Showing posts with label surat sokongan. Show all posts
Showing posts with label surat sokongan. Show all posts

Friday, August 20, 2010

Isu surat sokongan Selangor: Bila cakap tak serupa bikin…

Isu surat sokongan Selangor: Bila cakap tak serupa bikin…

Ingat dulu kalau ada saja dakwaan pasal berlakunya penyelewengan dan salahguna kuasa,pemimpin Barisan Nasional…pembangkang tidak tunggu seminit untuk desak bercuti atau letak jawatan segera sementara nak siasat.

Sebab tu seronok pasang teropong ke Selangor sekarang.Tan Sri Khalid Ibrahim mungkin baru sedar bagaimana susahnya jadi pihak yang memerintah dan lebih senangnya jadi pembangkang.

Kuasa sudah ada ditangan tetapi masih terkial-kial.

Isu surat kenduri surat sokongan oleh DAP yang membawa kepada pemecatan bekas pembantu Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu yakni Tee Boon Hock sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) masih ribut dan belum selesai.

Fakta di depan mata sekarang ialah sekalipun kerajaan pakatan rakyat Selangor tak sudah-sudah bercakap berdegar mengenai ketelusan segala macam sebilangan kontrak sudah diluluskan hasil ‘air tangan’ dari surat sokongan DAP.

Juga apa yang di depan mata sekarang ialah sandiwara bagaimana kerajaan negeri Selangor nak buat damage control keatas episod cakap tak serupa bikin ini.

Khalid nampaknya gelabah berdepan dengan isu ini.Soalnya bagaimana beliau hendak menghadapi hu ha dikalangan DAP sendiri yang mendesak Ronnie Liu yang dulu lantang sangat bersuara mengenai dakwaan rasuah,penyewengan dan salahgunakuasa kerajaan BN supaya undur diri.

Beliau sendiri tahu bagaimana impaknya...dalam keadaan nak tunjuk imej bersih kerajaan pakatan rakyat – sekarang Exco Kerajaan Negeri itu sendiri didakwa sudah buat hal.

Imej DAP sudah masuk longkang gara-gara isu surat sokongan.

Ronnie Liu sudah dibebaskan oleh Lembaga Disiplin DAP dalam isu surat sokongan baru-baru ini …tapi dengan peringatan keras kerana tidak urus pejabatnya dengan betul.

Tee yang dulu berkerja dengannya dipecat sebagai ahli DAP dan ahli MPK kerana mengeluarkan beberapa surat sokongan bagi dapatkan kontrak termasuk syarikat dimana anaknya ada kepentingan.

Tee mendakwa surat sokongan yang dikeluarkannya adalah atas arahannya Ronnie Liu.

Sehingga ke hari ini Khalid masih mempertahankan Ronnie Liu kerana katanya tidak ada bukti yang boleh mengaitkan Exconya dengan surat sokongan yang dikeluarkan Tee itu.

Bukti adakalanya memang susah.Ada yang berkata dalam politik bukan semua arahan dibuat secara bertulis.Jadi bagaimana nak buktikan satu arahan cakap mulut.

Tee mungkin bersalah kerana tidak memberitahu salah satu syarikat itu anaknya ada kepentingan.Soalnya beranikah beliau keluarkan surat sokongan begitu saja tanpa ‘ arahan’ dari bosnya?

Kini yang kuat mendesak agar Ronnie Liu lepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri bukan sebarangan orang.Ia datang dari Speaker Kerajaan Negeri Selangor orang DAP sendiri – Teng Chang Khim.

Ini bukan isu dengan BN.Ini isu antara pakatan dengan pakatan.

Khalid cuba menutup pekong ini dengan memberitahu sidang akhbar Rabu satu aduit akan dibuat keatas semua Ahli Majlis Perbandaran dan surat sokongan yang dikeluarkan tanpa pengetahuan kerajaan negeri.

Menariknya selepas lebih dua tahun memerintah baru tersedar adanya amalan kenduri surat sokongan dan kontrak sudah diberi.Ini pun setelah ia didedah oleh media.

Pada ketika yang sama kontroversi dalam DAP Selangor berterusan mengenai hal ini bila kumpulan puak penyokong Ronnie Liu pula mendakwa Teng sendiri ada mengeluarkan sebilangan surat sokongan bagi mendapatkan kontrak.

Khalid juga sampai hari ini tidak berani memberi komitmen surat sokongan tidak lagi boleh dikeluarkan.

Seperti semua orang dengar Rabu,Menteri Besar itu kata Ahli Majlis Perbandaran boleh mengeluarkan surat sokongan asalkan ia ikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Peraturan.Siapapun boleh tetapkan peraturan.Semua kerajaan ada peraturan.

Politik selalunya melibatkan kepentingan baik secara tersurat maupun secara tersirat.Baik DAP,PKR maupun PAS sendiri tahu.

Sembang boleh sembang.Soalnya bagaimana Khalid nak tentukan semua ikut peraturan?

Episod surat sokongan ini mungkin kecil dikaca mata setengah pihak…tapi yang membuatkan ramai ketawa ia berlaku ketika pakatan rakyat hebat bercakap tentang tender terbuka dan ketelusan.

Inipun mungkin ada banyak lagi yang belum terdedah.- 19/8/2010

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8c09a339-7f000010-1d956ad0-453061f3)

Lembaga Disiplin DAP ‘kena main’ ?

Lembaga Disiplin DAP ‘kena main’ ?

OLEH ROSLI ISMAIL

Ini adalah mesej twitter dari Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Kim: To those who are not happy with my answer: when you jump into conclusion, don't complain when truth does not fit into your fiction.

Terserah pada tafsiran masing-masing.Ia merujuk kepada pembebasan beliau oleh Lembaga Disiplin DAP petang Khamis ekoran mesej twitternya "OMG! The Real culprit freed" (Oh Tuhanku! Dalang dilepas) – yang mula disangka mempertikaikan keputusan lembaga itu memecat Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock dari parti pada 31 Julai lalu.

Beliau dibebaskan setelah menjelaskan kepada lembaga itu sebenarnya mesej twitter itu merujuk kepada sebuah filem Hong Kong 14 Blades dan bukan mempertikaikan Lembaga Disiplin itu.

Bayangkan seorang bertaraf Speaker Dewan Undangan Negeri boleh main diam hal berkenaan begitu selama ini sehinggalah dipanggil mengadap lembaga itu.

Keadaan awalnya selepas diminta mengadap lembaga itu nampak amat serius.Malah Teng memberi kata dua tidak akan mengadap jika dipanggil atas kedudukannya sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.Katanya beliau cuma akan hadir jika dipanggil sebagai ahli biasa DAP.

Ini menyebabkan semua orang menyangka beliau ada simpan sesuatu untuk mempertahankan Tee dengan berkata ‘dalang sebenar dilepas’.

Menurut Teng beliau menghantar mesej twitter itu selepas menonton filem berkenaan dalam kereta semasa dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Yong Peng pada malam 31 Julai.

Itulah penjelasannya semasa dipanggil mengadap lembaga itu di ibupejabat DAP di Petaling Jaya selama 45 minit.

Pengerusi Lembaga Disiplin DAP Tan Kok Wai berkata Teng dibebaskan dengan ‘ nasihat keras’ agar beliau berhati-hati membuat kenyataan sebarang kenyataan kepada media atau menerusi laman social seperti twitter.

Isu salahguna surat sokongan untuk dapatkan kontrak yang melibatkan Tee dan terbaru dakwaan seorang lagi ahli MPK turut terlibat telah merobek imej DAP yang selama ini kerap menghentam isu rasuah dan salahgunakuasa.

Selain dipecat dari parti Tee juga dipecat sebagai ahli MPK.

Namun semasa dipanggil memberi keterangan dan sebelum dipecat pada 31 Julai lalu,Tee mendakwa beliau mengeluarkan sokongan itu atas arahan Exco Kerajaan Negeri Selangor juga dari DAP,Ronnie Liu.

Tee pernah bertugas sebagai pembantu Ronnie Liu.

Exco Kerajaan Negeri Selangor itu turut dipanggil mengadap Lembaga Disiplin DAP sama dengan Teng untuk memberi keterangan mengenai dakwaan Tee.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan ‘ peringkatan keras’ kerana tidak mengurus pejabatnya secara profesional seperti yang diharapkan oleh orangramai.

Ironinya dalam soal ini Ronnie Liu adalah antara pemimpin DAP yang cukup vokal menghentam apa saja yang didakwanya tidak betul pada Barisan Nasional.

Kata Tan mereka membebaskan Ronnie Liu kerana tidak temui cukup bukti untuk menyokong dakwaan Tee.

Apapun mereka tetap anggap beliau bertanggongjawab keatas isu surat sokongan yang dikeluarkan oleh Tee itu.

Beliau memberitahu Ronnie Liu tidak tahu yang Tee telah mengeluarkan surat sokongan kepada syarikat yang anak Tee ada kepentingan.

Maka mereka tidak mengesyorkan beliau dipecat atau digantung.

Bunyinya macam happy ending.

Namun Tan mengakui episod ini telah menjejaskan imej DAP.- 12/7/2010

Tee dipecat sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang

Kerajaan Negeri Selangor telah memecat Tee Boon Hock dari DAP sebagai Ahli Majlis Perbandaran Klang.Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim beritahu Rabu siasatan dapati Tee telah salahguna surat sokongan untuk dapatkan kontrak kerajaan.

Baru-baru ini Lembaga Disiplin DAP pecatnya dari parti itu.Sementara itu Khamis Exco kerajaan negeri dari DAP Ronnie Liu akan mengadap lembaga disiplin DAP.Turut sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Kim -11/8/2010

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8c09a339-7f000010-1d956ad0-453061f3)

Surat Sokongan: Ronnie Liu mesti memohon maaf kepada Tee Boon Hock

Ronnie Liu mesti memohon maaf kepada Tee Boon Hock

Ronnie Liu ( Exco Kerajaan Negeri Selangor dari parti DAP ) telah membuat laporan polis pada 2 Ogos 2010 terhadap Tee Boon Hock ( Ahli Majlis Perbandaran Klang dari parti DAP yang dipecat dari parti itu baru-baru ini) kerana mendakwanya menyalahgunakan surat sokongan EXCO tanpa sebarang pengetahuan dan kebenarannya daripadanya.

Persoalan mudah kepada saudara Ronnie Liu ialah bagaimana Tee Boon Hock boleh menyalahgunakan Surat Exco seperti didakwanya sekirannya dia sendiri telah lebih awal menandatangani surat sokongan kepada anak Tee Boon Hock ?

Peliknya Ronnie Liu sudah mula mengikuti cara penafian VK Lingam iaitu “ It looks like me in the video but is not me “. Kenyataan Ronnie pula seperti “It looked like my signature but I am not sure if I had issued the letter,”.

Sekurang – kurangnya VK Lingam berani untuk mengatakan bukan dia. Berbanding dengan Ronnie sendiri tidak berani menafikan sepenuhnya dan sendiri juga tidak pasti sama ada dia yang menandatangani atau tidak.

Seolah – olah Ronnie memberi gambaran mangsa yang mati itu nampak macam saya yang bunuh tetapi saya tidak pasti sama ada saya yang membunuhnya atau tidak.

Jika dia sendiri pun mengatakan bahawa dia tidak tahu anak Tee Boon Hock merupakan pengarah dalam syarikat yang disokong olehnya maka Tee Boon Hock juga mengatakan dia sendiri tidak tahu anaknya berada dalam syarikat tersebut.

Jika alasan Tee Boon Hock dianggap tetap bersalah maka alasan anda yang sama juga tidak sepatutnya anda tidak bersalah. Lagipun Tee Boon Hock pasti dia tidak tahu.Ronnie pula tidak pasti dia tahu atau tidak.

Menurut Ronnie “meskipun surat-surat itu dikeluarkan, tidak ada elemen konflik kepentingan kerana ia dikeluarkan sejurus selepas PR menawan”.

Kenyataan ini masih tidak membuktikkan Ronnie tidak bersalah malahan lebih membuktikkan Ronnie bersalah kerana jika surat sokongan kepada anak syarikat Tee Boon Hock telah disokong lebih awal berbanding surat sokongan Tee Boon Hock maka surat Tee Boon Hock bukan lagi surat sokongan kepada anaknya.

Itu adalah surat sokongan kepada surat sokongan Ronnie sebelum ini bagi pihak Ronnie Liu. Tee Boon Hock hanya meneruskan kerja yang telah dilakukan oleh Ronnie sebelum ini.

Keadaan ini hanya menandakan anda tidak bersalah dalam isu memberi surat sokongan secara perundangan tetapi anda bersalah terhadap Tee Boon Hock dalam laporan polis yang telah dilakukan oleh anda. Membuat laporan palsu adalah satu jenayah yang besar.

Kembali kepada analogi pembunuhan sebentar tadi. Jika Ronnie Liu telah membunuh seseorang dan seseorang itu sudah meninggal dunia dan selepas beberapa bulan selepas itu Tee Boon Hock mengambil pisau dan menikam mayat tersebut maka dari segi perundangan Tee Boon Hock sudah tidak boleh disabitkan atas kesalahan membunuh.

Jika benar sekalipun Tee Boon Hock silap dan bersalah dalam isu ini maka sebagai seorang pemimpin dan EXCO Ronnie Liu juga seharusnya bertanggungjawab kerana leka untuk mengambil tindakan awal terhadap pembantunya yang menyalahgunakan kuasa.

Selepas 2 tahun baharu mengetahui perkara ini. Keadaan ini juga mungkin menandakan Ronnie Liu tidak membuat kerja dengan baik kerana cuai dalam memeriksa setiap syarikat yang diluluskan dibawah portforlio dan apatah lagi projek yang melibatkan kawasan kekuasaannya sendiri.

Jika sekalipun anda berkata anda sebenarnya peka dan tahu isu ini anda juga bersalah kerana selepas mengetahui isu ini begitu lama baharu anda membuat laporan polis.

Anda kata anda tidak melaporkan kepada pihak media mengenai isu Tee Boon Hock. Maknanya ada orang lain yang menggunakan dokumen dan surat sulit dalam pejabat anda kepada media. Jika ada orang lain mencuri dokumen anda kepada media mengapa anda tidak membuat laporan polis bahawa berlaku kecurian dokumen sulit kerajaan dalam pejabat anda ?

Dipercayai juga ada orang dalam pejabat anda yang menggunakan dokumen dan surat tersebut menggunakan nama samaran Pakatan Insider dan menghantar kepada Malaysia Today sebelum tindakan disiplin dilakukan terhadap Tee Boon Hock. Jika tidak siapa lagi ada surat tersebut ? Polis? Lembaga Disiplin DAP ? Hantu ? atau sekali lagi berlaku kecurian surat tersebut ?

Ronnie Liu baharu mengambil tindakan dengan memecat 3 pembantu khas di pejabatnya. Adakah jika Ronnie kata dia tidak berdosa dan orang lain yang menandatangani surat tersebut dan kebetulan dia memecat ketiga – tiga pembantunya maka adakah disebabkan pembantunya melakukan kesilapan?

Jika ya mengapa tidak melaporkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pembantunya ? Jika pembantunya tidak bersalah maka Ronnie bersalah untuk memecat dengan sesuka hati tanpa melakukan kesilapan.

Siapa Tee Boon Hock ?

Sesiapa sahaja boleh turun ke Klang dan terutamanya Pandamaran untuk mengetahui lebih lanjut siapa Tee Boon Hock. Sudah lebih daripada 26 tahun berjuang untuk DAP dan berkhidmat untuk masyarakat di Pandamaran dan Klang serta DAP hampir 16 jam sehari.

Saya tidak mereka cerita untuk menunjukkan betapa rajinnya perjuangan Tee Boon Hock dalam membantu DAP dan masyarakat di Klang. Baik sebelum atas selepas MAC 2008 hampir setiap orang di Pandamaran tahu Tee mula bekerja seawal jam 8 pagi dan sampai ke rumah selepas jam 12 pagi.

Pernah juga beliau sendiri keluarkan wang sendiri dahulu untuk membantu masyarakat di Klang. Contoh apabila kerajaan Selangor memperuntukkan wang untuk mereka yang sudah meninggal dunia dan pada awal peruntukkan ini diberi wang itu lambat disalurkan kepada setiap kawasan. Oleh itu , Tee Boon Hock satu – satunya individu di seluruh Selangor yang mengeluarkan wangnya sendiri dahulu untuk membantu masyarakat di Klang.

Beliau tidak gilakan kuasa. Hal ini disebabkan beliau sendiri yang ke Petaling Jaya untuk menjemput Ronnie Liu turun bertanding di Pandamaran apabila beliau sendiri tahu peluang kemenangan adalah sangat tinggi kerana penduduk di Pandamaran benci kepada Teh Kim Poo.

Beliau bukan sahaja menjemput malahan membekalkan rumah / tempat , peralatan , tenaga kerja , wang dan sebagainya untuk memastikan Ronnie Liu menang di Pandamaran.

Mengapa Ronnie Liu perlu memohon maaf kepada Tee Boon Hock ?

Sesiapa sahaja boleh turun ke Klang dan terutamanya Pandamaran untuk mengetahui lebih lanjut siapa Tee Boon Hock. Sudah lebih daripada 26 tahun berjuang untuk DAP dan berkhidmat untuk masyarakat di Pandamaran dan Klang serta DAP hampir 16 jam sehari.

Saya tidak mereka cerita untuk menunjukkan betapa rajinnya perjuangan Tee Boon Hock dalam membantu DAP dan masyarakat di Klang. Baik sebelum atas selepas MAC 2008 hampir setiap orang di Pandamaran tahu Tee mula bekerja seawal jam 8 pagi dan sampai ke rumah selepas jam 12 pagi.

Pernah juga beliau sendiri keluarkan wang sendiri dahulu untuk membantu masyarakat di Klang. Contoh apabila kerajaan Selangor memperuntukkan wang untuk mereka yang sudah meninggal dunia dan pada awal peruntukkan ini diberi wang itu lambat disalurkan kepada setiap kawasan. Oleh itu , Tee Boon Hock satu – satunya individu di seluruh Selangor yang mengeluarkan wangnya sendiri dahulu untuk membantu masyarakat di Klang.

Beliau tidak gilakan kuasa. Hal ini disebabkan beliau sendiri yang ke Petaling Jaya untuk menjemput Ronnie Liu turun bertanding di Pandamaran apabila beliau sendiri tahu peluang kemenangan adalah sangat tinggi kerana penduduk di Pandamaran benci kepada Teh Kim Poo.

Siapa Ronnie Liu di Pandamaran jika tiada seorang insan bergelar Tee Boon Hock ? Ronnie bukan sahaja kacang melupakan kulit bahkan kulit itu dibakar olehnya.

Persoalannya kini bukan isu penyalahgunaan surat sokongan EXCO tetapi mengapa isu ini baharu timbul? Adakah kerana disebabkan isu ketidakpuasan perlantikan Ahli Majlis baru – baru ini? Adakah DAP Selangor akan mengalami pilihan raya dalaman tidak lama lagi ? Adakah kedua – dua persoalan tersebut begitu kebetulan atau pun sebenarnya dirancang ?

Mengapa pengaruh Tee Boon Hock ditakut oleh sesetengah pihak ? Hal ini disebabkan DAP dearah Klang merupakan delegasi yang paling banyak dan besar berbanding dearah lain di Selangor.

Sebagai seorang veteran yang mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada penduduk dan ahli DAP di Klang boleh dikatakan lebih daripada 90% cawangan berpihak kepada Tee Boon Hock. Kedengaran juga pemilihan cawangan baru – baru jelas menunjukkan hampir kesemua penyokong Tee Boon Hock menang semua jawatan di cawangan masing – masing.

Petik jari dengan mudah Tee Boon Hock dengan senang boleh menjual minima 50 meja untuk jamuan majlis makan malam DAP. Petik jari sahaja 1000 orang boleh didapatkan oleh beberapa demonstrasi kenaikan harga minyak dan beberapa lagi isu nasional yang dianjurkan di Klang.

Adakan disebabkan pengaruh sebesar ini dirasai menjadi ancaman kepada kem – kem tertentu dalam pemilihan DAP akan datang ?

Siapa lagi yang ada bukti surat sokongan tersebut jika bukan orang dalaman yang memiliki setiap dokumen dan rekod tersebut ?

Tee Boon Hock boleh sahaja menjadi mangsa politik sesetengah pihak apabila semasa beliau menjadi pembantu khas Ronnie Liu pernah diberi mandat dan kebenaran untuk memberi surat sokongan atas kapasiti EXCO oleh Ronnie Liu sendiri. Sesiapa sahaja boleh dicaturkan untuk mendapatkan surat sokongan daripada Tee Boon Hock.

Jika kita pinjam wang daripada bank mesti ada penjaminnya. Jika sebarang masalah berlaku penjamin juga mesti memikul tanggungjawab tersebut.

Jika surat itu benar sekalipun disokong oleh Tee Boon Hock. Ahli Jawatankuasa juga perlu disabitkan kerana yang meluluskan kontrak tersebut bukan Tee Boon Hock. Dalam isu ini Tee Boon Hock hanya sekadar mencadangkan.

Jika syarikat itu tidak memenuhi kriteria tender maka 8 orang dalam ahli jawatankuasa tidak boleh meluluskan projek tersebut. Jika kesemua syarikat tersebut memenuhi syarat maka apa silapnya Tee Boon Hock untuk menyokong syarikat yang sudah memenuhi kriteria tender ?

Isu anaknya menjadi rakan kongsi dalam salah satu daripada 20 syarikat yang disokong sudah pun dijelaskan oleh Tee Boon Hock apabila beliau menjadi Ahli Majlis anaknya sudah dikeluarkan daripada syarikat tersebut.

19 syarikat lagi tiada isu conflict of interest dengan Tee Boon Hock kerana pihak yang mendakwa gagal menunjukkan kaitannya.

Kita sedih apa yang berlaku kepada Tee Boon Hock. Rakan kongsinya berkata perniagaan Tee Boon Hock merosot selepas Mac 2008. Tee Boon Hock semakin sibuk berkhidmat untuk rakyat dan DAP sehingga melepaskan kesemua kerja syarikat kepada dirinya seorang untuk menanganinya.

Tee Boon Hock boleh sahaja guna kapasitinya untuk meningkatkan perniagaannya jika benar beliau hendak menjadi kaya. Realitinya tidak. Sebab itu perniagaan mereka mengalami naik dan turun bagaikan ombak yang surut dan pasang.

Juga pernah kedengaran Tee Boon Hock hampir beberapa kali bercerai dengan isterinya kerana sibuk berjuang untuk DAP dan rakyat sehingga tiada masa bersama keluarga. Bukan niat saya hendak menghebohkan masalah peribadi Tee Boon Hock tetapi hanya sekadar ini menunjukkan perjuangannya selama 26 bukan demi apa – apa.

Selama 26 tahun ini sudah banyak Tee Boon Hock menderma kepada DAP. Angka keseluruhan ini sudah mencecah puluhan ribu baik sebelum atas selepas MAC 2008.Masih tinggal di rumah usang di kawasan kampong Pandamaran. Masih lagi memandu kereta Vios yang dibeli sebelum Mac 2008. Syarikatnya sendiri masih seperti biasa dan tidak berubah.

Jika demi wang dan harta pihak lawannya boleh membekalkannya lebih daripada nilai 20 syarikat yang ditandatangani. Sudah beberapa kali pihak lawannya cuba membeli Tee Boon Hock baik sebelum atau selepas Mac 208.

Mereka yang memasang dan menjerat Tee Boon Hock sila minta maaf kepadanya secara peribadi.

Sesiapa dalam DAP sahaja termasuk Ronnie Liu boleh mendakwa artikel saya ini ke mahkamah , membuat laporan polis , tindakan dan tatatertib parti atau apa – apa sahaja. Saya tidak takut dan gentar serta sanggup berdepan dengan apa – apa sahaja demi Kebenaran dan Keadilan.

Saya sedar pembongkaran dan serangan ini menjejaskan imej DAP secara tidak langsung tetapi saya hanya berpaksi kepada perjuangan DAP selama ini yang berpegang kepada Kebenaran dan Keadilan serta Kebebasan Bersuara dan Media yang diperjuangkan.

Saya secara peribadi percaya dalam dunia ini erti , nilai dan harga Kebenaran dan Keadilan jauh lebih bernilai berbanding sebuah Roket.

Shen Yee Aun

Bekas Setiausaha DAP Cawangan Taman Gembira Klang

Bekas Pemangku Pemuda DAP Bahagian Klang

Bekas Setiausaha Eksekutif Kebangsaan DAP

Bekas Kolumis Surat Khabar Roket

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8c09a339-7f000010-1d956ad0-453061f3)

Surat sokongan: Apakah DAP lebih berkuasa dari PKR dan PAS di Selangor?

Surat sokongan: Apakah DAP lebih berkuasa dari PKR dan PAS di Selangor?

Oleh: ROSLI ISMAIL

Cakap menang senang namun dari segi praktikalnya semua orang politik tahu ‘ surat sokongan’ adalah satu aset yang sangat berharga bagi mereka.Orang politik apa lagi wakil rakyat boleh merasa diri mereka tak laku kalau tak boleh tenyeh rekomen itu ini.

Itu yang antaranya membuatkan rakyat di kawasan mereka wakili tunggu tepi pagar rumah atau mengetuk pintu tengah malam untuk minta tolong sign surat itu ini termasuk anak nak masuk universiti dan permohonan biasiswa.

Jadi jangan hairan kalau Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim Rabu umum Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen pakatan rakyat di negeri itu boleh terus dengan amalan keluar surat sokongan.

Menariknya untuk menguatkan kenyataannya bagi meneruskan amalan itu Khalid mengunakan alasan surat sokongan politik dimulakan oleh Barisan Nasional.

Soalnya kalau ‘ surat sokongan’ itu bukan satu keperluan politik kenapa mahu ikut BN ?

Bukankah lebih cantik Menteri Besar itu mengaku sajalah pengeluaran surat sokongan juga satu keperluan untuk survival politik pakatan rakyat.

Usaha kerajaan negeri Selangor nak tunjuk baik dalam isu surat sokongan seperti orang yang sudah tergigit lidah.

Ini mengenangkan bagaimana DAP Selangor nampaknya secara diam-diam sudah ‘ kenduri’ sakan surat sokongan yang terdedah kepada satu dunia menerusi keputusan Jawatankuasa Disiplin DAP memecat Ahli Majlis Perbandaran Klang Tee Boon Hock.

Bayangkan menerusi surat sokongan yang dikeluarkannya sahaja 15 buah syarikat termasuk satu yang anaknya jadi rakan kongsi dapat kontrak bernilai lebih RM 1 juta.

Nilai wang jangan dikira tetapi modus operandi dan nawaitunya.

DAP sentiasa mau tunjuk dirinya telus,anti-rasuah dan segalanya yang baik-baik.

Isunya sekarang cuma menunggu kepastian samada surat sokongan beliau pandai-pandai keluar sendiri atau dibuat atas arahan Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu.

Keduanya-duanya nampaknya nak lepas tengkok masing-masing dengan saling menafikan.

Apa yang nyata di depan mata ialah pembangkang pun sakan punya kenduri surat sokongan.

Malah beberapa orang wakil rakyat DAP Selangor lain juga dipetik sebagai berkata mereka selama ini ada mengeluarkan surat sokongan.

Pada Rabu lalu Khalid Ibrahim menasihati semua pemimpin pakatan di negeri ini supaya mengelak daripada mengeluarkan surat sokongan berunsur perniagaan.

Nasihatnya agak terlambat.

Kalau surat sokongan berunsur perniagaan tak laku bagaimana mungkin 15 buah syarikat boleh dapat kontrak menerusi surat sokongan yang dikeluarkan oleh seorang bertaraf Ahli Majlis Perbandaran DAP saja yang didakwa dibuat atas arahan Ronnie Liu.

Insiden Tee mungkin berlalu tanpa pengetahuan sesiapa jika ia tidak terdedah dan Khalid tidka payah pening nak bercakap bab surat sokongan.

Ini baru bab DAP.Bagaimana pula dengan wakil rakyat PKR dan PAS di Selangor.

Apakah mereka tidak langsung mengeluarkan surat sokongan?

Jika tidak…makanya nampak DAP lah yang paling berkuasa di Selangor dalam perkongsian kuasa ‘ tidak sebantal mimpi lain-lain ini’.

Mungkin juga mereka merasa diri mereka sangat berharga jika PKR dan PAS nak terus bernafas di Selangor. – 4/8/2010

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_8c09a339-7f000010-1d956ad0-453061f3)