Showing posts with label dato salleh majid. Show all posts
Showing posts with label dato salleh majid. Show all posts

Friday, January 6, 2012

Datuk Salleh Majid yang saya kenali... oleh NORDIN ABDUL MALEK Pengerusi Gabungan ILKS Bumiputera



DATUK Salleh Majid, bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) yang meninggal dunia pada 2 Januari 2012 bukanlah asing bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perniagaan dan ekonomi Bumiputera.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-12, Salleh melihat keadaan politik dalam negara dan tempias ekonomi dunia amat membimbangkan hingga memaksa beliau untuk bersama NGO memperjuangkan isu ekonomi Bumiputera.

Sifat tegas beliau yang kelihatan agak vokal dan serius kadangkala mengundang keresahan sesetengah pihak, terutama apabila beliau berhujah dengan fakta yang kritis. Namun di sebalik sifat beraninya itu, beliau adalah juga seorang insan Melayu yang mempunyai kehidupan rendah diri dan mesra untuk didekati terutama apabila menyentuh tentang kepentingan ekonomi Melayu.

Saya menjadi begitu rapat dengan beliau sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana bersama-sama menggerakkan aktiviti NGO yang melibatkan kepentingan ekonomi Melayu. Namun begitu, ketika menuntut di pusat pengajian tinggi pada awal tahun 90-an dahulu, saya begitu meminati kolum keusahawanan beliau di beberapa akhbar tempatan. Sebagai juara debat ekonomi dan aktiviti penulisan berkaitan keusahawanan peringkat IPT ketika itu, saya tidak akan terlepas untuk memetik pemikiran beliau yang pernah diterbitkan akhbar tempatan.

Ketika saya menceburi perniagaan sebagai peneraju kolej latihan kemahiran swasta, industri kami pernah berhadapan dengan krisis dasar kerajaan yang hampir meranapkan sektor kami suatu ketika dahulu. Dalam satu perbincangan beliau telah memberikan nasihat yang sangat berkesan kepada saya supaya mengenepikan seketika sifat diri sebagai guru dan ahli akademik, sebaliknya berjuang sebagai usahawan tegar yang sanggup melakukan apa sahaja demi survival perniagaan.

Beliau pernah menasihati saya supaya mencari jalan untuk menemui Perdana Menteri (ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi) setelah segala rundingan kami di peringkat pegawai dan menteri tidak diendahkan. Bagi beliau, usahawan perlu berusaha hingga ke puncak kuasa kerajaan jika pegawai bawahan gagal menyelesaikan masalah. Berbekalkan nasihat beliau saya berjaya menemui Perdana Menteri dan banyak isu kami telah berjaya diselesaikan.

Pada tahun 2009, beliau telah menyatakan minat terhadap konsep perniagaan konsortium kami yang berasaskan sistem collegiate. Lebih-lebih lagi kami satu-satunya inisiatif kluster Ekonomi Bumiputera dalam Komuniti Industri Komersial Bumiputera2 (BCIC-2) yang berjaya dilaksanakan hingga kini sejak Rancangan Malaysia Ke-9. Analisis tentang kami telah ditulis oleh beliau dalam ruangan Saranan Salleh, Utusan Malaysia bertajuk Tenaga Harimau Lonjak Belia Berbisnes pada 1 Januari 2010.

Penyertaan kami dalam pelbagai aktiviti NGO Bumiputera mengakrabkan hubungan. Ketika itulah juga saya mengenali karektor peribadi beliau yang mempunyai jatidiri Melayu yang sangat tinggi. Antaranya ialah beliau tidak berminat untuk membolot kekayaan dengan menggunakan kedudukannya sebagai bekas presiden BSKL.

Allahyarham pernah menceritakan bahawa terlalu banyak tauke Cina yang mempelawa beliau mempengerusikan syarikat mereka tetapi beliau menolak kerana tidak mahu 'diperkudakan'. Beliau pernah meluahkan rasa kecewa apabila ramai bekas pegawai tinggi kerajaan yang bersara menjadi boneka orang lain hingga sanggup dijadikan alat promosi iklan semata-mata mahukan imbuhan bulanan yang tidak seberapa.

Justeru, atas prinsip tersebut juga, kehidupan persaraan beliau adalah sekadar cukup sebagai orang pesara walaupun kadangkala amat perit, apatah lagi untuk menyara keluarga yang agak besar.

Sebagai tokoh masyhur, rawatan di hospital kerajaan yang tidak sebaik hospital swasta dianggap rahmat hingga ke akhir hayat. Pernah suatu ketika saya menganggap bilik rawatan yang disediakan pihak hospital agak kurang selesa tetapi beliau sangat redha.

Walaupun banyak perkara yang sempat dikongsikan dengan saya, ada beberapa perkara penting yang menjadi pesanan terakhir beliau kepada saya. Antaranya ialah menjadikan keusahawanan berasaskan kemahiran sebagai masa depan bangsa Melayu. Arwah mengingatkan saya bahawa hanya keusahawanan akan dapat memartabatkan Melayu.

Atas sebab itulah, beliau mempertahankan agar Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dimartabatkan sebagai institusi khusus mendidik pembangunan usahawan Melayu. Rencana khusus beliau ada disiarkan sebagai antara penulisan-penulisan terakhir beliau.

Pada tahun lalu, beliau pernah memeranjatkan kami apabila beliau seolah-olah mahu bersumpah untuk tidak mahu hadir dalam dialog agensi berkenaan. Pada pandangan beliau ketika itu agensi berkenaan menjadi tidak bermaya kerana tenaga pengurusannya yang lemah berbanding ketika INSKEN di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD). Semua itu pernah diluahkan dalam Utusan Malaysia.

Jika hendak mengenali jatidiri Melayu beliau, bacalah semua artikel penulisannya. Itulah prinsip dan semangatnya yang mengatasi kepentingan kekayaan peribadi. Apa yang penting juga ialah jasanya yang pernah mengemudi BSKL sebagai instrumen ekonomi yang paling disegani. Cabaran menggerakkan BSKL di peringkat awal penubuhannya bukanlah mudah jika tidak mempunyai strategi cemerlang. Malah BSKL pernah gah di zaman Salleh Majid.

Kepada mana-mana pihak yang pernah dikritik oleh beliau, terus terang saya katakan bahawa beliau meluahkannya dengan penuh keikhlasan. Justeru kita harus menilai isu yang dikritik bukannya mengandai serong apa yang dikritik.

Walaupun NGO ekonomi Bumiputera dan usahawan seperti kami kehilangan rakan seperjuangan, semangat Salleh Majid tetap tersemat jua dalam perjuangan yang mesti diteruskan.

Semoga keluarga beliau tabah dan terus bersatu dalam menghadapi dugaan tanpa Salleh Majid di sisi lagi. Al-Fatihah.
ARKIB utuasan : 05/01/2012

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm)

Saturday, October 1, 2011

Melayu abad ke-21 oleh Saranan Salleh



1.0 DALAM perasmian Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan orang Melayu abad ke-21 bagaimana bentuk rupanya.

2.0 Orang Melayu abad ke-21 sekarang ini tidak lagi mengharap kepada pemberian kerajaan tetapi mampu bersaing dengan bangsa lain. Orang Melayu abad ke-21 tidak lagi perlu diberikan kuota seperti dulu. Orang Melayu abad ini boleh buat apa saja tanpa meminta-minta.

3.0 Inilah yang kita hendak. Malulah kita sekian lama kita orang Melayu dikatakan asyik menagih itu dan ini daripada kerajaan sehinggakan orang asing berani mengatakan penghalang kepada program transformasi ekonomi Najib ialah golongan ekstrem Melayu yang sentiasa membantutkan usaha kerajaan.

4.0 Memanglah kita tidak mahu jadi peminta di tanah air kita sendiri. Apa yang peliknya kalau kita lihat boleh katakan semua agensi kerajaan seperti SMC Corp, MARDI, FAMA dan beribu lain diketuai oleh orang Melayu. Begitu juga institusi kewangan seperti bank-bank kita kebanyakannya (bukan semua) diketuai oleh orang Melayu.

5.0 Begitu juga pegawai kanan kerajaan dan kebanyakan penjawat awam terdiri daripada orang Melayu.


6.0 Tetapi orang Melayu tetap ketinggalan kecuali mereka yang ada tali kabel besar dan berani. Tali kabel ini kita faham, its who you know rather than what you know. Berani ini maksudnya bila hendak melakukan rasuah. Orang bukan Melayu dia tak ada pasal nak suap sesiapa pun, dah jadi kebiasaan pada mereka.

7.0 Orang kita masih ada yang segan-silu, jadi bila lambat sangat beri jawapan projek pergi dekat orang lain. Budaya orang Melayu berjawatan enggan menolong orang Melayu semakin menular kerana semua orang nak kaya cepat.

8.0 Seorang kawan saya yang berpengalaman dan mempunyai rekod pencapaian yang baik sudah naik mabuk cuba mendapatkan pinjaman untuk syarikat penghasilan farmaseutikalnya. Untuk menjual di luar negeri misalnya dia dikehendaki menjual dalam negeri dulu. Untuk menjual dalam negeri dia kena dapat lesen dulu. Sampai sekarang sudah tiga tahun tak dapat lesen macam-macam halangan.

9.0 Begitu juga dengan kewangan. Sudah banyak institusi kewangan yang didekati. Ada yang berjanji macam-macam tapi sudahnya tak dapat apa juga. Ini orang yang ada kelayakan, pernah jadi penasihat kepada negara asing dalam bidang biomedikal tapi semua itu bak tak tengok. Inilah orang yang patut diberi sokongan bukan dia bawa lari duit pinjaman tetapi mentaliti orang yang bagi pinjaman masih lagi mentaliti zaman kuno.

10.0 Ramai yang menyalahkan Dasar Ekonomi Baru sebagai satu-satunya dasar yang menyebabkan macam-macam kesan termasuklah pelabur asing kononnya tak mahu melabur di negara ini.

11.0 Sekali lagi saya katakan tak ada apa salahnya dengan tujuan hendak menghapuskan kemiskinan tak kira bangsa, tak ada salahnya dengan membasmi keberkaitan sesuatu bangsa dengan sesuatu pekerjaan atau profesion. Apa yang dilihat oleh rakyat Melayu biasa ialah hanya orang tertentu saja yang dapat macam-macam kemewahan dan projek.

12.0 Dulu setiap syarikat diperlukan memberi 30 peratus kepada orang Melayu. Orang Melayu yang mana dapat saham tersebut terbitan demi terbitan. Rakyat Melayu biasa ini cubalah nasib dengan menghantar permohonan berganda moga-moga daripada 10 penghantaran satu dua terkena.

13.0 Mereka yang dapat berjuta-juta ambil pinjaman bank sementara tunggu hari penyenaraian dan jual di hari penyenaraian kerana nak bayar balik hutang. Sesetengah orang yang ada tali kabel baik punya dapat peruntukan berganda-ganda sampai ada yang mengeluh mengatakan tak tahu nak buat macam mana asyik dapat saham.


14.0 Begitu juga AP hanya dua tiga orang yang sama dapat berpuluh-puluh malahan beratus. Ada yang tak bayar duti import, kenakan kepada pengguna selepas pengguna membeli baru dibayar. Dah kalau dapat beribu AP tentulah boleh beli helikopter main golf hantar anak pergi sekolah.

15.0 Kalau cakap pasal projek pula, segolongan manusia yang rapat dengan orang tertentu akan dapat layanan istimewa. Ini semua orang Melayu tahu. Orang Melayu sedar jurang antara atasan dan bawahan semakin melebar.

16.0 Yang duduk sihat dengan projek bernilai berjuta, hantar anak belajar keluar negeri, melancong dan berehat di luar negeri adalah mereka yang ada hubungan dan berani. Cuba tanya kepada yang diamanahkan dengan berjuta saham kononnya, untuk UMNO mana perginya?

17.0 Kepada mereka yang sudah terpahat kedudukan mereka dan tiap-tiap bulan dah tentu ‘masyuk’, kita ucapkan selamat maju jaya. Mereka mampu menarik perhatian pihak berwajib untuk tidak melayan kerenah sesetengah golongan yang sentiasa membangkitkan soal ketidaksamaan di kalangan bangsa.

18.0 Mereka ini ingin menonjolkan diri mereka selaku mereka yang dianggap layak dan mampu berdayasaing dengan bangsa lain. Mereka yang bising-bising ini dianggap hama yang menganggu ayam sahaja.

19.0 Sekali lagi saya bangkitkan. Sejak RMK-1 hingga 9 kerajaan sudah belanjakan kalau purata kita ambil RM200 bilion satu RMK bermakna kita sudah belanjakan RM1.8 trilion. Kalau masukkan RMK 10 pula cukup RM2 trilion.

20.0 Soalnya siapa yang dapat? Bahagian orang Melayu sikit sangat. Tengok kondo dan rumah mewah yang naik macam cendawan di merata tempat siapa yang mampu beli. Tanah yang kerajaan punya dengan usahasama buat rumah mewah siapa yang mampu beli. Rumah dua tingkat mencecah sampai RM750 ribu. Orang Melayu mampu duduk?

21.0 Orang Melayu lihatlah keliling kita dan kita tahu siapa yang menguasai segala-galanya. Dalam bidang rantaian bekalan yang membabitkan pembelian, pengilangan, penggedungan, pemborongan, peruncitan, pengangkutan, penguasaan inventori, penguasaan maklumat segala bahan dan perkhidmatan dikuasai oleh bangsa lain.

22.0 Orang Melayu kena mengadap mereka untuk mendapatkan yang diperlukan daripada barang makanan kepada bahan binaan. Baru kerajaan hendak perkenalkan kedai rakyat, presiden Dewan Perniagaan China sudah bising peruncit Cina tutup kedai. Dia tak nampak yang Giant, Tesco, Carrefour dan pasa raya besar yang mampu memotong harga peruncit biasa.

23.0 Satu-satu rancangan yang telah memberi manfaat besar kepada orang Melayu ialah apabila Felda ditubuhkan. Beratus ribu keluarga miskin terdiri daripada petani dan nelayan diberikan peluang berubah kehidupan dan kesannya ke hari ini.

24.0 Kalau hari ini kita hendakkan orang Melayu mengubah cara hidup mereka, orang Melayu yang mempunyai kedudukan dan jawatan baik di sektor awam atau sektor swasta juga perlu berubah sikap.

25.0 Jangan mereka duduk di kerusi-kerusi empuk membuat keputusan yang mengecewakan kepada usahawan Melayu yang terkial-kial mendapatkan bantuan. Orang yang patut dibantu patut disiasat dulu latarbelakang dan keupayaan dan tengok sendiri operasi yang berjalan.

26.0 Jangan ditolak buta-buta tanpa sebarang siasatan. Bagi pada orang tak boleh buat salah orang yang beri bukan yang menerima. Kalau tak pernah bela udang jangan bagi projek ternak udang. Kalau tak pernah bela lembu jangan bagi projek bela lembu.

terima kasih(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm)