Monday, October 12, 2009

ISA SAMAD - TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI…


Monday, October 12, 2009
ISA SAMAD - TUAH AYAM NAMPAK DI KAKI…

Bolehkah kita katakan bahawa provokasi penyokong parti yang bertanding menyebabkan sasaran Suruhanjaya Pilihanraya agar 90 peratus keluar mengundi di Bagan Pinang tidak berhasil?


Atau apakah penduduk di kawasan itu sudah yakin dengan kejayaan yang mungkin dicapai oleh Tan Sri Mohd Isa Samad dan tidak perlu membuang undi?

Semalam, seramai 11,157 atau 81.65 peratus daripada 13,664 pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu sehingga pengundian ditutup jam 5 petang tadi.

Walaupun ia meningkat sedikit berbanding 10,911 atau 81.59 peratus pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, namun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, kecewa kerana sasaran keluar mengundi kali ini tidak tercapai.

"Saya agak kecewa dengan peratusan ini, saya harapkan peratusan hampir ke 90 peratus, saya tidak tahu apa sebabnya peratusan ini tidak meningkat walaupun hari mengundi diadakan pada hari cuti hujung minggu," katanya.

Beliau berkata, SPR akan melakukan analisis mengapa peratusan itu tidak meningkat sebagaimana yang diharapkan.

Ternyata calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, bukan tandingan calon PAS apabila menang besar dengan majoriti 5,435 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan itu memperoleh 8,013 undi berbanding calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, yang mendapat 2,578 undi.

Secara mudah undi yang didapati oleh PAS (pakatan pembangkang hanya 21 peratus) berbanding undi yang dimiliki BN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor daripada BN pada 4 September lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Azman menang dengan majoriti 2,333 undi apabila memperoleh 6,430 undi manakala calon PAS, Ramli Ismail, mendapat 4,097 undi.

Merosotnya undi PAS begitu banyak, hampir sekali ganda dan pertambahan undi kepada BN daripada 6.430 kepada 8.013 menggambarkan bahawa BN dan UMNO ‘bukan teruk sangat’.

Cuma sebelum ini, ruang untuk BN mengetengahkan calon ‘sebaik Mohd Isa’ tidak muncul. Mungkin juga sebelum ini BN membuat keputusan salah mengenai calon.

Bagi saya untuk kali pertamanya isu calon tidak menjadi ‘isu utama’ di kalangan BN atau UMNO. Untuk kali pertamanya juga rakyat tempatan tidak mempersoalkan ‘diri calon’ dan sangat sukar untuk mereka menolak Mohd Isa tidak seperti pada pilihan raya kecil yang lain.

Memanglah bagi PAS dan pakatan rakyat, mereka akan merasa terkilan, bukan sahaja kerana kalah tetapi kempen kononnya mereka bersih daripada BN dan UMNO tidak berjaya memutarkan fakta.

Ternyata Mohd Isa sudah diterima kembali dan seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Mohd Isa sudah menjalani ‘hukumannya’.

Dalam soal ini, nampaknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa peka dan menerima reality bahawa rakyat di Bagan Pinang mahukan Mohd Isa walau dalam keadaan apa sekali pun!

Sementara PAS yang sering berburuk sangka kepada orang lain, khususnya orang UMNO melemparkan komtentar yang bunyinya bagaikan ‘anggur masam’.

Bagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, kemenangan Mohd Isa dianggap suatu kegagalan kepada misi integriti nasional.

Katanya dalam kedudukan PAS menghormati keputusan rakyat atas prinsip demokratik, PAS (beliau?) malu dengan sikap UMNO yang tidak akan membawa rakyat kepada kehidupan yang lebih baik kerana gagal memerangi rasuah.

"UMNO memang menang dalam pilihanraya, tapi ternyata kalah dalam memerangi rasuah,"kata dalam sidang media yang diadakan selepas PAS di isytiharkan tewas dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Tidak apalah, PAS tidak akan melihat kelemahan dirinya tetapi akan terus mempersalahkan orang lain. Itu perangai dan tingkah lakunya.

Bagi BN dan UMNO, pengajaran kes pilihan raya kecil ini penting kerana jika calon tepat, kemenangan tidak sukar untuknya.

Calon yang diterima rakyat tempatan dan berjasa amat penting – bukan kerana dia muda atau pelajaran tinggi. Yang penting rakyat sayangkan diri calon berkenaan, UMNO akan menang.

UMNO dapat melihat bagai pembangkang menang di Kuala Terengganu, Permatang Pasir, Manek Urai atau juga sebelum ini di Permatang Pasir.

Selain itu BN perlu juga menjaga tata susila dan mengelakkan provokasi kerana rakyat akan menilai siapa sebenarnya yang membuat kekacauan dan cuba cari pasal tidak tentu hala.

Rakyat Malaysia cintakan keamanan. Sebarang kekerasan atau pertelingkahan bukan pilihan mereka. UMNO dan BN kena amalkan ‘keamanan’ dan kestabilan sama ada ketika berkempen atau hari membuang undi.

Selain itu, Presiden dan pemimpin tertinggi BN perlu bekerja satu hati dalam memenangkan parti komponen, bukan UMNO, MCA. MIC atau Gerakan dan parti-parti komponen lain bertanding secara berasingan. Bersatu hati untuk kemenangan.

Serangan dan pertahanan terhadap lawan umpamanya dalam konteks pemimpin utama mereka perlu tersusun dan jangan ada pihak yang mahu mengambil kredit atau keuntungan peribadi daripadanya.

Ternyata Penasihat Parti Keadilan Rakyat – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin utama PAS gagal menambat hati rakyat di Bagan Pinang.

Kepada rakyat di Bagan Pinang, tahniah kerana tidak terpegaruh dengan dakyah pembangkang dan melontar jauh-jauh sokongan anda.

Pemimpin pembangkang pasti akan ‘terkejut beruk’ dengan undi kecil yang diterima oleh mereka.

Walaupun ada menganggap Mohd Isa sebagai ‘calon kitar semula’, pembangkang lupa bahawa calon ‘kitar semula’ milik mereka lebih teruk kerana sudah beberapa kali kalah dalam pilihan raya. Sedangkan Mohd Isa tidak pernah kalah pun dalam pilihan raya – sama ada kerusi DUN mahupun Parlimen.

Itulah, Anwar pun boleh lupa fakta dan ini hanya permulaan. Banyak lagi Anwar akan lupa fakta selepas ini kerana beliau perlu mengumpul fakta mengenai dirinya sendiri bagi mempertahankan maruah dan identitinya sendiri – sama ada di mahkamah atau juga pentas politik.

Kepada Mohd Isa, ingatlah janji-janji kerana daripada rakyat kita datang dan rakyat juga boleh menentukan sama ada kita kekal atau ditendang jauh-jauh, jika gagal berbakti!


(SUMBER;http://hambali1.blogspot.com/2009/10/isa-samad-tuah-ayam-nampak-di-kaki.html)

No comments: