Umno letak rakyat tempat utama perjuangan
1. Program bukan untuk bermegah, tetapi penjelasan mengenai dasar, matlamat perjuangan parti"GELANGGANG politik dengan gelanggang laga lembu tidak jauh bezanya dalam praktik. Lembu itupun sama dengan politik... sama-sama diperjudikan". Itulah petikan dialog dalam novel Juara, karya Sasterawan Negara, Dr S Othman Kelantan pada halaman 74.
2. Persoalan dan tema utama yang diangkat dalam novel itu adalah mengenai konsep menjadi 'juara'. Juara adalah novel mengisahkan perjuangan seorang bekas pejuang politik yang dikenali sebagai Mamat yang tidak pernah berakhir selepas kariernya berakhir.
3. Dalam novel itu, Mamat menganggap perjuangan di medan politik tiada bezanya dengan perjuangan di gelanggang laga lembu. Kedua-duanya memerlukan peran-cangan rapi, muslihat dan taktik untuk menjadi juara tetapi pada masa sama amat berisiko dan kemungkinan akan terkorban.
4. Dalam gelanggang politik dan laga lembu, penulis mengingatkan penceburnya boleh pada bila-bila masa kecewa dan kecundang serta gagal. Maka, jika dikaitkan dalam realiti kancah politik negara yang berteraskan pilihan raya, memang tiada istilah naib juara. Jika menjadi naib juara, ia bermakna tewas. Begitu juga halnya dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).
5. Sebagai parti yang lebih 50 tahun meneraju negara, mereka dilihat berjaya mencapai matlamat untuk menjadi juara dalam isu dan kepentingan membabitkan rakyat. Momentum yang dicapai Umno dan BN itu perlu diakui dan dibanggakan kerana selama tempoh itu, pelbagai kejayaan, kecemerlangan dan keajaiban berjaya dihasilkan, berkat perancangan dan strategi yang berkesan.
6. Namun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 dan petunjuk luar dugaan manakala 10 pilihan raya kecil setahun selepas itu seperti mengganggu perancangan Umno dan BN meneruskan kesinambungan kejuaraan mereka. Kedudukan mereka sebagai parti, pertubuhan atau kerajaan yang menjadi juara kepada isu rakyat yang selama ini tidak goyah, mula tercabar.
7. Ia disebabkan kemunculan Pakatan Pembangkang – pakatan antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sehingga kini masih gagal didaftarkan secara sah tetapi 'sibuk' berkokok mendakwa merekalah pejuang kepentingan rakyat yang sebenar. "Mereka mengeksploitasi perkataan 'rakyat' untuk memenangi hati rakyat sehingga rakyat terpengaruh dengan dakyah dan pendekatan mereka," kata Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan.
8. Justeru katanya, pelancaran Program Juara Rakyat di Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini diharap dapat mengembalikan kesedaran rakyat terhadap usaha dan komitmen Umno serta BN memajukan rakyat sejak sebelum merdeka sehingga kini.
9. Program tiga hari yang akan dirasmikan Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN itu bukan saja untuk menyaingi strategi pembangkang malah juga memantapkan lagi pendekatan, perancangan dan strategi bagaimana untuk menjadi juara rakyat yang sebenar pada zaman ini.
10. Program Juara Rakyat adalah program yang merujuk kepada hasrat Umno untuk menjuarai kehidupan rakyat, menjuarai pembelaan rakyat, menjadi johan dalam membangun rakyat dan sentiasa berada di barisan hadapan untuk rakyat.
11. Ia juga bertujuan meletakkan Umno terus berada nombor satu di hati rakyat dengan rakyat juga sentiasa berada di tempat utama dalam perjuangan parti. Yang penting katanya, program itu bukan untuk bermegah atau menyombong apabila menyebut juara, tetapi menjelaskan kepada rakyat mengenai dasar dan matlamat perjuangan Umno untuk agama, bangsa dan negara, malah menangkis tohmahan Pakatan Rakyat yang mendakwa lebih berhak menjadi juara rakyat.
12. "Istilah rakyat bukan ekkslusif kepada mana-mana parti termasuk pembangkang. Pembangkang mengeksploitasinya dan digunakan sebagai landasan untuk memenangi hati rakyat.
13. Mereka sebenarnya hanya meniru apa yang sudah, sedang dan akan dilakukan Umno dan BN untuk membantu rakyat. Setiap aspek yang mereka bangkitkan sebenarnya sudah lama Umno dan BN menjadi juaranya. "Kita yang ke depan dan bersama rakyat, pembangkang hanya meniru dan mengambil alih.
14. Mereka menumpang tuah kejayaan yang kita bina dan sediakan. Rakyat sedar perkara ini tetapi kita juga harus bekerja dengan gigih lagi supaya lebih menjadi juara rakyat," kata Ahmad lagi.
15. Menerusi program itu, Umno dan BN mahu mengingatkan setiap pemimpinnya bahawa dalam persaingan politik berasaskan pilihan raya, tiada istilah naib juara. Mereka yang menjadi naib juara sebenarnya tewas dalam pilihan raya walaupun hanya dengan satu undi.
16. Konsep itu perlu disedari pemimpin Umno kerana dalam politik pilihan raya, mereka mesti menjadi juara. "Oleh itu kita ingin menegaskan kepada pimpinan Umno apakah sifat juara. Kita kena ada di hadapan kalau ada berlaku apa situasi kepada rakyat.
17. Dalam politik, kita perlu bersaing dan penentu pertarungan itu adalah rakyat. Oleh itu rakyat yang perlu kita juarai," katanya.
18. Untuk memastikan objektif program ini mencapai matlamatnya, semua jentera penerangan Umno diarah memberi penjelasan kepada rakyat bahawa Umno yang sebenarnya juara rakyat kerana semua program parti adalah untuk rakyat sama ada politik, ekonomi atau sosial.
19. Bagi memantapkan jentera penerangan Umno bahagian, semua Umno bahagian diarah melantik dua pelengkap tugas Ketua Penerangan Umno bahagian, masing-masing penceramah tetap dan ketua siber.
20. Penceramah tetap tugasnya memberi ceramah manakala ketua siber bertugas menyediakan laman web dan blog untuk Umno bahagian.
21. Bagi memastikan Umno bahagian menjalankan program itu, setiap Ahli Majlis Tertinggi (MT) akan diminta mengambil lima bahagian menjadi anak angkat.
22. Yang penting kata Ahmad, Umno bahagian perlu menganjurkan program itu sekurang-kurangnya satu setiap bulan mengikut tema yang ditetapkan. Tema program itu pada bulan ini adalah pendidikan.
23. Soalnya kini, bersediakah pemimpin Umno pada semua peringkat termasuk sayap parti dan parti komponen melaksanakan program itu untuk menjadikan Umno dan BN sebagai parti yang menjuarai rakyat.
Posted by YB Hj. Ahmad bin Hj. Maslan at 10:45 AM
(sumber;http://ahmadmaslan.blogspot.com/2010/01/umno-letak-rakyat-tempat-utama.html)
No comments:
Post a Comment