Showing posts with label PRU 14. Show all posts
Showing posts with label PRU 14. Show all posts

Saturday, June 29, 2013

Melayu tak kisah apa bakal terjadi pada PRU-14?

BAYANGKAN apa yang akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika diteliti aktiviti dan usaha pendaftaran pemilih baharu selepas 55 hari berlangsungnya PRU-13.

Dalam Perbincangan Meja Bulat, Cabaran Dalam Menghadapi PRU-14... Kelangsungan Politik Bangsa anjuran Mubarak Malaysia dengan kerjasama Utusan Malaysia di Ibu Pejabat Mubarak, Bangunan UMNO Lama, Kuala Lumpur pada Rabu lalu, sesuatu perlu difikir dan disusuli tindakan perlu diambil segera oleh bangsa Melayu.

Amati angka pendaftaran baharu yang dikumpul oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat Mei 2013. Tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO berjaya mendaftarkan 449 orang sebagai pemilih baharu; MCA (43) dan MIC (24). Tiga parti dalam pakatan pembangkang iaitu Pas mampu mendapatkan 110 pendaftar baharu, PKR (65) dan DAP (524).
Jika digabungkan ketiga-tiga parti BN itu, jumlahnya 516 pemilih, angka itu belum mampu mengatasi jumlah pungutan DAP (524), dan jumlah yang dikumpul ketiga-tiga parti pembangkang pula ialah 699.
Dari segi pendaftaran pemilih baharu sahaja BN sudah tewas. Bagaimana jika keadaan ini berterusan sehingga menjelang PRU-14?

Pakatan pembangkang terutama DAP begitu agresif mendaftarkan mereka yang layak menjadi pengundi baharu. Mereka bukan sahaja membantu pendaftaran, tetapi turut mengambil nombor telefon untuk tujuan dihubungi atau penghantaran SMS kempen parti. Adakah UMNO atau parti BN lain melakukan aktiviti yang sama?

Terus terang kita boleh katakan UMNO dan BN tidak komited mendaftarkan pengundi baharu. Dari sudut pandang secara kasar, kita boleh jangka pakatan sudah menang dari aspek mendaftarkan pengundi baharu.
Dalam mana-mana pilihan raya, jumlah pengundi yang paling utama dan ke arah mana kecondongan mereka. Melalui aktiviti pendaftaran oleh parti-parti politik, kita boleh menjangka sokongan mereka.

Melalui keputusan PRU-13, jelas trend bukan lagi memilih calon boleh menang atau berpengaruh. Bukan juga isu-isu sensasi dan aku janji, kerana sehebat mana isu dimainkan dan secantik mana manifesto, itu bukan lagi faktor penentu kemenangan parti politik.

Strategi menggunakan segala tipu helah isu, main drama ketika demonstrasi, penglibatan NGO propembangkang, mendekati generasi-Y di kampus, penyebaran meluas akhbar parti politik tanpa sekatan, usaha menjatuhkan kredibiliti dan integriti institusi awam seperti SPR, PDRM, SPRM, perkhidmatan awam dan lain-lain, berlaku tanpa terkawal dan tindakan.

Apa usaha UMNO dan BN yang menerajui kerajaan dalam mengatasi strategi pembangkang yang sememangnya mereka sedar.

Dengan jumlah keahlian semua parti komponen BN sebanyak 5.5 juta dengan UMNO sahaja mempunyai 3.5 juta ahli, maka sepatutnya tiada masalah untuk melawan pihak pembangkang.

Setakat hari ini, Majlis Tertinggi UMNO sudah mengadakan mesyuarat pertamanya selepas PRU-13. Namun belum terdengar hasil bedah siasat tentang punca kekalahan calon-calon UMNO, apatah lagi BN.

Walaupun UMNO menang 88 kerusi Parlimen daripada 121 yang bertanding dan 241 Dewan Undangan Negeri (DUN) (daripada 339) di seluruh negara, tetapi parti utama orang Melayu ini kena cari juga sebab kenapa 33 kerusi Parlimen dan 98 DUN mereka tewas.

UMNO kena kaji kenapa sekarang, kawasan majoriti besar atau kecil Melayu, BN gagal tarik pengundi di bandar untuk memihak kepada mereka.Konsep meminta pengundi berterima kasih dan mengenang jasa-jasa BN sepanjang 56 tahun merdeka tidak begitu laku sekarang. BN kena cari idea dan pendekatan yang baharu dan lebih meyakinkan pengundi.

UMNO dan BN kena akui, mereka kalah dalam persaingan media sosial. Pasukan penyebar fitnah dalam media sosial yang memihak kepada pembangkang jelas gagal disaingi oleh tentera siber UMNO/BN. Laporan mereka lebih meyakinkan kerana diselit dengan fakta dan data. Sebaliknya hujah daripada media UMNO setakat penafian dan penjelasan semata-mata. UMNO tewas menentang persepsi.

Sekarang persepsi negatif terhadap UMNO dan pemimpin Melayu begitu kuat. Kita sedih, kini orang Melayu sendiri sangsi kepada kepimpinan bangsa Melayunya. Orang Melayu sudah tidak kisah nama-nama ‘Melayu’ makin hilang di buminya sendiri. Akhbar Utusan Malaysia yang mempertahankan Perlembagaan pun teruk dihentam dan dituduh rasis.

Ingatlah apa yang rasis bagi bangsa yang tanah tumpahnya ialah Tanah Melayu ini. Ingatlah bangsa Jerman pun berbangga dengan nama negaranya Deuthland, orang Belanda - Netherland, orang Jepun - Jepun, India - India dan banyak lagi yang namanya kekal sama dengan identiti bangsa pribuminya.

Malangnya orang Melayu sudah lupa mereka sudah hilang nama Tanah Melayu. Yang disebut-sebut sekarang ialah Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kenapa nama Sabah dan Sarawak disebut penuh dan tidak kepada nama Semenanjung Tanah Melayu.

Rujuklah mana-mana perenggan dalam Perlembagaan awal, tidak disebut Semenanjung tetapi nama penuhnya Semenanjung Tanah Melayu.

Maka elok kerajaan dan UMNO mengembalikan nama Tanah Melayu ini dalam semua dokumen dan laporan rasmi kerajaan.

Adakah orang Melayu tidak nampak sikap bangsa lain yang berusaha menjatuhkan mereka di tanah airnya sendiri? Sekarang pelbagai taktik dilakukan untuk menjatuhkan orang Melayu, baik dari segi ekonomi, politik ataupun sosial.

Dari segi ekonomi, lihatlah aktiviti pengambilan pekerjaan dan peluang perniagaan.

 Dalam soal politik, boleh kita lihat taktik licik kaum tersebut terhadap BN. 

Dan soal sosial, kaum itu sedang menguasai semua kawasan pertumbuhan ekonomi baharu.

Kalau suasana PRU-13 terus berulang dalam PRU-14, dan orang muda Melayu tiada semangat pertahankan maruah bangsanya, itu adalah petanda orang Melayu akan merempat di tanah airnya sendiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130629/re_03/Melayu-tak-kisah-apa-bakal-terjadi-pada-PRU-14#ixzz2Xau8unH5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 cabaran BN menjelang PRU-14


PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang berlangsung pada 5 Mei lalu merupakan ujian yang amat getir untuk Barisan Nasional (BN). Walaupun BN sekali lagi menerima mandat daripada rakyat dan berjaya membentuk kerajaan, suara-suara sumbang masih lagi kedengaran dari kem pakatan pembangkang yang enggan mengiktiraf pilihan rakyat.

Serangan demi serangan dilancarkan pakatan pembangkang terhadap BN menerusi penganjuran siri perhimpunan haram di seluruh negara yang diterajui oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kebiadapan pemimpin dan penyokong pakatan pembangkang mencabar kesabaran kerajaan yang memerintah bukan fenomena baharu.

Mereka semakin berani mempertikaikan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya kedudukan agama Islam, institusi diraja dan hak istimewa orang Melayu. Malah, segelintir orang Melayu yang lupa daratan turut bersekongkol menjayakan agenda menghapuskan ketuanan Melayu di tanah air sendiri. Sesiapa sahaja yang bersuara lantang mempertahankan hak orang Melayu termasuk Utusan Malaysia pasti menjadi sasaran serangan mereka.

Kelmarin, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dengan kerjasama Utusan Malaysia telah menganjurkan sesi perbincangan meja bulat yang bertemakan 'Cabaran Dalam Menghadapi PRU-14... Kelangsungan Politik Bangsa' di Ibu Pejabat Mubarak di Bangunan UMNO Lama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Perbincangan yang julung-julung kali diadakan itu dipengerusikan oleh Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mubarak turut diwakili oleh Datuk Abdul Rahman Ibrahim (Setiausaha Agung); Datuk Abdul Rahman Sulaiman (Ketua Penerangan); Tan Sri Abdul Aziz Samsudin (Ahli Majlis Tertinggi). Peserta-peserta lain dalam perbincangan yang berlangsung selama hampir tiga jam itu ialah bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said; Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Shamsul Adabi Mamat.
Yang lain pula ialah pensyarah Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah; Perunding, Pusat Kajian Dasar Malaysia, Datuk Mohamed Dahan Abdul Latiff dan pemimpin-pemimpin pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Antara rumusan menarik untuk diketengahkan hasil perbincangan tersebut ialah 14 cabaran yang perlu ditangani BN dan UMNO bagi menghadapi PRU-14. Kesemua cabaran terbabit tidak boleh diambil mudah kerana kegagalan BN menanganinya seolah-olah memberi laluan mudah kepada pakatan pembangkang untuk mendominasi persiapan dan kempen menjelang PRU-14.

Cabaran pertama: Menarik sokongan pengundi di kawasan bandar.
Usaha mengembalikan keyakinan pengundi bandar yang majoritinya kaum Cina mesti dipergiatkan. Gejala perpecahan pengundi Melayu di beberapa kawasan Parlimen seperti Shah Alam dan Pandan juga hendaklah diatasi. Gerakan pemindahan pengundi antara kawasan Parlimen dikesan berlaku di bandar menjelang PRU-13. Persoalannya, adakah pengundi yang membuat permohonan tukar alamat pada daftar pemilih SPR benar-benar berpindah ke alamat baharu? Bagi mengelakkan keraguan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta memperketatkan prosedur pertukaran alamat pada MyKad seperti mewajibkan pemohon mengemukakan dokumen sokongan seperti bil air dan elektrik.

Cabaran kedua: Melawan fitnah yang ditaburkan pakatan pembangkang menerusi media sosial.
Rata-rata peserta perbincangan meja bulat mengakui tentera siber pakatan pembangkang berteraskan kekuatan 'Red Bean Army' yang didalangi DAP sangat komited menyebarkan fitnah terhadap kerajaan dan BN. Ada yang berpandangan, BN tewas dalam medan peperangan media sosial. Dari sudut positif, faktor itu disebabkan budaya fitnah tidak wujud dalam BN.
Namun, tentera siber BN tidak boleh sekadar mengambil pendekatan bertahan dan hanya memberi penjelasan terhadap fitnah yang disebarkan pembangkang di media sosial. Serangan balas hendaklah dilancarkan dan BN seharusnya mewujudkan unit media baharu di setiap negeri malah sekiranya boleh, di setiap bahagian. Jentera yang terlibat dalam peperangan siber hendaklah tersusun, terlatih, komited dan berpengetahuan.

Cabaran ketiga: Kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) propembangkang yang aktif dan teratur.
BN tidak boleh memandang sebelah mata terhadap peranan yang dimainkan oleh NGO propembangkang termasuk Suaram dan Bersih. Dakyah-dakyah yang disebarkan NGO-NGO terbabit bertujuan mengikis keyakinan rakyat terhadap BN dan SPR. Lebih membimbangkan, ada di antara NGO propembangkang menerima dana asing untuk membiayai kegiatan mereka. Malangnya, tiada peruntukan undang-undang yang boleh digunakan bagi mengawal penyaluran dana asing kepada NGO di negara ini.

Cabaran keempat: Penyaluran dana asing kepada parti politik pembangkang.
Banyak negara di dunia mewajibkan parti-parti politik mengisytiharkan jumlah dana asing yang diterima namun tidak pasti sama ada peraturan serupa diamalkan di Malaysia. Parti politik mesti telus dalam perkara ini agar pengundi boleh membuat pertimbangan sewajarnya. Mungkin pihak asing yang memberi dana itu ada kepentingan tersembunyi. Sekiranya parti politik yang menerima dana asing diberi mandat untuk memerintah, kerajaan yang dibentuk pasti terpaksa tunduk kepada telunjuk pihak luar.

Cabaran kelima: Persepsi negatif terhadap media arus perdana.
Dalam hal ini, Utusan Malaysia yang lantang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan sejak 2008 dijadikan sasaran utama oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba menjatuhkan kredibiliti Utusan Malaysia dengan melabelkannya sebagai akhbar penyebar fitnah dan pembohongan serta bersifat perkauman. Kempen memburukkan nama Utusan Malaysia turut melibatkan media propembangkang.
Utusan Malaysia tidak gentar meneruskan perjuangan walaupun diancam dengan tindakan saman oleh pembangkang. Salah seorang peserta perbincangan turut menyarankan agar media arus perdana mengelakkan laporan berunsur spekulatif bagi mengembalikan keyakinan pembaca terutamanya golongan muda.

Cabaran keenam: Pakatan pembangkang lebih agresif dalam usaha menambah pengundi baharu.
Sepanjang Mei 2013, pendaftaran pengundi baharu oleh parti-parti komponen BN adalah sebanyak 516 orang (UMNO-449, MCA-43 dan MIC-24). Bilangan 524 pengundi baharu yang didaftarkan oleh DAP sahaja sudah mengatasi prestasi BN. Itu belum dicampur dengan pencapaian Pas dan PKR yang masing-masing mendaftarkan sebanyak 110 dan 65 pengundi baharu. Kesimpulannya, BN mesti mempergiatkan gerak kerja mendaftar pengundi baharu kerana kumpulan ini diunjurkan mempunyai peratusan yang tinggi dalam demografik pengundi PRU-14.

Cabaran ketujuh: Menarik pengundi atas pagar.
Antara 20 hingga 30 peratus pengundi di setiap kawasan Parlimen mengambil sikap berkecuali dengan tidak cenderung memihak kepada mana-mana parti. Bilangan pengundi atas pagar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih rendah, dianggarkan sekitar 10 hingga 15 peratus. Di kawasan bandar, pengundi atas pagar lazimnya membuat keputusan berdasarkan isu nasional manakala di kawasan luar bandar, keputusan mereka lebih dipengaruhi oleh isu peribadi.

Cabaran kelapan: Komitmen tinggi ejen tempat mengundi, ejen mengira undi dan ejen barong (PACABA) pakatan pembangkang.
PACABA pakatan pembangkang memainkan peranan yang agresif pada hari mengundi PRU-13. Mereka didakwa terlibat dalam menjayakan tohmahan warga Bangladesh keluar mengundi. Komitmen wakil-wakil BN dalam perkara ini dikatakan masih jauh ketinggalan berbanding pesaing mereka daripada pakatan pembangkang.

Cabaran kesembilan: Mendekati generasi Y yang berumur 21 tahun ke atas di kampus.
Pakatan pembangkang lebih hampir dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan mereka menganjurkan banyak program tidak formal bagi mencapai matlamat itu. Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang dilihat lebih mesra mahasiswa dan tidak terlalu terikat dengan protokol. Mereka sanggup bersembang dengan pelajar-pelajar IPT tempatan di warung-warung tepi jalan secara terbuka. Pemimpin-pemimpin BN pun menggunakan pendekatan serupa tetapi bilangan mereka boleh dibilang dengan jari. Turut dibangkitkan ialah kecenderungan BN menggunakan khidmat pelajar-pelajar universiti luar negara untuk berkempen sedangkan peranan pelajar-pelajar IPT tempatan dipinggirkan.

Cabaran ke-10: Mendekati jemaah masjid dan surau.
Sekali lagi, Pas mengatasi UMNO dalam cabaran ini. Kesannya, orang Melayu dan umat Islam yang sering mengimarahkan masjid dan surau lebih cenderung menyokong pakatan pembangkang.

Cabaran ke-11: Pengedaran akhbar-akhbar parti pembangkang iaitu Harakah, Suara Keadilan dan Roket tanpa sekatan.
Orang ramai bebas membeli ketiga-tiga akhbar terbabit di pasaran walaupun permit pengedaran dihadkan dalam kalangan ahli parti sahaja. Selain itu, pakatan pembangkang giat mengedarkan risalah-risalah politik kepada orang ramai secara berterusan.

Cabaran ke-12: Portal media 'online' oleh pakatan pembangkang dan NGO propembangkang.
Lambakan portal media 'online' propembangkang turut meningkatkan kegiatan menghentam kerajaan dan BN. Pengundi muda lebih gemar mendapatkan maklumat daripada media baharu ini walaupun laporannya tidak dapat ditentukan kesahihannya.

Cabaran ke-13: Pertambahan kawasan baharu.
Pakatan pembangkang tidak mahu kaedah persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dilaksanakan SPR sejak merdeka dikekalkan. Mereka tetap membantah walaupun persempadanan semula mesti dilakukan seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Usaha ini dijangka menghadapi kesukaran memandangkan BN tidak menguasai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Cabaran ke-14: Usaha menjatuhkan kredibiliti institusi awam.
Tiga institusi yang sering dijadikan sasaran serangan pakatan pembangkang ialah SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila rakyat khususnya bukan Melayu hilang keyakinan terhadap institusi berkenaan, mereka tidak lagi mempercayai kerajaan. Serangan dijangka lebih hebat menjelang PRU-14.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130628/re_05/14-cabaran-BN-menjelang-PRU-14#ixzz2Xax7ONcK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kepemimpinan UMNO mesti berubah jika ingin terus memerintah


Ahmad Maslan (dua dari kiri) bersama jemaah mengaminkan doa ketika menghadiri majlis tahlil dan solat hajat Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) di Bangunan UMNO lama di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut kelihatan, Abdul Aziz Abdul Rahman (lima dari kiri). - BERNAMA

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kepemimpinan UMNO semua peringkat mesti mengubah pendekatan mereka dalam menghampiri generasi muda bagi memastikan parti itu kekal sebagai tunjang pemerintahan negara.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kaedah mendidik pemimpin-pemimpin UMNO perlu diselaraskan dengan kehendak masyarakat masa kini.

Menurut beliau, pendedahan seharusnya diberi dari segi cara berpakaian, komunikasi dan berinteraksi secara santai dengan rakyat agar mereka mengundi UMNO.

"Kita mesti memberikan penekanan terhadap semua perkara itu semasa melatih pemimpin. Bukan setakat mengajar bagaimana hendak menjadi ketua bahagian atau ketua cawangan.

"Matlamat utama kita berpolitik adalah menang dalam pilihan raya dan seterusnya beroleh kuasa untuk memerintah, tidak bermegah-megah sahaja," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Mubarak di Ibu Pejabat Mubarak di sini hari ini.

Majlis solat hajat dan tahlil sempena perpindahan Ibu Pejabat Mubarak dari Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke lokasi baharu di Bangunan UMNO Lama, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini dilangsungkan selepas solat maghrib dan turut dihadiri Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Abdul Aziz, pemimpin-pemimpin UMNO tidak lagi boleh mengharapkan kekuatan mereka di dalam parti akan menyumbang kepada kemenangan pada pilihan raya.

"Pemimpin UMNO sewajarnya membina kekuatan di dalam masyarakat dengan mendampingi rakyat setiap hari tanpa terikat dan batasan yang memisahkan mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, perubahan sistem pemilihan UMNO yang dilaksanakan tahun ini dilihat mampu memantapkan lagi kerangka kepimpinan parti.

"Cuma saya bimbang kita kurang memberikan penekanan kepada perancangan peralihan kuasa berbanding dengan parti-parti politik di negara lain yang mempunyai cara untuk memilih pemimpin pelapis," jelasnya.

Beliau juga mengumumkan tentang Mesyuarat Agung Mubarak yang dijadual berlangsung di Johor Bahru, Johor mulai 21 hingga 23 Ogos ini.


terimakasih sumber: Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130628/po_08/Kepemimpinan-UMNO-mesti-berubah-jika-ingin-terus-memerintah#ixzz2Xapeq2bN
© Utusan Melayu (M) Bhd