Sunday, October 18, 2009
Dato Seri Najib Tun Razak; Jadi PARTI Juara RAKYAT
Najib Tun Razak semasa menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di PWTC, semalam.
Terlebih dahulu marilah kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah memungkinkan Perhimpunan Agung kali ke-60 ini berjalan dengan teratur dan selamat hingga ke penghujungnya.
Saya telah hadir setiap Perhimpunan Agung UMNO sejak tahun 1976 hinggalah pada hari ini. Setiap perhimpunan agung sarat dengan beberapa peristiwa, beberapa kejadian dan ia boleh diukur daripada segi suasananya, daripada segi kualiti perbahasan, daripada segi komitmen ahli-ahli dan lebih-lebih lagi dari segi semangat dan roh perjuangannya.
Maka saya berdiri di sini dan ingin menyatakan bahawa Perhimpunan Agung ke-60 ini ialah antara yang terbaik yang pernah saya hadir. Saya katakan bahawa perhimpunan agung ini antara yang terbaik kerana saya melihat bahawa kita telah menghadapi ujian yang begitu besar.
Dan selama satu tahun saya telah berasa begitu agak gusar, agak gundahgulana juga hati saya melihat bahawa sama ada anggota-anggota parti kita sudah pulih dari segi semangat atau tidak. Sudah boleh bangkit semula atau pun tidak. Sudah sedar atau pun tidak. Sudah benar-benar insaf atau pun tidak! Tetapi hari ini, apabila saya berdiri di depan tuan-tuan dan puan-puan, segala kesangsian itu sudah luput sama sekali.
Saya berani menyatakan dan saya cukup yakin bahawa UMNO pada saat ini, pada ketika ini, bersedia untuk bangkit, bangun sebagai satu kekuatan baru.
Kalau perhimpunan kita pada permulaan dihadiri seorang mantan presiden, maka perhimpunan kita ini ditutup dengan dihadiri oleh seorang lagi mantan presiden UMNO.
Saya sesungguhnya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Bukan sahaja kerana dia hadir dalam perhimpunan ini, bukan sahaja kerana dia memilih tidak mahu duduk di tempat VVIP tetapi duduk di bawah sebagai Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas tetapi kerana dia juga telah melafazkan dua janji kepada saya.
Bila Pak Lah berhenti, dia janji dua perkara pada saya. Pertama, dia janji dia tidak akan mengkritik saya. Saya nak kata, Pak Lah bukan sahaja tidak kritik saya tetapi dalam apa hal pun yang saya buat, dia menjadi penyokong kuat saya.
Yang kedua, dia janji pada saya, dia kata buatlah yang terbaik. Malah dia kata, kalau saya buat lebih baik daripada dia, dia lebih suka dan dia tetap akan menyokong apa-apa yang saya lakukan. Jadi dalam perhimpunan ini saya hendak melahirkan penghargaan UMNO, penghargaan saya dan penghargaan saf pimpinan kepada YAB Pak Lah kita.
Perhimpunan kita pada kali ini bersejarah kerana sejak penubuhan parti UMNO pada 1946, perhimpunan ini membuat satu perubahan daripada segi perlembagaannya. Dan perubahan perlembagaan ini ialah yang paling signifikan, paling radikal dan paling besar sekali pernah dilakukan dalam sejarah perjuangan parti keramat kita ini.
Ya, kita pernah pinda perlembagaan dulu. Malah UMNO telah diharamkan pada tahun 1987 (2 April 1988). Kita buat UMNO baru tapi kita perketatkan proses pemilihan dalam parti UMNO. Kita menentukan sistem bonus, kita menentukan sistem kuota. Kita buat ini kerana kita tidak cukup yakin akan kestabilan dalam parti. Tetapi pada kali ini kita ambil keputusan untuk menghapuskan sistem kuota sama sekali dalam parti UMNO kita ini.
Dan sistem kuota ini kita hapuskan bukan untuk jawatan ketua bahagian sahaja. Ia tidak adil kalau sistem kuota ketua bahagian sahaja kita hapuskan tetapi jawatan presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, ahli majlis tertinggi kita masih ada sistem kuota.
Kita seolah-olah hendak melindungi kepentingan kita yang berjawatan tertinggi di sebalik sistem kuota itu. Maka bila perkara ini dibincang dalam mesyuarat Biro Politik, saya dan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden. Kami berdua kata, kami rela tidak berselindung di sebalik sistem kuota.
Ada orang kata pada saya: "Eh... Datuk tak takut ke Datuk tak ada perlindungan, Datuk tak ada perisai lagi?" Ada! saya kata, perisai saya ialah ahli-ahli UMNO seluruh negara.
Kalau saya seorang presiden yang berkerja dengan baik, yang dapat berkhidmat kepada parti, yang dapat membela dan menjadi juara kepada rakyat, dapat membangunkan negara, maka nasib saya, saya serah kepada ahli-ahli UMNO untuk tentukan.
Saya boleh cari jalan yang mudah. Sebab dalam perlembagaan sebelum ini, kuota untuk presiden berapa? Lima puluh lapan (58) bahagian mesti mencalonkan seseorang sebelum dia layak bertanding jawatan presiden.
Cuba fikirkan boleh dapat ke 58 bahagian? Bukan mudah. Biasanya dapat satu, dua pun susah. Satu... Jadi kalau saya nak jadi presiden, sampai bila-bila, presiden seumur hidup, saya tentu sekali kekalkan perlembagaan lama.
Tetapi pada saya, biarlah saya serahkan untung nasib saya kepada ahli-ahli UMNO untuk tentukan dan semangat yang sama juga ada pada timbalan presiden parti.
Kita hendak berkhidmat selagi khidmat kita diperlukan oleh ahli-ahli parti. Perkhidmatan kami diperlukan kalau kami dapat menentukan kepimpinan yang membawa kepada keberhasilan, kepada outcome, kepada sukses, kepada kejayaan, kepada pencapaian.
Dan itulah yang akan menjadi dorongan yang paling kuat untuk kami berdua dan rakan-rakan lain di atas ini untuk bekerja lebih kuat dan lebih bersungguh-sungguh lagi.
Kami tidak mahu dikata, suruh orang di bawah kerja kami di atas tak buat kerja. Kami di atas duduk di atas kerusi empuk, melunjur kaki. Kami mahu menjadi pemimpin teladan yang baik. Kalau kami suruh orang bawah buat kerja, kami juga akan kerja dengan sepenuh hati.
Saya ingin mengucap terima kasih kepada ketua-ketua bahagian yang selama ini orang mengecap ketua-ketua bahagian ini sebagai war-lord. War-lord ini maknanya ketua-ketua bahagian nak jaga kedudukan masing-masing. Pertahankan kedudukan masing-masing.
Datuk (Seri) Hishammuddin punya panik. Sampai pukul 2, 3 pagi dia tidak tidur buat pindaan perlembagaan. Dia takut ketua-ketua bahagian tidak setuju. Tapi saya berterima kasih dan saya hendak menghargai sangat dan melahirkan penghargaan kepada semua ketua bahagian. Sebab dalam hal ini, apa yang dicap, apa yang uar-uarkan sebenarnya ketua-ketua bahagian UMNO bukan war-lord. Ketua-ketua bahagian semuanya inginkan perubahan supaya UMNO lebih demokratik, lebih terbuka.
Apa lagi yang kita hendak dengan perubahan perlembagaan? Kita hendak bersifat lebih inklusif. Kita hendak terima semua golongan dalam parti kita, supaya parti kita lebih kuat.
Jadi kita permudahkan siapa nak masuk. Sekarang ini ketua cawangan boleh sign (tanda tangan), Ketua Pemuda boleh sign, Ketua Wanita boleh sign, Ketua Puteri pun boleh sign. Jadi UMNO sekarang menjadi parti yang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin menjadi ahli.
Mari kita kembali kepada asal UMNO ditubuhkan. UMNO menjadi kuat pada awal penubuhannya kerana apa? Kerana UMNO merupakan parti pergerakan massa, a mass movement. UMNO bukan parti elitis, UMNO bukan parti kepunyaan mana-mana golongan bangsawan atau mana-mana golongan.
UMNO merupakan parti himpunan segala-gala. Kepimpinan UMNO daripada semua latar belakang golongan boleh berhimpun, bernaung dan boleh bergerak sebagai satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani orang Melayu. Ini kekuatan kita.
Jangan lagi ada kita nak sekat... jangan lagi ada borang hilang macam saya sebut pada taklimat presiden. Pegawai di pejabat saya yang agak mempunyai kelulusan baik, tinggi, seorang graduan hendak jadi anggota UMNO, tiga kali pohon, tiga kali borang hilang.
Jadi UMNO kehilangan dia, nasib baik dia masih sokong kita, hendak sokong UMNO. Cuba kalau puak sana pelawa dia, any time boleh masuk bukan sahaja kasi tempat, bahkan juga kasi jawatan. Itulah sebabnya kita kehilangan sebahagian daripada orang yang patut berjuang dalam UMNO kerana kita tidak bersikap terbuka kepada mereka. Betul ke tidak?
Sekarang kita tinggalkan itu. Bila Tan Sri Muhyuddin kata "buat fiil ni". Ini orang Johor punya sebutan sebagai kelakuan dan perangai yang tak baik kita buang. Sempena perlembagaan baru ni, kita buang. Kita nak pembaharuan. Pembaharuan bukan bersifat perlembagaan sahaja, ia bersifat dari segi budaya, sikap kita, jadi kita bersifat inklusif.
Kepada kaum ibu, kita beri kedudukan istimewa kepada Wanita. Wanita dapat perwakilan tambah seorang lagi di peringkat bahagian supaya Wanita menjadi nadi penggerak kepada parti.
Waktu pilihan raya, jentera utama kita ialah jentera Wanita. Pada mesyuarat cawangan, jika tak ada Wanita, tak cukup kuorum, betul tak? Jadi, jangan sampai masanya kita tak ada sikap sedemikian rupa. Selain daripada Wanita kita juga mesti jaga Pemuda.
Saya punya rakan sejawatan sewaktu menjadi Menteri Pertahanan ialah Menteri Pertahanan Afrika Selatan. Ejaan namanya L,E,K,O,T,E kalau salah sebut, ia jadi lain. 'Lekote' saya tak tahu nak sebut, kalau cara Melayu jadi lain. Tak apalah itu namanya, Tapi saya nak berkongsi dengan para perwakilan sebab saya lihat ada besar maknanya. Dia telah dipenjara di Robin Island, Cape Town bersama-sama Nelson Mandela.
Mandela dipenjara 27 tahun. Dia (Lekote) 14 tahun. Pada musim sejuk, terlalu sejuk dia kata. Bila mereka terpaksa berada di luar penjara, mereka buat dua bulatan. Satu bulatan luar dan satu bulatan dalam. Tapi yang menariknya, yang bulatan luar itu, siapa dia? Orang yang selama-lama duduk di luar bulatan, yang muda-muda ada di dalam bulatan kedua, kenapa?
Sebab kepada mereka yang berjuang atas nama perjuangan, yang penting ialah perjuangan. Jadi kalau orang muda boleh hidup lama maka selama mereka hidup, perjuangan dapat diteruskan.
Daripada merekalah, mereka korbankan diri. Lama-lama korbankan diri untuk menjamin kelangsungan perjuangan mereka itu, menentang aparteid.
Jadi inilah ukuran orang perjuangan. Ini orang yang mementingkan perjuangan. Dia memikir apa? Dia memikirkan kejayaan perjuangannya, bukan kedudukan dirinya.
Saya utamakan UMNO. Mana saya pernah sebut tentang maruah saya, kepentingan saya, walaupun saya dah lama saya nak lagi, nak lagi dan nak lagi - tak beri peluang kepada orang lain. Kita tidak jaga generasi yang baru. Inilah yang menyebabkan generasi baru jauh daripada kita.
Mereka jauh daripada kita bukan kerana mereka tidak mahu sokong UMNO tapi kita tak beri tempat pada mereka.
Inilah pemikiran baru kita yang mesti ada ada selepas perubahan perlembagaan ini. Bukannya pindaan perlembagaan (tetapi) fiil (perangai) sama macam dulu lagi.
Walaupun lebih susah lagi kerana 146,000 nak pilih kita. Bukan 2,500 yang kita boleh kenal, boleh hafal nama dia. Yang bertanding semua hafal nama dia, tahu nombor telefon dan tahu baju.
Kita nak ubah orang - manusia - memang susah. Manusia nak ubah manusia lain tak boleh, jadi kita buat satu sistem. Sistem ini lebih ketat dan lebih ketat sistem itu ia menjurus orang kepada perubahan.
Lambat-laun dia (manusia) akan menjadi orang yang baik, insya-Allah. Kalau dia mula daripada malaikat kepada syaitan dan syaitan kepada malaikat.
Sistem ini akan memaksa dia untuk buat sesuatu ikut peraturan. Jadi kita nak beritahu jangan sekali-kali cuba rosakkan, eksploitasi sistem yang baru ini, kita serius. Jangan! Minta maaf, kalau kita rosakkan, alamat kita semua akan tanggung akibatnya. Kita nak pastikan keterampilan, imej UMNO yang bersih, berintegriti yang disenangi rakyat. Ini perubahan kita.
Ini kerana, apabila rakyat hendak tengok UMNO, mereka tak tengok parti, mereka tengok parti ini betul-betul nak tolong kita. UMNO ini nak bantu kita, nak jadi juara rakyat, bukan bergaduh, berbalah semasa kita atau bukan nak dapatkan kontrak. Hulur borang coklat, "Datuk, mintak tolong tenyeh sikit."
Jumpa saya boleh, tapi kita mesti buat kerja, saya hendak UMNO jadi juara kepada rakyat, kita jadi parti juara kepada rakyat, tak payah nak cari formula sains roket (kompleks).
Ada banyak orang sebut pasal peruntukan. Hei, sebut peruntukan punya teruk, semua nak peruntukan. Saya tahu perlunya peruntukan, tapi saya nak beritahu, ada benda tak perlu peruntukan. Sebagai contoh, kalau kita berubah daripada sikap malas kepada rajin, perlu ke peruntukan? Perlu? (para perwakilan sahut tak perlu!) Tak perlu. Daripada sikap malas tiba-tiba jadi rajin, perlu ke peruntukan? Tak perlu!
Lepas itu, kalau ada orang jenis sombong atau orang sekarang sebut eksyen (berlagak) kemudiannya dia berubah kepada sikap rendah diri, jadi perlu ke peruntukan? Tak perlu. Kemudiannya dia (pemimpin UMNO) suka berdebat kepada suka bekerja, perlu ke peruntukan? Tidak perlu!
Kemudian, dia suka cari kesalahan orang, jenis orang ini orang lain tak betul, hanya dia seorang sahaja yang betul. Kalau dia ubah perangai itu, perlu ke peruntukan? Tak perlu juga.
Begitu juga dengan orang yang perangainya suka mencetuskan perselisihan. Mereka ini yang saya cakap batu ronson ni. Batu ronson ini ialah batu api, tukang kipas. Kalau dia tahu macam itu, perlu ke peruntukan? Kalau sikap menjauhi rakyat kepada mendekati rakyat, perlu peruntukan? Tak perlu, tak perlu.
Tapi kalau aktiviti UMNO, nak tambah aktiviti macam Timbalan Presiden, Muhyiddin (Tan Sri) kata, kita sanggup bagi peruntukan tambahan.
Aktiviti saya sebut, program. Tak boleh serah bulat-bulat. Bila diserah peruntukan, dikonyoknya. Tunggu masa nak pakai. Buatlah seperti program tambahan pengundi. Kita bagi di bawah Datuk Shafie, saya dah janji di Kampung Janda Baik.
Banyak saya janji di Kampung Janda Baik ini. Semangat janda yang baik ini. Kita bagi peruntukan, tapi buat kerjalah, pergi cari pengundi baru.
Kita gaduh, memang betul, parti lawan buat kerja tak senonoh. Memang betul seperti yang dikatakan oleh Datuk Zahid Hamidi tadi, memang betul. Tapi apa hal kita ni, apa hal UMNO ini?
Saya nak beritahu, pada tahun ini, tak buat kerja tambah pengundi pun. Ikut rekod kita, UMNO kaku tak bergerak tambah pengundi. Mulai hari ini, balik nanti pergi tambah pengundi, tambah ahli UMNO baru, supaya kita kuat.
Saya nak beritahu mengenai politik dalam demokrasi berparlimen. Ada dua perkara yang penting. Apa dia?
Satu, politik is a game of numbers (permainan nombor). Itu dia, iaitu bilangan. Kalau ada bilangan lebih, kita menang senang je. Masa saya mula-mula masuk politik dahulu, masa kita kuat, saya tak perlu fikir banyak-banyak pergi rasmi cawangan UMNO dan cukup, gerenti menang tapi sekarang tak boleh macam tu lagi.
Itulah sebab kita mesti ada program outreach. Setiap NGO dalam kawasan kita mesti sokong kita, setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mesti sokong kita. Mereka yang menentang kita, kalau kita dekatkan diri dengan mereka, silapsilap mereka sokong kita.
Namun, bukan semua menentang kita. Pas pun bukannya semua hitam legam. Walaupun ada hitam tapi boleh kikis. Kita berus, kikis hilang hitam itu atau hijau dan boleh jadi colour (warna) kita nanti. Sebab itu, dalam pertandingan, ada yang sokong kerana parti dan ada yang sokong kerana peribadi.
Maka, personaliti calon itu penting, kalau kadang-kadang kita letak calon atas nama parti tapi mereka tak suka parti, boleh jadi mereka tak undi kita. Tapi, kalau mereka suka calon, suka parti, mereka akan undi kita, kita menang. Sebab itu saya pilih Tan Sri Isa (Samad) di Bagan Pinang.
Saya kata, kalau nak diikutkan Tan Sri Isa dari segi kesalahan, kita dah hukum dia. Dalam sistem undang-undang negara, orang kena hukum dan cukup edahnya, kita tak boleh hukum sekali lagi, betul tak?
Malah, dalam undang-undang Islam pun, seseorang dah jalani hukum di dunia, akhirat dia terlepas. Jika Tan Sri Isa walaupun dia kena hukum, hilang jawatan, dia taat setia kepada parti.
Dia tidak merajuk. Hatta (mereka) daripada puak-puak sebelah sana (pembangkang) jangan cakap besar. Ada orang nak kena hukum hari ini pun, macam dia yang hebat sangat.
Yang ada dikenakan tindakan disiplin kewangan pun ada sebelah sana, baru masuk baru-baru ini. Dulu dia kena tindakan disiplin kerana politik wang. Dia terpaksa lepas jawatan. Sekarang ni, dia dah berada di sebelah sana.
Jangan cakap besar, yang penting sekali ialah kita mesti berlaku adil. Penting sekali kalau orang itu dah jalani hukum masih taat kepada parti, orang kawasan itu hendak dia, sebab itu saya pilih Tan Sri Isa sebagai calon di Bagan Pinang.
Kita kerja sebagai satu pasukan. Bila bahagian jalankan dengan baik, calon baik, perhubungan negeri baik iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan. Dia bekerja kuat juga dan jentera kita di bawah Muhyiddin bekerja kuat sehingga kita menang di Bagan Pinang.
Kita menang dengan majoriti berganda, 132 peratus iaitu lebih besar daripada pilihan raya umum pada tahun 2004.
Sebab itu semacam ada suntikan semangat seperti dalam dewan ini dan sebelum masuk ke dewan ini.
Cuba kita kalah di Bagan Pinang. Bagaimana rupa perwakilan agaknya? Mungkin monyok, muram, jalan pun satu macam saja, rasa nak marah saja nanti.
Tapi kita menang. Semua ceria sehinggalah perlembagaan diluluskan. Kalau kalah, nak lulus ke pindaan perlembagaan itu? Kalau lulus pun mungkin ada pindaan lain lagi.
Kita atur dah cantik. Itu sebab saya setuju, lepas semangat dari Kampung Janda Baik. Saya setuju kursus di kampung itu kerana meletakkan kita sama tarafnya. Kita campur semua menteri, bukan menteri supaya lebih kenal antara satu sama lain. Namun, mereka lebih kenal daripada apa yang patut, tapi tak apa. Kita nak semangat macam itu.
Dalam kursus itu, saya pun basuh pinggan, saya tak beritahu orang rumah saya (Datin Seri Rosmah Mansor) tapi sekarang dia sudah tahu. Kita bersenam bersama. Bagaimanapun kita akan kembali semula di Kampung Janda Baik.
Tiap kali MT mesyuarat, kita nak laporan daripada pengerusi perhubungan sama ada buat kerja atau tak buat kerja. Jangan sedap jadi Pengerusi Perhubungan tapi tak buat kerja, kena buat kerja.
Kalau nak kekal - buat kerja. Jangan marah orang bawah tak buat kerja. Semua kena buat kerja, pengerusi perhubungan, pengerusi biro. Barulah parti kita ada kepimpinan dinamik dan segar. Orang di bawah pun naik semangat bila tengok kita buat kerja dan bila kita suruh mereka buat kerja, mereka akan kata: "OK Datuk, no problem".
Inilah bentuk semangat yang kita hendak. Tuan-tuan dan puan-puan, ini signifikan dengan perhimpunan kita.
Saya janji nak cerita (tentang) Datuk Sahak (Ishak Ismail) ini. Beliau kawan saya lebih 25 tahun. Datuk Sahak ini, orang yang boleh control dia, saya saja. Menteri Besar (Mohamad Hassan) pun tak boleh control dia. Sebab saya dah kawan lama.
Cuma, cerita Datuk Sahak ini (dalam perbahasan semalam) adalah untuk memberikan mesej. Tetapi dia olah cerita itu supaya dapat pada mesejnya itu. Tapi cerita yang dibuatnya itu kita kena tapis sedikit, bukan sikit, tapi banyak, ada yang betul ada yang bidaah.
Apa yang betulnya, saya tidur antara Sulaiman Taha dan arwah Jamaluddin Bakar. Kita panggil dia Jamaluddin JBL. Cita-cita dia nak jadi wakil rakyat tapi sampai sudah tak jadi wakil rakyat, dah kembali ke rahmatullah.
Sulaiman Taha dok ejek dia (Jamaluddin), you tak boleh jadi wakil rakyat sebab rambut you kerinting. Adakah rambut kerinting tak boleh jadi wakil rakyat?
Bila bunyi bom pukul 3.20 pagi, saya turun. Dia (Datuk Ishak) turut turun. Kemudian baru dia cerita kat saya, "tau tak apa yang saya buat bila bom meletup? Hak situ, saya pegang dulu," dia kata. Dia pegang dia punya, dia tak pegang saya punya.
Saya yakin saya punya tu, masih kekal dan kalau saya perlu check, saya takkan suruh Datuk Ishak check. Mampus saya tak suruh Datuk Ishak check. Dia check, entah apa dibuatnya nanti...
Tapi ceritanya, kalau nak jadi pemimpin, benda tu mesti ada pada kita. Maknanya pemimpin yang berani. Itu dia cerita dia.
Ha, itu cerita sebenarnya. Jadi orang kata to put the record straight (untuk memperbetulkan rekod). Nanti dalam rekod perhimpunan agung tahun ini, nanti terekod, terakam dalam itu, "dia check saya..." Saya khuatir tu.
Nanti orang kata, future generation (generasi masa depan) kata, eh macam mana ni? Saya bimbang, saya cukup takut. Jadi, to put the record straight ya, Datuk Sahak. Tak apa, you will always be my friend forever.
Jadi tuan-tuan dan puan-puan, semangat kita dah cukup kuat. Kita dah cukup kuat dah. Nampaknya semangat kita dah berkobar-kobar.
Saya nak tanya pada tuan-tuan dan puan-puan, apakah tuan-tuan bersedia untuk berubah? Apakah tuan-tuan dan puan-puan bersedia untuk bekerja? Apakah tuan-tuan akan mendekati rakyat? Apakah tuan-tuan bersedia menjadi parti yang kuat? Apakah tuan-tuan bersedia berkhidmat untuk rakyat?
Jadi kita sudah bersedia, semboyan telah bunyi. Marilah kita bingkas bersama-sama bangun, balik ke desa, kota, tebarkan UMNO, kuatkan semangat kita, berjuang habis-habisan. Insya-Allah UMNO akan jadi parti yang kuat, parti yang berjaya nanti, insya-Allah.
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment