah….

Ini jelas daripada peratusan kehadiran wakil rakyat kedua dua belah pihak. Marilah kita buka mata kita seluas luasnya dan lihat sendiri bahawa peratusan kehadiran wakil BN hanyalah 48% sahaja dikira 66 daripada 137 yang hadir. Peratusan wakil Pakatan pula jauh lebih tinggi iaitu 78% dikira 63 daripada 82 ahli Parlimen mereka.

Disini timbul persoalan kemana perginya begitu ramai ahli Parlimen BN setelah mereka diberikan mandat oleh rakyat..? Coffee House..? Bermain golf..? Bercuti keluar negara..? Berehat di SPA..?

Blog Medan Info Kita mohon jasa baik YAB PM Datuk Seri Najib untuk segera siasat kenyataan Ketua WHIP Pakatan, Azmin Ali yang mendakwa beliau ada maklumat bahawa terdapat ramai wakil rakyat BN sebenarnya memboikot dan sengaja tidak mahu bajet 2010 yang dibentangkan oleh YAB PM itu mendapat kelulusan sidang Dewan Rakyat.
Kenyataan Azmin dipetik daripada laporan Sinar Harian, KLIK sini.

Seterusnya dimaklumkan bahawa Blog Medan Info Kita sudah ada senarai wakil rakyat BN yang tidak hadir pada malam tersebut setelah meneliti senarai penuh Ahli Parlimen. Cuma sekarang ini sedang dikemaskinikan gambar gambar mereka yang akan disiarkan pada posting akan datang untuk tatapan pengundi mereka dikawasan masing masing….

Terserahlah apa pun tafsirannya serta alasannya. Daripada senarai itu nanti akan terpampanglah wajah wajah seramai 18 Menteri, 12 Timbalan Menteri dan selebihnya adalah wakil rakyat tidak berjawatan dalam kabinet.

Sudah pasti ada dikalangan mereka terlibat dengan tugas tugas rasmi kementerian masing masing. Namun begitu persoalannya apakah pada hari tersebut kesemuanya terlalu sibuk sehinggakan kehadiran mereka sebagai wakil rakyat tidak penting..??

Pakatan Pembangkang dibawah telunjuk Anwar sudah pun bertindak dan mana mana wakil rakyat mereka yang tidak hadir ke Parlimen pada malam tersebut telah diarahkan memberi surat TUNJUK SEBAB, boleh baca artikel daripada portal pro Pakatan, KLIK sini.

Apakah YAB Datuk Seri Najib tidak teringin mendapatkan penjelasan berupa surat TUNJUK SEBAB daripada 52% wakil rakyat BN yang "HILANG" pada malam tersebut..??

Barangkali Najib boleh berpesan kepada mereka untuk memilih destinasi Coffee House atau Golf Club yang berhampiran dengan Parlimen agar dapatlah segera datang sekiranya ada lagi Emergency Call selepas ini...

Tungguu…!!
Posting seterusnya diblog ini akan menyiarkan kesemua wajah wajah wakil rakyat BN yang TERponteng dan hampir hampir menobatkan Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim yang sudah tentunya akan mengisi kerusi nombor satu kerajaan 1 MALAYSIA sekiranya BN tewas dalam proses undian meluluskan Bajet 2010 ….

Posted by Medan Info Kita at 3:40 PM

(sumber;http://medan-info-kita.blogspot.com/2009/12/eloklah-kalau-pm-buat-kenduri.html)

zmsegamat kata: harap Ahli Parlimen BN yang tidak hadir dapat beri TUNJUK SEBAB kerana zmsegamat bimbang peristiwa ini akan di putarbelitkan oleh pembangkang dan juga musuh-musuh politik Ahli Parlimen BN tersebut.

Monday, April 13, 2009

Siapa sebenar bersalah?

ARKIB : 12/04/2009
Siapa sebenar bersalah?

Zulkiflee Bakar

MUNGKIN ketika ini semua orang masih bercakap soal pembentukan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lalu, namun begitu ini tidak bermakna pembentukan Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut harus melupakan apa yang berlaku dua hari sebelumnya, iaitu tiga pilihan raya kecil yang diadakan di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Air.

Mungkin untuk menyedapkan hati, kita boleh menggunakan istilah status quo kerana BN berjaya mengekalkan kerusi di Batang Air, Pas di Bukit Gantang dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Bukit Selambau. Malah untuk menenangkan fikiran juga kita boleh menganggap kegagalan BN untuk merampas kerusi berkenaan kerana rakyat terpedaya dengan dakyah-dakyah pembangkang serta untuk menyejukkan perasaan kita boleh menganggap pembangkang meletakkan calon yang hebat seperti mana berlaku di Bukit Gantang.

Tetapi faktanya, kekalahan di dua kerusi itu telah menunjukkan dengan jelas bahawa BN masih belum mampu menarik kembali sokongan rakyat terutamanya bukan Melayu dan lebih penting lagi, kedua-dua kawasan yang tewas itu adalah kerusi tradisi milik BN. Malah kekalahan BN itu juga memungkinkan pembangkang membuat teori songsang mereka bahawa kepimpinan baru BN ditolak oleh rakyat.

Oleh itu sementara kita begitu menaruh harapan bahawa Kabinet Rakyat yang baru ditubuhkan mampu mengembalikan keyakinan rakyat kepada BN tetapi dalam masa yang sama BN juga perlu mengkaji semula pendekatan kempen yang digunakan.

Mungkin benar kata sesetengah pemimpin komponen BN bahawa sekarang bukanlah masanya untuk menuding jari tetapi persoalannya apakah mereka juga belajar daripada kelemahan masa lalu? Bagaimana mungkin segala permintaan yang dikehendaki oleh pengundi bukan Melayu sudah dipenuhi tetapi undi tidak juga dilontarkan kepada BN?

Selama ini komponen BN mungkin berasa selesa kerana setiap kali kekalahan berlaku dalam pilihan raya kecil ia dikaitkan dengan masalah dalaman UMNO tetapi di Bukit Gantang ia membuktikan sebaliknya apabila UMNO berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu biarpun tiada peruntukan sebanyak RM1 juta diberikan kepada kaum berkenaan, tetapi kaum lain yang mendapat peruntukan sebanyak itu tetap juga menolak BN.

Ini sekali gus membuktikan bahawa masalah utama bukanlah BN itu sendiri tetapi komponennya seperti MCA dan Gerakan yang seolah-olah terus ditolak oleh masyarakat Cina. Hujah mengatakan bahawa MCA tidak mempunyai wakil rakyat di kawasan Bukit Gantang sejak tahun 1970-an adalah satu hujah dangkal yang hanya menampakkan bahawa di kalangan pemimpin parti itu masih lagi dijangkiti sindrom penafian. Apakah dengan kenyataan sedemikian ia bermakna kalau MCA berada dalam suatu kawasan ia akan membantu memberi kemenangan kepada BN, bagaimana pula dengan kawasan yang ditandingi oleh MCA sejak berkurun-kurun tetapi akhirnya tetap tewas?

Senario yang sama juga berlaku di Bukit Selambau apabila, pengundi-pengundi India seolah-olah mendapat keistimewaan apabila sebuah sekolah di kawasan berkenaan menjadi sekolah pertama mendapat peruntukan daripada pakej rangsangan ekonomi, tetapi kesudahannya BN tewas juga dan pengundi India tetap berpihak kepada pembangkang biarpun pembangkang tidak perlu mengeluarkan satu sen pun bagi meraih undi.

Semua keadaan ini telah menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena kepada parti-parti komponen BN dalam usaha menarik pengundi bukan Melayu untuk kembali menyokong parti kerajaan tersebut.

Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama BN seolah-olah dipermainkan oleh pengundi bukan Melayu biarpun segala tuntutan mereka sudah dipenuhi ketika kempen pilihan raya berlangsung. Di Kuala Terengganu, BN mengalami nasib yang sama apabila pengundi bukan Melayu tidak mengundi BN walaupun pelbagai peruntukan diberikan.

Justeru sudah tiba masanya BN mengkaji semula pendekatan terlalu melihat sesuatu kaum itu sebagai pengundi penentu sehinggakan mereka perlu dijaga bagaikan menatang minyak yang penuh. Kita bukannya berhasrat mahu mendesak BN supaya tidak bertindak adil kepada kaum berkenaan tetapi mereka juga harus memahami erti membalas budi.

Adalah lebih baik jika peruntukan yang banyak diberikan kepada pengundi termasuk bukan Melayu di sesuatu kawasan yang sentiasa menyokong BN sejak dulu, kini dan selamanya atau kepada pengundi Melayu yang semakin menampakkan sokongan kembali mereka kepada BN.

Pemberian peruntukan segera semata-mata untuk mendapatkan undi dan memberikan apa sahaja yang kehendaki oleh sesetengah golongan pengundi akhirnya hanya akan merugikan BN sendiri. Ia kerana adalah jelas apabila keputusan diumumkan BN bukan sahaja tewas malah di peti undi yang mendapat peruntukan atau perhatian khusus parti itu, ia turut dikuasai oleh pembangkang seperti mana berlaku di Bukit Gantang.

Bagi UMNO pula, pendekatan kempen juga perlu diubah, sikap berasa angkuh apabila bersama-sama dengan menteri ketika kempen atau masuk ke kampung-

kampung dengan kereta mewah harus dihentikan. Ini sudah berlaku di Kuala Terengganu tetapi ia berulang kembali di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Lebih malang lagi ada sesetengah yang merasakan diri mereka ahli politik yang mengiringi menteri turut melakukan tingkah laku yang menimbulkan perasaan benci di kalangan pengundi. Ini berlaku di Bukit Selambau, apabila ada antara mereka bercakap angkuh di hadapan orang ramai tanpa menyedari bahawa perbuatan itu turut menjadi perhitungan kepada pengundi dalam membuat keputusan.

Mungkin ramai tertanya-tanya di manakah semangat berkempen yang begitu berkobar-kobar ketika pemilihan parti tetapi ia luntur apabila turun ke gelanggang pilihan raya.

Jika untuk berkempen merebut jawatan dalam parti, pemimpin-pemimpin UMNO bersedia mengeluarkan wang sendiri bagi meraih sokongan tetapi apabila hendak menggerakkan jentera pilihan raya, bilik gerakan akan sunyi sepi kalau wang peruntukan daripada UMNO pusat tidak turun. Semua ini menampakkan dengan jelas bahawa semangat berkorban untuk parti masih rendah.

Sebenarnya, kekalahan di kedua-dua bukit itu tidak termasuk di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu seharusnya memberi pengajaran kepada BN bahawa mereka perlu memikirkan dengan serius pendekatan untuk mengambil semula hati rakyat. Ini bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi dengan pendekatan agresif pembangkang yang menghalalkan apa juga cara asalkan mereka mencapai kemenangan dalam pilihan raya.

BN tidak boleh selama-lamanya menguar-uarkan bahawa mereka pilihan terbaik tetapi dari segi pendekatan kempen dan tindakan ia menampakkan keadaan sebaliknya.

Berdasarkan hakikat itu, kekalahan di dua bukit tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana adalah tidak mustahil selepas ini akan ada lagi pilihan raya kecil, sebelum disusuli dengan perhitungan akhir dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

BN perlu kembali kepada pendekatan berkempen suatu ketika dahulu iaitu hanya menaburkan janji dan kemudiannya menunaikannya apabila kemenangan sudah berada dalam genggaman dan bukannya beri dahulu tetapi undi entah ke mana.

Seperkara lagi, sikap sesetengah parti komponen BN yang meninggalkan suatu kawasan selepas kalah dalam pilihan raya juga harus dihentikan. Ini kerana mereka tidak boleh hanya menunjukkan muka apabila pilihan raya diadakan sahaja.

Inilah yang berlaku di Bukit Selambau apabila komponen BN langsung tidak turun ke kawasan itu selepas tewas dalam pilihan raya umum lalu, mereka hanya hadir apabila pilihan raya kecil hendak diadakan. Kalau mereka mendakwa wakil rakyat pembangkang tidak buat kerja, apakah sepanjang tempoh itu ada pemimpin BN setempat yang turun berkhidmat untuk rakyat?

Parti-parti komponen BN terutamanya MCA, MIC dan Gerakan mempunyai tanggungjawab berat untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu kepada BN. Mereka tiada alasan lagi kerana sudah banyak tindakan dilakukan oleh kerajaan bagi memuaskan hati golongan itu dan terbaru, MCA dan Gerakan yang tidak mencatatkan prestasi cemerlang serta gagal meraih undi di Bukit Gantang diberikan kuota kerusi Kabinet yang agak memberangsangkan.

Jangan sampai, apabila BN kalah lagi dalam pilihan raya kerana bukan Melayu tidak menyokong parti itu akan ada tanggapan bagaimana mungkin ‘sebuah syarikat yang rugi turut diberi bonus.’

Kini segalanya terserahlah kepada BN menentukan strategi seterusnya, apa yang pasti sebarang perubahan pendekatan perlu dilakukan mulai sekarang dan bukannya membiarkan ia berlanjutan dalam pilihan raya-pilihan raya seterusnya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0412&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm)