Showing posts with label bisnes. Show all posts
Showing posts with label bisnes. Show all posts

Monday, February 11, 2013

Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia



NORHANA FARIZA HARUN
11 Februari 2013
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Tutti Frutti
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Tutti Frutti UK bukti kejayaan anak Malaysia
Konsep kedai Tutti Frutti yang berwarna-warni dan santai dapat menarik minat pelanggan untuk berkunjung.








































SIAPA sangka gadis seawal usia 19 tahun (dua tahun lalu), pelajar tahun akhir jurusan Kewangan dan Ekonomi di York University, United Kingdom (UK) mampu melihat potensi besar perniagaan ais krim Tutti Frutti di kota itu.

Idea tercetus ketika Iman Amanda Nasim menikmati ais krim tersebut di tanah air tetapi tidak dapat menikmatinya ketika di UK. Lantas, dia dan nekad mencari peluang untuk membuka perniagaan Tutti Fruitti di sana.

Berbekalkan semangat yang tinggi, Amanda terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat bersendirian untuk menghadiri persidangan daripada wakil-wakil francais di seluruh dunia untuk membentangkan kertas kerjanya.

Nyata, usahanya membuahkan hasil apabila kertas kerja yang dibuat diterima dan dia berjaya meyakinkan mereka bahawa makanan berkhasiat ini sesuai untuk semua peringkat umur.

Mengusahakan perniagaan bersama abangnya, Andy Nasim dan dua lagi rakan kongsi Hashraf Hashim dan Ridzuan Nor, mereka membuka cawangan pertama Tutti Frutti di Covent Gardent, London pada 13 Disember 2011 sekali gus menjadi pemegang lesen utama jenama tersebut di UK di bawah pengurusan Tutti Frutti (UK) Ltd.

Pengarahnya Andy Nasim berkata, kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah semudah yang disangka. Pelbagai cabaran dihadapi demi untuk merealisasikan impian di negara orang.

“Saya dan Hashraf menghabiskan masa sebulan di sekitar London untuk mencari lokasi terbaik dan memberi idea, namun semuanya ditolak dengan alasan kami masih muda dan tidak tahu apa-apa tentang perniagaan.

“Tetapi Alhamdulillah, berkat usaha gigih kami berjaya membuka Tutti Frutti di sini dalam tempoh tiga bulan selepas itu,” katanya.

Lebih membanggakan apabila cawangan pertama mereka ini adalah yang pertama di UK dan Eropah serta terbesar di dunia dengan keluasan hampir 2000 kaki persegi di mana boleh memuatkan sehingga 50 orang dalam satu masa.

Kejayaan empat anak muda ini juga sekali gus menaikkan nama negara di kota metropolitan, London.

Sasar 15 cawangan francais

Setelah lebih setahun beroperasi, Tutti Frutti UK kini memiliki tiga cawangan iaitu di Covent Garden, Whiteleys Bayswater dan Princes Street Edinburgh, Scotland serta sebuah francais di Brighton.

Menurut Andy, Tutti Frutti UK menyasarkan untuk membuka 10 hingga 15 francais tahun ini bagi mengukuhkan lagi jenama perniagaannya di UK.

Mereka juga  diberi peluang untuk memasarkan produk keluaran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) selepas menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di cawangan Tutti Frutti tahun lalu.

INFO

-Tutti Frutti adalah jenama yang berasal dari California, Amerika Syarikat.
-Sehingga kini, Tutti Frutti mempunyai lebih 600 cawangan di 24 negara seluruh dunia.
-Di Malaysia, Singapura,Kemboja, Brunei,Thailand, Timur Tengahdan negara Afrika, Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd adalah pemegang lesen utama untuk jenama tersebut.
-Memiliki lebih 50 perisa, antara perisa paling laris di Tutti Frutti UK adalah laici dan keladi.
-Tutti Frutti UK juga pernah menaja sebuah pasukan sempena perlumbaan motosikal antarabangsa Moto3.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tutti-frutti-uk-bukti-kejayaan-anak-malaysia-1.130075)

Wednesday, January 16, 2013

Mengenal si penipu dalam bisnes


NORDEN MOHAMED
16 Januari 2013
Semalam, seorang teman saya, Fairus mengadu yang dia hampir ditipu dalam urusniaga. Fairus yang menjual buku secara online itu menerima tempahan 21 buah buku yang sama judulnya daripada seseorang.

Oleh kerana dia baru berniaga, pesanan 21 buah buku yang berilai lebih RM400 itu amat besar bagi perniagaan yang berpendapatan kasar tidak sampai RM1000 sebulan. Nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pesanan yang banyak itu. Mujur Fairus juga ada rakan-rakan yang berniaga secara online.

Daripada nasihat kawan-kawannya, Fairus diminta berhati-hati. Jarang sekali seseorang individu memesan banyak judul secara online. Hanya pengedar buku sahaja yang memesan sesuatu judul dengan jumlah yang banyak.

Itupun biasanya secara pembelian runcit secara bersemuka. Dengan nasihat itu, Fairus menghubungi si penempah untuk mempastikan jumlah pesanan.

Fairus meminta nombor telefon, alamat, e-mel dan juga bayaran tempahan secara online sebelum menempah buku daripada pembekal. Tiba-tiba si penempah mula mengurangkan jumlah pesanan daripada 21 naskhah kepada 10 naskhah.

Kemudian apabila dihubungi untuk melangsaikan bayaran, panggilan Fairus sudah tidak berjawab. Sejam dia menelefon dan setiap kali juga panggilannya dimatikan. Akhirnya, Fairus tahu sendiri bahawa si pembeli bertujuan untuk menipu. Andainya dia tidak mendengar kata hatinya, mungkin Fairus putih mata.

Dunia perniagaan sama ada yang kecil mahupun yang besar sentiasa berdepan dengan manusia yang menipu. Para peniaga baru yang inginkan bisnes biasanya akan terpesona dengan pembeli yang memperagakan personaliti yang mengagumkan. Kad niaga yang cantik dengan alamat premis di Segitiga Emas, pakaian yang kemas, beg bimbit yang berkilat atau kenderaan import yang menjalar amat mudah mengaburi mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.

Tawaran menjadi rakan kongsi, joint-venture, bekalan berterusan, kontak baik, pasaran ke luar negara dan kabel besar dengan pihak atasan adalah di antara gula-gula yang ditayang oleh si penipu untuk memenangi kepercayaan yang akhirnya menjerat orang yang baru hendak mula berniaga.

Kalau pun sudah menjadi rakan niaga atau pelanggan, tidak mustahil si peniaga akan tertipu apabila memberi kredit kepada si penipu. Bayaran akan mula lewat daripada 30 hari kepada 60 hari, 90 hari dan akhirnya si penipu akan lesap meninggalkan hutangnya.

Bagaimana untuk mengenal si penipu? Sukar sekali. Namun sebagai orang bisnes, kita sendirilah yang harus sentiasa bersedia dan berwaspada untuk tidak tertipu. Dalam dunia perniagaan, adalah baik bila kita sentiasa meletakkan rasa waspada dan berhati-hati terhadap mereka yang hendak berurusan dengan kita.

Yang penting, bukannya jumlah wang dan peluang membuat keuntungan yang menjadi ukuran bagus atau tidaknya urusniaga itu. Siapa kata, peluang hanya datang sekali?

Dan, bila seseorang yang hendak berurusniaga dengan kita itu mempamerkan peluang, jangan terus merebutnya. Kalau peluang itu mendatangkan kerugian, tunggulah berpuluh-puluh peluang lain yang akan mendatang.

Yang mustahak buat kita adalah orang yang ingin berusniaga itu sendiri. Bukan pakaiannya, bukan kenderaannya, bukan gayanya yang harus kita lihat tetapi tutur katanya.

Orang yang sentiasa berkata boleh, boleh dan boleh biasanya tak boleh. Begitu juga orang yang sentiasa berkata okey, okey dan okey biasanya tak okey. Orang bisnes yang selalu bermain dengan janji biasanya tidak akan menepatinya.

Maknanya, mereka yang tidak hanya berkata yang indah-indah tentang perniagaan dan sebaliknya memperkatakan mengenai masalah itulah yang boleh diletak kepercayaan.

Riak wajah dan gerak laku orang yang menipu juga mudah dikenali. Dia akan mencuri pandang ketika kita tidak memandangnya, mencuri pandang apa yang ada di atas meja kita, di sekeliling kita mahupun apa yang kita bawa. Awal-awal lagi sudah mencuri dengan pandangan, akhirnya akan mencuri pula kepercayaan kita.

Orang yang benar-benar berbisnes biasanya tidak akan membuang masa. Bualan bertanya khabar hanya sekadar berbasa-basi sebelum soal perniagaan dibicarakan. Ketika perbincangan, gangguan panggilan lain akan dimatikan kerana ia gambaran seseorang yang fokus dengan apa yang dia lakukan. Setelah perjanjian dimeterai, dia akan segera berlalu kerana dia juga fokus kepada matlamatnya. Orang beginilah yang harus kita contohi.

Bila kita berwaspada dengan mereka yang begini, insya-ALLAH kita tidak akan tertipu. Dalam pada itu, kita pula mesti elakkan daripada berperangai begitu jika tidak mahu menjadi seorang penipu pula.

(terimakasih sumber:http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/norden-mohamed/mengenal-si-penipu-dalam-bisnes-1.121802)
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.

Thursday, April 19, 2012

50 Fakta Menarik ,Kisah dan Prinsip Hidup TAN SRI SYED MOKHTAR ALBUKHARY

Tuesday, 17 April 2012


ORANG MELAYU TERKAYA DI MALAYSIA-semoga ianya dapat memberi teladan dan inspirasi buat kita semua dalam memajukan diri dan ummah,InsyaAllah..

1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan kerja-kerja kemasyarakatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan WARISAN UNTUK ANAK BANGSA YANG KEKAL BERPANJANGAN.

2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang politik semata-mata.

3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan saya yang membezakannya. SAYA PERCAYA SESIAPA PUN BOLEH MENJADI APA SAHAJA ASALKAN MEREKA BERUSAHA DENGAN TEKUN . Tetapi tentulah ia memakan masa. TIADA JALAN SINGKAT.

4. Saya MENGENALI KEKUATAN DAN KELEMAHAN SAYA. Apa yang tidak mampu buat saya akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi itulah jalan yang kekal.

5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh menjaga kepentingan kita.

6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.

7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.

8. Untuk memajukan perniagaan, MEMANG KENA BANYAK SABAR DAN KUAT BERUSAHA .

9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil lagi dan saya juga biasa kena tipu.

10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu malam, hendak makan pun sampai larat mana ?

11. Dalam hidup ini kita sebenarnya TIDAK ADA STATUS, ADA MASA DI ATAS ADA MASA DI BAWAH.

12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. ALLAH BERI REZEKI MELALUI KITA UNTUK KITA TOLONG ORANG LAIN. REZEKI ITU BILA-BILA MASA SAJA DIA BOLEH AMBIL BALIK. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan. Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah.ORANG MELAYU KITA TIDAK MAHU BEKERJASAMA KERANA PERASAAN DENGKI MENGUASAI DIRI.SUDAHLAH TAK MAHU BERUSAHA,APABILA ORANG LAIN BERUSAHA MEREKA MARAH.

14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.

15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita, kita masih tidak buat apa-apa !

16. Saya ADA EMOTIONAL ATTACHMENT KEPADA AGAMA,BANGSA DAN UMMAH. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya tidak mustahak .

17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.

18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa.APA YANG SAYA TIDAK TAHU SAYA BELAJAR MINTA TOLONG DARIPADA ORANG LAIN.SAYA TIDAK MALU . Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri.SIKAP PEMALAS DAN PEMALU INI ORANG MELAYU KENA ATASI .KITA KENA BERANI KERANA BENAR . Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

19.KAYA ITU BUKANLAH KEPADA DIRI SENDIRI. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini,KEPADA BANGSA DAN KEPADA ORANG RAMAI .Saya hanya memegangnya untuk sementara sahaja.

20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri. Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya HANYA PERKARA YANG BAIK YANG KITA LAKUKAN AKAN KEKAL. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang saya lakukan sekarang.

21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.

22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini masalah orang Melayu.DI KAMPUNG ORANG MELAYU BERPECAH KERANA POLITIK,DI BANDAR BERPECAH KERANA WANG .

23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.

24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka HANYUT DARIPADA MENOLONG ORANG LAIN . Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.

25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang tak berhutang. Tapi MESTI TAHU BAGAIMANA HENDAK MEMINJAM DAN MEMBAYARNYA SEMULA . Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab.BANYAK ORANG MAHU SENANG TAPI TIDAK RAMAI YANG MAHU BERTANGGUNG JAWAB .

26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju dan seluar biarlah padan dengan badan.

27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi yang sedikit itu ada berkatnya.

28. SAYA SUKA KALAU NIKMAT SEDIKIT YANG SAYA DAPAT ITU ORANG LAIN BOLEH BERKONGSI BERSAMA.

29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan

30. ……kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal.SAYA MANUSIA YANG BANYAK BUAT KESILAPAN.TETAPI SAYA INSAF,BERISTIGHFAR DAN TERUS BERJALAN LAGI . Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang Melayu.

31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah sedikit pun tidak mengapa.

32. KEKAYAAN INI TUHAN BERI KEPADA SAYA UNTUK SAYA MENOLONG ORANG LAIN PULA.SAYA PERCAYA KEPADA KEBERKATAN REZEKI.HARI INI KITA TOLONG ORANG,ESOK LUSA ORANG AKAN TOLONG KITA PULA DENGAN CARA YANG LAIN.

33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.

34.KITA JANGAN CEPAT PUTUS ASA.PUTUS ASA BOLEH TAPI KENA CEPAT-CEPAT KUATKAN SEMULA SEMANGAT UNTUK BANGKIT BALIK.JANGAN JADIKAN AGAMA HANYA SATU TEMPAT UNTUK KITA BERGANTUNG APABILA KITA SUSAH . Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.

35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini. Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.

36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun cukup untuk bawa saya ke mana-mana.

37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.

38.KEJAYAAN DAN KELEMAHAN ORANG MELAYU BUKAN DISEBABKAN OLEH BANGSA DAN AGAMA KITA.TETAPI IA BERKAIT DENGAN SIKAP DAN CARA KITA BERFIKIR.GIGIH ,TEKUN DAN TIDAK PUTUS ASA MERUPAKAN KUNCI KEJAYAAN KITA.SAYANGNYA PERKARA INI KURANG WUJUD DALAM CARA ORANG MELAYU BERFIKIR .

39.TUHAN MEMBERI PELUANG KEPADA SESIAPA SAJA YANG BEKERJA KUAT. Apa yang ada pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.

40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.

41.ORANG MELAYU SEBENARNYA KENA BANTU DIRI SENDIRI,KENA BEKERJA KERAS DAN FOKUS .

42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada didikan orang tua saya sendiri.

44. SAYA SENDIRI BERHUTANG SAMBIL BERNIAGA DAN BUAT SUMBANGAN AMAL JARIAH.SAYA TAK MAHU TUNGGU HUTANG HABIS BARU HENDAK BUAT SEMUA NI .Saya takut kalau hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.

45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur.

46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak. Alhamdulillah,LEBIH BAIK BUAT SEDIKIT DARIPADA TIDAK BUAT LANGSUNG.

47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.

48.SAYA GEMBIRA DAPAT MEMBANTU.SAYA MAHU ORANG LAIN MERASAI KESENANGAN APA YANG PERNAH SAYA RASA.Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama. Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.

49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.

50. SAYA RASA KITA SUDAH TERLALU BANYAK KETINGGALAN.

(sumber:http://khairitajudin.blogspot.com/2012/04/50-fakta-menarik-kisah-dan-prinsip.html?m=0)

Sunday, February 19, 2012

'Jangan jadi primadona mahu selama-lamanya di atas'


ARKIB utusan : 18/02/2012 Oleh NORLAILI ABDUL RAHMAN
bisnes.utusan@gmail.com

1.0 "KITA tidak boleh menjadi primadona, mahu selama-lamanya berada di atas dan tidak mahu ada orang lain yang menggantikan tempat anda, ia sesuatu yang merugikan," ucap Pengerusi Danajamin Nasional Bhd. (Danajamin), Datuk Seri Abdul Hamidy Hafiz ketika memperkatakan tentang falsafah hidup beliau.

2.0 Menurut beliau, seorang ketua yang baik akan mampu melatih dan melahirkan penggantinya yang hebat dan memberi peluang yang adil kepada orang bawahan yang layak untuk memanjat tangga kejayaan.

3.0 Apa yang selalu terjadi di kebanyakan organisasi kakitangan mereka dipinggirkan dan apabila perlu mencari kepimpinan baharu, mereka akan mengambil bakat dari luar sedangkan ada orang dalam sendiri yang berkebolehan, cuma tidak pernah diberi peluang.

4.0 ''Saya selalu percaya bahawa saya mampu melatih anak-anak buah saya lebih baik dari orang luar kerana saya sentiasa memberi peluang kepada mereka untuk menonjolkan kebolehan masing-masing, " katanya.

5.0 Menyebut beberapa nama antaranya Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd. Datuk Seri Zukri Samat yang pernah menjadi pengganti beliau semasa di Danaharta, Abdul Hamidy amat berbangga dengan kejayaan anak-anak didiknya di bidang korporat dan menerajui pelbagai syarikat ternama di negara ini.

6.0 Sebagai seorang ketua, beliau adalah seorang yang sangat tegas dan amat berpegang kepada amalan kepimpinan melalui teladan kerana setiap yang dilakukan oleh seseorang ketua akan menjadi perhatian orang bawahannya.

"Apa yang kita buat akan jadi perhatian dan ikutan.

''Semua kakitangan tahu tidak mudah untuk bekerja dengan saya kerana saya meletakkan satu standard kepada diri sendiri dan kalau mereka tidak ikut, susahlah. Katakan saya bekerja 14 jam sehari, bukan sebab saya buat kerja lambat tetapi terlalu banyak yang perlu disiapkan dan saya tidak kisah jika mereka kerja tujuh atau lapan jam sahaja asalkan mereka siap," katanya lagi.

7.0 Tambah Abdul Hamidy, seseorang ketua itu tidak perlu terlalu lama untuk berada di puncak, sebaliknya menyedari bilakah waktu terbaik untuk mengundur diri dan memberi peluang kepada orang lain untuk mengambil alih kerusinya.

8.0 Jelas beliau, apabila seseorang ketua terlalu lama berada di sesuatu posisi, ia akan menutup peluang orang lain untuk menonjolkan bakat masing-masing, sekali gus merugikan negara kerana tidak mampu mengeluarkan kepimpinan hebat pada masa akan datang.

"Cukuplah lima atau enam tahun untuk jadi ketua pegawai eksekutif, kalau dalam tempoh itu anda tidak mampu melatih seorang pengganti yang bagus, maknanya anda bukan seorang ketua yang hebat," tegasnya.

9.0 Menurut lelaki yang berusia 55 tahun ini, beliau tidak pernah percaya kepada usia persaraan, sebaliknya meletakkan sendiri haluan kerjayanya agar seiring dengan usia dan kehidupan.

"Saya ketika ini berada di usia persaraan tetapi saya tidak pernah percaya bahawa terdapat usia untuk bersara, sebaliknya saya lebih selesa untuk memilih hala tuju yang membolehkan saya menikmati kehidupan yang lebih perlahan dan memberi tumpuan perkara lain, selain kerjaya," katanya.

10.0 Ditanya tentang aktiviti di luar ruang kerjayanya, Abdul Hamidy berkata, beliau suka bermain badminton kerana ia adalah satu permainan yang laju dan mampu menghasilkan pertarungan sengit.

"Saya tidak minat golf kerana ia terlalu perlahan, saya main badminton dua kali seminggu dan setiap pemain yang bermain dengan saya tahu bahawa saya akan memberikan yang terbaik bagi setiap perlawanan kerana saya tidak mudah putus asa, saya akan cuba melawan sehabis mungkin dan menjadikan perlawanan itu sesuatu yang mengujakan," kata beliau lagi

(sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm)

Sunday, October 23, 2011

Beli: Kes tipu melalui Internet meningkat


ARKIB utusan : 22/10/2011

Beli: Kes tipu melalui Internet meningkat

1.0 KUALA LUMPUR 21 Okt. - Sebanyak 1,241 kertas siasatan berhubung kes penipuan pembelian barangan melalui Internet telah dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, membabitkan kerugian hampir RM3 juta.

2.0 Daripada jumlah itu, penipuan membabitkan laman web mudah.my paling tinggi dilaporkan iaitu 872 kes dengan kerugian mencecah RM1,354,120.12.

3.0 Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf memberitahu, modus operandi sindiket penipuan itu ialah suspek akan mengiklankan barangan dalam laman web dengan menawarkan harga rendah untuk menarik minat pembeli.

4.0 "Mangsa dan suspek hanya akan berurusan melalui telefon ataupun emel. Mangsa menyedari tertipu apabila tidak menerima barangan walaupun pembayaran telah dibuat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

5.0 Menurut Ramli, sejak Januari hingga September tahun ini, sebanyak 1,241 kertas siasatan telah dibuka bagi kes penipuan pembelian melalui Internet membabitkan kerugian RM2,969,420.34.

6.0 Beliau berkata, jumlah tersebut didapati meningkat berbanding 1,114 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu, walaupun jumlah kerugian menurun berbanding RM3,124,836.72.

7.0 Katanya, jumlah kes yang disiasat bagi tempoh dua tahun ini adalah meningkat lebih 50 peratus berbanding hanya 551 kes dengan kerugian sebanyak RM786,029.89 dicatatkan dalam tempoh sama pada 2009.

8.0 "Sehubungan itu, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar berwaspada dalam membuat transaksi ke atas pembelian barangan melalui Internet terutama bagi laman web mudah.my yang mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding lain-lain laman web.

9.0 "Sejak Januari hingga September lalu sahaja, sebanyak 872 kertas siasatan dibuka untuk menyiasat penipuan pembelian barangan melalui mudah.my dengan kerugian berjumlah RM1,354,120.12," ujarnya.

10.0 Menurut Ramli, jumlah kes penipuan membabitkan mudah.my didapati meningkat setiap tahun dengan 739 kes membabitkan RM1,216,506.64 kerugian dicatatkan dalam tempoh sama pada tahun lalu dan 458 kes dengan RM616,522.89 kerugian pada 2009.

11.0 Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan urus niaga melalui Internet kerana sifat tersebut adalah faktor utama mangsa-mangsa ditipu.

12.0 "Orang ramai yang menggunakan kemudahan pembelian barangan melalui Internet perlu membaca langkah-langkah keselamatan terdapat dalam laman web tersebut, memastikan membeli daripada pengiklan berdaftar atau berjumpa dengan pengiklan bagi proses pembelian.

13.0 "Sekiranya masih ragu-ragu, orang ramai boleh membuat semakan di pejabat Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di talian 03-26163972 (waktu pejabat) atau Bilik Gerakan JSJK ( 03-26163999 ) selepas waktu pejabat," katanya.

terimakasih(sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_01.htm)

Friday, October 7, 2011

PEMBUKAAN SEMULA PENDAFTARAN LESEN KONTRAKTOR KERJA KELAS F ATAU G1 (BUMIPUTERA)


KENYATAAN MEDIA
Y.BHG. DATO’ SHAZIMAN ABU MANSOR
MENTERI KERJA RAYA
PEMBUKAAN SEMULA PENDAFTARAN LESEN KONTRAKTOR
KERJA KELAS F ATAU G1 (BUMIPUTERA)


Latarbelakang

1. Kelas F merupakan kelas yang terendah di dalam pendaftaran Pusat
Khidmat Kontraktor (PKK) dan ianya sebagai satu platform permulaan
untuk kontraktor baru menceburi dan menimba pengalaman di dalam
industri pembinaan.

2. Pada 30 Mac 2005, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya
semua permohonan baru lesen kontraktor kerja Kelas F dibekukan kerana
jumlah kontraktor Kelas F pada masa itu terlalu ramai iaitu 35,000
kontraktor. Di samping tindakan pembekuan, beberapa syarat baru juga
diperkenalkan dan langkah penguatkuasaan dilaksana dengan lebih ketat,
menyebabkan bilangan kontraktor kerja Kelas F berdaftar pada Julai 2011
telah menurun kepada 28,982, iaitu pengurangan sebanyak hampir 20
peratus.

3. Menyedari akan harapan generasi muda yang berkelayakan teknikal
untuk menceburi industri pembinaan, Kementerian Kerja Raya telah
mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri untuk mengkaji semula
pembekuan pengeluaran Lesen Kontraktor Kerja Kelas F.

4. Hari ini, Kementerian Kerja Raya ingin memaklumkan bahawa
Jemaah Menteri semalam telah meluluskan cadangan Kementerian
Kerja Raya untuk MEMBUKA SEMULA SECARA TERKAWAL
pembekuan pendaftaran kontraktor Kelas F yang selepas ini dikenali
sebagai Kontraktor Gred G1(Bumiputera) di bawah Sistem Satu
Pendaftaran Kontraktor (1RoC) yang dikendalikan oleh Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
.

5. Kontraktor baru yang layak mendaftar di bawah gred G1
(Bumiputera) adalah terdiri daripada kontraktor yang menepati syaratsyarat berikut
;

i) Umur tidak melebihi 40 tahun. Pengecualian umur sehingga 50
tahun hanya diberikan kepada individu yang mempunyai
pengalaman kerja yang ditetapkan dalam bidang pembinaan;

ii) Mempunyai sekurang-kurangnya sijil kemahiran daripada institusi
latihan pembinaan atau kelayakan-kelayakan lain daripada
institusi pengajian yang diiktiraf atau pengalaman kerja dalam
bidang berkaitan selama 5 tahun;

iii) mempunyai modal berbayar sebanyak RM10,000 dan ke atas;
dan

iv) keutamaan kepada yang telah berdaftar dengan CIDB dalam gred
G1.

6. Adalah dijangkakan seramai 4,151 kontraktor gred G1 yang berdaftar
dengan CIDB layak dipertimbangkan untuk diberikan lesen gred G1
(Bumiputera) apabila pendaftaran dibuka semula.

7. Di samping itu, Jemaah Menteri turut meluluskan Program
Pengukuhan Kontraktor Bumiputera yang bertujuan mewujudkan kontraktor
Kelas F yang berdaya saing dan mampu meningkatkan keupayaan mereka
ke kelas yang lebih tinggi.

8. Kementerian Kerja Raya mendapati keengganan Kontraktor kelas F
untuk naik ke kelas yang lebih tinggi terutama kelas E adalah disebabkan
oleh faktor antaranya;


a. kadar keuntungan bagi projek yang ditawarkan kepada
kontraktor kelas F relatifnya tinggi (hampir 15% hingga 20%)
berbanding kelas-kelas lain;

b. Bilangan projek bagi kelas E adalah agak terhad; dan

c. sikap segelintir kontraktor kelas F yang menjadikan lesen ini
sebagai pendapatan sampingan.

9. Oleh itu bagi menggalakkan kontraktor Kelas F untuk naik kelas yang
lebih tinggi secara sukarela, Kementerian antaranya mencadangkan
pendekatan seperti berikut:


(i) Kemasukan pendaftaran kontraktor Kelas E dan D atau G2
dan G3 (Bumiputera) dihadkan dari kalangan kontraktor
Kelas F.


Walau bagaimanapun, kontraktor gred G2 dan G3 di bawah
pendaftaran CIDB masih boleh dibenarkan untuk memasuki
secara terus sebagai kontraktor bumiputera Kelas D dan E di
bawah PKK dengan syarat mereka memenuhi keperluankeperluan yang ditetapkan.

(ii) Pemansuhan kerja-kerja undi secara berperingkat

Untuk peringkat awal dicadangkan kontraktor gred G1
(Bumiputera) samada yang baru atau sedia ada akan diberikan
kerja undi bagi tempoh 3 tahun pertama sahaja. Selepas itu,
mereka tidak lagi diberi peluang menyertai kerja-kerja undi. Syarat
ini bertujuan untuk memastikan kontraktor tidak hanya bergantung
kepada projek-projek Kerajaan tetapi hendaklah juga berusaha
mendapatkan projek-projek swasta atau bekerjasama dengan
kontraktor kelas yang lebih tinggi yang ditawarkan kerja awam
atau pun swasta.

(iii) Tapisan Kelas F

Program tapisan ini perlu dilaksanakan untuk menentukan
ketulenan dan kesahihan kontraktor kelas F. Melalui program
saringan ini, dijangkakan hanya kontraktor-kontraktor yang
didapati kompeten sahaja yang akan diperbaharui lesen
pendaftaran mereka. Pendaftaran kontraktor kelas F akan
disaring secara teliti semasa pembaharuan dilakukan dengan
mensyaratkan pemilik hendaklah hadir sendiri semasa

permohonan pembaharuan tersebut. Melalui tapisan sedemikian,
hanya kontraktor yang benar-benar layak sahaja akan
diperbaharui manakala kontraktor yang tidak hadir atau tidak
memenuhi syarat-syarat pendaftaran PKK atau diklasifikasikan
sebagai dorman akan dicadang untuk ditamatkan dan tidak
diperbaharui lesennya. Walau bagaimanapun, kontraktor yang
ingin menukar pemilikan lesen kepada individu lain khususnya
kepada ahli keluarga terdekat seperti anak atau isteri perlu
menamakan individu tersebut sebagai rakan kongsi atau ahli
pengurusan syarikat terlebih dahulu dan bergiat aktif dalam
syarikat sekurang-kurangnya satu 1 tahun sebelum pemindahan
milik syarikat dapat dilaksanakan. Pemilik baru akan ditemuduga
bagi tujuan pendaftaran dan bidang kerja yang dimiliki.

sumber: (http://www.kkr.gov.my/files/KELAS%20F%20MUKTAMAD.pdf)
http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Sistem_Satu_Pendaftaran_Kontraktor.html
http://www.kkr.gov.my/files/KELAS%20F%20MUKTAMAD.pdf
www.kkr.gov.my

Wednesday, July 27, 2011

Kontraktor Jual rumah, ikat perut tiada projek



Jual rumah, ikat perut tiada projek
Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
fazliabdullah@bharian.com.my
2011/05/28

28,588 kontraktor Kelas F bakal gulung tikar

GEORGETOWN: Seramai 28,588 kontraktor Kelas F di seluruh negara kini dalam kesempitan sehinggakan ada yang terpaksa menjual rumah manakala ramai lagi mungkin gulung tikar kerana tidak mendapat sebarang projek baru.

Malah, sejak 2005 hingga sekarang, hampir 7,000 kontraktor sudah bankrap dan sebahagian besar yang lain kini dalam keadaan ‘hidup segan mati tidak mahu.’
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamad Fadzill Hassan, berkata masalah kekurangan projek amat ketara sejak dua tahun lalu dan ia makin terasa di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, khususnya Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kontraktor Kelas F, merayu kerajaan prihatin dengan nasib kontraktor Kelas F yang majoritinya menyokong kerajaan.

“PKMM amat sedih dengan nasib kontraktor Kelas F yang tidak mendapat projek sehinggakan ada yang terpaksa menjual rumah untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya kepada Berita Harian.

Mohamad Fadzill yang juga Yang Dipertua PKMM Pulau Pinang, berkata biarpun kontraktor amat teruja apabila kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang membabitkan projek bernilai puluhan bilion ringgit, tetapi pada hakikatnya kontraktor Kelas F terpaksa terus ‘ikat perut’ kerana tiada projek baru untuk mereka.

“Persatuan amat berharap agensi ditubuhkan oleh kerajaan seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melihat masalah dihadapi kontraktor Kelas F ini,” katanya.

Beliau turut memberi contoh pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar, yang tidak dinikmati oleh kontraktor Kelas F.

Katanya, walaupun ada komitmen untuk memberi peratusan tertentu kerja bagi projek berkenaan kepada kontraktor Kelas F, ia tidak menjadi kenyataan.

Mohamad Fadzill berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan sewajarnya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 bilion nilai projek untuk menampung keperluan kontraktor Kelas F di seluruh negara.

Sementara itu, seorang kontraktor Kelas F mengakui nasib mereka kini amat kronik dan ada yang terpaksa berhempas-pulas meneruskan hayat operasi ketika yang lain gulung tikar.

Pemilik syarikat Ishak Mat Abu Enterprise, Ishak Mat Abu, berkata beliau sendiri dihimpit masalah itu apabila syarikatnya yang berpangkalan di Raub, Pahang, tidak menerima sebarang projek, tahun lalu.

“Tahun ini, cuma ada satu projek. Ini memberi kesan kepada kami terutama kontraktor baru dan masalah ini boleh dikatakan agak kronik,” katanya ketika dihubungi.

Bekas kontraktor kelas F, Sarizat Mohd Nor, 39, dari Seberang Prai di sini, pula terpaksa menjual kuih selepas syarikatnya ditutup kerana kekurangan projek beberapa tahun lalu.

Sarizat yang memiliki Alternative Telecomunications and Construction, menutup syarikatnya selepas kerugian akibat tidak mendapat projek kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Lazimnya ada kontraktor berpakat semasa sendiri menentukan jumlah harga sesebuah projek. Mereka bermain dengan harga dan pihak yang meluluskan projek hanya memilih kontraktor berkenaan.

“Ini menyebabkan kontraktor baru susah mendapat projek dan ada yang gulung tikar seperti saya. Kebanyakan kontraktor Kelas F juga tidak mampu membuat pusingan modal mereka dan pihak memberi pinjaman seperti bank pula mengenakan syarat ketat.

“Mungkin kerajaan boleh meminta bank melonggarkan syarat pinjaman dan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menghulurkan bantuan,” katanya.

terimakasih(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jualrumah_ikatperuttiadaprojek/Article)

zmsegamat kata: masalah kekurangan projek ini melanda pada semua kontraktor di seluruh negara. dan bukan setakat pada kontraktor yang berdaftar dengan PKK kelas F sahaja tetapi pada semua kelas kontraktor. samada kelas F, kelas E, kelas D, kelas C, kelas B dan kelas A.. apa peranan pihak yang berkuasa??

Saturday, January 16, 2010

Bisnes :JOM MAKAN Perkenal Masakan Malaysia Di Peringkat Dunia

Sabtu Januari 16, 2010
JOM MAKAN Perkenal Masakan Malaysia Di Peringkat Dunia

Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pengarah urusan JOM MAKAN United Kigndom, Muhd Zuhri Abdullah mencuba hidangan roti canai dan teh tarik terbaik di kota London.

LONDON: Usaha-usaha hebat untuk memperkenalkan makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa akhirnya terbayar apabila restoran JOM MAKAN di United Kingdom baru-baru ini melancarkan cawangan keduanya hanya dalam masa setahun di pusat membeli-belah paling ramai dikunjungi di Eropah - Westfield Shopping Centre, London.

Westfield, yang berkeluasan 1.6 juta kaki persegi ruang niaga dan mencatatkan lebih 20 juta pengunjung sejak dibuka, menawarkan lokasi yang amat strategik untuk restoran JOM MAKAN menawarkan hidangan masakan tempatan kepada masyarakat asing.

Pusat membeli-belah itu terletak di luar stesen Shepherds Bush Underground di Central Line dan berhampiran dengan BBC. Ini bererti JOM MAKAN mampu memikat pontensi pengunjung yang sentiasa berulang-alik untuk menikmati hidangan masakan Malaysia setiap hari.

Restoran itu menyediakan masakan Malaysia halal dan mudah disediakan kepada lebih 15,000 pengunjung sebulan di dua cawangannya di kota London. Perkhidmatannya juga mudah dan cepat.

"Setiap tahun JOM MAKAN menawarkan hidangan jenama Malaysia ini kepada 180,000 penduduk London dan masyarakat dunia," kata usahawan Malaysia Mohd Zuhri Abdullah yang juga Pengarah Urusan JOM MAKAN.

Chef restoran JOM MAKAN sedang membakar satay.

Sambil menikmati juadah di JOM MAKAN, pelanggan juga diberi pendedahan tentang Malaysia dan perkara-perkara menarik yang terdapat di negara ini.

Pelapik-pelapik meja menarik yang menghiasi restoran ini mengandungi maklumat tentang tarikan utama Malaysia seperti wayang kulit, wau bulan, durian dan menara berkembar Petronas.

Mohd Zuhri berkata, beliau gembira dan bangga apabila JOM MAKAN cawangan Westfield terpilih untuk pelancaran Kempen Malaysia Kitchen 2010 di London pada Isnin lalu apabila media British dan chef-chef selebriti antarabangsa berpeluang menikmati hidangan Malaysia yang disediakan di restoran itu.

JOM MAKAN menghidangkan satay, nasi lemak, rendang daging, kway teow goreng, ayam percik, nasi ayam Hainan, nasi goreng, nasi beriyani, gado-gado, mee Hailam, mee goreng, mee kari, sambal tumis udang dan lain-lain. Malah minuman kegemaran rakyat Malaysia, teh tarik turut dihidangkan.

Restoran JOM MAKAN Westfield mencerminkan outlet pertama terletak di Pall Mall yang menggunakan konsep dapur terbuka dengan menitikberatkan makanan segar dan cepat disediakan di mana para penunjung boleh duduk makan dalam suasana santai dan pada masa yang sama, turut mematuhi tahap piawaian kebersihan dan kesihatan paling tinggi.

Muhyiddin bergambar bersama kakitangan JOM MAKAN.

Kesungguhan restoran Malaysia ini melambangkan contoh cemerlang tentang kejayaan konsep Malaysian Kitchen dan pembukaannya di Westfield yang serba mewah mampu dilakukan setelah berjaya membuktikan prestasinya sebagai jenama restoran Malaysia di kota kosmopolitan London.

JOM MAKAN telah melaburkan lebih 800,000 pound sterling untuk membangunkan restoran kedua mereka di Westfield. Dengan keluasan 3,100 kaki persegi, restoran dua tingkat itu boleh memuatkan 120 pelanggan.

"Restoran JOM MAKAN Westfield meramalkan pulangan mencapai 1.2 juta pound sterling pada tahun pertama beroperasi," kata Mohd Zuhri.

Perasmian restoran kedua membawa keseluruhan pelaburan JOM MAKAN di United Kingdom kira-kira 1.9 juta pound sterling. Kedua-dua restoran itu mempunyai pajakan selama 25 tahun.

Dengan mempromosikan konsep 'Sekarang semua orang boleh nikmati makanan Malaysia, semua orang boleh masak masakan Malaysia', JOM MAKAN telah mencipta satu impak besar di London bagi memenuhi lebih 3,500 orang pelanggan setiap minggu yang mana 85 peratus adalah warga British.

Mohd Zuhri turut memuji usaha kerajaan dalam mempromosikan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan bersungguh-sungguh bagi menggalakkan usahawan restoran Malaysia mencipta nama dalam dunia kulinari di peringkat antarabangsa.

"Model perniagaan JOM MAKAN telah diuji, dan menawarkan prospek cemerlang dan pengembangan cepat di seluruh dunia untuk hidangan Malaysia. Sama ada di London, Paris atau New York, JOM MAKAN dengan mudah boleh dibina dan siap sedia untuk beroperasi dalam masa seminggu," katanya.


"Kami berharap dapat membuka lima cawangan di United Kingdom menjelang 2012 dan mengintai peluang untuk membawa konsep tersebut ke Amerika Syarikat.

"Dengan sokongan daripada kerajaan Malaysia, kami yakin hasrat murni kami untuk memperkenalkan makanan Malaysia ke tahap paling tinggi ke bandar-bandar utama dunia akan tercapai," katanya.

Menurutnya, dengan sokongan pengunjung seramai 15,000 orang setiap bulan, rangkaian JOM MAKAN turut mempromosikan Malaysia secara besar-besaran melalui pelancongan makan-makan.

Kedua-dua cawangan restoran JOM MAKAN di London beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari kecuali pada Ahad (10 malam). Setiap cawangan diuruskan oleh 30 kakitangan.

(sumber;http://www.mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/1/16/mstar_manusia_peristiwa/20100115200342&sec=mstar_manusia_peristiwa)

Bisnes :Sara hidup dengan mi siput

ARKIB utusan: 15/01/2010
Sara hidup dengan mi siput

Tukimon Watim berniaga mi siput di Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 14 Jan. - Berbekalkan hasrat untuk menambah pendapatan keluarga, pasangan suami isteri warga emas, Tukimon Watim, 63, dan Marhamah Marhani, 59, mencuba nasib berniaga mi siput secara kecil-kecilan kira-kira enam tahun lalu.

Bermodalkan RM500, pasangan yang menetap di T/L 147 Kampung Sungai Nibong, Semerah dekat sini memulakan perniagaan itu dengan membeli bahan-bahan untuk membuat mi tersebut.

Dalam keadaan serba kekurangan ketika itu, mereka hanya mampu menghasilkan 20 hingga 25 kilogram mi siput sehari untuk dipasarkan di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, semakin hari, permintaan terhadap mi siput bertambah dan mereka kemudian membeli sebuah mesin menguli tepung berharga RM1,500 bagi meningkatkan pengeluaran.

Tukimon memberitahu, dengan adanya mesin penguli itu kerja-kerja membuat mi siput lebih mudah dan jumlah yang dihasilkan meningkat.

Kegigihan pasangan itu turut mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan mereka diberi bantuan mesin pemotong berharga RM3,000 supaya mampu menghasilkan sehingga 40 kilogram mi siput sehari.

Produk yang dilabelkan dengan jenama Mee Siput Usahasama T & M Enterprise kini semakin digemari kerana ia merupakan salah satu makanan ringan yang rangup dan sedap dimakan bersama sambal kicap pedas.

Kegigihan mereka terus mendapat perhatian Jabatan Pertanian Daerah dan sekali lagi mereka diberi bantuan membina bangunan bernilai RM28,000 untuk meneruskan perusahaan kecil dan sederhana itu dengan lebih sistematik.

Jika dahulu mereka melakukan kerja-kerja di luar rumah tetapi kini, pasangan itu mempunyai 'kilang mini' yang didirikan di sebelah rumah.

"Sekarang apabila hujan kami tidak lagi bimbang kerana sudah mempunyai tempat pemanas untuk mengeringkan mi siput yang dikeringkan menggunakan cahaya matahari," kata Tukimon ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sekiranya mi siput tidak cukup kering ia akan dijangkiti kulat dan terpaksa dibuang, katanya, sambil memberitahu mereka mempelajari cara-cara membuat mi itu daripada 'pengusaha' yang berpengalaman dan berjaya.

Kini, pasangan itu turut dibantu oleh anak mereka, Mohd. Azri Yim, 30, yang bertanggungjawab memasarkan produk itu di sekitar negeri ini.

Katanya, mi siput dijual pada harga RM5 sekilogram atau RM4 bagi 700 gram yang telah siap dibungkus.

Tukimon memberitahu, kini mereka dibantu lima pekerja tetap dan sedia menerima pelatih yang ingin mempelajari pembuatan makanan tersebut seperti yang dilakukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) baru-baru ini.

Agrobiz :Industri tani penjana kekayaan

ARKIB : 15/01/2010
Industri tani penjana kekayaan

- BERNAMA

Kejayaan Ahmat Termizi Dollah Kusni dan isterinya, Jamirah membuktikan industri asas tani melahirkan usahawan berjaya.



Dengan hanya bermodalkan RM50, Ahmat Termizi Dollah Kusni, 50, dari Kampung Bukit Bangkong, Sepang berjaya menjadi jutawan dalam industri kerepek ubi kayu.

Walaupun pernah tiga kali gagal, beliau akhirnya meraih kejayaan berkat kegigihan dan keyakinannya bahawa pertanian ialah suatu perniagaan.

Menurut Ahmat Termizi, beliau mula terbabit dalam penjualan kerepek ubi kayu pada tahun 1986 dengan modal hanya RM50 dan sebuah kuali yang dipinjam untuk menggoreng kerepek ubi.

"Saya pernah tiga kali gagal sehinggalah pada suatu ketika saya terpaksa menjadi pemandu lori," katanya ketika ditemui di kilang syarikat Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd di Jalan Mempelam, Kampung Bukit Bangkong, Sepang, Selangor.

Nasibnya mula berubah apabila beliau menubuhkan Jamirah Food Industries (M) Sdn Bhd pada tahun 1996.

Ahmat Termizi, Pengarah Urusan syarikat itu, berkata, hari ini beliau mempunyai beberapa lagi anak syarikat iaitu Jamirah Enterprise, JFI Marketing Sdn Bhd dan Gemba Marketing Sdn. Bhd.

Pada tahun 2004 syarikat itu mendapat Sijil Amalan Baik Ladang (GAP) dari Jabatan Pertanian sekali gus membuka lembaran baru untuk terus berkembang dalam perusahaan kerepek ubi kayu.

PENGALAMAN 20 TAHUN

"Selepas 20 tahun saya bekerja keras, akhirnya saya berjaya menembusi pasaran luar dan hari ini hampir 20 peratus daripada keluaran kilang saya seperti kerepek ubi dipasarkan di luar negara seperti United Kingdom, Australia, Dubai dan Vietnam," katanya.

Ketika ini kilangnya, yang mempunyai kira-kira 20 pekerja tetap, mampu menghasilkan tiga tan kerepek ubi kayu sehari. Menurut Ahmat, buat masa ini jualan kerepek ubi kayunya dengan jenama Agro Chips mencecah RM5 juta setahun iaitu 80 peratus untuk pasaran tempatan manakala selebihnya untuk pasaran luar negara.

TERNAK KAMBING

Sementara itu seorang lagi pengusaha, Mahathir Talib, 35, yang terbabit dalam bidang ternakan kambing secara komersil di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka berkata beliau yakin sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya potensi sektor penternakan sememangnya amat luas dan masih banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk mengembangkan lagi sektor itu.

"Melihat kepada potensi ini saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, bebiri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Beliau berkata pada permulaan operasi beliau mempunyai 60 ekor baka betina dan lima ekor baka jantan daripada pelbagai jenis baka kambing seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean serta bebiri Barbados, Lonte dan Malin.

Menurutnya ketika ini syarikatnya menjalankan usahasama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar.

Mahathir berkata hari ini kambing yang diternaknya berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800kg daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang baik dan saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung dengan berat dan baka kambing," katanya.

Beliau kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang and 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

TIDAK PUTUS ASA

Bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, beliau tidak pernah berputus asa kerana yakin bidang ini boleh menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung dan pada pertengahan tahun, beliau membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000.

Setahun kemudian beliau mula membeli lembu pula. Bermula dengan empat ekor dengan modal RM3,200, beliau menambahnya kepada 51 ekor dengan modal RM75,000.

Kata Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit dan jika ia berlaku pastinya kerugian besar yang terpaksa ditanggung bila ternakan mati dalam jumlah yang besar.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu manakala kambing berjumlah 170 ekor," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia, katanya.

Agrobiz :Yee.. haa! nanti kunjungan peminat daging

ARKIB : 15/01/2010
Yee.. haa! nanti kunjungan peminat daging

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

berkonsepkan makanan Barat, Yee..haa! menampilkan fesyen ala koboi.

SETELAH berjaya membangunkan perniagaan produk sejukbeku di bawah jenama Perfect Fresh & Frozen, KMJ Suplies Sdn. Bhd. maju setapak lagi.

Kini syarikat berkenaan memperkenalkan perniagaan makanan panas yang berasaskan daging dengan membuka kiosk makanan ala koboi dengan jenama 'Yee...Haa!'

Pengarah Urusan Perfect Fresh & Frozen, Nordin Mat berkata, kiosk berkenaan mempromosikan pelbagai menu daging segar berdasarkan permintaan pelanggan.

"Kami menawarkan menu utama berasaskan daging kambing seperti Chevon Boer Steak dan Chevon sage," katanya semasa ditemui.

Chevon Boer Steak merupakan kepingan kambing Boer yang diperap dan dihidangkan dengan sos pilihan cendawan atau lada hitam, coleslaw, kentang goreng dan pilihan nasi atau roti.

Hidangan ini dihasil menggunakan kambing Boer muda terpilih.

Kambing Boer yang berasal dari Afrika Selatan terkenal kerana keenakan dagingnya selain daripada khasiat.

Rasa dagingnya pula manis, tidak berbau hamis berbanding dengan kambing-kambing lain.

Chevon sage pula merupakan resipi baru yang pertama kali dihidangkan di negara ini menggunakan daging kambing.

Hidangan sosej segar yang diperbuat daripada daging kambing terpilih dengan campuran rempah ratus yang dihidangkan bersama-sama sos pilihan sama ada sos cendawan atau lada hitam, coleslaw, kentang goreng yang boleh dimakan dengan nasi atau roti.

Resipi Chevon sage dihasilkan sendiri oleh Perfect Fresh & Frozen bagi mempromosikan daging kambing tempatan untuk dinikmati oleh pelanggan.

Promosi daging kambing bukan saja dapat membantu penternak memasarkan kambing mereka tetapi juga bagi memperkenalkan daging kambing sebagai diet terbaik yang kurang kolestrol hanya tiga peratus berbanding biri-biri 16 peratus.

Selain itu kiosk Yee... Ha! juga menghidangkan pelbagai menu lain termasuk rib eye steak, la,b chop, beef sage, breaded chicken chop, fish and chip, chicken sage, country roll dan rodeo fries.

Apa yang lebih menarik, semua produk berkenaan dihasilkan sendiri oleh Perfect Fresh & Frozen telah menerima pengiktirafan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Nordin berkata dengan pembukaan cawangan kiosk Yee...Ha!, bukan saja dapat memberikan peluang perniagaan kepada anak muda tempatan tetapi juga memacu industri penternakan ruminan negara.

Sementara itu Panasejuk Food Beverage Sdn Bhd diberikan mandat menguruskan kiosk-kiosk Yee... Ha!

Pengarah Pemasarannya, Ashaari Mohd Nasir berkata, pihaknya amat tertarik dengan konsep yang diperkenalkan dan menu-menu yang menarik dan sedap.

"Saya yakin Yee...Ha! akan dapat menarik perhatian orang ramai seterusnya menjadi pilihan kepada penggemar makanan Barat," katanya.

Kini kiosk Yee...Ha! pertama dibuka di Restoran Kampung Pandan, manakala yang lain akan dibuka di kawasan Lembah Kelang dalam masa terdekat.

"Dalam tempoh setahun, kami merancang membuka cawangan lain di lokasi strategik di seluruh negara," katanya.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat untuk membuka cawangan kiosk Yee...Ha! boleh menghubungi Adli di 012-6773036.