Thursday, June 17, 2010
Kedudukan Melayu berterusan dipersoal
Oleh Rejal Arbee
2010/06/17
Kelantangan orang Cina mahu hak sama rata jejas perpaduan
1.0 DALAM tempoh sebulan dua ini akhbar berbahasa Cina, iaitu Sin Chew Jit Poh, China Press dan Nanyang Siang Pau senada mempersoalkan kedudukan Melayu yang dikatakan mendapat segala keistimewaan hingga menjejas kedudukan bukan Melayu khususnya Cina.
Boleh dikatakan setiap hari ada saja makalah atau surat yang berterusan menimbulkan isu bagaimana Cina, terutama dianak tirikan walaupun kerajaan berterusan melaungkan slogan 1Malaysia.
2.0 Jadi pada mereka ini, apakah 1Malaysia itu bermakna Melayu harus ketepikan kedudukan mereka, walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan? Sesiapa saja yang cuba mempertahankan kedudukan yang dijamin Perlembagaan itu adalah pelampau?
3.0 Maka itulah, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyebut matlamat memperjuangkan Melayu dapat menguasai 30 peratus daripada ekonomi negara pun, akhbar Cina ini mempersoalkannya.
4.0 Dipersoalkan juga kenapa mahu berterusan dengan dasar diskriminasi begini? Tetapi apakah matlamat supaya orang Melayu menguasai 30 peratus ekonomi negara ini pun mahu dipertikaikan? Yang salahnya kerajaan terlalu konservatif menetapkan hanya 30 peratus, walaupun jumlah Melayu dalam negara ini sudah mencecah 60 peratus.
5.0 Akhbar itu juga mempersoalkan hasrat kerajaan hendak menambahkan hartanah kepunyaan Bumiputera, meningkatkan teknologi usahawan Bumiputera, mengembangkan jumlah usahawan Bumiputera serta mengambil profesional Bumiputera secara keseluruhan kononnya sebagai tidak senada dengan semangat Model Baru Ekonomi.
6.0 Kononnya ini bercanggah dengan hasrat awal hendak mengutamakan keberkesanan kemajuan ekonomi tanpa menghiraukan bangsa. Inilah sikap mereka yang tidak senang dengan usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan pendapatan antara kaum.
7.0 Dilihat pendapatan isi rumah Melayu dengan pendapatan isi rumah kaum India pun, orang Melayu masih ketinggalan, jangan kata hendak dibandingkan dengan pendapatan isi rumah orang Cina. Anehnya kebanyakan tulisan yang dimuatkan itu disebut sebagai tidak semestinya mencerminkan pandangan akhbar terbabit. Sungguh mudah untuk berselindung.
8.0 Maka tidak menghairankan kenapa timbul suara dalam akhbar Melayu apa lagi yang orang Cina mahu? Ini juga sudah pun dijawab beberapa orang Cina tertentu dan juga akhbar Cina. Mereka mahu kuota di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dihapuskan, biasiswa diberi mengikut kelayakan dan merit, tempat lebih banyak dalam perkhidmatan kerajaan, kenapa syarikat Cina saja dikehendaki juga dipegang 30 peratus Melayu, kontrak kerajaan jangan diberikan kepada Melayu saja.
9.0 Dengan itu Melayu sendiri sudah berasa amat gelisah dan tidak sedap hati dan berfikir apakah selama ini Cina dipinggirkan? Sebenarnya semua sepatutnya melihat persoalan ini secara rasional dan tidak harus digembar-gemburkan seolah-olah orang Melayu begitu ekstrem sekali hingga menyekat kedudukan masyarakat Cina.
10.0 Apa sebenarnya kedudukan mereka sekarang? Apa sebab Melayu masih mempertikaikan apa yang disuarakan orang Cina ini dan kenapa kini ada di kalangan Melayu memberi reaksi dengan menubuhkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
11.0 Tetapi dalam pada itu, penubuhan PERKASA juga tidak disenangi orang Cina kononnya mereka ini memperjuangkan keadaan yang mana bukan Melayu akan berterusan dipinggirkan hingga ada yang mengandaikannya sebagai satu perjuangan Quixotic, yang sia-sia seperti Mat Jenin, dengan mengambil cerita klasik Sepanyol, Don Quixote yang banyak berangan-angan tidak munasabah.
12.0 Sebenarnya, Melayu sendiri tidak pula mempertikaikan penubuhan pelbagai pertubuhan Cina, iaitu pelbagai Dong yang begitu lantang memperjuangkan kedudukan sekolah Cina dan lain-lainnya. Dalam pada itu, pertubuhan itu memberi gambaran orang Cina sepatutnya memasuki sekolah Cina saja.
13.0 Mereka ini seolah-olah tidak mahu wujudnya pergaulan antara kaum di sekolah. Sememangnya sekarang ini sudah tidak wujud lagi pergaulan sihat antara anak Melayu dan anak Cina khususnya apabila dilihat kedudukan jumlah murid di sekolah kebangsaan mengikut kaum. Jika ini berterusan apa akan jadi kepada negara ini?
14.0 Terakhir timbul pula soal kerajaan mahu semua peruncit yang menjual tiga barangan kawalan, gula, tepung dan minyak masak, dilesenkan yang dianggap sebagai sengaja mahu menyusahkan peruncit yang kebanyakannya terdiri daripada Cina. Mereka ini mempertikaikan keputusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
15.0 Ini disambut persatuan peruncit yang mengarahkan semua ahlinya memboikot jualan gula, tepung dan minyak masak. Ini pun sudah dijadikan suatu hal perkauman.
16.0 Dalam pada itu, wujud pula ancaman daripada mereka ini bahawa Cina tidak lagi akan mengundi BN pada pilihan raya akan datang sekiranya kerajaan berterusan hendak mensyaratkan mereka mempunyai lesen jualan barangan itu.
17.0 Mereka berkata, ini akan hanya menyusahkan peruncit dan pegawai penguat kuasa kementerian berkaitan akan mengganggu mereka serta memberikan satu lagi jalan untuk rasuah. Sebenarnya ini tidak akan berlaku sekiranya peruncit benar-benar patuh dengan soal tidak menyorok barang atau melakukan yang bertentangan peraturan.
18.0 Apa pun sasaran mereka ialah mempersoalkan kehendak Melayu juga diberi peluang untuk menguasai 30 peratus daripada ekonomi negara ini, tidak tepat. Apa yang sepatutnya mereka persoal dan perjuangkan ialah menghapuskan sistem patronage dan kroni di mana syarikat yang tidak layak diberi kontrak atau di mana yang mendapat kontrak mengagihkannya (beri kontrak (sub) projek itu kepada kontraktor lain) dengan mengambil komisyen saja.
19.0 Ini tentunya akan menyebabkan kerja yang dilaksanakan tidak menepati mutu dikehendaki. Misalnya apabila sesuatu kontrak bernilai RM100 juta diberikan kepada kontraktor yang tidak layak menerimanya, dia akan subkontrakkan kerja itu kepada kontraktor lain dengan harga yang lebih murah, iaitu harga setelah ditolak komisyennya mungkin sehingga 20 peratus.
20.0 Maka projek yang sepatutnya bernilai RM100 juta kini dilaksanakan sebagai sebuah projek bernilai RM80 juta saja. Jadi bagaimana hendak menjamin projek yang berkualiti? Maka itulah timbul pelbagai kejadian di mana projek apabila siap ada saja masalahnya.
21.0 Sistem patronage inilah yang sepatutnya dihapuskan dan yang orang Cina juga patut perjuangkan. Sistem ini sepatutnya sudah dihapuskan dan kontrak sedemikian dilaksanakan secara terbuka dan telus. Demikian juga pemberian kontrak sepatutnya diberikan kepada yang layak dan yang boleh melaksanakan sesuatu projek itu dengan baik dan dengan mutu seperti mana diharapkan.
(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KedudukanMelayuberterusandipersoal/Article)
Monday, December 29, 2008
RENCANA; kes mahkamah paling ganjil 2008 sepanjang 2008
Oleh Siti Suriani Othman
ARTIKEL dalam akhbar The Times baru-baru ini amat menarik perhatian umum. Rencana mengenai 'kes mahkamah paling ganjil sepanjang 2008' di dunia umumnya menyenaraikan 10 kes paling menarik yang ingin saya kongsi dengan pembaca.
Ada kes yang lawak, ada pula tidak disangka-sangka. Sesungguhnya, kes inilah antaranya yang mewarnai 2008 di serata dunia. Kes ke-10 paling ganjil di mahkamah Britain ialah denda sebanyak 70 pound (kira-kira RM450) yang dikenakan terhadap seorang ahli bina badan selepas latihannya membina badan disahkan sebagai tidak bertoleransi terhadap jirannya.
Alat angkat beratnya dikatakan mengeluarkan bunyi bising sehingga mencecah 100 desibel yang dilakukan setiap dua jam sehari. Mahkamah juga memberi amaran kepada ahli bina badan ini untuk tidak menggunakan mesin tertentu dan hanya menumpukan kepada aktiviti latihan angkat berat.
Kes kesembilan dalam senarai yang dikemukakan oleh Profesor Gary Slapper ini pula mengenai seorang wanita di Amerika Syarikat yang menyaman syarikat kosmetik L'Oreal selepas warna rambutnya berubah daripada blonde (warna rambut putih asli sesetengah individu Barat) menjadi coklat pekat selepas menggunakan pewarna keluaran L'Oreal.
Samannya dibuat berasaskan kepada kesan perubahan warna rambut yang sudah menjadikannya tertekan dan menyekat kegiatan sosialnya. Namun, kes ini ditolak mahkamah kerana wanita bernama Feeney ini dikatakan 'tiada fakta, tiada pendapat dan tiada piawaian' untuk menyokong kesnya.
Kes di tangga kelapan dalam senarai kes mahkamah paling ganjil di dunia sepanjang 2008 pula berlaku di Greece. Dua wanita lesbian mengambil tindakan mahkamah untuk memenangi hak eksklusif dan membolehkan mereka diterima rasmi sebagai pasangan lesbian. Bagaimanapun, kes ini ditolak.
Kes ketujuh amat unik sekali. Di Itali, pasangan kembar seiras menggunakan adiknya untuk menyamar sebagai dirinya dan membolehkan mereka mengeluarkan wang serentak di dua tempat berbeza.
Kakak kepada pasangan itu yang juga seorang peguam dan hakim sambilan menggunakan adiknya untuk menyamar sebagai dirinya untuk tujuan itu. Hanya selepas tiga tahun menjalankan kegiatan tidak bermoral itu, 'tupai ini jatuh ke tanah juga' selepas pelanggan mereka terdengar perancangan yang dibuat.
Kes selanjutnya berlaku di Romania, salah satu negara di Eropah apabila ahli politiknya cuba melepaskan undang-undang berkaitan radio dan televisyen. Media massa disarankan untuk menyiarkan sekurang-kurangnya satu berita baik apabila menyiarkan satu berita buruk. Namun, mahkamah negara itu mendakwa bahawa berita tetap berita, tiada baik atau buruk. Berita adalah gambaran kepada realiti.
Kes kelima paling ganjil ini pula berlaku di Austria. Kumpulan hak haiwan menyuarakan agar Matthew Hiasl Pan, seekor cimpanzi diumumkan secara rasmi sebagai seorang manusia. Dengan hujah DNA cimpanzi 99.4 peratus menyamai DNA manusia, kumpulan hak haiwan itu mengharap agar Matthew diberikan status sama seperti seorang individu normal untuk membolehkannya meneruskan hidup selepas kehilangan tempat tinggal. Namun, mahkamah tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan Matthew tidak boleh bercakap.
Kes berikutnya tidak kurang ganjilnya. Seorang remaja di Florida, Amerika Syarikat ditangkap polis kerana memakai seluar yang terlondeh melepasi pinggang dan menampakkan seluar dalamnya. Penduduk kawasan itu sendiri sudah tidak tahan melihat kerenah anak muda yang memakai seluar terlondeh sehingga dilihat memalukan.
Namun, remaja tadi terlepas daripada sebarang denda kerana 'undang-undang seluar londeh' yang wujud di kawasan itu bukan undang-undang yang sah di sisi perlembagaan.
Tiga kes di tangga teratas memperlihat kes di Macedonia, Eropah di mana seekor beruang coklat dituduh mencuri madu. Seperti cerita dongeng, seorang penternak lebah mencuba pelbagai cara untuk mengelak madunya dicuri, termasuk untuk mengelakkan daripada beruang tadi.
Selepas tidak berjaya, tindakan mahkamah diambil dan dia menang dalam kes itu. Memandangkan beruang itu tidak boleh membayar apa-apa kepadanya, mahkamah memutuskan kerajaan negeri untuk membayar ganti rugi kepada penternak lebah itu dengan jumlah 1,700 pound iaitu kira-kira RM11,000.
Kes di tangga kedua berlaku di London, Britain. Seorang wanita terlepas daripada denda tempat letak kereta dengan alasan yang 'rapi'. Wanita itu meletakkan kenderaan di kawasan larangan dan membiarkan enjin keretanya terpasang sementara dia mengadakan satu persembahan. Selepas disaman, dia menjelaskan terpaksa berbuat demikian kerana dalam bonet keretanya penuh dengan ular yang diperlukan untuk persembahannya.
Enjin terpaksa dihidupkan untuk memanaskan ular berkenaan dan mengelakkan ular tertidur sebelum persembahan. Dia terlepas daripada saman.
Kes paling pelik di dunia sepanjang 2008 berkaitan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di New Zealand yang menarik perhatian dunia dengan namanya, Talula Does The Hula From Hawaii (Talula menari hula di Hawaii). Nama itu dikatakan membuatkan kanak-kanak terbabit akan berasa malu dan 'cacat' serta memalukan keturunannya nanti.
Hakim memutuskan bahawa nama itu mempunyai unsur 'penderaan' dan mengarahkan kanak-kanak itu diletakkan di bawah penjagaan mahkamah supaya dia boleh menukar namanya. Namun, hakim itu juga menyatakan bahawa memberi nama ganjil kepada anak kian menjadi fenomena di sana dengan menamakan anak dengan nama Number 16 Bus Shelter (Hentian Bas Nombor 16) dan untuk anak kembar, Benson dan Hedges (sejenis jenama rokok keluaran Britain) serta Fish dan Chips (sejenis menu Barat).
Untuk 2009, kita nantikan apa pula kes menarik yang akan berlaku. Dalam pada itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat tahun baru kepada seluruh warga Malaysia. Semoga tahun baru ini menjanjikan yang lebih baik untuk kita semua.
Penulis ialah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), kini melanjutkan pelajaran peringkat doktor falsafah di Nottingham Trent University, United Kingdom
Cetak artikel | Hantar
Saturday, August 9, 2008
Rencana: Pemimpin perlu bijak memimpin
ARKIB : 08/08/2008
Pemimpin perlu bijak memimpin
Oleh LOKMAN ISMAIL
TANGGUNGJAWAB sebagai pemimpin amat berat untuk dilaksanakan. Ia tidak sekadar dinilai di dunia, bahkan adalah antara amalan yang menjadi perhitungan berat di akhirat kelak. Setiap pemimpin akan menghadap Allah dan disoalkan apakah yang telah dilakukan berkaitan amanah sebagai pemimpin.
Antara ciri pemimpin yang baik ialah mengasihi dan mengambil berat soal kebajikan orang dipimpin, menyediakan keadaan selamat, selesa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.
Oleh itu setiap pemimpin perlu mempunyai visi dan misi untuk kepentingan semua pihak. Semua perancangan dilakukan dengan teliti, bijak, fleksibel, berasas dan memahami keperluan semasa bagi membantu kejayaan.
Pemimpin yang baik tidak sekadar melaungkan slogan retorik, tetapi apa lebih penting ialah memahami kebenaran dan kesan terhadap apa yang diucapkan. Pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan tidak bermegah dengan jawatan dipegangnya.
Mana-mana pemimpin yang menggunakan slogan, hukum, kata-kata dan keputusan mutlak daripadanya sebagai senjata mengabuli mata rakyat, sedangkan ia tidak benar dan tidak mampu dilaksanakan, sebenarnya telah melakukan pendustaan yang menyesatkan diri dari jalan kebenaran.
Sesungguhnya setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap apa diucapkan. Ucapan pemimpin adalah janji, arahan, kenyataan dan mungkin juga dianggap hukum. Sebab itu, pemimpin tidak wajar mengeluarkan kata-kata ikut sedap mulut.
Individu bergelar pemimpin perlu menjauhkan diri daripada melakukan amalan menabur fitnah dan janji dusta sebagai perangkap meraih sokongan. Perbuatan itu wajib dijauhi kerana ia adalah antara kezaliman lidah yang melenyapkan kebenaran dan menyembunyikan unsur-unsur kebenaran.
Justeru, pemimpin perlu menjauhkan perbuatan dusta dan mengubah perkara yang berkaitan kepentingan umum secara sewenang-wenangnya untuk kepentingan diri. Perbuatan itu samalah perbuatan khianat terhadap kepercayaan yang diberikan oleh rakyat atau ahli.
Satu lagi sifat mulia yang perlu dimiliki pemimpin ia sanggup menerima kritikan daripada orang bawahan. Kritikan adalah cara memperbaiki keburukan dilakukan pemimpin. Pemimpin juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan.
Pemimpin yang mengaku kesilapan sebenarnya pemimpin paling amanah dan benar.