Showing posts with label bernama. Show all posts
Showing posts with label bernama. Show all posts

Monday, May 27, 2013

Kementerian Rancang Hapus Jaminan Jawatan Guru Pelatih







PUTRAJAYA, 27 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih dari institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat, bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di sekolah.

"Amalan pada masa ini, guru pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka tetapi kali ini kita nak guru jadi profesion yang mulia.

"Jadi kita perlu pilih yang terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat hebat pada masa depan,"
katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini Isnin.

Mengulas lanjut, Idris berkata langkah itu juga bagi memastikan hanya benar-benar berminat dengan kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan lain.

"Di Finland misalnya hanya calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru kerana itu taraf pendidikan di negara itu tinggi," katanya.

Bagaimanapun kata Idris, rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian mendalam sebelum boleh dilaksana.

Pada konvokesyen tiga hari bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing.

-- BERNAMA

zmsegamat kata:

SETUJU !!!

Sunday, January 27, 2013

BN Berkeupayaan Peroleh Kemenangan Dua Pertiga Pada PRU-13 - KP JASA


26 Januari, 2013 15:06 PM
JOHOR BAHARU, 26 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) berkeupayaan memperoleh kemenangan dua pertiga di dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Fuad Hassan.

Beliau berkata untuk kemenangan dua pertiga, BN perlu menarik sekurang-kurangnya 30 peratus undi daripada pengundi Cina dan masing-masing 65 peratus undi daripada pengundi Melayu dan India di seluruh negara.

"InsyaAllah, BN berkemampuan mencapai kemenangan dua pertiga pada pilihan raya umum ini jika kita terus bekerja kuat dan berusaha mencapai apa yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peserta yang menghadiri majlis Perjumpaan Rakan Media Sosial Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa Johor, di sini hari ini.

Fuad melahirkan keyakinannya bahawa sokongan pengundi Melayu di Johor terhadap BN akan melebihi tahap 65 peratus dan mencecah sehingga 80 peratus dan lebih.

Katanya, sokongan pengundi masyarakat India terhadap BN juga telah pulih daripada kejatuhan pada pilihan raya umum 2008, selain berkeyakinan terhadap peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN kali ini.

Menurut Fuad, banyak daripada isu yang dimainkan pembangkang seperti pembelian kapal selam Scorpene, loji nadir bumi Lynas dan lain-lain telah "diselesaikan", menyebabkan pembangkang kini tercari-cari isu baharu.

Katanya, usaha pembangkang untuk mengumpul sejuta orang pada perhimpunan di Stadium Merdeka 12 Jan lepas, gagal kerana perhimpunan itu itu hanya dihadiri kira-kira 50,000 orang.

Beliau berkata, pembangkang menolak tawaran kerajaan supaya himpunan itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih besar kerana menyedari ketidakmampuan mereka untuk menarik peserta yang ramai ke perhimpunan terbabit.

Sementara itu, beliau berkata jentera media sosial BN meliputi Twitter, Facebook dan lain-lain medium kini lebih bersedia dan berkemampuan untuk menangani serangan daripada pembangkang berbanding pada pilihan raya sebelum ini.

Bagaimanapun, Fuad meminta media sosial BN meneruskan usaha mereka dengan mendekati kira-kira 2.8 juta pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali pada PRU-13 ini.

Pengundi muda terbabit katanya, tidak lagi bergantung kepada media lama seperti suratkhabar dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, tetapi bergantung sepenuhnya kepada internet dan media sosial seperti Facebook dan Twitter.

-- BERNAMA

(terimakasih sumber:http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newspolitic.php?id=924321)

Wednesday, January 9, 2013

Palanivel Minta India Beri Tumpuan Bantu Orang Keturunan India



Daripada Mikhail Raj Abdullah

COCHIN (India), 9 Jan (Bernama) -- Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel meminta India memberi lebih tumpuan bagi memperjuang kepentingan orang keturunan India di Asia Tenggara termasuk Malaysia.

Beliau menyuarakan pandangan itu kerana kesal perhimpunan ke-11 Pravasi Bharatiya Divas (PBD) anjuran kerajaan negeri Kerala yang dihadiri lebih 2,000 peserta, hanya memberi tumpuan kepada warga India yang menetap di luar negara ini (NRI) dalam usaha mendekati rakyat India di seluruh dunia.

NRI merupakan warga India yang berhijrah, kebanyakannya untuk bekerja di negara lain manakala orang keturunan India (PIO) adalah semata-mata orang keturunan India, yang bukan warga India seperti rakyat Malaysia keturunan India.

Jumlah NRI dan PIO adalah begitu besar di seluruh dunia, dianggarkan sekitar 25 juta.

Palanivel berkata daripada memberi tumpuan terhadap NRI, yang nampaknya menjadi kes pada masa ini, India perlu mencontohi China dimana diaspora atau orang keturunan Cina bekerjasama rapat dengan Beijing dalam pembangunan perniagaan, pendidikan dan perubatan.

"Diaspora Cina begitu rapat dengan China (tetapi) asal usul mereka di China hampir hilang (dan) asal usul baharu mereka di negara-negara Asia Tenggara," katanya dalam pembentangannya mengenai "Overseas Indians and India" semasa sidang pleno PBD 2013 di sini, Rabu.

Beliau rakyat Malaysia keturunan India masih mempunyai hubungan dengan India tetapi semata-mata mengenai agama dan budaya dan sedikit berhubung ICT, sukan, industri kecil, latihan kemahiran, bioteknologi, inovasi dan pertanian.

PBD merupakan perhimpunan terbesar PIO yang diadakan setiap tahun, yang menyediakan platform unik bagi orang India di seberang laut untuk berhubung di kalangan mereka dan dengan kerajaan negeri dan pusat.

Meskipun orang India dari seluruh dunia bertumpu untuk PBD, Palanivel kesal kerana tumpuannya berat sebelah ke atas NRI daripada PIO.

Beliau menjelaskan walaupun banyak skim dan program baru bagi membantu rakyat Malaysia keturunan India diperkenalkan, masih terdapat orang yang kurang bernasib baik di kalangan mereka dan dalam keadaan inilah di mana India boleh datang untuk membantu.

"Kita mahu kerajaan India bekerjasama dengan kita bagi memperkasa kumpulan yang tidak bernasib baik, kata Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Kita mahu kumpulan profesional kita, dewan-dewan perniagaan, ahli akademik kita, golongan profesional kita dalam bidang perubatan dan undang-undang dan ahli perniagaan kita, untuk mengukuhkan hubungan kita dan kerjasama dengan India (dan) kita mahu lebih ramai pemimpin India melawat kita dengan lebih kerap," katanya.

Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India (FICCI) perlu meningkatkan hubungan dengan PIO di Malaysia, yang berjumlah lebih dua juta, memandangkan hubungan dagang antara orang India di India dan Malaysia amat berkurangan.

Ini merupakan satu keadaan hubungan yang menyedihkan memandangkan Malaysia mempunyai satu daripada jumlah PIO terbesar berbanding Singapura (300,000), Thailand (135,000) dan Indonesia (55,000), katanya.

"Saya merupakan generasi pertama rakyat Malaysia keturunan India. Saya masih mempunyai kaum keluarga di Selatan India (dan) apabila saya membaca akhbar India dan mendengar semua ucapan, termasuk dalam majlis perasmian, PIO tidak disebut langsung."

PBD 2013, dirasmikan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh pada Selasa.

Palanivel berkata: "Kami, rakyat Malaysia keturunan India, telah maju. Kami telah melahirkan ribuan doktor, jurutera, peguam, akauntan, guru dan ahli akademik. Perdana Menteri kami telah memperkenal banyak skim dan program baru untuk membantu rakyat Malaysia keturnan India. Bagaimanapun, masih wujud keperluan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik."

Sebagai contoh, beliau berkata India, yang terkenal di seluruh dunia bagi industri teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), boleh membantu rakyat Malaysia keturunan India dan membawa mereka ke tahap tertinggi dalam sektor ICT.

Dalam bidang sukan, India juga merupakan kuasa besar dalam sukan kriket.

"Pada sutau masa, kriket juga satu sukan yang sangat popular di negara kami. Kami mahu pemain kriket India untuk mula melatih belia kami dan membawa pulang kemegahan itu yang pernah dinikmati sebelum ini dan melangkah jauh lagi," katanya.

Kagum dengan kehalusan seni kraf India yang dihasilkan industri kecilnya, beliau meminta India untuk mendapatkan mereka yang terbabit dalam industri itu untuk melatih rakyat Malaysia, terutama wanita rakyat Malaysia keturunan India.

"Kami melihat kepada usaha untuk memperkasa dan bekerjasama dalam bidang-bidang pendidikan, latihan guru, perniagaan dan hubungan dagang, ICT, pembangunan sukan terutama kriket dan dalam bidang latihan kemahiran, pertanian, bioteknologi dan inovasi baharu," katanya.



-- BERNAMA

(terimakasih sumber:  http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=920539)

Tuesday, November 22, 2011

UMNO Perlu Menyerang, Bukan Hanya Bertahan

(gambar hiasan)

22 November, 2011 12:22 PM
Oleh Ahmad Shukran Shaharudin

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Sejak pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008, pelbagai isu negatif timbul yang dibangkitkan oleh pembangkang terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Isu-isu yang dibangkitkan itu bukan sahaja membabitkan negeri yang pernah ditadbir BN seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor malah turut menyentuh isu peribadi yang membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terbaru, kerajaan juga diserang dalam isu Pusat Fidlot Nasional (NFC) daripada segi pengurusannya dan perbelanjaannya oleh pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun tuduhan itu sudah dijawab dengan terperinci oleh pengerusi eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Melihat rancaknya serangan media pembangkang terhadap kerajaan pimpinan BN, ramai tertanya-tanya sampai bilakah Umno dan BN hanya mahu bertahan dan tidak menyerang balas?

Serangan pembangkang banyak ketikanya tidak berdasarkan fakta, jauh sekali untuk menyemaknya dengan pihak yang dituduh. Bahkan tidak kurang yang sengaja diada-adakan, seolah-olah kerana mereka menyokong pembangkang, mereka berhak menyerang sehingga ke tahap memfitnah.

Banyak juga yang bertanya kepada penulis, salahkah jika BN turut menyerang tetapi dengan berdasarkan fakta yang jelas, supaya pembangkang kenal langit tinggi rendah?

Pepatah ada menyatakan bahawa pertahanan yang paling baik ialah dengan menyerang, dan strategi ini banyak digunakan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk sukan.

Ini sepatutnya dijadikan sebagai satu kaedah menghadapi peperangan terbuka daripada sudut politik, bukan sahaja di media cetak dan elektronik malah di media baru seperti portal berita, laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa melancarkan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia, yang julung kali diadakan Ahad lepas, berkata Umno perlu menyerang dan jangan menjadi pasif.

"Sekiranya tak berani menyerang pembangkang, 'by default' (kegagalan ini menyebabkan) kita akan kalah dan jangan ambil mudah media sosial berkenaan. Ini tanggungjawab saudara untuk melawan dan membetulkan kepalsuan ini," katanya.

Isyarat yang diberikan Perdana Menteri ini jika diamati, bukan hanya ditujukan kepada pengamal media baru dan media sosial, bahkan juga kepada semua anggota Umno bagi menentukan hala tuju parti untuk menang pada pilihan raya umum akan datang, terutamanya di negeri-negeri yang kini dikuasai pembangkang.

Ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang berkata amanat khas Presiden parti kepada sayap Pemuda dan Puteri Umno turut menyentuh mengenai strategi untuk menawan negeri-negeri di mana BN kalah, serta usaha mengekalkan kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum lepas.

Mengenai isu ini, Ketua Pembangkang Selangor Datuk Satim Diman berkata Umno dan BN negeri akan terus menyerang kerajaan negeri yang didakwa banyak melakukan pembohongan dan janji-janji pilihan raya yang tidak ditunaikan.

Beliau berkata serangan terhadap kerajaan parti pakatan di Selangor bukan sekadar retorik politik semata-mata tetapi berlandaskan isu-isu yang disusun satu persatu.

"Kita tak akan berhenti. Kita akui memang banyak lagi isu akan kita bangkitkan. Selagi belum pilihan raya selagi itulah kita akan terus menyerang," katanya.

Satim berkata pengamal media yang ada termasuk media sosial baru juga perlu berperanan menyiarkan apa yang benar dan memaparkan satu per satu kelemahan pihak-pihak yang menyerang Umno dan BN.

Katanya Umno dan BN yang kini mempunyai banyak anggota dan penyokong di kalangan muda mahir dalam pelbagai selok belok IT termasuk media sosial dan media baru, serta mampu berhujah dengan berdasarkan fakta seharusnya dapat menguasai senjata baru ini untuk menewaskan lawan.

Kini, satu aspek menarik yang ingin dilihat ialah sama ada Umno selepas perhimpunan agung pada 29 Nov hingga 3 Dis ini mahu terus dilihat hanya mampu bertahan atau melangkah berani menyahut seruan Najib dengan menyerang balas dan mendedahkan sudut pandangan rakyat kepada kebenaran.

Kesepaduan pendapat dan pendirian Umno serta semua anggota BN dalam hal ini akan memberikan taring baru kepada harimau bernama BN yang sedang tidur, atau sedar daripada lena yang panjang sehingga lalat dan langau pembangkang sesuka hati menghurung kepala!

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=628817)

Friday, August 20, 2010

Isu Ekuiti Bumiputera - Soi Lek Menentang Perlembagaan, Kata Rais


20 Ogos, 2010 10:50 AM

Isu Ekuiti Bumiputera - Soi Lek Menentang Perlembagaan, Kata Rais

JELEBU, 20 Ogos (Bernama) -- Kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya ekuiti Bumiputera dikurangkan adalah bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya ini kerana Perkara 153 memberi hak yang terasas kepada orang Melayu dan juga penduduk asal Sabah dan Sarawak dan pihak-pihak yang dilindungi oleh semua peruntukan undang-undang.

"Apabila beliau menuntut ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat-peringkat, sekali gus beliau menentang Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

"Mungkin beliau tidak sedar perkara ini tetapi saya ingin mengingatkan iaitu Perkara 153 bukan merupakan satu peruntukan yang mudah, malah ia tidak boleh dipinda oleh mana-mana pihak kecuali dengan persetujuan Majlis Raja-Raja dan juga sesuai dengan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Masjid Felda Pasoh 1 dekat sini malam tadi.

Rais berkata bahawa semasa Chua menyuarakan hal itu, beliau mungkin menyesuaikan dengan sentimen politik partinya tetapi orang Melayu khasnya, sebagai pejuang menegakkan perlembagaan, tidak boleh menerima itu.

"Jika itu dilaksanakan dalam bentuk tindakan maka pertama, kita mencabul Persekutuan Malaysia menerusi Perkara 153 dan kedua, kita mencabul kedudukan Raja-Raja Melayu khususnya Yang di-Pertuan Agong yang berhak menentukan kepentingan- kepentingan tersebut.

"Kita maklum hal ini bukanlah perkara yang diamalkan begitu saja, tetapi ini sudah diterima oleh semua yang menjadi pihak kepada kontrak sosial pada tahun 1956, 1957 semasa Suruhanjaya Reid ditubuhkan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diwujudkan dan sehinggalah Perlembagaan Persekutuan Malaysia dimaktubkan," katanya.

Rais berharap pada masa depan pemimpin parti politik tidak hanya menyatakan sesuatu mengikut sesuka hati mereka, tetapi memberi pengiktirafan kepada perkara yang sudah menjadi pokok kepada negara ini.

Katanya hal ini harus diterima dan tidak boleh lagi dipinda mengikut sentimen politik sekarang.

"Misalnya, jika Umno sendiri pun nak pinda Perkara 153, tidak boleh. Ia mempunyai lapisan kuasa-kuasa tertentu, apatah lagi kalau Datuk Seri Dr Chua Soi Lek nak memindanya atau pun nak menidakkan bahagian yang hak kepada orang Melayu dan juga penduduk asal di Sabah dan Sarawak," katanya.

Rais berkata bahawa dalam Perkara 153 juga, hak kaum juga juga disebut, dan dalam soal ini, Chua boleh berjuang dan meminta ehsan kerajaan untuk membantu, tetapi tidak boleh menidakkan hak yang ada pada orang Melayu dan juga penduduk asal di Sabah dan Sarawak.

"Jika Chua hendak menuntut yang lain, ini terserah kepada tenaga sekutu politik yang ada dan saya percaya orang Melayu mempunyai fahaman dan juga pendirian yang tegas, dan jika dikira kekayaan dan perolehan bukan Melayu seperti rakan-rakan Tionghua kita, mereka sudah mendapati agihan yang lebih daripada 47 peratus.

"Jadi hal ini harus ditimbang dalam kontek sebenar dan kita berjuang sebagai satu sekutu dan sebagai seorang juara," katanya.

Ditanya kenyataan Chua bahawa MCA sanggup berkongsi pandangan sama dengan DAP untuk kepentingan masyarakat Cina, Rais berkata perbuatan Chua sekali gus menonjolkan beliau tidak lagi menghormati gagasan Barisan Nasional (BN) di mana pengerusinya adalah Perdana Menteri dan membelakangkan realiti ini.

"Ekoran itu orang Melayu mesti bersatu untuk menghadapi perkara seperti ini. Jadi bila kita kuat, orang lain tidak boleh cuit...samalah seperti yang saya katakan apabila tiang condong, kura-kura pun nak naik.

"Orang Melayu harus bersatu dan ketepikan perkara remeh dan menyuarakan apa yang hak. Jika ini tidak dilakukan orang seperti Chua akan terus menggugat perjuangan asas," katanya.

Pada majlis itu, Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu menerima zakat perniagaan Amanah Raya Bhd (ARB) berjumlah RM10,000 daripada Ketua Pegawai Pemasaran ARB Ahmad Saruji Abdul Aziz, untuk diagihkan kepada 50 orang kurang bernasib baik.

Rais turut menyampaikan sumbangan peruntukan kawasan Parlimen beliau kepada 46 penerima.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=522609)

Thursday, July 29, 2010

Dr Ling Didakwa Tipu Kerajaan Malaysia Membabitkan RM1.08 Bilion


Dr Ling Didakwa Tipu Kerajaan Malaysia Membabitkan RM1.08 Bilion

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Dr Ling, 67, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002.

Beliau yang juga bekas Presiden MCA kelihatan tenang ketika pertuduhan berkenaan dibacakan kepadanya yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris.

Hakim Suzana Hussin membenarkan bekas presiden MCA itu diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Sept ini, pada pukul 8.30 pagi untuk sebutan semula kes.

Dr Ling, yang berbaju belang biru putih dibebaskan selepas membayar ikat jamin itu.

Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah itu mengikut terma-terma yang dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang.

Terma-terma berkenaan ialah

- luas tanah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki pesegi;

- kadar pembelian tahan adalah sebanyak RM25 satu kaki pesegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000.00;

- tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah "bayaran tertangguh" selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600.00).

Dr Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah tersebut mengikut terma-terma itu dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Oleh demikian, beliau dituduh dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tahan tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Menurut pertuduhan itu, penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa beliau (Dr. Ling) boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya di dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu, beliau terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun, dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Dr Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sewaktu ditanya jurubahasa itu sama ada beliau faham pertuduhan itu dan sama ada beliau mengaku bersalah atau minta bicara terhadap pertuduhan itu, Dr Ling menjawab beliau faham pertuduhan itu dan "mengaku tidak bersalah".

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi Dr Ling merupakan kesalahan yang boleh dijamin dan adalah tidak perlu bagi Dr Ling untuk menyerahkan dokumen perjalanan.

Peguam bela Datuk R.R.Sethu tidak membantah terhadap jumlah jaminan itu.

Beliau memohon kepada mahkamah "untuk tempoh sebulan bagi tarikh sebutan kerana menurutnya Dr Ling pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

Turut dalam pasukan pendakwaan ialah Ketua Unit Pendakwaan Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan timbalan pendakwa raya Manoj Kurup.

Dr Ling yang tidak digari, sampai di perkarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang dengan kereta Honda Accord berwarna biru. Beliau diiringi isterinya Toh Puan Ena Ling dan keluarga terdekatnya serta beberapa anggota polis.

Beliau kemudiannya memasuki Mahkamah Sesyen pada 4.45 petang dan terus duduk di dalam kandang tertuduh. Prosiding mahkamah berjalan selama setengah jam bermula 4.55 petang.

Sewaktu Dr Ling keluar dari kaunter jaminan, seorang pemberita sempat bertanyakan beliau sama ada beliau mahu bercakap apa-apa, Dr Ling cuma menggelengkan kepalanya.

Mahkamah telah bersidang selama setengah jam bermula pada pukul 4.55 petang.

Selepas itu, Dr Ling telah dibawa ke kaunter jaminan yang terletak di tingkat bawah bangunan mahkamah itu. Beliau dilihat keluar dari kaunter itu pada pukul 5.30 petang.

-- BERNAMA

Saturday, May 16, 2009

Sediakan Hujah Dengan Fakta Yang Betul Tangkis Fitnah Pembangkang, Kata Najib


16 Mei, 2009 16:14 PM



SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Umno perlu bertindak dengan menyediakan hujah-hujah dengan fakta-fakta yang betul bagi menangkis tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh pembangkang, kata Presiden Umno yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Najib Tun Razak.

Fitnah atau "spinning" yang dilakukan oleh pembangkang seolah-olah meletakkan Umno tidak berada di pihak yang betul atau dalam keadaan terlalu mempertahankan diri berhubung apa yang dilemparkan terhadap parti, kata Perdana Menteri dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Selangor yang pertama selepas beliau mengambil alih jawatan itu yang sebelum ini dipegang oleh Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

"Jadi dengan langkah-langkah baru yang akan kita ambil ini, kita akan lebih bersedia untuk menghadapi serangan daripada parti pembangkang," kata Najib.

Dalam pendekatan baru Umno Selangor pada kali ini, beliau berkata pendekatan yang lebih mesra rakyat diutamakan dalam segala perkara yang dilakukan dan beliau telah menggariskan apa yang perlu dilakukan oleh Umno Selangor.

Najib berkata adalah penting bagi Umno Selangor bekerja sebagai satu pasukan yang padu dan menyedari keperluan untuk sentiasa mengutamakan kepentingan serta kebajikan rakyat dengan memperbanyakkan program mesra rakyat dalam sebarang tindakan yang dilakukan atas nama Wakil Rakyat, Ketua Bahagian atau pemimpin Umno.

Mesyuarat hari ini juga menetapkan supaya Umno Selangor mengambil langkah tertentu bagi meningkatkan keberkesanan khidmat Umno kepada rakyat di negeri ini, termasuk mengkaji semula peranan yang dimainkan oleh para pemimpin Umno dan kaedah-kaedah yang diguna pakai.

"Saya percaya dengan semangat yang diperlihatkan pada hari ini dan pendekatan baru yang kita amalkan, kita akan dapat meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap Umno dan Barisan Nasional," katanya.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang Datuk Mohamad Satim Diman sebagai Setiausaha Perhubungan Umno Selangor yang baru menggantikan Adun Sungai Air Tawar Datuk Raja Ideris Raja Ahmad.

Naib Ketua Bahagian Kelana Jaya Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor pula dilantik sebagai Bendahari menggantikan Datuk Adnan Buyong manakala Adun Kuang Abdul Shukur Idrus yang juga Ketua Bahagian Selayang menggantikan Adun Sementa Datuk Abdul Rahman Palil sebagai Ketua Penerangan yang baru.

Najib juga mengumumkan pelantikan Adun Sungai Panjang Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sebagai Ketua Kumpulan Pemikir Umno Selangor, iaitu jawatan baru yang diwujudkan dalam Badan Perhubungan Umno Negeri.

Mengenai ura-ura Parti Progresif Penduduk (PPP) mahu meninggalkan Barisan Nasional (BN), Najib berkata: "Saya tidak tahu. Apa jua perkara yang berkaitan dengan BN akan kami bincangkan di peringkat Dewan Tertinggi BN."

Ditanya kemungkinan beliau campur tangan dalam perbalahan antara Presiden PPP Datuk M.Kayveas dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah, Najib berkata beliau sedang memikirkannya dan belum membuat keputusan lagi.

Mengenai sama ada wajar PPP keluar dulu daripada BN untuk menyelesaikan masalahnya dan menyertai semula BN kemudian, beliau berkata: "BN bukanlah parti boleh keluar masuk keluar masuk. Kita kena ada disiplin dalam Barisan Nasional... sebagai satu keluarga besar kalau tak ada disiplin orang lihat parti kita ini parti yang boleh buat sesuka hati."

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=411501)