Showing posts with label ahmad maslan. Show all posts
Showing posts with label ahmad maslan. Show all posts

Tuesday, June 8, 2010

BN/UMNO TIDAK HIPOKRIT BENTANG USUL KUTUK ISRAEL


08 June, 2010
YB Hj. Ahmad bin Hj. Maslan:BN/UMNO TIDAK HIPOKRIT BENTANG USUL KUTUK ISRAEL

1.0 Azmin nyatakan di Dwn Rakyat petang ini bahawa BN/UMNO hipokrit bentang usul kutuk Israel kerana telah lantik APCO yang dia sebut kononnya milik Yahudi Israel.

2.0 Wahai Azmin, buka www.apcoworldwide.com... disebut APCO adalah salah sebuah syarikat perunding komunikasi terbesar di dunia dimiliki secara independent/private/persendirian, ditubuh 1984 beribu pejabat di Washington DC, bukan di Israel. APCO kini adalah sebagai "one of the largest independently-owned communication consultancies in major business & media capitals throughout the world". Margery Kraus, President & CEO APCO Worldwide, adalah seorang wanita berkulit putih, rakyat Amerika Syarikat, bukan rakyat Israel. Sebagai satu strategi perniagaan, maka APCO mempunyai apa yang disebut sebagai International Advisory Council (IAC) yang bukan pemilik APCO, sekadar menjadi penasihat bila diperlukan.

3.0 Daripada 53 orang ahli IAC yang berasal dari pelbagai negara terdapat 3 orang daripada mereka Israel, 50 org lagi bukan dari Israel. 3 penasihat dari 50 orang ini tidak menjadikan Israel sebagai pemilik APCO.

4.0 Teramat cetek pandangan jika 3 drpd 50 boleh menguasai nasihat. Pejabat APCO di 29 tempat termasuk di KL. Staff mereka di KL tidak ada seorang pun orang Yahudi Israel & bertindak sebagai cawangan yg bebas.

5.0 APCO bukan menasihat dasar negara tetapi hanya menjadi perunding komunikasi kepada dasar yang telah diputuskan agar Malaysia dikenali dengan baik di seluruh dunia. APCO bukan anak syarikat kerajaan Israel, tiada kaitan dengan agenda Israel, hanya sebuah syarikat berorientasi perniagaan dan bukan organisasi politik. Mereka pakar dalam komunikasi strategik dan menasihat agar komunikasi Malaysia bertaraf dunia dan mengguna "the world best practices in strategic communication".

6.0 Tuduhan pembangkang menyebut APCO adalah syarikat Yahudi adalah agenda jahat mereka yang kecewa dengan kejayaan Malaysia berada di tempat ke 10 antara negara paling berdaya saing di dunia bagi tahun 2010 di kalangan 58 negara utama dunia. Mereka kecewa kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah 10.1% dalam suku pertama tahun ini.. [ABM]

Posted by YB Hj. Ahmad bin Hj. Maslan at 1:05 AM

(sumber;http://ahmadmaslan.blogspot.com/2010/06/bnumno-tidak-hipokrit-bentang-usul.html)

Saturday, May 16, 2009

60,000 Anggota Jentera Penerangan Umno Tidak Faham Tugas : Ahmad Maslan

KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Lebih 60,000 anggota jentera penerangan Umno di seluruh negara gagal menjalankan tugas kerana tidak memahami tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, kata Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan.

Beliau berkata ramai yang tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana tidak dimaklumkan tentang tugas sebenar mereka sebagai anggota jentera penerangan parti.

Katanya terdapat 20,000 anggota jentera penerangan di peringkat cawangan parti, tidak termasuk 18,000 Ketua Penerangan Wanita, 15,000 Ketua Penerangan Pemuda dan 7,000 Ketua Penerangan Puteri di peringkat itu.

"Jumlah mereka ramai tetapi ramai yang tidak tahu tugas dan tidak tahu apa yang hendak dibuat," katanya kepada pemberita pada perjumpaan dengan jawatankuasa penerangan Umno Terenggani di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Ahmad, yang baru dilantik ke jawatan itu pada selepas perhimpunan agung Umno pada Mac lepas, berkata beliau berazam untuk mengaktifkan kesemua jentera yang ada menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Jika semua jentera penerangan itu digerakkan, ia mampu memberi impak baik kepada Umno dan Barisan Nasional kerana dengan cara itu rakyat akan lebih faham tentang isu-isu semasa," katanya.

Ahmad berkata anggota jentera penerangan yang dikenal pasti akan dilatih sebagai penceramah dan diberi penerangan tentang isu-isu semasa supaya mereka dapat menjalankan peranan di peringkat akar umbi.

Katanya beliau menyasarkan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 50 penceramah di setiap negeri.

-- BERNAMA

Kacamata: Umno utamakan penjelasan dari gelap, samar, terang



AHMAD (kanan) ketika melakukan lawatan kerja ke Pejabat Penerangan Umno.

Oleh Hishamuddin Aun
hishamaun@nstp.com.my


Ahmad Maslan sedia gerakkan jentera penerangan raih sokongan

AHMAD Maslan hanya tersipu-sipu apabila diingatkan zamannya bermain lastik dan layang-layang tidak lagi boleh disamakan dengan zaman pencinta internet, I-pod dan Playstation yang menjadi golongan sasarnya kini.

"Saya kena akui itu," kata Ketua Penerangan Umno yang baru dilantik itu. "Zaman memang sudah banyak berubah, apatah lagi golongan muda lebih terdedah kepada kecanggihan teknologi, termasuk kecenderungan mereka kepada media maya."

Di bahunya terpikul amanah yang amat berat. Sebagai pengganti Tan Sri Muhammad Muhd Taib, pelantikan Ahmad, 43, seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, 24 April lalu, bukan tanpa bersebab.

Harus tidak bersalahan untuk beliau dilihat berupaya memainkan peranan sebagai jambatan bagi generasi baru di dalam Umno.

Pada usia awal 40-an, Ahmad dirasakan sesuai untuk menyelami aspirasi generasi berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an di mana Umno kehilangan sokongan pada Pilihanraya Umum (PRU), 8 Mac tahun lalu.

"Tujuh petala langit di bahu kanan dan tujuh petala langit di bahu kiri... begitulah saya rasa beratnya tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan Umno," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad, yang tidak berselindung sebagai anak keluarga penoreh getah di Kampung Parit Yusuf, Lubok Sipat, Benut, Johor yang baru menikmati kemudahan elektrik, air paip dan jalan tar kurang daripada 15 tahun lalu, tidak menganggap ada apa-apa yang mustahil.

Dari kecil, beliau sudah jenuh mengharungi pelbagai kepayahan sebagai anak kampung yang daripada kata-katanya sendiri, terperosok di 'tempat jin bertendang'.

Lantaran itu juga, empat keutamaan bagi membantu Presiden Umno dan parti dalam tugas barunya itu, diberinya kod 'mission possible'.

Pertama, untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dengan Umno sebagai parti tonggak, memenangi PRU Ke-13 dengan majoriti lebih dua pertiga serta menawan kembali negeri yang kalah.

Kedua, mengukuhkan kembali Umno menerusi proses penjenamaan dan peremajaan semula di segenap peringkat.

Ketiga, menyatupadukan semula di bawah lembayung Umno orang Melayu yang kini berpecah kepada empat kelompok, termasuk golongan atas pagar.

Keempat, menarik semula sokongan orang Cina dan India yang berpaling daripada menyokong BN pada PRU Ke-12.

"Mula-mulanya saya tertanya-tanya juga kenapa saya yang dipilih untuk tugas ini," akui Ahmad. "Lazimnya jawatan Ketua Penerangan Umno diberi kepada veteran dalam parti.

"Datuk Najib yang yakinkan saya bahawa tak ada masalah dari segi itu kerana beliau sendiri jadi Menteri Besar pada usia 28 tahun dan jadi menteri pada usia 34 tahun."

Malah, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut terdorong untuk melihat daripada keanggotaan 48 orang dalam MT Umno, cuma enam adalah dari golongan muda.

"Soalnya macam mana kita nak tarik golongan berusia 30 tahun kalau tidak dipertanggungjawabkan kepada beberapa kerat dalam MT yang hampir dengan usia mereka juga," katanya.

Lebih daripada itu, tugas Ketua Penerangan Umno memerlukan seorang yang suka banyak bercakap dan Ahmad harus memenuhi kriteria itu.

Celotehnya berbagai-bagai � daripada berlatarbelakangkan jawatan Ketua Penerangan Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) sejak Mei 2008 serta Ketua Penerangan UMPG (Umno MP Group).

Singkatan daripada Umno itu sendiri diterjemahkannya sebagai 'untuk membela nasib orang' sambil pendekatan yang mahu diterapkannya sebagai Ketua Penerangan Umno pula mengambil sempena 'GST'.

"Bukan government sales tax tapi dari gelap kepada samar, dari samar kepada terang," katanya.

"Kita akan menggunakan media bersemuka, media elektronik, media cetak dan media maya untuk mendekati kumpulan sasar seluruh rakyat Malaysia kerana Umno ini bukan hanya perjuangan untuk orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia."

Ahmad turut akur bahawa di atas kertas, Umno hari ini yang memiliki lebih 20,000 cawangan di seluruh negara, kecuali Sarawak, mempunyai jentera yang amat hebat � setiap satunya mempunyai ketua penerangan selain jawatan sama dari setiap sayap wanita, pemuda dan puteri.

Jika dijumlahkan semuanya, Umno boleh bersandar kepada lebih 80,000 ketua penerangan di peringkat cawangan saja yang harus mempermudah tugas untuk memberi penjelasan sesuatu isu atau dasar kerajaan kepada rakyat.

"Tapi itu cuma di atas kertas," kata Ahmad, "sedangkan dari segi realitinya tidak semudah itu. Ramainya ketua penerangan di peringkat cawangan sampai mereka tidak tahu apa tugas mereka.

"Walhal duduk di kedai kopi dan bercerita baik mengenai Umno itu juga kerja penerangan.

"Kalau jenamanya saja baik tapi pemasarannya tak cantik pun tak jadi juga. Nanti barang tak terjual."

Seperti sering diingatkan oleh Najib bahawa era 'kerajaan tahu semua' sudah berlalu, Ahmad menerima hakikat bahawa biro diketuainya memerlukan pendekatan luar biasa dalam tempoh dua tahun berikut bagi memastikan sokongan orang Melayu kepada parti itu kukuh dan masih tetap relevan.

"Dua tahun bukanlah masa yang panjang," katanya. "Apabila kita fikirkan banyaknya kerja penerangan yang hendak dibuat, tempoh dua tahun itu sebenarnya sangat suntuk."

Dalam pada itu, tidak semua yang dapat digerakkan serta-merta, termasuk keanggotaan Biro Penerangan Umno yang belum dapat dilengkapkan kerana ketua-ketua perhubungan negeri yang baru dilantik, belum menamakan ketua penerangan masing-masing.

Sambil sesetengah masih boleh menunggu, Ahmad pula tidak mahu berlengah � jadualnya akan bermula dengan pertemuannya dengan ketua penerangan Umno bahagian, berserta ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian di seluruh negara, bermula di Melaka hari ini.

"Saya akan turun padang dari satu negeri ke negeri yang lain untuk bersemuka dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka.

"Kita tidak boleh hanya bercakap untuk turun padang bila pada masa lalu ramai yang memilih untuk turun ke padang golf.

"Selain sesi penerangan, ceramah, bengkel dan kursus, Umno memerlukan lebih daripada itu bagi memastikan ketua penerangan sama ada di peringkat bahagian mahupun ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, benar-benar memahami peranan dan tugas masing-masing," katanya.

Bagi seorang yang dari kecil sudah terbiasa bermalamkan lampu pelita dan bermandikan air sungai dan telaga, Ahmad berharap untuk menunjukkan contoh bagaimana rakyat boleh didekati untuk sokongan kepada Umno diperkukuhkan.

"Kita harus berubah jika tidak mahu diubah, kalau tidak berubah kita akan rebah, dan kalau kita tak perintah, maka kita akan diperintah."

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090509231052/Article/)

Sunday, May 3, 2009

Satukan kaum Melayu berpecah empat antara fokus Ahmad Maslan


Ahad Mei 3, 2009


Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

CABARAN... Ahmad Maslan memikul tanggungjawab Ketua Penerangan Umno yang baru ketika parti sedang melalui situasi getir dan penuh cabaran selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008.

'TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'...itulah pepatah yang begitu sesuai dengan Ketua Penerangan Umno yang baru, Ahmad Maslan, 43.

Nama beliau bukanlah antara nama yang disebut-sebut untuk menjawat jawatan itu. Namun pelantikannya oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 24 April lalu bukanlah sesuatu yang boleh dipertikaikan memandangkan beliau sememangnya sudah lama terbabit dalam jentera penerangan Umno sebelum ini.

Pelantikannya dalam saf Kabinet baru sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda dan Biro Tatanegara juga menunjukkan beliau sememangnya mendapat kepercayaan yang begitu besar daripada Najib

Dalam temu bual dengan mStar Online, Ahli Parlimen Pontian ini menyifatkan pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Najib sebagai "tuah dan amanah."

"Ia antara tuah dan amanah. Memang begitulah nampaknya dan saya amat menghargai dan bersyukur atas amanah yang diberi serta menerima dengan tawaduk.

"Saya kira daripada pengalaman sudah-sudah, saya akan dapat melaksanakannya dengan bantuan semua pihak. Nampaknya ia (kerjaya politik) melonjak begitu dan hakikatnya adalah untuk meremajakan Umno dan kerajaan," kata beliau.

Mengenai cabaran, Ahmad menggariskan dua aspek yang beliau akan beri penekanan.

Pertama menyatupadukan kembali orang Melayu yang telah berpecah empat iaitu Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu atas pagar.

"Cabaran utama adalah menyatukan Melayu sebagai bangsa induk selain mengakui hakikat kita bersama-sama dengan kaum Cina, India dan Bumiputera lain," ujar beliau.

Cabaran kedua, bagi beliau, adalah menarik semula sokongan khususnya daripada kaum Cina dan India.

"Mereka pernah menyokong kita secara majoriti dan mereka juga mengemukakan pandangan tertentu kepada kerajaan. Kita menghormati pandangan itu dan akan mengembalikan sokongan mereka kepada BN," jelas Ahmad.

BERIKUT SEDUTAN TEMU BUAL DENGAN AHMAD MAZLAN:

Boleh YB ceritakan sedikit latar belakang YB dan bagaimana terlibat dalam bidang politik?

AHMAD MASLAN Saya berasal dari Benut, Pontian. Saya datang dari sebuah kampung yang serba kekurangan yang mana hanya pada tahun 1996, kampung saya mendapat kemudahan elektrik, air, jalan raya dan telefon. Bayangkan saya bersekolah daripada tahun 1973 hingga 1978 (tanpa kemudahan). Sebelum pergi ke sekolah, saya menoreh getah dan pernah bekerja di ladang kelapa sawit.

Seterusnya saya masuk ke sekolah asrama penuh dan melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Di New Zealand, saya menjadi Pengerusi Kelab Umno Wellington dan daripada situlah, saya mula menceburi bidang politik iaitu pada tahun 1998. Kemudiannya pada tahun 1999, saya berucap di Perhimpunan Agung Umno mewakili Kelab Umno Luar Negara.

Kemudian, saya bekerja dengan Biro Tatanegara di Jabatan Perdana Menteri seterusnya kembali semula ke bidang politik setelah dilantik menjadi setiausaha politik kepada Timbalan Menteri Kewangan pada masa itu iaitu Datuk Mustapa Mohamed. Daripada situ, saya menimba banyak pengalaman daripada Tok Pa (Mustapa) yang sangat rajin bekerja.

Kemudian saya melanjutkan pelajaran peringkat MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) di Universiti Kebangsaan Malaysia dan terlibat dalam Yayasan Restu sehinggalah diambil oleh Datuk Seri Najib sebagai Pengarah Seranta Felda.

Saya juga pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Umno bermula sebagai AJK Umno Bahagian Sungai Benut, kemudian beberapa biro dalam Pemuda Umno Malaysia termasuk Biro Penerangan, Latihan, Agama, Sains dan Teknologi.

Saya juga pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Pontian, Setiausaha Penerangan Umno Johor dan Ketua Penerangan BN-BBC (Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional). Saya terlibat dalam kerja-kerja penerangan ini sudah lama.

Nama YB bukanlah antara nama yang disebut-sebut untuk menjawat jawatan Ketua Penerangan. Bagaimana perasaan YB setelah mengetahui YB terpilih?

AHMAD MASLANWalaupun Datuk Seri Najib mengenali saya tetapi saya tidak meminta sebarang jawatan termasuk jawatan Timbalan Menteri atau Ketua Penerangan Umno. Ia (pelantikan) adalah sesuatu yang memeranjatkan untuk saya tetapi setelah diberi rasionalnya, saya sanggup memikul amanah yang berat ini.

Antara rasionalnya adalah supaya wajah Umno dilihat lebih muda dan saya boleh menjadi jambatan bagi generasi berumur 20-an dan 30-an kerana saya berumur awal 40an dan pada masa yang sama, saya boleh berhubung dengan generasi 50-an dan 60-an.

Mungkin kerana saya pernah bertugas dengan Datuk Seri Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri menerusi Felda, timbul kepercayaan beliau kepada saya maka saya dilantik.

Satu lagi, mungkin kerana saya boleh bekerja siang malam. Saya sanggup bekerja keras dan sedaya upaya saya.

Apa perubahan menyeluruh yang akan YB bawa dalam jentera penerangan Umno?

AHMAD MASLANJentera penerangan Umno ini sudah ada tetapi sama ada ia aktif atau tidak. Kita ada lebih 20,000 cawangan Umno, maknanya kita ada lebih 20,000 ketua penerangan cawangan, kemudian kita ada ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri di setiap cawangan.

Kemudian kita ada Biro Penerangan di 191 Bahagian dan kita ada Jawatankuasa Penerangan Negeri dan Pusat. Sama ada jentera ini bergerak atau tidak, itulah yang menjadi keutamaan saya iaitu menggerakkan jentera itu dan saya ingin perkara-perkara yang kreatif dalam membuat kerja-kerja penerangan.

Saya lihat ada empat medium komunikasi utama iaitu secara bersemuka, media elektronik, cetak dan maya. Keempat-empat medium ini akan digunakan untuk menarik semula sokongan Melayu kepada Umno dan rakyat Malaysia kepada BN.

Apakah sebenarnya fungsi Ketua Penerangan Umno?

AHMAD MASLAN Ia boleh dirumuskan sebagai GST iaitu daripada gelap kepada samar kepada terang. Itulah fungsinya dalam segala hal, isu dan dasar serta perkara-perkara yang hendak kita sampaikan.

YB akan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan Umno. Boleh YB terangkan mengenai hal itu?

AHMAD MASLAN Maksud KPI itu adalah kita mahu menetapkan jumlah program penerangan di semua peringkat termasuk cawangan, bahagian, negeri dan pusat dalam tempoh sebulan, enam bulan dan setahun.

Jadi, kalau kita ada jadual berkala dan ada sasaran yang perlu kita capai, itu akan dijadikan KPI.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Penerangan Umno Pusat dalam usaha pembaharuan Umno?

AHMAD MASLAN Pertama, kita hendaklah mengakui hakikat yang perlu ditelan walaupun pahit iaitu BN tidak mendapat dua pertiga majoriti dan hilang lima negeri (dalam pilihan raya umum ke-12). Itu hakikat yang perlu diakui terlebih dahulu.

Untuk itu, kita hendaklah menumpukan kepada usaha mengembalikan semula negeri-negeri yang tewas dan mendapatkan dua pertiga majoriti pada pilihan raya umum ke-13. Tumpuan kita adalah ke arah itu.

Saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dalam penerangan supaya melipatgandakan usaha penerangan ini dengan pelbagai kaedah termasuk menerangkan dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa.

Antara dasar utama yang perlu difahami adalah konsep 'Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan'. Tugas kita adalah memberi pemahaman kepada ahli-ahli parti bahawa tujuan kita murni kerana pada akhirnya, kita perlu mendapatkan mandat daripada rakyat dan kaedah yang terbaik adalah mendahulukan rakyat dalam apa jua dasar.

Apakah strategi YB untuk mendekati ahli-ahli Umno dan masyarakat amnya?

AHMAD MASLAN Saya akan rapat ke bawah. Sebab itu dalam masa dua minggu, saya telah menginap di dua rumah peneroka Felda. Saya akan melakukan perkara yang rapat kepada rakyat dan ini juga merupakan tema rakyat didahulukan. Saya rasa itulah kaedah terbaik dan apa yang saya buat ini diterima baik oleh masyarakat peneroka. Saya akan menginap di rumah peneroka setiap kali saya ke sesuatu kawasan Felda supaya saya dapat memahami lebih dekat masalah yang dihadapi dan mesra dengan mereka.

Apakah strategi yang akan dijalankan Biro Penerangan Umno berhubung sesetengah laporan laman blog yang mengecam Umno?

AHMAD MASLAN Pada saya, cabaran utama adalah media maya. Saya akan berbincang dengan orang yang tahu dan pakar dalam perkara ini. Umno sudah pun ada Umno Online tetapi semua perkara boleh ditambah baik.

Selain itu, kaedah utama pembangkang adalah memberi persepsi negatif terhadap apa jua yang BN lakukan. Strategi kita adalah mengubah yang negatif itu kepada positif.

Pada pandangan YB, apakah cabaran utama dalam era kepimpinan Datuk Seri Najib?

AHMAD MASLAN Pertama adalah kita mahu menyatupadukan kembali orang Melayu yang telah berpecah empat iaitu Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu atas pagar. Cabaran utama adalah menyatukan Melayu sebagai bangsa induk selain mengakui hakikat kita bersama-sama dengan kaum Cina, India dan Bumiputera lain.

Cabaran kedua adalah untuk menarik semula sokongan khususnya daripada kaum Cina dan India. Mereka pernah menyokong kita secara majoriti dan mereka juga mengemukakan pandangan tertentu kepada kerajaan. Kita menghormati pandangan itu dan akan mengembalikan sokongan mereka kepada BN.

Pelantikan YB sebagai Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri pada masa yang sama dilihat sebagai tuah yang akan membuka jalan kepada karier politik YB untuk berkembang dengan lebih cepat. Apa komen YB?

AHMAD MASLAN Ia antara tuah dan amanah. Memang begitulah nampaknya dan saya amat menghargai dan bersyukur atas amanah yang diberi serta menerima dengan tawaduk. Saya kira daripada pengalaman sudah-sudah, saya akan dapat melaksanakannya dengan bantuan semua pihak. Nampaknya ia (kerjaya politik) melonjak begitu dan hakikatnya adalah untuk meremajakan Umno dan kerajaan.

(http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/3/mstar_berita/20090503114057&sec=mstar_berita)