Hak Melayu: Umno dan Pas Sama Koro?
A Kadir Jasin
[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]
SUKA atau tidak, kita terpaksa akui bahawa sebenarnya wujud banyak persamaan antara Umno dan Pas. Bukan sahaja kedua-duanya dianggotai oleh orang Melayu dan Islam, tetapi pemikiran dan tindak-tanduk mereka juga banyak yang sama.
Daripada sudut sejarah, ini tidaklah menghairankan kerana Pas adalah serpihan Umno dan sejak berpisah pada awal tahun 1950an mereka berkongsi pengundi atas pagar yang ada masa mengundi Umno dan ada masa mengundi Pas.
Namun satu persamaan yang sangat ketara sejak akhir-akhir ini adalah kedua-dua parti itu nampak begitu takut dituduh ekstrem kerana mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan yang kedua-duanya sudah menjadi “peminta maaf” (apologist) dalam perhubungan kaum dan agama di negara ini.
Mereka nampaknya berasa begitu bimbang dan bersalah mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam.
Keadaan ini menjadi semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum 2008 apabila pencapaian Barisan Nasional merudum dan Pakatan Rakyat melambung.
Sejak itu, adalah mustahil bercakap mengenai orang Melayu dan agama Islam tanpa dituduh cauvinis dan pelampau.
Seperti kata bekas seorang pembesar PKR yang kini bekerja dengan kerajaan BN, apabila Melayu bercakap mengenai hak, mereka dituduh perkauman.Tetapi apabila kaum-kaum lain bercakap mengenai hal yang sama, ia adalah hak mereka.
Sebaliknya orang bukan Melayu dan bukan Islam semakin berani sehingga ada yang mempersoalkan bantuan kerajaan dalam pembinaan masjid dan surau dan mahu semua rumah ibadat diberi layanan yang serupa.
Bahaya Pertahan Melayu/Islam
Sekarang mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam boleh membawa bencana.
Pada bulan September 2008, Majlis Tertinggi Umno melucutkan hak dan menggantung keahlian
Ketua Umno Bukit Bendera, Ahmad Ismail, selama tiga tahun atas tuduhan menyentuh sensitiviti kaum.
Dosa Ahmad Ismail ialah dia bercakap mengenai asal usul kaum Cina dan India sebagai keturunan pendatang. Walaupun dia mendapat sokongan kuat ahli Umno dan orang Melayu kerana pendiriannya, Umno di bawah kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi tetap menggantung keahliannya. Dia diampunkan dan diberikan kembali hak awal bulan ini.
Sebelum itu, bekas Ketua Pemuda Umno yang kini salah seorang Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein Onn, memohon maaf kerana menghunus dan mencium keris ketika menjadi Ketua Pemuda.
Beberapa minggu kebelakangan ini pula, apologist Umno berlumba-lumba mengiakan dakwaan pembangkang kononnya Biro Tatanegara menjalankan program yang berbau perkauman.
Nampak sangat yang semakin ramai pembesar Umno dan Pas takut memperkatakan hal-hal seperti Perlembagaan dan Kontrak Sosial apatah lagi mempertahankannya.
Mereka takut mempertahankan hak biasiswa, perjawatan dan pelesenan orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang semuanya termaktub dalam Perlembagaan.
Sebaliknya, seperti tiung yang dikikis lidahnya, mereka mengulangi mantera kapitalisme dan liberalisme Barat seperti globalisasi, persamaan, meritokrasi, padang permainan sama rata dan hak asasi manusia yang menjadi panggilan nafiri DAP dan PKR.
Semakin jarang mereka bercakap mengenai kemiskinan dan kemelaratan orang Melayu dan Bumiputera.
Mengenai gadis Melayu dari pedalaman Kelantan, Perak dan Kedah yang semakin ramai menjadi GRO di dewan-dewan karaoke kelas internasional yang kita tahu siapa pemilik dan pelanggannya. Tidak hairanlah kalau dewan-dewan karaoke kelas internasional ini jarang diserbu polis dan Jabatan Agama Islam.
Dan mengenai jurang kemiskinan dan pendapatan yang semakin ternganga antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera dan antara bandar dan luar bandar.
Dr Hassan Ali Lwn Pas
Sekarang Pas pula dilaporkan akan mengambil tindakan disiplin ke atas pembesarnya yang mahu penjualan arak dan kegiatan mungkar diharamkan di kawasan majoriti Melayu di Selangor.
Media massa arus perdana dan alternatif sejak beberapa hari kebelakangan ini melaporkan yang Pesuruhjaya Pas Selangor merangkap Adun Gombak, Dr Hassan Ali, dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, akan dikenakan tindakan disiplin.
Dr Hassan Ali dan Khalid Abdul Samad...bakal berdepan tindakan disiplin.
Menurut portal berita Malaysian Insider, mereka sedang disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin Pas kerana dituduh mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan imej parti.
Antara bukti ialah rakaman audio seorang pemimpin PAS yang didakwa memperkecilkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pimpinan PKR.
Adalah diketahui umum bahawa Dr Hassan pernah bertikam lidah dengan Exco DAP bagi Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu, mengenai penjualan arak di kedai-kedai runcit, termasuk Seven Eleven, di kawasan majoriti Islam. Dr Hassan mahu ia diharamkan.
Walaupun Dr Hassan dilaporkan mendapat sokongan Pas Selangor, tetapi jelas pendiriannya tidak mendapat restu dan sokongan kepemimpinan nasional Pas yang lebih mengutamakan pakatan dengan DAP dan PKR.
Laporan media mengatakan yang Jawatankuasa Disiplin Pas telah mengesahkan ada kes yang kukuh terhadap Dr Hassan dan Khalid. Mereka mungkin dipanggil menghadapi jawatankuasa itu antara 7 dan 9 Januari ini.
Pada 9 Oktober saya menulis dalam blog ini mengenai tindakan Dr Hassan. Antara lain saya berkata: “Tidak menghairankan jika gimmick Hassan itu mendapat sokongan luas ahli Pas Selangor yang termakan propagandanya, tetapi ditentang oleh PKR, DAP dan sesetengah anasir dalam Pas sendiri.”
Khalid Abdul Samad pernah dilaporkan menggesa Dr Hassan supaya mengikut dasar parti atau keluar dari Pakatan Rakyat.
Seperti dijangkakan, Dr Hassan sendiri sudah lama tidak bercakap mengenai hak kawasan majoriti Islam bebas daripada arak dan kegiatan mungkar.
Sebaliknya, dia dipetik oleh media pada 26 Disember sebagai berkata dia dan PAS Selangor akan tetap bersama PR untuk meneruskan kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid Ibrahim.
Dia juga menyangkal spekulasi yang dia telah memutuskan untuk keluar kerajaan PR dan menjadi Adun bebas.
Islam, Melayu Jadi “Taboo”
Jelas bahawa sejak menyertai DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, Pas tidak lagi lantang bercakap tentang kepentingan Melayu dan Islam.
Malah seperti yang dimanifestasikan oleh kes Dr Hassan dan isu rumah sembelihan babi serta kubur Hindu di Kedah, bercakap mengenai Islam pun mesti berhati-hati apatah lagi bertindak dalam hal yang menyentuh hak kaum dan agama lain.
Soalnya, siapakah yang akan bercakap secara berani dan lantang mengenai hak, kepentingan dan keluh-kesah orang Melayu dan Islam di negara ini?
Adakah Umno dan Pas tidak lagi menganggap hak, kepentingan dan keluh-kesah orang Melayu dan Islam sebagai keutamaan kerana mereka kini berlumba-lumba mengambil hati bukan Melayu dan bukan Islam?
Adakah mempertahankan hak dan memperbaiki kebajikan kaum majoriti tanpa membelakangkan kaum minoriti satu tindakan perkauman, cauvinis dan melampau?
Kalau tuntutan hak oleh orang Melayu dianggap perkauman, apa halnya dengan tuntutan hak oleh orang bukan Melayu?
Kesimpulannya, parti majoriti Melayu dan Islam wajib membuat pendirian dan menentukan keutamaan mengenai apa yang mereka perjuangkan dan untuk siapa.
Kalau mereka takut berjuang untuk bangsa Melayu dan agama Islam, eloklah mereka berhenti daripada bertopengkan Melayu dan Islam.
Lebih baik mereka menukar nama dan dasar parti mereka menjadi parti liberal atau pseudo-liberal yang berdasarkan liberalisme Barat.
Tetapi ingatlah, apa pun dasar dan ideologi mereka, satu hakikat yang wajib diterima ialah, tidak ada negara pelbagai kaum dan agama akan selamat dan sejahtera jika kepentingan kaum dan agama majoriti diabaikan.
Nota Kaki: Kalau nak tahu mengenai koro, sila baca rencana berjudul “Would Koro Victims Like To Speak Up?” keluaran 17 Jun, 2008.
Posted by A KADIR JASIN at 11:28 AM
(sumber:http://kadirjasin.blogspot.com/2009/12/hak-melayu-umno-dan-pas-sama-koro.html)
No comments:
Post a Comment