Sunday, March 07, 2010
Ridhuan Tee: Menghargai toleransi peribumi
Mingguan Malaysia 7 Februari 2010
Menghargai dan membalas toleransi pribumi
1.0 Sekali lagi isu bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri (PM) dibangkitkan oleh beberapa sarjana Melayu Islam. Kesempatan dan peluang ini disebar luaskan oleh laman-laman web ultra kiasu dan mereka anti Islam. Saya tidak pasti apakah muslihat serta maksud tersurat dan tersirat di sebalik membangkitkan perkara ini. Kalaupun benar bukan Melayu boleh menjadi PM, tidak perlu dibangkitkan kerana ia sukar menjadi realiti, apatah lagi ia menyentuh sensitiviti bangsa pribumi ini. Lagipun pada saya, orang kanan selepas Melayu adalah bumiputera Sabah dan Sarawak, bukannya orang lain. Kalaupun mereka layak, tidak seharusnya mereka menerima jawatan PM. Ini kerana masih ramai majoriti orang Islam yang layak dan lebih berhak di buminya sendiri. Jangan pula bandingkan dengan Thailand, kerana bukan Siam di sana lebih Siam dari Siam. Saya tidak bertujuan untuk membela Melayu, tetapi saya cuba memahami psiki bangsa Melayu berbanding bangsa lain, setelah memahami psiki bangsa saya sendiri. Tidakkah itu lebih baik kerana kita semua berada dalam komuniti majoriti masyarakat Melayu?
2.0 Sebagai bukan Melayu, saya amat bersyukur berada di bumi bertuah ini. Walaupun saya lahir selepas merdeka, tidak dapat melihat bagaimana kontrak sosial dipersetujui, namun saya amat bersyukur kerana nenek moyang saya diterima menjadi warganegara di bumi ini. Nenek moyang saya diterima secara pukal tanpa sebarang syarat. Nenek moyang saya tidak dikenakan syarat sehingga boleh mengubah dan mengganggu-gugat cara hidup dan jati diri mereka. Mereka seperti seadanya sebagaimana asal, tanpa ada ubah suai walaupun sedikit. Mereka bebas berbahasa sendiri, hidup dalam kelompok sendiri, bersekolah sendiri, malah dapat mengaut kekayaan tanpa sekatan dan halangan, sehingga kekayaan melimpah ruah. Sejarah sebegini tidak pernah berlaku di dunia negara lain. Di negara lain, bukan sahaja mereka ditolak, malah akan dikenakan syarat-syarat yang ketat sebelum diterima menjadi warganegara. Paling ketara mereka akan diasimilasikan. Beruntung sungguh kita di sini. Inilah nikmat yang mesti disyukuri bukan dikufuri.
3.0 Tidak perlu saya kemukakan bukti, jeling-jelinglah negara-negara jiran seperti Thailand, Burma, Indonesia dan Filipina. Bilangan mereka yang diterima hanya di sekitar tiga – sepuluh peratus, selebihnya ditolak. Berbanding negara kita, bukan pribumi melebihi 40 peratus. Pada masa sama, kekayaan yang dikuasai dan diperolehi melebihi 70 peratus sehingga menimbul keresahan kepada pribumi. Inilah bentuk toleransi yang tidak ada tolok bandingnya yang perlu disampaikan kepada generasi akan datang. Menurut Amy Chua, seorang Profesor Cina berasal dari Filipina yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat, toleransi bukan bermakna persamaan atau penghormatan, tetapi toleransi adalah memberikan peluang kepada orang yang berlainan cara hidup, bekerja, berpartisipasi dan berjaya dalam masyarakat tanpa melihat latar belakang etnik atau agama. Walaupun Amy Chua ini telah berhijrah ke Amerika, pendapat beliau agak berpijak di bumi nyata, tidak ultra kiasu. Kita perlu ramai orang seperti ini. Toleransi bukan sama rata atau sama rasa. Apa yang berlaku dahulu dan kini di negara kita bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Amy Chua. Orang Islam tidak pernah menghalang bukan Islam untuk hidup lebih berjaya dalam apa jua sektor pekerjaan dan berpartisipasi. Apatah lagi untuk campurtangan dalam hal-ehwal agama mereka, kecuali jika agama kita dicabar.
4.0 Selaku warga yang memahami sejarah, saya dapat merasakan betapa bertuahnya kita pada hari ini. Jika ditakdirkan, tidak berlaku penerimaan pribumi, apakah saya masih hidup hari ini? Sepanjang pembacaan saya, mereka yang telah keluar berhijrah, tidak akan diterima kembali, kecuali mempunyai bakat dan kebolehan yang luar biasa ataupun mungkin mereka yang belot dengan menjual rahsia kedaulatan negara atau menjual harta negara seperti membawa wang keluar negara atau menjual pasir ke negara jiran.
5.0 Justeru, adalah tidak menghairankan jika orang seperti Tan Siew Sin dan Sambanthan pernah mengeluarkan ucapan di sekitar tahun-tahun 1950an, yang amat menghargai toleransi yang telah ditunjukkan oleh pribumi. Mereka benar-benar merasa bersyukur kerana diberi peluang dan diterima seadanya. Sejarah ini mesti difahami oleh setiap rakyat Malaysia tanpa ketinggalan. Jika tidak, mereka akan menjadi ultra kiasu. Menuntut sesuatu yang tidak seharusnya dituntut. Mengungkit sesuatu yang tidak perlu diungkit.
6.0 Ramai yang tertanya-tanya kenapa tidak ramai pribumi yang berjaya atau menguasai kekayaan di bumi sendiri? Fenomena pribumi tidak berjaya di bumi sendiri bukan fenomena baru. Ia berlaku di mana-mana, terutama di negara Asia Tenggara dan juga dunia lain yang sudi menerima kedatangan mereka yang berhijrah. Kenyataan ini diakui oleh semua sarjana, kejayaan dan harta yang dimiliki oleh mereka yang berhijrah menenggelamkan kekayaan pribumi di bumi mereka sendiri, sehingga menimbulkan keresahan atau iri hati pribumi kepada mereka. Namun, ramai sarjana tidak mengatakan punca-punca yang menyebabkan ia berlaku sedemikian rupa. Saya mempunyai jawapan mengenai perkara yang masih belum dijawab oleh sarjana-sarjana ini termasuk Amy Chua.
7.0 Pada saya, pribumi merasa selamat dan selesa di bumi mereka sendiri. Mereka bersangka baik terhadap rakan mereka yang datang berhijrah. Mereka tidak dengki dengan kekayaan yang dimiliki walaupun hidup terpisah dalam kelompok sendiri mengikut cara hidup yang agak ekstrim. Pribumi sudah bahagia dengan kehidupan ala kadar atau cukup makan, walaupun sikap ini tidak sepatutnya berlaku. Inilah sifat pribumi yang saya kenali. Tidak tamak, bersyukur dengan apa yang ada. Jika kayapun, sekadar boleh hidup mewah bukannya untuk membina empayar. Sikap rendah diri, lembut, sopan santun menguasai diri. Itulah Melayu menurut sajak-sajak Lim Swee Tin, Usman Awang dan Muhammad Haji Salleh yang saya teliti.
8.0 Kefahaman dan latar belakang inilah menjadikan saya amat terharu dengan majlis perasmian pelancaran buku terbaru professor tersohor Syed Naguib Al-attas oleh Raja Nazrin Shah baru-baru ini. Penghormatan Raja Nazrin terhadap ilmuan amat tinggi di luar jangkauan saya dengan sifat baginda sebagai anak raja. Teks ucapannya yang begitu menyanjung tinggi ilmuan begitu mengkagumkan dan baginda hampir sebak membacanya. Ini tidak termasuk aksi penghormatan baginda terhadap ilmuan Syed Naguib ketika berada di pentas. Syed Naguib dipimpin dan diminta duduk ketika bangun untuk memberikan penghormatan kepada baginda. Inilah sifat orang Melayu yang amat saya puji. Tidak bongkak, tetapi amat merendah diri, tanpa melihat darjat keturunan. Tetapi janganlah pula diambil kesempatan oleh orang lain pula.
9.0 Hari ini kita lihat seolah-olah kita mengambil kesempatan. Sikap pribumi yang sedemikian diambil peluang untuk menangguh di air yang keruh. Benar, mereka tidak berapa pentingkan kekayaan kerana kekayaan tidak boleh dibawa ke mati. Hanya iman dan takwa nilaian Allah SWT. Tetapi janganlah pula kita mengambil kesempatan dengan merosakkan mereka melalui rasuah, wanita, riba, wang dan sogokan lain terbentang di depan mata.
10.0 Janganlah kita ikuti atau meniru perangai Yahudi. Kenapa Yahudi begitu berjaya dan dapat membina empayar walaupun bukan di bumi sendiri? Jawapannya mudah, Yahudi mengambil kesempatan di atas kelemahan atau sikap tolak ansur orang lain, terutama orang Islam. Ketika merempat, Yahudi berbuat baik dengan umat Islam di Palestin. Namun, sedikit demi sedikit mereka khianat, untuk menguasai pribumi dan kekayaan buminya. Antaranya ialah dengan memberikan pinjaman melalui sistem riba dan merasuah mereka. Bila pinjaman tidak berbayar, ditambah dengan faedah yang tinggi, maka tanah sebagai galang gantinya. Tanah milik pribumi diambil seinci demi seinci. Lama-kelamaman, kini hampir seluruh bumi pribumi Palestin terlepas ke tangan Yahudi. Bangsa yang dahulunya sehelai sepinggang, berjaya menjadikan pribumi berdagang atau merempat di bumi sendiri.
11.0 Perkara yang sama berlaku di Singapura. Singapura perlu membesar untuk membina kekuatan. Cara paling mudah untuk membesar ialah dengan membeli pasir daripada negara kita berbanding dengan Indonesia yang terlalu jauh dan kosnya amat tinggi. Bagi memenuhi keperluan itu, mereka akan mencari orang Melayu melalui pengantara sekutu ultra kiasunya, di pejabat tanah yang mudah dirasuah dan mereka yang mudah belot, untuk mendapatkan dan membeli pasir. Hasrat mereka sudah tercapai. Negara ini bukan sahaja sudah membesar berkali ganda, malah hari ini mereka mahu negara ini terus membesar berganda-ganda. Tidak hairan nanti akan bercantum dengan Pulau Batu Putih yang telah terlepas ke negara ultra kiasu ini. Masihkah kita mahu duduk diam melihat maruah dan kedaulatan negara tergadai dan dipersenda? Rela menjual kedaulatan negara semata-mata untuk mendapatkan kekayaan yang sedikit. Manakala orang tengahnya mendapat kekayaan melimpah ruah. Semakin membesar Singapura, semakin kuat ancamannya terhadap negara kita. Tidak hairan suatu hari nanti mereka akan menguasai kita, jika kita terus leka dan lena dengan tipu daya mereka yang licik ini. Apatah tanah-tanah berharga di negara kita sudah terlepas ke tangan mereka, termasuk sebuah pulau lagi yang masih tinggal kepada sekutu mereka. Masihkah kita mahu berdiam diri?
12.0 Terbaru, pihak gereja katholik mahukan majalah Al-Islam meminta maaf secara terbuka di atas, artikel berjudul “Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad” melalui tinjauan mereka di dalam gereja. Saya tidak nampak keperluan untuk meminta maaf terhadap mereka yang ada niat tersembunyi kepada kita yang terlalu bertoleransi. Kenapa kita mesti tunduk kepada ugutan mereka? Cukuplah dengan kita gagal untuk mempertahankan penggunaan kalimah Allah. Pihak gereja janganlah bertindak seperti kaduk naik junjung. Mereka ini tidak ubah seperti kumpulan ultra kiasu yang mana asyik mahu menang sahaja.
13.0 Apakah tindakan mereka melarikan dan memurtadkan orang Melayu seperti Azlina Jailani dan orang Islam yang lain itu tidak salah? Tidakkah mereka sedar bahawa orang Melayu tidak boleh dimurtadkan mengikut perlembagaan perkara 11 dan 160 (2) yang berbunyi “Melayu adalah seseorang yang menganut Islam, lazim bercakap Melayu dan menurut adat Melayu”. Pernah pihak gereja meminta maaf terhadap orang Melayu yang telah dimurtadkan yang amat nyata bertentangan dengan perlembagaan? Kenapa toleransi ini tidak dihargai?
14.0 Justeru, saya meminta mereka supaya menghargai toleransi ini. Janganlah mengambil kesempatan ketika orang lain lemah. Saya cukup bimbang jika kita terlalu mendesak, kesabaran Melayu akan tergugat. Bila kesabaran telah hilang, saya bimbang bangsa yang saya kenali ini akan hilang pertimbangan. Hargai mereka. Kita tidak akan menyerang jika tidak diserang, tetapi kita tidak menyerang tanpa tentangan.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 12:21 PM
(sumber;http://ridhuantee.blogspot.com/2010/03/menghargai-toleransi-peribumi.html)
Showing posts with label ridhuan tee. Show all posts
Showing posts with label ridhuan tee. Show all posts
Wednesday, March 17, 2010
Sunday, January 17, 2010
Apa yang masih tinggal pada kita?


Friday, January 15, 2010
Apa yang masih tinggal pada kita?
(Perhatian: Artikel ini tidak dapat disiarkan oleh akhbar pada 10 Januari 2010, disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan. InsyaAllah, seperti biasa artikel seterusnya akan menyusul Ahad ini)
1. Saya terpanggil untuk menulis mengenai polemik kalimah Allah yang telah diputuskan oleh mahkamah yang berpihak kepada Kristian Katolik baru-baru ini. Penulisan yang menyokong keputusan mahkamah memenuhi setiap ruang laman-laman web ultra kiasu tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam. Begitulah wajah sebenarnya mereka yang selalu menuduh media lain tidak betul, siapakah sebenarnya yang betul? Kumpulan ini tidak pernah bersyukur, malah semakin berani menunjukkan belangnya.
2. Saya tidak menafikan hak agama lain untuk menggunakan kalimah Allah, sekurang-kurangnya kalimah ini menjadi sebutan mereka, manalah tahu suatu hari ini merekapun turut ikut bersunat. Namun, saya amat musykil, tetapi kenapa baru sekarang menjadi isu besar? Apakah tujuan di sebaliknya? Siapakah sasaran mereka? Sebagai umat Islam kita perlu memahami isu ini.
3. Bagi mereka yang tidak menyertai NGO, mungkin mereka tidak berapa nampak niat mereka yang sebenar. Tetapi bagi kami yang selalu berdamping dengan NGO, kami sudah masak dengan teknik dan taktik mereka ini. Mereka tidak akan berhenti untuk menuntut sehingga cita-cita mereka tercapai. Mereka akan menuntut semaksima mungkin, walaupun nampak seolah-olah tuntutan tersebut amat ekstrim. Mereka tahu, jika kerajaan tidak memenuhi kesemuanya, sekurang-kurangnya kerajaan akan memberi sebahagian. Sebahagian itu adalah kemenangan besar kepada mereka. Dengan sebab itu, kerja mereka hari ini ialah menuntut dan mendesak, apatah lagi ketika umat Islam dilanda perpecahan yang begitu melemahkan. Saya tidak fikir mereka sebegitu berani jika umat Islam bersatu. Sejarah menunjukkan bahawa apabila sesebuah bangsa itu kuat, biasanya ia akan digeruni.
4. Rakan-rakan facebook saya mengadu, ada kalangan orang Melayu Islam telah keluar daripada Islam dan menganut agama lain. Kumpulan ini begitu aktif menjalankan kerja dakwah mereka walaupun mereka tahu ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan. Hal yang sama pernah berlaku kepada Siti Hasnah Vengarama atau Banggarma Subramaniam baru-baru ini. Kita begitu hairan kenapa orang bukan Islam begitu berani ‘menikahkan’ Banggarma dengan lelaki bukan Islam yang ternyata bertentangan dengan perlembagaan dan salah di sisi undang-undang.
5. Walaupun Banggarma mengatakan bahawa dia sudah tidak Islam lagi, tetapi beliau masih tertakluk kepada undang-undang syariah, tidak kiralah sama ada dia beramal dengan Islam ataupun tidak. Mereka yang bertanggungjawab menikahkan beliau, sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa agama, sebagai tanda penghormatan ke atas agama Islam. Ironinya, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa agama Islam. Tidakkah ini dinamakan toleransi?
6. Saya masih ingat, apabila isu ini disensasikan, belum apa-apa lagi kita lihat reaksi Majlis Perundingan Bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Mahkamah Syariah membenarkan Banggarma menganut agama Hindu dan sekali gus meninggalkan Islam, tanpa perlu melalui proses biasa di mahkamah. Paderi Kristian selaku presiden MCCBCHST berpendapat, murtad itu sah kerana menganut agama Islam pada masa kecil sahaja dan tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Paderi tersebut mendesak agar memberikannya kebebasan memilih agama kerana ia berumur lebih 21 tahun. Mahkamah Syariah dikatakan tidak layak kerana tidak mempunyai bidang kuasa ke atas ‘mereka yang tidak mengamalkan agama Islam’.
7. Persoalan saya, siapakah paderi tersebut untuk mengatakan sama ada Mahkamah Syariah layak atau tidak mengadili kes ini. Janganlah bertindak seperti hakim. Kita harus bersifat professional dan bukan beremosi serta bersentimen. Hormatilah kedudukan Islam selaku agama persekutuan. Ini tidak, belumpun perkara ini dibawa ke mahkamah, mereka sudah menjadi hakim. Saya amat bimbang jika wujud hakim seperti ini dalam mahkamah.
8. Berbalik kepada kes kalimah Allah ini, semua badan NGO bukan Islam bersatu hati mahukan kita menghormati keputusan mahkamah. Ironinya, bila keputusan menyebelahi bukan Islam, kita disuruh menghormati mahkamah dan keputusan itu adalah keputusan yang adil, tetapi bila keputusan menyebelahi orang Islam, kita kata mahkamah berat sebelah dan telah dipengaruhi tangan-tangan tertentu. Adakah tindakan ini wajar? Kenapa kita tidak bertindak secara profesional?
9. Apa jua alasan kita mengenai isu penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam, mudarat dan sakitnya lebih dirasai oleh umat Islam. Sepanjang pengamatan saya, di negara-negara barat majoriti Kristian, kalimah Allah tidak pernah digunakan sama sekali, sama ada digereja-gereja mahupun percakapan harian. Malah dalam filem-filem merekapun, saya tidak pernah menonton atau mendengar kalimah Allah digunakan.
10. Tidak dinafikan bahawa kalimah Allah telah digunakan di Indonesia dan beberapa negara Arab yang lain. Begitu juga di Sabah dan Sarawak. Persoalannya, adakah ia bermakna negeri lain perlu terikut sama?
11. Saya cukup hairan kenapa kita harus melayan tuntutan Kristian di Semenanjung yang hanya berjumlah kurang dari 9 peratus, berbanding dengan agama lain yang lebih dari itu. Seperti yang saya sebut sebelum ini, walaupun mereka sedikit, publisiti mereka sehingga menenggelamkan agama yang lain. Sedangkan kita tahu dari segi hak, mereka yang beragama Buddha, Konfucius dan Taoisme mempunyai lebih sedikit hak, sebab mereka ada 22 peratus.
12. Pada saya, apapun hujah untuk membenarkan Kristian menggunakan nama Allah, perlu ada pertimbangan antara mudarat dan sensitiviti umat Islam serta kesesuaiannya dengan perlembagaan negara kita. Bukanlah bermakna kita takut dengan dakyah Kristian, tetapi berpada-padalah dengan kedudukan mereka yang hanya 9 peratus. Kementerian Dalam Negeri dan Majlis agama Islam negeri mesti bertindak tegas ke atas mereka tanpa kompromi jika adalah risalah yang cuba untuk mengelirukan umat Islam. Perkara ini amat penting bagi menghindarkan mudarat lebih besar yang boleh menimpa orang awam Islam yang agak lemah dan mengelakkan konflik.
13. Justifikasi beberapa cendekiawan dan pertubuhan Islam yang tidak melarang penganut agama lain menggunakan kalimah Allah bagi Tuhan mereka, agak berat juga untuk diterima. Alasan mereka, “umat Islam tidak perlu berebut nama Allah dengan penganut Katolik. Mereka berhak menamakan Tuhan mereka dengan nama Allah kerana dalam al-Quran pun kaum Musyrikin menggunakan nama Allah”. Benarkah begitu? Mereka seolah-olah mendakwa Allah ‘membenarkan’ namaNYA digunakan oleh bukan Islam bagi merujuk kepada Tuhan Bapa, Jesus, dan segala sembahan yang bathil dan syirik itu.
14. Selaku bekas penganut Kristian bersama-sama beberapa rakan lain, kami tahu benar bagaimana orang Kristian bekerja. Cuma, saya ingin mengingatkan umat Islam supaya lebih berwaspada dan berhati-hati. Kalimah Allah ini merupakan salah satu tuntutan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) suatu ketika dahulu. Walaupun IFC belum berjaya ditubuhkan, mereka berselindung di bawah MCCBCHST. Boleh dikatakan hampir kesemua 14 tuntutan yang mereka kemukakan telah berjaya dipenuhi. Tuntutan ini ternyata menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
15. Antara tuntutan mereka adalah, pertama: seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam. Kedua, orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ketiga, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil. Keempat, tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam. Kelima, orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan apa-apa tindakan undang-undang. Keenam, seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak jagaan anak.
16. Ketujuh, orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya. Kelapan, kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid. Kesembilan, orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya. Kesepuluh, bibel dalam bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
17. Kesebelas, pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah. Keduabelas, program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan ketigabelas: orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang bukan Islam dan akhirnya, sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
18. Persoalan saya, hampir kesemua tuntutan telah tercapai, tidak cukupkah lagi toleransi yang telah ditunjukkan oleh kepimpinan umat Islam hari ini? Pada saya, kita sudah terlebih memberi, atas dasar demokrasi dan takut kepada ugutan mereka. Inilah kelemahan kita yang menyebabkan orang lain berani memijak kepala.
19. Toleransi umat Islam telah sampai ke tahap yang cukup tinggi. Seingat saya, umat Islam tidak pernah atau amat jarang campurtangan dalam hal ehwal agama bukan Islam. Apatah lagi untuk mengganggu-gugat istilah agama mereka seperti Pope, Paderi (priest), Sami (Monk) dan sebagainya. Ini disebabkan oleh prinsip kita yang menghormati agama lain.
20. Justeru, adakah salah kita ingin mempertahankan sedikit yang masih ada? Jika sedikit ini terus mahu diambil dan dikongsi, apakah yang masih tinggal pada umat Islam di buminya sendiri? Justeru, tindakan kerajaan melarang penggunaan nama Allah dalam surat khabar Herald adalah tindakan tepat dan positif yang bermakna bagi umat Islam. Ia perlu disokong oleh semua umat Islam tanpa berbelah bahagi. Pada masa sama janganlah bertindak di luar batasan agama seperti membakar gereja, itu sudah ekstrim namanya. Jika berlaku peperangan sekalipun, Islam tidak membenarkan kita meroboh atau memusnahkan rumah ibadat mereka. Begitulah indahnya Islam. Pun begitu, kita masih belum tahu siapakah sebenarnya yang membakar gereja? Mungkin orang Islam? Mungkin tidak? Atau mungkin juga orang bukan Islam yang mahu menangguh di air yang keruh? Pokoknya, jangan mudah menuding jari dengan mengatakan orang Islam yang buat.
21. Apa yang berlaku pada hari ini ialah kita hanya mempertahankan kalimah Allah untuk tidak digunakan sewenang-wenangnya. Syarat-syarat ketat hendaklah dikenakan sekiranya kalimah ini ingin digunakan. Kuasa yang ada dalam perlembagaan hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan dan menyelamatkan maruah agama tercinta ini. Saya dengan penuh takzim menyembah ke bawah duli Tuanku, Majlis Raja-Raja Melayu untuk campurtangan menyelamatkan kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan yang cuba mengotori kesucian ad-deen ini. Ambillah pengajaran yang berlaku ini untuk kita bangkit kembali menjadi aktif serta proaktif, dan bukannya action-oriented. Bila sudah berlaku barulah kelam-kabut. Tidakkah kita perlu sentiasa bersedia dan beristiqamah mempertahankan maruah agama mulia ini dan bukannya bermusim? Semoga Islam akan terus menyinar dan bersinar.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis
Posted by RIDHUAN TEE at 7:51 AM
(sumber;http://ridhuantee.blogspot.com/2010/01/apa-yang-masih-tinggal-pada-kita.html)
Subscribe to:
Posts (Atom)