Friday, October 16, 2009

Pesanan orang lama untuk UMNO


Pesanan orang lama untuk UMNO

ORANG lama UMNO, Tan Sri Aziz Tapa diam sejenak ketika diminta mengingati siapa rakan seangkatannya dalam Dewan Merdeka, PWTC pagi semalam.

Seingat beliau hanyalah Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail. Yang lain semuanya telah menyahut panggilan Ilahi.

Masih didampingi keluarga tersayang, Aziz, 86, memanjatkan rasa syukur kerana dipanjangkan usia untuk berada dalam Dewan Merdeka - mengikuti ucapan dasar Presiden UMNO - yang tidak pernah terlepas kelibatnya.

''Ucapan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) hebat, gagasan 1Malaysia memang sepatutnya dilaksanakan sejak dulu, saya fikir dia boleh mengembalikan semula imej UMNO yang agak tercalar sedikit,'' kata Aziz kepada Utusan Malaysia.

Pejuang kemerdekaan tanah air terutama penglibatan kerasnya dalam menentang Malayan Union itu menyertai UMNO pada 1946 sebelum memegang jawatan-jawatan penting politik antaranya Senator, Speaker DUN Melaka dan ADUN Nyalas pada tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an.

Aziz mengakui dirinya tidak mampu mengekang air mata terharu dengan ajakan Presiden UMNO pada akhir ucapan dasar semalam yang mahukan seluruh warga UMNO bangkit merapatkan saf untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada tunjang Barisan Nasional (BN) itu.

''Ia datang dari hatinya, saya fikir bukan dari teks ucapan, dia benar-benar menjiwai UMNO,'' katanya.

Aziz yakin orang Melayu khususnya ahli UMNO yang kini berjumlah 3.4 juta akan menghayati, seterusnya bangkit menjayakan hasrat Najib itu. Kepada orang Melayu, orang lama ini menghulurkan tiga rangkap pantun:

Pohon nyiur di tepi laut

Dimakan kumbang pucuknya layu

Kepada UMNO kita berpaut,

UMNO tumbang hilanglah Melayu

Dari Chenor pergi ke Deli

Di Pasar Seberang ayam berlaga

UMNO tidak boleh dijual beli

Bukan barang untuk niaga

Di Pasar Seberang ayam berlaga

Kepak terkapar patah tajinya

Bukan barang untuk niaga

Kalau dicabar nyawa padahnya.

Aziz percaya UMNO mampu melepasi halangan yang diuar-uarkan banyak pihak paling besar dan teruji pada pilihan raya umum yang dijadual pada 2012 atau 2013 hanya jika seluruh warganya benar-benar bersemangat seperti mana 'gegak gempita' dalam Dewan Merdeka semalam.

Baginya, UMNO jangan sekali-kali menjauhi rakyat - mesti dekat dengan mereka.

''Orang Melayu ini akan 'sejuk' kalau kita (UMNO) ada budi bahasa. Kalau di kampung ada orang susah, kita di bahagian dan cawangan jenguk-jenguklah, cukup mereka tengok muka kita, tak beri duit pun tak apa,'' katanya.

Bila mata selalu ketemu, kata Aziz, demikianlah seperti rangkap pantun berikut:

Dari mana punai melayang

Dari sawah turun ke padi

Dari mana datangnya sayang

Dari mata turun ke hati.

Kepada Najib, Aziz yang sempat mengucapkan tahniah ketika sarapan bersama selepas Presiden UMNO itu menyudahkan ucapan dasarnya berkata, UMNO amat mengharapkan sentuhan futuristiknya.

Arak-arak kelapa puan

Kalau tidak puan kelapa bali

Harap hati pada tuan

Kalau tidak Datuk Najib, siapa lagi.

(SUMBER;http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=umno2009b&y=2009&dt=1016&pub=UMNO2009B&sec=Berita&pg=bu_04.htm)

No comments: