Showing posts with label datuk nasir safar. Show all posts
Showing posts with label datuk nasir safar. Show all posts

Thursday, February 4, 2010

Ibrahim Ali bersimpati nasib pegawai khas Najib



Ibrahim Ali bersimpati nasib pegawai khas Najib

Oleh G. Manimaran


KUALA LUMPUR, Feb 3 — Presiden Pribumi Perkasa Malaysia Datuk Ibrahim Ali (gambar) bersimpati dengan nasib Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri, yang memutuskan untuk meletakkan jawatan ekoran kenyataannya yang didakwa berunsur perkauman semalam.

Saya bersimpati dengan Nasir Safar. Saya faham mengapa Nasir Safar keluarkan kenyataan macam itu, meluahkan perasaan macam itu,” kata beliau kepada TheMalaysian Insider ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata isunya bukan Nasir tetapi “kita kena tahu mengapa beliau bercakap demikian.”

“Tapi mengapa Nasir Safar cakap-cakap macam itu... sebab dia luahkan macam itu,” katanya.

Ibrahim mendakwa Nasir kemungkinan bercakap demikian ekoran pelbagai isu menyentuh hak orang Melayu yang dipersoalkan oleh bukan Melayu sejak kebelakangan ini.

“Dulu kita ada Ahmad Ismail (bekas Ketua Umno Bukit Bendera), sekarang Nasir Safar. Lepas ini mungkin ada lebih ramai macam Nasir Safar,” katanya.

Ibrahim berkata jika beliau dalam keadaan Nasir sudah pasti akan bercakap dengan lebih keras.

“... patut saya cakap, tapi saya dah tua,” katanya.

Nasir mengeluarkan kenyataan itu yang menyinggung perasaan orang India pada majlis Rapat 1Malaysia di Melaka pagi semalam.

Kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri lewat petang semalam menyebut “kenyataan yang didakwa dibuat oleh Nasir di Melaka tidak mencerminkan pandangan Perdana Menteri.”

“... Nasir tidak berhasrat untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan menghina. Beliau bercakap dengan panjang lebar sumbangan semua kaum dalam pembangunan negara,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, Nasir memohon maaf atas sebarang masalah yang timbul dan oleh itu akan melepaskan jawatannya.

Bagaimanapun Nasir yang dihubungi The Malaysian Insider memberitahu:

“Saya tidak menggunakan perkataan ‘pendatang’. Saya hanya mengatakan negara telah maju dengan adanya orang Cina dan India, dari dulu hingga sekarang, datang ke sini untuk bekerja.”

Malah beliau juga menolak dakwaan bahawa telah mengugut untuk melucutkan kerakyataan bukan Melayu yang menuntut hak mereka dihormati.

“Saya tidak mengugut sesiapa dan saya tiada niat untuk berbuat demikian.

“Anda tahu saya sangat rapat dengan orang MIC. Saya hanya berkata adalah tidak baik untuk membuat tuntutan-tuntutan macam itu memandangkan komuniti lain akan bertindak balas,” katanya lagi.

Beberapa pemimpin MCA, MIC dan Gerakan memulaukan sesi Nasir dengan bertindak keluar dari dewan persidangan ekoran kenyataan menyinggung perasaan itu.

Ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam.

(sumber;http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/51834-ibrahim-ali-bersimpati-nasib-pegawai-khas-najib)

Wednesday, February 3, 2010

Kenyataan Pegawai Khas PM Disalah Tafsir - Kelab Belia Graduan


Kenyataan Pegawai Khas PM Disalah Tafsir - Kelab Belia Graduan

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuat oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, pada seminar 1Malaysia di Melaka semalam, telah disalah tafsir, kata Timbalan Pengerusi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Najieb Mokhtar.

"Beliau telah mengendalikan 60 ceramah sepanjang tahun lepas dan pada tahun ini sahaja sebanyak 22 ceramah, dan tidak pernah wujud sebarang penyalahtafsiran dan ketidak fahaman selama ini. Kami yakin isu ini timbul akibat provokasi," katanya kepada pemberita Rabu.

Seramai 20 orang wakil kelab itu berkumpul di hadapan pondok pengawal Jabatan Perdana Menteri Rabu bagi memberi sokongan kepada Nasir yang didakwa mengeluarkan kata-kata pada satu seminar yang menyinggung perasaan kaum-kaum tertentu.

Pada Selasa, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Nasir akan meletak jawatan.

Najieb berkata beliau turut hadir pada seminar itu semalam dan tidak berlaku boikot acara berkenaan seperti yang didakwa.

"Terdapat 1,000 orang daripada pelbagai kaum yang hadir. Adalah dalam lima orang yang meninggalkan dewan sedangkan yang lain memberi tepukan ketika Datuk (Nasir) hendak beredar," katanya.

Najieb berharap Nasir tidak akan meletak jawatan kerana beliau masih mampu menyumbang khidmat yang baik dalam melaksanakan misi Perdana Menteri.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=473081)

-----------------------------------------------------------------------------------


'India pengemis', 'Cina jual tubuh' - 12 laporan dibuat Yip Ai Tsin
Feb 3, 10
1:59pm

Sekurang-kurang 12 laporan polis dibuat ke atas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar berhubung kenyataannya yang berbaur perkauman pada seminar 1Malaysia di Melaka, semalam.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin, semua 12 laporan itu dibuat di seluruh negara dan beliau memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Ditanya samada Nasir akan ditahan atau diheret ke mahkamah berhubung kenyataannya itu, Mohd Bakri berkata adalah terlalu awal untuk mengulas sementara siasatan dijalankan.

“Biar kami menyiasat terlebih dahulu. Kami mesti mengumpul semua fakta dan saksi. Hanya selepas itu, kami akan menentukan samada untuk menahannya,” katanya.

Ucapan Nasir di Melaka semalam itu menyebabkan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Dia dikatakan menimbulkan kemarahan hadirin apabila melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang.

Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.

Beberapa jam selepas Malaysiakini mendedahkan berita itu, Pejabat Perdana Menteri pada satu kenyataan malam semalam mengumumkan Nasir akan meletakkan jawatan.

Menurut kenyataan media itu lagi, kenyataan Nasir juga tidak mencerminkan pandangan perdana menteri.

Nasir, tambahnya, memohon maaf terhadap sebarang kenyataannya yang menyinggung mana-mana pihak.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123576)

zmsegamat kata: sama-sama kita menilai kenyataan dari BERNAMA dan MALAYSIAKINI
teringat pada peribahasa melayu "Takkan cempedak berbau nangka" yang bermaksud hendaklah diselidiki sesuatu perkara itu dengan saksama lebih dahulu sebelum mempercayai percakapan orang. kita kena baca buku sejarah negara kita selepas ini.

Tuesday, February 2, 2010

Datuk Nasir Safar Akan Letak Jawatan Sebagai Pegawai Khas PM


Datuk Nasir Safar Akan Letak Jawatan Sebagai Pegawai Khas PM

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar akan meletakkan jawatannya itu berikutan kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuatnya pada seminar 1Malaysia di Melaka Selasa.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini Selasa malam berkata kenyataan yang didakwa dibuat oleh Nasir "dalam keadaan apa cara sekalipun tidak mencerminkan pandangan Perdana Menteri."

"Datuk Nasir tidak ada niat untuk mengeluarkan sebarang kenyataan menghina. Beliau bercakap secara panjang lebar mengenai sumbangan oleh semua kaum dalam membangunkan negara.

"Oleh yang demikian, Nasir memohon maaf jika kenyataannya itu telah menyinggung mana-mana pihak.

"Sehubungan ini, Datuk Nasir akan meletakkan jawatannya," menurut kenyataan tiga perenggan itu.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu, yang menyelar Nasir bagi kenyataannya itu berkata ia tidak mencerminkan pendirian kerajaan dan ia telah menyinggung perasaan kaum India Malaysia.

"Pandangan beliau jauh bertentangan dengan semangat muhibah yang ditunjukkan oleh kerajaan dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) di bawah gagasan 1Malaysia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata Nasir patut dihukum mengikut Akta Hasutan bagi kenyataan menghina itu.

Sementara itu, Setiausaha Pemuda MIC Shivarraaj malam ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Nasir itu di Balai Polis Sentul di sini.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=472903)
-------------------------------------------------------------------------------------

Kenyataan rasis: Pegawai khas PM letak jawatan
Feb 2, 10 8:20pm

Datuk Nasir Safar, pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan meletakkan jawatan berhubung kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman di Melaka pagi ini, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurutnya lagi, kenyataan Nasir itu juga tidak mencerminkan pandangan perdana menteri.

Nasir, tambahnya, memohon maaf terhadap sebarang kenyataannya yang menyinggung mana-mana pihak.

Berikutan itu, Nasir akan meletak jawatan.

Nasir dikatakan telah membuat kenyataan berbaur perkauman ketika berucap pada seminar '1Malaysia' di Melaka hari ini, menyebabkan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Menurut sumber, Nasir telah menimbulkan kemarahan hadirin apabila dia melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang.

Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.

Pemuda MIC dijadual membuat laporan polis lewat hari ini dan satu memorandum bantahan akan juga dikemukakan kepada Najib apabila beliau dijadualkan melawat Melaka pada 4 Februari.

Sementara itu, presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu melahirkan rasa marahnya berhubung insiden berkenaan.

Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai isu perkauman yang melampau menggesa perdana menteri mengambil tindakan sewajarnya ke atas pembantunya.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123539)

zmsegamat kata: sekarang ni nak cerita tentang sejarah negara pun kena berhati-hati.