Showing posts with label Kedaulatan Melayu. Show all posts
Showing posts with label Kedaulatan Melayu. Show all posts

Friday, December 10, 2010

Sultan Johor: Pertahan kedaulatan Melayu

Pertahan kedaulatan Melayu

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
dan ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di majlis Multaqa Ulama Darul Takzim, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/Nasirruddin Yazid

JOHOR BAHRU 8 Dis. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan orang Melayu supaya bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu.

Baginda bertitah, berdasarkan perkembangan semasa, terdapat orang Melayu yang mahu menolak kedaulatan kaum tersebut seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Perkara ketuanan Melayu saya bangkitkan kerana saya dapati pada hari ini ramai rakyat yang tidak memahami atau sudah salah tafsir maksud sebenar.

“Ketuanan Melayu atau lebih dikenali kedaulatan Melayu mencakupi kedudukan raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini dan bukannya soal antara ‘tuan’ dan ‘hamba’,” titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta’zim di sini hari ini.

Sultan Ibrahim merupakan sultan ketiga di negara ini selepas Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyelar orang Melayu yang sanggup menggadaikan konsep ketuanan dan kedaulatan Melayu atas dasar kepentingan politik sendiri.

Sultan Ibrahim bertitah, ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja-raja Melayu sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu.

Menurut baginda, apabila British memberi kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

“Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

“Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, raja-raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagai tetamu dan memberi mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu.

“Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan,” titah baginda.

Justeru, Sultan Ibrahim menyeru para ulama bangkit dan memainkan peranan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu yang mula tercemar.

Baginda bertitah, ia tugas mencabar bagi para ulama dan umara (para pemimpin) untuk menjelaskan dan mempertahankan kedaulatan Melayu seperti terkandung dalam Perlembagaan yang selama ini menjadi ‘tuan tanah’ negara ini.

Multaqa sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda itu dihadiri 500 peserta dan dua kertas kerja dibentangkan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Mufti negeri, Datuk Tahrir Shamsuddin.

Utusan Malaysia adalah akhbar rasmi multaqa berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, peranan ulama pada zaman silam amat besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta sering berganding bahu dengan para pemimpin negara bagi menuntut kemerdekaan sehingga ia dapat dicapai dan syiar Islam dapat ditegakkan hingga ke hari ini.

“Ini jelas menunjukkan peranan ulama bukan sahaja untuk menegakkan hukum syarak, malah peranan lebih besar harus digalas iaitu menjaga dan mengekalkan ketuanan Melayu yang dimiliki selama ini,” titah baginda.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm)

Sultan Johor: Pertahan agama, bangsa, negara



Pertahan agama, bangsa, negara

1.0 Assalamualaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan sejahtera kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad semulia-mulia rasul serta keluarga dan para sahabatnya sekalian.

2.0 Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wata'alla kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat saya hadir bersama-sama dengan saudara-saudara sekalian pada Majlis Multaqa Ulama Darul Ta'zim yang diadakan pada hari ini.

3.0 Islam merupakan agama yang berkembang maju sesuai di semua tempat dan zaman. Oleh yang demikian, umat Islam perlu membina kekuatan melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan amalan yang soleh untuk menghadapi segala cabaran dan perkembangan zaman.

4.0 Umat Islam di Malaysia amat bertuah sekali kerana negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur. Ini membolehkan pelbagai kemudahan dan peluang untuk menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan dapat disediakan kepada masyarakat.

5.0 Ditambah pula dengan sistem pentadbiran agama yang tersusun dan mantap pelaksanaannya, negara kita telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju dan dihormati.

6.0 Peranan para ulama pada zaman silam adalah begitu besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara. Golongan ulama telah memainkan peranan yang aktif berganding bahu dengan para pemimpin negara untuk menuntut kemerdekaan.

7.0 Dengan gandingan yang mantap antara ulama dan umara, maka kemerdekaan negara dapat dicapai dan syiar Islam dapat ditegakkan di negara ini.

8.0 Ini jelas menunjukkan bahawa, peranan ulama bukan sahaja untuk menegakkan hukum syarak, malah mereka berperanan untuk menjaga dan mengekalkan ketuanan bangsa Melayu.

9.0 Perkara ketuanan Melayu ini saya bangkitkan kerana saya dapati pada hari ini ramai rakyat yang tidak memahami atau sudah salah tafsir maksudnya yang sebenar.

10.0 Ketuanan Melayu atau lebih sesuai disebut sebagai Kedaulatan Melayu adalah mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya yang kekal sehingga ke hari ini. Ia bukan soal antara "tuan dan hamba" tetapi merujuk kepada kedaulatan di negeri-negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu.

11.0 Sistem raja dan kerajaan Melayu telah wujud ratusan tahun lamanya. Sistem ini tidak pernah putus. Malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persekutuan Tanah Melayu yang kita namakan "Malaysia" pada hari ini adalah terdiri daripada Persekutuan Negeri-negeri Melayu serta Sabah dan Sarawak.

12.0 Sebab itu, apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu raja-raja Melayu dan rakyatnya.

13.0 Ini kerana, awal sebelum kedatangan British, sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-raja Melayu dan rakyatnya.

14.0 Konsep Kedaulatan Melayu yang merangkumi kedudukan Raja-raja Melayu, Islam adalah agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan lain-lain hak, tidak pernah melihat orang lain sebagai orang luar di negara ini.

15.0 Sejak dulu lagi ketika Negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-raja Melayu dan rakyatnya, menerima orang luar sebagai tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Negeri Tanah Melayu. Dan apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan.

16.0 Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan.

17.0 Ini kerana sudah ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, ulama boleh berperanan untuk menjelaskannya dan mempertahankan Kedaulatan Melayu dalam perlembagaan.

18.0 Sejak kedatangan Islam di rantau Asia Tenggara ini, umat Islam telah mengamalkan fahaman ahli sunnah waljamaah dan mengikut Mazhab Syafie. Fahaman ini telah membawa umat Islam di rantau ini berada dalam keadaan aman, makmur, dan hidup bersatu padu. Ini kerana fahaman ini amat sederhana, diterima oleh semua pihak, mampu memenuhi keperluan semasa dan dapat menyelesaikan pelbagai masalah umat Islam secara aman, harmoni dan berkesan.

19.0 Oleh yang demikian, suka saya mengingatkan saudara saudari sekalian supaya terus mempertahankan fahaman ahli sunnah wal jamaah yang kita pegang hingga ke hari ini dan terus mengamalkan ajaran Islam mengikut Mazhab Syafie sebagaimana yang telah diamalkan sejak dulu lagi.

20.0 Di samping itu juga, kita hendaklah memastikan bahawa fahaman lain yang selain daripada fahaman ahli sunnah waljamaah tidak bertapak di negeri Johor ini. Ini kerana, ia boleh membawa kepada perpecahan dan perbalahan sesama sendiri dalam kalangan masyarakat umum yang akhirnya akan hanya merugikan semua pihak.

21.0 Perkembangan dan kemajuan teknologi yang begitu cepat berkembang telah menimbulkan kesan sampingan dalam masyarakat terutama sekali dalam bidang akidah, ibadah, fahaman Islam dan perpaduan ummah.

22.0 Oleh yang demikian, para ulama perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul dengan berhemah dan bijaksana. Dalam hubungan ini, saya ingin mencadangkan beberapa perkara seperti berikut:

23.0 Pertama: Kerajaan negeri diminta supaya mewujudkan satu kumpulan pemikir Islam yang dianggotai pakar-pakar dari pelbagai disiplin ilmu seperti ulama, perundangan, cendekiawan, sejarahwan, sasterawan, pendidikan, penyelidikan, penulis, pemikir dan sebagainya bagi membincang dan menganalisis apa juga masalah yang berkaitan dengan masyarakat Islam serta mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang timbul dengan bijaksana dan berhemah.

24.0 Kedua: Para ulama diminta menyebarkan ilmu dan pengetahuannya melalui penulisan sama ada dalam bentuk artikel atau penulisan buku sebagaimana yang diamalkan oleh para ulama silam seperti imam Al-Ghazali Imam As-Syafie dan lain-lain lagi.

25.0 Ketiga: Supaya di negeri Johor ini diwujudkan satu pusat pemurnian akidah dan pusat kajian, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran Mazhab Syafie. Pusat ini juga bertanggungjawab untuk membuat kajian dan penyelidikan,mengadakan kursus dan bengkel agama, bimbingan akidah dan sebagainya.

26.0Semoga dengan demikian, masyarakat dapat memahami dan mendalami agama Islam secara menyeluruh dan mampu untuk membuat pertimbangan serta tidak terus menjadi sebagai pak turut atau ikut-ikutan sahaja.

27.0 Tambahan lagi, dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi yang serba canggih ini, masyarakat amat mudah terdedah kepada fahaman-fahaman lain yang sebahagiannya bercanggah dengan Islam. Saudara saudari sekalian bersempena dengan Multaqa ini, saya berharap peranan ulama dan umara dapat ditingkatkan lagi dengan lebih berkesan bagi meningkatkan pembangunan dan kemajuan Islam Negeri Johor Darul Takzim.

Akhirnya dengan lafaz Bismillaahir Rahmaanir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Multaqa Ulama" Darul Ta'zim Tahun 2010 Masihi

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm)