Showing posts with label ts sanusi jonet. Show all posts
Showing posts with label ts sanusi jonet. Show all posts

Monday, January 18, 2010

Tan Sri Sanusi Junid :KOKKORO


Arkib :Sunday, August 10, 2008

KOKKORO

Tajuk ini telah dipilih pada 10hb August, 2008 dan hanya siap untuk diposkan ke dalam blog pada 5hb Jun, 2009

MENGENANG SIKAP BANGSA MELAYU

1. Apabila mengenangkan sikap orang Melayu, dari dulu hingga sekarang, maka saya teringat kepada perkataan 'kokkoro' . Perkataan ini, banyak dibincang didalam novel karangan Eric Lustbader.

2. 'Kokkoro' ialah perkataan Jepun yang membawa maksud 'survival instinct'.

EMPAT BUAH CERITA

3. Empat buah cerita selalu saya ketengahkan untuk memahamkan erti 'kokkoro'.


KISAH PEMANDU KERETA

4. Cerita pertama ialah mengenai saorang pemandu kereta yang keretanya rosak di sebuah pekelilingan jalan yang sibuk. Dia cuba keluar dari kereta itu tetapi tidak boleh kerana pintu kereta terlalu ketat. Dia juga tidak boleh menurunkan tingkap keretanya. Dia cuba, dia tolak berkali-kali tetapi gagal.

5. Tidak ada kekuatan baginya untuk membuka pintu itu.

6. Tiba-tiba pemandu melihat asap keluar dari enjin kereta. Maka terlintaslah dalam fikirannya kemungkinan kereta itu meletup dan dia mati didalamnya. Dengan serta merta dia mengumpul tenaga dan dengan satu tendangan dia telah berjaya membuka pintu keretanya itu.

7. Kemampuan tenaga pemandu ini telah datang dengan tiba-tiba apabila semangat 'kokkoro'nya atau 'keinginannya untuk hidup' datang dengan tiba-tiba. Dari tidak berupaya dia berubah menjadi kuat'. Itulah kesannya apabila 'naluri untuk hidup', atau 'kokkoro' berperanan.

KISAH PENONTON DIDALAM PAWAGAM

8. Cerita kedua berlaku dalam tahun 60an, didalam pawagam, apabila seorang penonton telah tertidur didalamnya dan tidak dibangunkan setelah tayangan filem tamat. Apabila penonton itu bangun dari tidurnya dia dapati keadaan dewan lengang walau pun lampu masih terang benderang.

9. Sipenonton telah lari dari satu pintu kesatu pintu untuk keluar. Dia mula-mulanya menolak dan kemudiannya menendang semua pintu tetapi tidak juga terbuka. Akhirnya dia memutuskan untuk tidur didalam panggong.

10. Tiba-tiba dia ternampak seekor ular tedung senduk melunsur keluar dari belakang tirai panggung itu. Dengan serta merta penonton ini lari menuju satu dari pintu panggung wayang atau pawagam itu, dan tiba-tiba pada kali ini, dengan tenaga yang ber'kokkoro' beliau berjaya menendang terbuka pintu hadapan panggung dengan hanya satu tendangan sahaja.

11. Semangat dan keupayaan yang bertambah ini datangnya kerana 'kokkoro' atau keinginan untuk hidup.

KISAH BANGUNAN TERBAKAR

12. Cerita ketiga ialah mengenai terbakarnya sebuah bangunan 30 tingkat di tengah sebuah bandar besar. Kebakaran berlaku ditingkat 25. Semua pekerja dan penghuni di tingkat 25 kebawah telah keluar melalui pintu kecemasan. Ada juga penghuni ditingkat 3 kebawah yang terjun kedalam sungai yang terletak ditepi bangunan yang terbakar itu.

13. Pekerja yang berada ditingkat 26 dan tingkat di atasnya sampai ke tingkat 30 telah naik keatas bumbung bangungan 30 tingkat itu. Beberapa buah helikopter telah digunakan untuk menyelamatkan mereka yang berada dibumbung bangunan yang terbakar itu.

14. Tiba-tiba sebuah helikopter telah disambar api yang menyala naik keatas bumbung tingkat 30. Batallah operasi menyelamat yang menggunakan helicopter itu.

15. Pada waktu itu mereka yang tadinya takut untuk terjun, kerana takut mati kerana patah, telah membuat keputusan untuk terjun kerana hanya dengan demikian saja mereka ada harapan untuk hidup, walau pun harapannya sangat tipis sekali.

16. Dari manakah datangnya keberanian untuk terjun ini. Keberanian ini berpuncakan 'kokkoro' atau keinginan yang kuat untuk hidup.

17. Risiko yang diambil oleh mereka yang terjun ini bukannya kerana tidak takut kepada mati tetapi mereka ingin hidup dan risiko mati yang berani dihadapinya itu ialah kerana hasrat untuk hidup.

18. Pendek kata untuk hidup mereka berani menempuh risiko mati jika risiko ini menjadi syarat yang tidak dapat dielakkan lagi.

KAPAL PERANG DIBAKAR

19. Dalam sejarah Islam terdapat cerita keempat yang boleh menjelaskan sikap 'kokkoro'. Iaitu kisah pahlawan Islam yang bernama Tariq Ibn Ziad. Apabila tentera Islam mendarat di pantai Sepanyol Tariq telah membakar semua kapal yang membawa mereka dari negara Arab. Tariq menyatakan kepada pasukannya bahawa pilihan untuk mereka ialah menang atau pun mati.

20. Tariq jelaskan bahawa tidak ada alternatif untuk berundur atau lari, kerana semua kapal sudah dibakar.

21. Kerana kesedaran ini, dan kerana mereka ingin hidup, dan tidak mahu mati, maka semangat 'kokkoro' telah menyala dalam diri mereka sehingga mereka berperang dengan gigih sehingga menang.
22. Memang mereka berani tetapi ancaman maut telah menghidupkan semangat 'kokkoro' dalam diri mereka dan mereka berjaya.

ANCAMAN KEPADA KUASA MELAYU PADA TAHUN 1946 DAN 1969

1946

23. Pada tahun 1946 bila pihak British merancang untuk menjadikan Malaya sebagai sebuah Malayan Union yang sama tarafnya dengan Australia, Canada dan New Zealand bangsa Melayu merasa terhina kerana akan kehilangan kuasa. Pada waktu itulah orang Melayu telah bangun untuk menentang Malayan Union.

24. Sebelum adanya rancangan penubuhan Malayan Union orang-orang Melayu agak toleran terhadap penjajah. Sikap toleransi orang-orang Melayu ini dapat dilihat apabila pendatang atau peniaga bukan Melayu dan bukan Islam boleh hidup selesa dalam kampung-kampung Melayu di luar bandar; seterusnya bekerja di kebun dan estet atau menjadi ceti dan peruncit.

25, Selagi pendatang atau penjajah tidak menimbulkan syak wasangka bahawa mereka ada niat untuk merampas hak Melayu atau menghina bangsa Melayu maka selama itu pulalah penjajah dan pendatang boleh tinggal dengan aman.

26. Tetapi semangat juang 'kokkoro' akan muncul jika Melayu diancam akan hilang kuasa, negara dan maruahnya.

27. Adalah jelas bahawa kewujudan UMNO tidak berasas kepada apa-apa ideologi. Sebaliknya, Melayu dengan berbagai fahaman dan aliran politik - nasionalis, agama dan komunis ( NASAKOM ) - bersatu untuk menentang musuh dan menghalangnya memusnah bangsa Melayu dengan merampas kuasa, negara dan sekaligus menghina maruahnya.

28. Untuk hidup, dan kerana tidak mahu matilah maka semangat 'kokkoro' memberi keberanian kepada bangsa Melayu untuk bersatu menentang rancangan yang diketengahkan oleh penjajah yang baru saja memenangi Perang Dunia Kedua.

1969

29. Begitu juga halnya dengan peristiwa 13 Mei, 1969. Peristiwa ini telah membangunkan semangat 'kokkoro' kerana Melayu merasa negara ini hampir diambil oleh DAP dengan kekalahanan Parti Perikatan yang banyak dalam pilihanraya.

30. Yang menggerunkan lagi ialah DAP itu tunjangan dari parti PAP ( Peoples Action Party ) di Singapura, yang telah ditendang keluar dari Malaysia, oleh Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman, apabila Lee Kuan Yew, pemimpin PAP, hampir berhasil merampas kuasa dari Melayu didalam negara yang ingin dipanggil 'Malaysian Malaysia'.

31. Orang-orang Melayu, di waktu itu, tidak dapat menerima PAP, yang kemudiannya bertukar wajah menjadi DAP, untuk berkuasaa di negara ini.

32. Kerana kemenangan yang banyak dalam pilihanraya 1969, pemimpin-pemimpin DAP telah berlagak sombong dan bertindak secara tidak sofan terhadap pemimpin-pemimpin Melayu, sebagaimana British, setelah menang Perang Dunia Kedua, tidak sofan kepada Raja-raja Melayu dengan memperkenalkan rancangan Malayan Union. Oleh itu peristiwa 13 Mei telah berlaku.

33. Setelah Melayu bermandi darah barulah kesedaran telah timbul untuk bersatu bagi menghadapi ancaman yang lebih besar dimasa hadapan.

34. Parti Islam Melayu ( PAS ), yang telah mengkafirkan UMNO kerana berkerjasama dengan parti kuffar MCA dan MIC, pada sekitar awal tahun sembilan belas enam puluhan, sanggup berkerjasama kembali dengan UMNO didalam Barisan Nasional.

35. Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR / UMNO = United Malays National Organization ) telah mengenepikan perasaan tersinggungnya, kerana dihina oleh PAS dengan gelaran 'kafir', dan mengajak PAS untuk bersama didalam Barisan Nasional.

36. Perpaduan Melayu PAS dan Melayu UMNO didalam Barisan Nasional, selepas peristiwa 13 Mei, tidaklah kerana kesedaran ugama yang bertambah pada UMNO atau semangat kebangsaan yang meningkat didalam PAS.

37. Perpaduan Melayu ini adalah semata-mata untuk memastikan bangsa Melayu tidak mati iaitu kehilangan kuasa, negara dan maruah. Itulah sebabnya semangat 'kokkoro' telah meluap-luap sehingga yang bermusuh boleh berdamai dan bersatu.

38. Perpecahan UMNO dan PAS, dengan terkeluarnya PAS dari Barisan Nasional, adalah kerana masing-masing terlupa kepada ancaman yang lebih besar terhadap masa depan Melayu.

KOKKORO DI JEPUN

39. Di Jepun kita dapati semangat 'kokkoro' ini dihidupkan didalam jiwa orang Jepun sejak mereka kanak-kanak lagi. Dari kecil mereka ditakutkan dengan ancaman kepada bangsa dan negaranya kerana negaranya dikatakan miskin dan tidak mempunyai hasil bumi saperti minyak dan logam.

40. Dari hari pertama memasuki sekolah anak-anak Jepun diajar bahawa negara mereka ialah sebuah negara yang miskin, walau pun negaranya antara yang terkaya didunia. Semangat 'kokkoro' dibangunkan sejak dari kecil lagi.

41. Semangat 'kokkoro' inilah yang menyebabkan mereka tidak takut untuk menyerang negara lain didalam peperangan. Malahan syarikat-syarikat besar di Jepun saperti Mitsubishi, Mitsui, Marubeni, Sumitomo dan Dai Ichi Kangyo semuanya diasaskan oleh Ronin, atau Samurai yang tidak mempunyai Shogun sebagai ketuanya. Syarikat-syarikat ini telah ditubuhkan pada tahun 1873.

42, Samurai telah menjadikan perniagaan dan perusahaan sebagai bidang perjuangan mereka yang baru apabila mereka tidak lagi berperanan dalam pasukan Samurai, wira jaguh pejuang negara, lima tahun setelah zaman peralihan maharaja Meiji di Jepun pada tahun 1868.

43. Kerana takut negaranya diancam dan dimusnahkan oleh musuh maka Jepun telah ber'kokkoro' untuk membelanya bukan saja dalam dunia peperangan tetapi juga dalam bidang ekonomi dan dunia perniagaan dan perusahaan.

44. Dalam Financial Times Lodon di hujung tahun 1991 Mitsubishi, Mitsui, Marubeni, Sumitomo dan Dai Ichi Kangyo telah ditabalkan sebagai lima buah syarikat yang terbesar di dunia. Hanya yang keenam saja syarikat yang dimiliki oleh negara lain.
MALAYSIA BANGGA DENGAN KEKAYAANNYA

45. Sebaliknya di Malaysia dimana kita diberitahu pada setiap hari, melalui media cetak dan elektronik bahawa ekonomi kita kukuh dan negara kita kaya. Tidak ada langsung perasaan dalam diri rakyat Malaysia bahawa bangsanya memerlukan semangat baru dan peranan yang berkesan untuk 'survival' atau untuk hidup.

46. Pendek kata Malaysia tidak memerlukan semangat 'kokkoro'.

PERBEZAAN 1969 DENGAN 2008

47. Dalam pilihanraya pada tahun 1969 bangsa Melayu telah dikejutkan oleh peristiwa 13 Mei dengan semangat 'kokkoro'nya sahingga mereka sedar bahawa mereka, baik dari UMNO atau dari PAS perlu bersatu jika mereka ingin hidup kekal sebagai satu bangsa yang berkuasa, bernegara dan bermaruah.

48. Sebelum perpaduan ini boleh diusahakan pemimpin UMNO dan Perikatan yang mengalami banyak kekalahan perlu diganti dulu dengan yang baru. Tengku Abdul Rahman berhenti dan diganti oleh Tun Abdul Razak.

49. Dalam Pilihanraya Umum tahun 2008 kekalahan UMNO dan BN boleh dikatakan 3 kali ganda lebih teruk daripada kekalahan Perikatan dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1969.

KALAH TERUK DALAM SELESA

50. Malangnya pemimpin yang paling tertinggi didalam UMNO tidak merasa kesan kekalahan. Dia masih menipu diri sendiri dan masih merasa selesa dengan majoriti yang ada dalam Parlimen.

51. Oleh kerana kekalahan dianggap sebagai kemenangan maka semangat 'kokkoro' telah dapat dibenamkan.

52. Malahan kegagalan menawan kembali negeri Kelantan, dan kekalahan baru di Kedah, Penang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan dianggap tertutup selesa kerana majoriti di Parlimen. Seruan dari beberapa orang tokoh UMNO supaya pemimpin tertinggi cepat berhenti, seperti Tunku Abdul Rahman berhenti selepas kekalahan yang banyak pada tahun 1969, untuk membolehkan parti dibina semula dengan acuan baru, telah dianggap sebagai pendurhakaan.

53. Tidaklah hairan kerana pemimpin tertinggi UMNO itu senantiasa mengelak dari terlibat didalam kontroversi sepanjang khidmat beliau didalam kerajaan. Beliau tidak campur tangan didalam isu-isu penting bangsa dan negara. Semua tindakan diserahkan kepada yang selainnya.

54. Pemimpin tertinggi UMNO itu hanya menumpu perhatian kepada 'ceremony' atau perasmian majlis-majlis kerana kerja ini tidak susah dan tidak perlu menggunakan fikiran atau keberanian.

WANG LAGI WANG

55. Pemimpin tertinggi UMNO juga begitu percaya kepada kemampuan wang dan jawatan. Untuk mengelak dari kalah dalam mahkamah, wang dibayar; untuk tidak ada saingan sebagai calon untuk menentangnya wang juga memainkan peranan; untuk menyenangkan hati bekas hakim diberikan sedikit wang.

56. Sama ada dengan mendapat kontrak kerja ratusan juta, jawatan bergaji tinggi atau bertaraf Menteri, atau pun wang RM100-00, sejadah dan kain pelikat sebagai upah untuk sembahyang hajat, semuanya duit belaka.

57. Untuk menyenangkan hati yang anti Melayu perlantikan hakim juga perlu diserahkan kepada pihak luar walau pun ini memerlukan pindaan kepada perlembagaan.

58. Untuk membersihkan namanya supaya tidak dikenang sebagai pemimpin 'era rasuah untuk sanak saudara' maka badan pencegah rasuah diberi wajah yang baru.

HUKUM HUDUD DAN ISLAM HADHARI

59. Bangsa Melayu dan negara Malaysia bernasib baik hanya didalam dua perkara dengan gagalnya kerjasama UMNO dan PAS didalam era pimpinan kerajaan yang lepas.

60. Dengan gagalnya kerjasama PAS dan UMNO maka gagallah usaha untuk mendapatkan majoriti 2/3 didalam Parlimen yang membolehkan pindaan kepada perlembagaan. Kerana tiada majoriti 2/3 didalam Parlimen maka gagallah usaha memperkenalkan Hudud, sebelum masanya, dan selamatlah perlembagaan dari ditambah dengan perkataan Hadhari.

61. PAS nampaknya tidak akan mengorbankan 'hudud' dari agenda perjuangannya kerana mereka menganggap perjuangan untuk hudud adalah satu jihad dan ibadat. Pemimpin utama UMNO yang lalu juga tidak akan mengorbankan Islam Hadhari kerana pihak Amerika, Australia, Jerman dan Jepun semuanya memuji Islam Hadhari kerana sesuai dengan selera mereka.

62. Setelah Imam Islam Hadhari tidak berperanan lagi memimpin negara apakah usaha menyatupadukan Umat Melayu Islam di Malaysia ini akan menjadi bertambah mudah? Jawabnya tidak.

63. Perpaduan tidak mungkin berlaku jika PAS masih gagal memasarkan ide hududnya kepada parti-parti bukan Islam didalam negara. DAP sebagai rakan saperjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat juga hanya mendampingi PAS untuk menjatuhkan UMNO dan BN dan pasti akan berpisah dengan PAS apabila agenda hudud mahu diperkenalkan.
64. Yang akan menyatukan UMNO dan PAS bukannya berubah sikap UMNO menerima hudud atau PAS menerima nasionalisma, sebaliknya, tanpa perubahan ini pun, seperti selepas peristiwa 13 Mei, PAS dan UMNO boleh bersatu apabila ancaman kehilangan kuasa, negara dan maruah Melayu secara total jika perpaduan tidak berlaku, sehingga bangkit semangat 'kokkoro' dalam jihad Melayu Islam.

KEJAYAAN PEMBANGKANG SEPERTI DAP

65. Kegagalan kebangkitan semangat 'kokkoro' di kalangan bangsa Melayu Islam setelah kalah teruk dalam pilihanraya ke 12 adalah merupakan satu kejayaan bagi pemimpin-pemimpin parti yang anti kepentingan Melayu, seperti DAP. Melalui sms mereka telah berjaya menenangkan pengikut-pengikut mereka supaya tidak terlalu menunjuk rasa gembira, bongkak dan sombong sehingga Melayu sedar dan merasa tersinggung, dan terus bangun untuk memberontak menghalang kehilangan kuasa, maruah dan akhirnya negara.

66. Kita terdengar adanya orang-orang Islam di Pulau Pinang yang merasa terharu apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng turut menghantar jenazah seorang Muslim hingga keperkuburan.

67. Perdana Menteri juga selesa gembira apabila di sambut mesra di lapangan terbang Bayan Lepas oleh Ketua Menteri yang baru saja merampas Pulau Pinang, negeri asal Perdana Menteri dan yang dipimpin olehnya sendiri.

68. Kehilangan kuasa, maruah dan negeri masih tidak dapat membangkitkan semangat 'kokkoro' dalam diri pemimpin Melayu.

PENYAKIT UMNO MENULAR KEDALAM PAS

69. Kini PAS juga sudah terjangkit politik wang kerana kumpulan 'Erdogan' didalam PAS mempunyai pendukung yang kaya raya dari parti PKR.

70. Yang aneh ialah didalam parti Islam itu sendiri sudah ada golongan yang pro dan anti Ulama. Sepatutnya, jika ahli-ahli parti menerima ugama sebagai wadah perjuangan maka sikap anti Ulama tidak seharusnya muncul. Pendek kata didalam PAS kini sudah ada yang Islam, yang kurang Islam dan yang sekular berkulitkan Islam.

71. Khayalan pemimpin dan pasukan 'Erdogan' dengan senandung impiannya boleh melalaikan bangsa Melayu sehingga terbenam semangat 'kokkoro'. Apabila yang dianggap hampir maksum sudah mampu melihat hikmah dari kemungkaran dan menidakkan kemungkaran kononnya kerana hikmah yang menyelubunginya, bertambah susahlah bangkitnya semangat 'kokkoro' di kalangan Umat Melayu Islam.

APABILA SEMANGAT 'KOKKORO' TIDAK DAPAT MEMBANTU LAGI

72. Jika begini, apakah semangat 'kokkoro' hanya akan hidup semula apabila sudah terlambat setelah keputusan Pilihanraya Umum ke 13?

73. Adalah tidak benar kata-kata Hang Tuah ' Takkan Melayu Hilang Di Dunia ', kerana Melayu yang tidak berkuasa, tidak bemaruah dan hilang negara tidak boleh berbangga dengan kewujudannya.

74. Sedarlah wahai Umat Melayu Islam bahawa 'Allah tidak akan merobah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu mengubahkan diri sendiri '.

75. Sedarlah sebelum terlambat. Insaflah sebelum sesat.

76. Jika yang ditakuti akan berlaku, sudah berlaku, maka SEMANGAT 'KOKKORO' TIDAK DAPAT MEMBANTU LAGI.

Posted by Sanusi Junid at 8:03 PM
Labels: MOTIVASI

(sumber;http://sanusijunid.blogspot.com/2008/08/kokkoro.html)

Monday, January 4, 2010

SANUSI JONET: YAHUDI KUASAI DUNIA MELALUI NGO SATU FORMULA UNTUK SURVIVAL BANGSA



YAHUDI KUASAI DUNIA MELALUI NGO
SATU FORMULA UNTUK SURVIVAL BANGSA


1. Pada pagi 19hb Disember, 2009 saya dan isteri telah pergi dengan kereta ke UiTM Tronoh untuk merasmikan mesyuarat penubuhan PERKASA. Mengikut Presiden PERKASA YB Dato' Ibrahim Ali ilham untuk menubuhkan PERKASA telah dicetuskan setelah beliau berjumpa dengan Tun Ibrahim Ismail bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tun Ibrahim Ismail ialah pemimpin ATM di waktu berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969 dan beliau telah menyatakan kepada Dato' Ibrahim Ali betapa bimbangnya beliau melihat kelemahan kedudukan politik orang-orang Melayu dewasa ini kerana keadaan ini boleh mengancam keselamatan negara.



2. Sebaik saja saya turun dari kereta di UiTM seorang yang saya kenal dari segi rupa, tetapi saya sudah lupa namanya, telah mendekati saya dan membisikkan bahawa beliau ialah seorang Ketua UMNO Cawangan yang telah menerima sms dari Ketua UMNO Bahagiannya supaya dia tidak hadir dalam majlis PERKASA pada hari itu. Katanya semua Ketua UMNO Cawangan dalam bahagian yang berkenaan telah menerima sms yang sama. Beliau hadir kerana ingin bertemu dengan saya dan mendengar ucapan saya yang beliau, katanya, rindu untuk mendengarnya.
3. Setelah itu, selepas menyaksikan persembahan silat gayung, yang begitu menarik, seorang lagi, yang menyatakan beliau juga ahli UMNO, telah memaklumkan kepada saya bahawa ada pihak yang menyatakan bahawa PERKASA ditubuhkan untuk memecahbelahkan masyarakat

4. Walau pun ada usaha pihak tertentu untuk menggagalkan perjumpaan PERKASA tetapi, walau pun hujan turun dan perjumpaan diadakan awal pagi, banyak sekitar 1,000 orang telah hadir untuk menjayakan majlis.
5. Jika benar, dan hanyalah jika benar, sikap Ketua UMNO Bahagian yang cuba menghalang penubuhan PERKASA PERAK maka saya lebih kasihan kepada UMNO daripada kepada PERKASA. Sebagai seorang yang keanggotaan UMNO nya No. 007 saya tidak mungkin mengkhianati UMNO untuk menyokong penubuhan PERKASA jika sekiranya PERKASA adalah sebuah pertubuhan yang saya fikirkan akan memecahbelahkan UMNO, masyarakat atau bangsa.

6. Dalam perjumpaan PERKASA itu saya telah memperkenalkan kepada para hadirin siapa itu Dato' Ibrahim Ali yang saya telah kenal sejak beliau belajar di ITM, iaitu sebelum ITM dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir di waktu Tun menjadi Perdana Menteri. Ada satu keanehan yang sukar saya lupakan ialah bagaimana Ibrahim telah berjaya, sebagai pemimpin pelajar ITM dan seorang pelajar Mass Com telah berjaya melobi sehingga kelulusan diploma Mass Com ITM telah diiktiraf sebagai ijazah universiti walaupun ITM belum menjadi sebuah universiti. Inilah kelicinan manupulasi Dato' Ibrahim Ali.

7. Dalam satu tunjuk perasaan di depan bangunan AIA ( American International Assurance ) pada tahun 1974 saya teringat telah meminta Ibrahim naik kepentas untuk mengganti saya bercakap menghentam Amerika Syarikat kerana sokongannya kepada Israel. Ibrahim tanya 'nak cakap apa?' Saya kata 'katalah apa yang engkau tahu'. Ibrahim terus naik dan dia pun bercakap 'apa yang dia tahu' selama hampir satu jam. Waktu itu dia pemimpin pelajar ITM.

8. Ramai juga pengkritik yang memandang rendah terhadap Dato' Ibrahim Ali kerana kononnya Dato' Ibrahim laksana 'katak' yang sering melompat dari satu parti ke parti yang lain.

9. Walau pun saya bukan jenis yang turut melompat seperti Ibrahim tetapi ini ialah kerana saya lebih sabar dari Ibrahim. Saya telah jelaskan dalam majlis pelancaran PERKASA Perak itu bahawa satu kelemahan Dato' Ibrahim ialah kerana beliau, dalam berparti, suka berkawan dengan pemimpin-pemimpin atasan sahaja. Bila pemimpin atasan berubah pendirian atau mengobah dasar maka Ibrahim pun tinggal mereka. Kini, dalam PERKASA, Dato' Ibrahimlah yang jadi orang atasan. Mempelajari dari tabi'at beliau maka ahli-ahli PERKASA, jika mengikut contoh Ibrahim, hendaklah melompat keluar dari PERKASA jika PERKASA memecahbelahkan masyarakat dan merugikan dan tidak memperjuangkan bangsa dan negara.

10. Alhamdulillah pada beberapa hari berikutnya Suruhanjaya Pilihanraya telah mengalungalukan PERKASA supaya memainkan peranan untuk mendaftar pengundi-pengundi baru, kerana terlalu ramai rakyat Malaysia, khususnya Melayu, tidak mendaftar sebagai pengundi. Dato' Ibrahim telah menyambut baik seruan Suruhanjaya Pilihanraya dan telah berikrar untuk mengadakan meja mendaftar pengundi pada setiap kali ada majlis PERKASA.

11. Inilah contoh baik bagaimana NGO boleh memainkan peranan untuk bangsa dan negara.

12. Cerita mengenai sikap Ketua Bahagian UMNO, terhadap Dato' Ibrahim Ali dan PERKASA, seperti yang dinyatakan oleh dua orang yang bertemu saya sebelum perhimpunan PERKASA di Tronoh tempoh hari, membuat saya teringat kepada peristiwa tahun 1974 apabila Tun Abdul Razak mencadangkan supaya saya menjadi calon bagi kawasan pilihanraya Jerai. Kerana imej saya, yang disalahertikan, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah telah mengadakan perjumpaan dengan Tun Abdul Razak di atas Gunung Jerai untuk membantah rancangan Tun Abdul Razak itu sehingga Pemuda UMNO Kedah mengancam untuk meletak calon bebas melawan saya jika saya dipilih untuk mewakili Barisan Nasional.

13. Kerana gagal menghalang Tun Razak untuk mencalonkan saya maka, atas semangat setiakawan, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang pula telah mengadakan pertemuan dengan Tun Abdul Razak untuk membantah pencalonan saya. Mereka telah bertanya pada Tun Razak mengenai bukti saya sudah menjadi ahli UMNO selama 5 tahun untuk membolehkan saya menjadi calon. Secara spontan, dan selamba, Tun Abdul Razak telah mengeluarkan pangkal resit bayaran yuran UMNO sebagai bukti saya sudah membayar yuran ahli UMNO Bahagian Pekan.

14. Sekitar waktu yang sama saya juga telah mendapat tawaran dari Dato' Asri Presiden PAS untuk menjadi calon di Padang Terap untuk mengganti tempat Haji Ahmad Shukri yang menjadi Ahli Parlimen PAS bagi Padang Terap, Kedah di waktu itu. Kata Dato' Asri kalau UMNO tak mahu saya maka saya boleh jadi ahli PAS.

15. Dalam pertemuan saya dengan Tun Ghafar Baba, Naib Presiden UMNO waktu itu dan Tun Syed Ahmad Shahbuddin, Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah pada waktu itu, di Coffee House Federal Hotel, Jalan Bukit Bintang, saya telah menyatakan bahawa saya hanya akan terima tawaran jadi calon jika saya menggantikan Tan Sri Hanafiah Hussain, Ahli Parlimen Jerai waktu itu, jika beliau tidak bertanding lagi.

16. Saya menang tanpa bertanding di kawasan Parlimen Jerai. Lepas itu saya menang dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerai.

17. Apa yang mengejutkan saya ialah pandangan Ketua Bahagian saya yang tidak mahu menambah ahli UMNO, walau pun Ibu Pejabat UMNO mengarahkan supaya diadakan kempen menambah ahli UMNO baru, kerana katanya 'ahli yang ada memilih kita tetapi ahli baru belum tentu akan pilih kita'. Fahaman begini telah melarat kepada waktu mendaftar pengundi baru untuk Pilihanraya Umum. Beliau juga berpendapat 'pengundi yang ada memilih kita dan pengundi baru belum tentu memilih siapa'.

18. Apakah kerana bimbang masih adanya sikap begini pada pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian maka Suruhanjaya Pilihanraya mencadangkan PERKASA turut membantu mendaftar pengundi. Jika ada, ianya paling bahaya kerana sementara ada fikiran pengundi muda atau baru mungkin tidak menyokong Barisan Nasional apakah ada jaminan pengundi yang sedia ada dalam daftar tetap menyokong Barisan Nasional? Apakah tidak mungkin jika pengundi lama kecewa terhadap Barisan Nasional pengundi baru dapat disuntikkan dengan semangat yang akan membuat mereka menyokong UMNO dan Barisan Nasional?

19. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersikap positif untuk menarik kembali pengundi yang sedia ada, yang telah kecewa dengannya, dan juga menarik pengundi yang muda dan yang baru.

20. Ternyata dalam Pilihanraya Umum ke 12 bukan saja pengundi baru dan pengundi muda tidak menyokong Barisan Nasional tetapi pengundi lama juga banyak yang telah berpaling tadah.

21. Pemimpin-pemimpin UMNO hendaklah sedar bahawa banyak dari kalangan pengundi yang ada tidak menjadi ahli UMNO dan tidak lagi menyokong Barisan Nasional.

22. Adalah menjadi tanggung-jawab semua pemimpin dan ahli UMNO dan Barisan Nasional bukan sahaja untuk menawan semula hati pengundi yang dulunya menyokong Barisan Nasional tetapi juga pengundi baru yang jika tidak didaftarkan atas usaha UMNO sekali pun besar kemungkin mereka akan mendaftar sendiri atau atas inisiatif parti lawan.

23. NGO boleh membantu UMNO dan Barisan Nasional asalkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional mempunyai sikap yang betul yang diikuti oleh amalan yang manarik pengundi dan rakyat. Menghalang ahli-ahli UMNO dari menghadiri perjumpaan PERKASA bukanlah tindakan yang menguntungkan.

24. Saya di Manchester waktu menerima jemputan untuk merasmikan PERKASA Negeri Perak. Secara kebetulan saya sedang membaca buku bertajuk 'Jewish Manchester - An Illustrated History' karangan Bill Williams. Buku ini pertama kali dicetak pada tahun 2008.

25. Ternyata Manchester mempunyai sekitar 35,000 Yahudi yang terdaftar pada tahun 2008. Mereka mempunyai 46 synagogues dan didukung serta mendukung 150 NGO termasuk 20 buah NGO Zionis yang menonjolkan sokongan Yahudi Manchester kepada negara Israel. Mereka memiliki hanya sebuah surat-khabar bernama The Jewish Telegraph.

26. Di Manchesterlah Chaim Weitzmann, seorang pensyarah kimia dari Universiti Manchester, bergerak untuk membela Yahudi. Beliaulah yang menubuhkan kelompok Zionis yang bernama 'Manchester School', yang menguasai kewangan dan industri, dan memainkan peranan penting untuk mempengaruhi kerajaan British mengisytiharkan 'Balfour Declaration' sebagai asas bagi kewujudan negara Israel.

27. Masyarakat Yahudi Manchester dan Salford telah memainkan peranan yang aktif dalam bidang ekonomi, kebudayaan, kebajikan dan politik melalui kegiatan mereka dalam organisasi-organisasi pedagang, pekedai, doktor, doktor gigi, peguam, pensyarah, pemusik, pelukis, arkitek, wakil rakyat, pentadbir, dan mereka juga menjadi pengasas, panaung dan pengurus bagi badan-badan NGO berkaitan.

28. Begitu hebat Yahudi menggunakan rangkaian NGO sehingga negara Amerika Syarikat dapat ditakluki mereka; dan dengan pengaruh Yahudi melalui NGO mereka dapat menguasai politik Amerika Syarikat untuk terus membantu Israel sehingga, dengan jumlah rakyat Arab yang berlipat ganda dibandingkan dengan rakyat Israel di tambah pula dengan kekayaan negara-negara Islam di Asia Barat, dengan minyak dan gas yang begitu banyak, pembelaan terhadap Palestine tetap tidak berjaya.

29. Antara sebab Barisan Nasional banyak kalah di dalam pilihanraya umum ke 12 ialah kehilangan sokongan orang-orang keturunan India yang dipengaruhi oleh Hindraf. Oleh kerana PM di waktu itu tidak pedulikan semua rayuan dari Hindraf akhirnya NGO ini menjadi faktor yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan sokongan masyarakat Hindu.

30. Waktu saya menjadi pelajar di Hamburg, Jerman Barat ( sebelum Jerman Barat dan Timur bersatu ), saya telah mendengar satu syarahan oleh Professor Karl Schiller di Hamburg Universiti mengenai rancangan kerajaan Sosialis Politik Demokratik ( SPD ) pimpinan Chancellor Helmut Schmitt untuk membenarkan orang-orang Turki bekerja di Jerman Barat.

31. Professor Schiller menyatakan ada tiga sebab untuk membenarkan orang-orang Turki bekerja di Jerman Barat sebagai pekerja asing. iaitu:

31.a. Sebab pertama ialah berasaskan pertimbangan ekonomi. Sebagai negara yang sedang membangun begitu cepat Jerman Barat terpaksa memilih samada untuk menggunakan pendekatan Jepun dengan membuat banyak robot untuk menjadi tenaga kerja atau untuk membawa masuk pekerja asing. Keputusan yang diambil ialah membawa masuk pekerja asing kerana ianya lebih cepat daripadi membuat robot dan jika ekonomi meleset maka pekerja asing boleh dihantar balik kenegara asal.

31.b. Sebab kedua ialah berasaskan pertimbangan politik. Pada pendapat Professor Schiller hanya wujud tiga buah negara Islam di dunia ini yang mempunyai kemampuan berperang baik dari segi jumlah penduduk, ramainya tentera dan rekod keberanian mereka dalam sejarah. Negara-negara itu ialah Mesir, Turki dan Parsi ( Iran ). Jika ketiga mereka bersatu dan bergabung tenaga maka Israel dapat mereka hancurkan. Oleh kerana kehancuran Israel akan membawa padah yang teruk kerana Yahudi dari Israel pasti pulang balik ke Jerman, maka demi kepentingan Jermanlah maka tiga negara Islam ini perlu dihalang dari bersatu. Parsi bagi Schiller ialah negara sahabat di bawah Syah. Mesir di bawah Gamal Abdul Nasir adalah musuh Israel. Oleh itu jika Turki dapat dihalang dari memasuki pakatan untuk menentang Israel maka selamatlah Jerman daripada didatangi Yahudi.

31.c. Dari segi sejarah pula pihak Turki telah memihak kepada Jerman di dalam Perang Dunia ke Dua.

32. Dalam melaksanakan dasar kemasukan orang-orang Turki ke Jerman Barat Professor Schiller, yang dianggap sebagai seorang ahli ekonomi kewangan yang terpintar di Barat, telah dilantik oleh Chancellor Helmut Schmitt menjadi Menteri Ekonomi dan Kewangan Jerman Barat.

33. Bila orang-orang Turki masuk bekerja di Jerman Barat maka semua pelajar-pelajar dari Asia telah kehilangan kerja. Sebabnya ialah pekerja Turki lebih besar dan bertenaga dari pelajar-pelajar Asia. Umpamanya, di Pelabuhan Hamburg dua orang pekerja Turki boleh angkat satu tong sedangkan pelajar Asia perlu tenaga empat orang. Oleh kerana gajinya sama, ia-itu satu pertiga gaji pekerja Jerman, maka lebih menguntungkanlah jika majikan gunakan tenaga orang-orang Turki.

34. Saya, sebagai Presiden Tenaga Kerja Muda dari kalangan pelajar-pelajar di Hamburg, bersama komiti pelajar telah menjalankan kempen bukan sahaja kepada Professor Schiller tetapi juga serata Jerman menyokong usaha pekerja-pekerja Turki untuk diberi taraf kerakyatan Jerman. Kempen ini dijalankan sebelum pilihanraya Jerman Barat. Isu kerakyatan untuk orang-orang Turki telah diketengahkan dalam manifesto pilihanraya dan apabila menang kerajaan SPD yang dipimpin oleh Chancellor Helmut Schmitt pun memberi kerakyatan kepada pekerja-pekerja Turki.

35. Akibat dari keputusan ini maka pekerja-pekerja Turki pun dapat gaji dan upah yang sama dengan pekerja Jerman dan pelajar-pelajar Asia pun dapat bekerja samula kerana gaji dan upah untuk mereka yang bukan rakyat lebih ekonomik bagi peniaga-peniaga Jerman.

36. Saya telah dipilih untuk jadi pemimpin pelajar kerana dari sekitar 400 orang pelajar dalam persatuan hanya saya dari Malaysia. Pelajar lain dari Indonesia, Thailand dan Filipina. Perebutan kuasa antara mereka memberi peluang kepada saya menjadi pemimpin.

37. Dari kisah di atas adalah jelas bahawa memecah-belahkan negara-negara Islam yang mampu berperang akan menguntung Yahudi sebagai musuh Islam. Ternyata juga bahawa bantuan Jerman kepada umat Islam Turki bukanlah kerana sayang kepada orang Islam tetapi kerana takut kepada Yahudi.

38. Oleh itu pemimpin-pemimpin Melayu di Malaysia dan pemimpin-pemimpin Islam di seluruh dunia perlulah sedar apa untungnya berkelahi sesama sendiri. Kita perlu bertanya apakah sokongan yang kita terima sama saperti Jerman menerima orang Turki yang semata-mata untuk menghalang kehancuran Israel. Apakah NGO yang menyokong kita akan menguntungkan atau merugikan bangsa dan ugama kita; patutkah kita belajar dari Yahudi yang berjaya menggunakan NGO untuk kepentingan Yahudi dan tidak memusuhi NGO seperti Ketua UMNO Bahagian yang menentang penubuhan PERKASA Negeri Perak.

Posted by Sanusi Junid at 7:44 PM
Labels: POLITIK

(sumber;http://sanusijunid.blogspot.com/2009/12/yahudi-kuasai-dunia-melalui-ngo.html)

zmsegamat kata: NGO yang KUAT mampu mengubah dan memberi tekanan kepada kerajaan untuk membuat dasar yang memberi kelebihan dan kebaikan untuk kaum mereka.

Saturday, July 25, 2009

Melayu boleh bersatu jika ada ancaman lain – Sanusi

Melayu boleh bersatu jika ada ancaman lain – Sanusi

Bekas tokoh UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berpendapat orang Melayu tidak akan bersatu atas dasar parti sama ada antara UMNO dengan PAS sebaliknya boleh berbuat demikian atas ancaman lain.

Mengambil contoh ancaman Inggeris mahu menubuhkan Malay Union satu ketika dahulu, semua pihak katanya termasuk Raja-Raja Melayu serta ulama bersatu untuk menjaga maruah dan bangsa Melayu.

Malah menurut bekas Setiausaha Agung UMNO itu, selepas tragedi 13 Mei, PAS sanggup bersama-sama UMNO kerana khuatir ancaman kaum lain untuk mengambil alih negara ini.

Sedangkan sebelum itu kata beliau, PAS tidak mahu menyertai UMNO kerana menganggap parti itu seperti tong najis dan sesiapa yang sudah masuk ke dalamnya tidak akan bersih walaupun dicuci berkali-kali.

“PAS masuk (UMNO) bukan duduk dalam tong (najis) tapi duduk luar tong sebab nak sama-sama jaga negara ketika itu,” ujar Sanusi dalam Forum Bual Bicara UMNO anjuran Ibu Pejabat UMNO di ibu negara, malam Sabtu.

Lebih 100 tetamu hadir di forum bulanan yang dimoderatorkan oleh Profesor Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Sanusi mengimbau perbualannya dengan pemimpin utama PAS ketika itu, Abu Bakar Hamzah yang memberitahu beliau bahawa PAS tidak akan masuk UMNO sebab menganggap parti itu macam tong najis.

Menurut bekas menteri dan Menteri Besar Kedah itu, kekuatan orang Melayu dahulu juga disebabkan takut kehilangan kuasa, kepandaian dan sebagainya.

Sebab itu katanya, ada tindak tanduk kerajaan mahupun UMNO yang tidak dapat diterima akal tetapi dilaksanakan supaya orang Melayu mendapat pembelaan.

“Dulu kita takut terkebelakang dalam pelajaran. Pemuda UMNO tekankan supaya Melayu dapat kuota masuk universiti dan dapat biasisiswa,” katanya.

Katanya, kerajaan boleh buat begitu tanpa tentangan kaum lain kerana biasiswa swasta bebas diberikan kepada anak-anak mereka bagi menuntut pelajaran asalkan biasiswa kerajaan untuk pelajar Melayu.

Sanusi yang pernah keluar UMNO bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei tahun lalu berkata, selepas pilihanraya umum ke 12, nampak sikap orang Melayu sanggup menerima kekalahan tanpa rasa malu dan takut kehilangan apa yang ada sebelum ini.

“Melayu hari ini sudah boleh terima kekalahan…ini alamat Melayu akan hilang maruah dan hilang kekuatan,” jelas beliau.

Beliau turut merujuk sikap orang Melayu yang kini tidak lagi berani mempertahankan kedaulatan raja-raja, Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

“Dulu perkara-perkara inilah yang jadi wadah perjuangan menguatkan Melayu. Sekarang berapa ramai yang sanggup pertahankannya,” soal Sanusi.

Beliau mengaitkan perubahan ini dengan sikap ‘kecairan rasa Melayu’ dikalangan orang Melayu di negara ini.

Menyentuh mengenai UMNO pula, Sanusi mahu parti itu mesti jujur dan berani memberi penjelasan kepada semua orang termasuk ahli-ahli mengenai perjuangan sebenar UMNO.

Malah beliau mendakwa, ada kalangan meteri yang tidak tahu mana ekor atau kepala dalam UMNO selain pemimpin yang datang ke perhimpunan agung parti hanya ketika perasmian dan penutup sahaja.

Katanya, ibu pejabat UMNO perlu memanfaatkan tokoh dan pemimpin veteran UMNO untuk memberi penerangan dan menceritakan sejarah perjuangan parti bagi mengembalikan semangat ahli serta pemimpin.

Sanusi juga berpendapat, UMNO perlu memutuskan seseorang pemimpin itu sama ada mahu menjadi Ketua Bahagian, Wakil Rakyat atau ahli perniagaan apabila terbabit politik.

Katanya, penyakit ‘3 in 1’ perlu diatasi kerana mereka tidak boleh berjaya melakukan tiga perkara dalam satu masa yang akhirnya memberi kesan buruk kepada parti dan rakyat yang memilih mereka.-25/7/2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_ae0d6154-7f000010-9647)