Showing posts with label tun musa hitam. Show all posts
Showing posts with label tun musa hitam. Show all posts

Friday, October 16, 2009

Graduan jangan hanya kecam rasuah semasa menuntut - Tun Musa Hitam


SHAH ALAM 15 Okt. - Graduan universiti diingatkan tidak hanya lantang mengecam pelbagai salah guna kuasa dan rasuah yang berlaku semasa sedang menuntut di menara gading tetapi melakukan kesalahan itu apabila bekerja dan menjawat jawatan tinggi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, para graduan juga perlu segera insaf jika terlibat dalam salah guna kuasa, tidak lupa diri dan tidak terus menjadi jaguh korupsi.

''Janganlah kita menuntut sesuatu berasaskan kepada emosi dan sentimen semata-mata.

''Tetapi ia haruslah berasaskan kepada ilmu, kelulusan, kebolehan dan pengetahuan berpandukan keyakinan dan iman dengan erti kata sebenar," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kerajaan dan Politik) yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Ke-71 Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Musa turut bangga kerana ratusan ribu anak Melayu kini telah menjadi golongan terpelajar dalam pelbagai bidang berbanding lebih 40 tahun lalu.

Kata beliau, semua ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu keseluruhannya sudah boleh diterima sebagai masyarakat yang terpelajar, matang dan berkebolehan dalam pelbagai bidang.

Bagaimanapun kata Musa, pada pandangannya apa yang masih kurang di kalangan masyarakat Melayu ialah kepercayaan atau keyakinan atas kebolehan diri sendiri.

''Saya memang insaf dan sedar bahawa banyak lagi kekurangan dan masih jauh harus dijalani tetapi kalaulah mentaliti dan psikologi kita masih negatif diiringi helah tidak boleh, maka tidak bolehlah kita.

''Mentaliti ini jelas dilihat apabila masih ramai para pemikir dan penganjur Melayu yang kerap menggunakan hujah seperti 'habislah Melayu' dan 'apalah nak jadi kepada Melayu' apabila menghadapi isu-isu negara.

''Sebagai penyelesaiannya pula disarankan konsep 'ketuanan Melayu," kata beliau.

Kata beliau, sejarah dunia moden telah membuktikan bahawa konsep ketuanan bangsa telah gagal lebih-lebih lagi apabila menghadapi persaingan dari mereka yang kukuh serta tinggi tahap pengetahuan dan pintar dalam pelbagai ilmu, khususnya teknologi dan sains.

''Kepada saya kalaulah hendak kita cari slogan bersesuaian, terminologi 'keterasan Melayu' lebih baik dan lebih sesuai sebagai konsep asas masyarakat Malaysia yang diidam-idamkan oleh rakyat pada masa ini," jelas beliau.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm)

Melayu kurang yakin diri: Tun Musa Hitam

Melayu kurang yakin diri: Musa
Okt 15, 09 9:03pm

Bekas timbalan perdana menteri Tun Musa Hitam berkata biarpun orang Melayu sudah boleh diterima sebagai masyarakat terpelajar, matang dan berkebolehan dalam pelbagai profesion tetapi mereka masih lagi kekurangan daripada segi keyakinan terhadap kebolehan sendiri.

"Saya memang insaf dan sedar bahawa banyak lagi kekurangan dan masih jauh harus dijalani tetapi kalaulah mentaliti dan psikologi kita masih negatif, diiringi oleh helah 'tidak boleh', tak bolehlah kita," katanya dalam ucapan balasnya setelah menerima ijazah kehormat Doktor Kerajaan dan Politik daripada Universiti Teknologi Mara di Shah Alam hari ini.

Ijazah itu dianugerahkan kepada beliau oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selaku Canselor UiTM pada istiadat konvokesyen ke-71 universiti itu.

Musa berkata mentaliti "tidak boleh" ini jelas nampak apabila para pemikir Melayu dan para penganjur Melayu tidak habis-habis menggunakan hujah seperti "habislah Melayu," dan "apalah nak jadi kepada Melayu" apabila menghadapi isu-isu negara.

Sebagai penyelesaian pula, katanya, dicadangkan konsep "ketuanan Melayu" tetapi sejarah dunia moden membuktikan bahawa konsep "master race" atau "ketuanan ras" telah gagal apatah lagi apabila menghadapi persaingan daripada mereka yang kukuh serta tinggi tahap pengetahuan dan pintar dalam pelbagai ilmu khususnya sains dan teknologi.

"Pada saya, kalaulah hendak kita cari slogan bersesuaian, terminologi 'Keterasan Melayu' lebih baik dan lebih sesuai sebagai konsep asas masyarakat Malaysia yang diidamkan oleh rakyat pada masa ini," kata Musa.

Ketika mengimbas kembali satu sesi soal jawab beliau dengan seorang pelajar Universiti Malaya pada tahun 1960-an yang menggesa supaya hak istimewa orang Melayu dipastikan berkekalan dalam perlembagaan negara, Musa berkata:

"Di samping saya menegaskan bahawa perkara itu suduhpun cukup termaktub dalam perlembagaan, saya telah sengaja mencabar anak-anak Melayu kita waktu itu dengan mengatakan bahawa orang Melayu harus berasa malu kalau mereka seumur hidup mendapat kedudukan istimewa dalam apa bidang pun semata-mata kerana faktor mereka Melayu."

Katanya beliau telah menunggu sekian lama ketika bila orang Melayu dengan penuh bangga akan berkata "saya Melayu tetapi saya berjaya kerana saya berkebolehan dan berkelulusan dan tidak takut bersaing dengan sesiapapun".

"Alhamdulillah, pada hemat saya, masanya telah pun tiba," kata Musa.

Beliau juga menasihatkan graduan supaya tidak lagi menuntut sesuatu berasas kepada emosi dan sentimen tetapi haruslah berasas kepada ilmu, kelulusan, kebolehan dan pengetahuan berasas kepada keyakinan dan iman.

"Seperkara lagi, janganlah semasa di menara gading mereka mengecam kesalahan pemimpin seperti salah guna kuasa dan rasuah tetapi apabila mereka mempunyai kedudukan tinggi mereka lupa segalanya.

"Janganlah hendaknya kita sendiri menjadi jaguh korupsi dan penyalahguna kuasa dengan tidak mempunyai perasaan insaf dan takwa," katanya. BERNAMA

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/115180)