Showing posts with label kontraktor. Show all posts
Showing posts with label kontraktor. Show all posts

Friday, April 5, 2013

Kontraktor ditipu kerugian RM150,000



PETALING JAYA 3 April - Seorang kontraktor kerugian RM150,000 setelah terpedaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang mengajaknya membuat pelaburan dalam satu projek pemasangan kipas di sebuah kolej swasta di Melaka, baru-baru ini yang sebenarnya tidak wujud.

Mangsa, Abdul Rashid Mohamad Ibrahim yang bersetuju membuat pelaburan menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus itu telah menyerahkan wang tersebut secara berperingkat kepada lelaki yang dikenali sebagai Shaik Mohamed.

Menurut Abdul Rashid, Shaik Mohamed telah diperkenalkan oleh sepupunya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, walaupun tanpa hitam putih dan kertas kerja berhubung projek itu, dia percaya pelaburan tersebut bakal memberi keuntungan, lebih-lebih lagi Shaik Mohamed mendakwa sekampung dengannya di Port Dickson.

"Oleh itu, hujung tahun lalu saya menyerahkan wang tunai kepadanya berperingkat-peringkat tetapi sehingga kini masih tiada keuntungan seperti yang dijanjikan. Sepatutnya saya mendapat untung beberapa minggu selepas itu.

"Saya kemudian bertemu dengan beberapa pihak di Port Dickson dan barulah mengetahui lelaki itu sebenarnya telah menipu ramai orang," katanya dalam satu sidang akhbar di Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, wang yang dilaburkan itu merupakan hasil keuntungan yang dikumpul dari perniagaannya selama beberapa tahun lalu.

"Saya tidak sangka melakukan pelaburan ini kerana apabila saya ke kolej swasta di Melaka itu, projek tersebut wujud tetapi dilakukan pihak lain.

"Malah beberapa individu yang diperkenalkan Shaik Mohamed kepada saya, yang didakwanya sebagai 'orang dalam' kolej itu sebenarnya tidak ada," ujarnya yang mempunyai dua salinan slip deposit bank sebagai bukti pembayaran kepada Shaik Mohamed.

Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, kes-kes penipuan seumpama itu banyak dilaporkan tetapi masyarakat masih mudah tertipu.

"Orang ramai dinasihati supaya menyelidik dahulu sebarang syarikat sama ada berdaftar atau tidak, sebelum pelaburan dibuat.

"Bagi kes Abdul Rashid ini, kita cadangkan dia membuat laporan polis di Port Dickson dan tidak takut dengan sebarang ugutan bagi memastikan tindakan lanjut dilakukan," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130404/je_02/Kontraktor-ditipu-kerugian-RM150000#ixzz2PVv8nxjL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, July 27, 2011

Kontraktor Jual rumah, ikat perut tiada projek



Jual rumah, ikat perut tiada projek
Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
fazliabdullah@bharian.com.my
2011/05/28

28,588 kontraktor Kelas F bakal gulung tikar

GEORGETOWN: Seramai 28,588 kontraktor Kelas F di seluruh negara kini dalam kesempitan sehinggakan ada yang terpaksa menjual rumah manakala ramai lagi mungkin gulung tikar kerana tidak mendapat sebarang projek baru.

Malah, sejak 2005 hingga sekarang, hampir 7,000 kontraktor sudah bankrap dan sebahagian besar yang lain kini dalam keadaan ‘hidup segan mati tidak mahu.’
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamad Fadzill Hassan, berkata masalah kekurangan projek amat ketara sejak dua tahun lalu dan ia makin terasa di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang, khususnya Pulau Pinang.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kontraktor Kelas F, merayu kerajaan prihatin dengan nasib kontraktor Kelas F yang majoritinya menyokong kerajaan.

“PKMM amat sedih dengan nasib kontraktor Kelas F yang tidak mendapat projek sehinggakan ada yang terpaksa menjual rumah untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya kepada Berita Harian.

Mohamad Fadzill yang juga Yang Dipertua PKMM Pulau Pinang, berkata biarpun kontraktor amat teruja apabila kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang membabitkan projek bernilai puluhan bilion ringgit, tetapi pada hakikatnya kontraktor Kelas F terpaksa terus ‘ikat perut’ kerana tiada projek baru untuk mereka.

“Persatuan amat berharap agensi ditubuhkan oleh kerajaan seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) melihat masalah dihadapi kontraktor Kelas F ini,” katanya.

Beliau turut memberi contoh pelaksanaan projek pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Projek Landasan Elektrik Berkembar Ipoh-Padang Besar, yang tidak dinikmati oleh kontraktor Kelas F.

Katanya, walaupun ada komitmen untuk memberi peratusan tertentu kerja bagi projek berkenaan kepada kontraktor Kelas F, ia tidak menjadi kenyataan.

Mohamad Fadzill berkata, dalam keadaan sekarang, kerajaan sewajarnya memperuntukkan sekurang-kurangnya RM1 bilion nilai projek untuk menampung keperluan kontraktor Kelas F di seluruh negara.

Sementara itu, seorang kontraktor Kelas F mengakui nasib mereka kini amat kronik dan ada yang terpaksa berhempas-pulas meneruskan hayat operasi ketika yang lain gulung tikar.

Pemilik syarikat Ishak Mat Abu Enterprise, Ishak Mat Abu, berkata beliau sendiri dihimpit masalah itu apabila syarikatnya yang berpangkalan di Raub, Pahang, tidak menerima sebarang projek, tahun lalu.

“Tahun ini, cuma ada satu projek. Ini memberi kesan kepada kami terutama kontraktor baru dan masalah ini boleh dikatakan agak kronik,” katanya ketika dihubungi.

Bekas kontraktor kelas F, Sarizat Mohd Nor, 39, dari Seberang Prai di sini, pula terpaksa menjual kuih selepas syarikatnya ditutup kerana kekurangan projek beberapa tahun lalu.

Sarizat yang memiliki Alternative Telecomunications and Construction, menutup syarikatnya selepas kerugian akibat tidak mendapat projek kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.

“Lazimnya ada kontraktor berpakat semasa sendiri menentukan jumlah harga sesebuah projek. Mereka bermain dengan harga dan pihak yang meluluskan projek hanya memilih kontraktor berkenaan.

“Ini menyebabkan kontraktor baru susah mendapat projek dan ada yang gulung tikar seperti saya. Kebanyakan kontraktor Kelas F juga tidak mampu membuat pusingan modal mereka dan pihak memberi pinjaman seperti bank pula mengenakan syarat ketat.

“Mungkin kerajaan boleh meminta bank melonggarkan syarat pinjaman dan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menghulurkan bantuan,” katanya.

terimakasih(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jualrumah_ikatperuttiadaprojek/Article)

zmsegamat kata: masalah kekurangan projek ini melanda pada semua kontraktor di seluruh negara. dan bukan setakat pada kontraktor yang berdaftar dengan PKK kelas F sahaja tetapi pada semua kelas kontraktor. samada kelas F, kelas E, kelas D, kelas C, kelas B dan kelas A.. apa peranan pihak yang berkuasa??