Tuesday, January 19, 2010

Hak istimewa mutlak sifatnya - Dato Dr Abdul Malik Munip

Hak istimewa mutlak sifatnya
Jan 19th, 2010 | By administrator | Category: Rencana

——————————————————————-
Mukadimah:
Pengalaman dalam zaman penjajahan yang dialami oleh Melayu dan bukan Melayu adalah dua pengalaman yang sangat berbeza.
Pemahaman dan memahami perbezaan ini akan menjadi salah satu perkara yang pokok dalam menilai erti wujud sebuah negara merdeka bernama Malaysia .
UMNO Online menemubual bekas pensyarah Universiti Malaya yang juga aktivis dan pengkaji sejarah, Dato’ Dr. Abdul Malik Munip untuk menyelami pandangan beliau tentang semangat dan roh kemerdekaan pada perspektif sejarah.

——————————————————————–

1. Cabaran akan datang banyak bergantung kepada sejauh mana kita boleh meneruskan kesinambungan tentang prinsip-prinsip utama matlamat kemerdekaan itu dicapai, asas-asas perjuangan Melayu atau masyarakat Bumiputera yang sahih. Sejauh mana ia berkekalan dan berterusan dan dapat dihayati oleh masyarakat.

2. Melayu mungkin berjaya tetapi di saat kejayaannya, hilang segala keMelayuannya. Dalam proses hendak memajukan bangsa, kita harus berwaspada dengan apa yang ditafsirkan sebagai penjajahan minda. Politik mungkin kita sudah merdeka, tetapi penjajahan minda, ia lebih halus dan dalam.

3. Kita disogokkan dengan keyakinan bahawa kalau dalam bidang ekonomi umpamanya, kemunduran Melayu itu seolah-olah semata-mata kerana sifat-sifat negatif seperti nilai kerja yang tidak betul, prinsip persaingan tidak wujud dalam masyarakat Melayu, Melayu dikata malas dan segala-gala pencemuhan kepada masyarakat Melayu.

4. Kalau sudah setengah abad kita mencemuh bangsa sendiri, ertinya kita sudah setengah abad melakukan proses yang amat malang ini. Melayu menghina bangsa sendiri. Penghinaan bukan asas untuk membina kejayaan. Penghinaan berbeza dengan pengkritikan diri.

5. Kita tanpa sedar menghina dan menyalahkan bangsa Melayu kerana tidak faham sejarah zaman penjajahan. Oleh kerana itu, sekarang mungkin lahir satu masyarakat yang menyakini segala penghinaan ini. Ini salah satu asas kehancuran semangat kebanggaan sebagai Melayu.
Inilah salah satu manifestasi hasil daripada penjajahan minda.

6. Kita dididik supaya menyakini sifat-sifat mulai Melayu ditafsir sebagai nilai yang hina dan negatif.
Sebagai contoh, etika kerja, Melayu dengan bangga, kononnya untuk menyedarkan bangsa, kita dilabel Melayu tidak ada etika kerja yang setanding dengan Jepun.

7. Lalu diambil sepotong kiasan, rezeki secupak tidak jadi segantang. Maka kita menyakininya kerana itu yang kita pelajari dan warisi. Bagaimanapun sekarang dalam kajian, kita insaf ertinya berbeza. Etika kerja Melayu bukan begitu. Etika kerja Melayu satu yang amat menakjubkan . Ia berperingkat-peringkat.

8. Umpamanya kalau di peringkat yang paling mudah, datuk nenek kita mewariskan nilai kerja sedikit sedikit lama-lama jadi bukit, tetapi kalau kita berjaya, nilai kerja kita dipertingkatkan menjadi seluk pekasam sampai ke pangkal lengan. Kalau kita berjaya seterusnya, nilai kerja kita dipertingkatkan dalam bentuk genggam bara api biar sampai jadi arang.

9. Maknanya, nilai kerja Melayu menuntut kita sanggup mengharungi segala macam rintangan dan cabaran namun menyerah tidak.

10. Tapi ada kalanya sekali pun kita genggam bara api biar sampai jadi arang, ada kalanya kita gagal pada saat kita gagal itu, kita bukan memiliki nilai-nilai kerja orang Jepun dia mungkin bunuh diri, tapi bagi Melayu, jauh sekali.

11. Dia akan kembali dan menginsafi kepada sifat keimanan yang dituntut oleh agama, kembali kepada prinsip qada dan qadar. Rezeki secupak tak jadi segantang. Inilah kegigihan bekerja dan insaf tentang ketentuan Allah.

12. Dalam semua sistem ekonomi kolonial, masyarakat bumiputera akan tersisih daripada arus perdana kegiatan ekonomi. Penyisihan ini langsung tidak ada kena mengena dengan nilai dan budaya masyarakat.

13. Di Selangor, contohnya, pada saat Inggeris hendak meluaskan kuasanya, pusat penempatan Melayu atau the last tadisional urban center of the Malays ialah di Jugra. Itu adalah pelabuhan terakhir Selangor dan di situlah bandar di mana saudagar-saudagar Melayu berkumpul. Hari ini kalau kita lihat Jugra , kita akan melihat saki baki bangunan batu di celah-celah hutan yang pada satu masa dahulu milik pedagang-pedagang Melayu.

14. Bila Inggeris masuk dengan tujuan menakluki Selangor dan seterusnya mengeksploitasi sumber bijih maka dibawa masuk jutaan masyarakat pekerja Cina atau kuli-kuli Cina mengerjakan lombong.

15. Di perkampungan perlombongan inilah dibina bandar yang sekarang kita panggil Kuala Lumpur. Dan akhirnya dibina infrastruktur yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan pelabuhan baru di Pelabuhan Kelang, bukan di Jugra.

16. Kalau kita kaji perkembangan pembinaan infrastruktur di seluruh tanah Melayu dalam zaman penjajahan , semuanya mengelakkan kawasan penempatan tradisional Melayu. Selama sepanjang lebih 80 tahun British menjajah, hasilnya lebih daripada 80 peratus dicurahkan untuk memajukan Kuala Lumpur yang terdiri 100 peratus penduduknya masyarakat pendatang yang belum pun bertaraf rakyat.

17. Bandar pedagang Melayu Jugra mulai malap, daripada sebuah bandar menjadi kampung.Tidak mungkin bersaing dengan Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur.

18. Cerita sedih pedagang Melayu Jugra terdapat di Perak dengan kelahiran Ipoh dan Taiping, Seremban di Negeri Sembilan. Dalam masa sangat singkat penjajah Inggeris sudah wujudkan kawasan urban yang maju, memotong hutan belentara Melayu dan menyingkirkan masyarakat Melayu secarasistematik yang rata-rata terdapat di kawasan pesisir. Bandar-bandar tradisional mula malap dan menjadi kampung yang tidak bermaya.

19. Bagi masyarakat bukan Melayu, penjajahan adalah proses zaman keemasan untuk membina hidup yang lebih tertib, makmur dan selesa daripada tempat asal mereka. Bagi masyarakat Melayu, sepanjang-panjang penjajahan ini adalah proses penyisihan, pembekuan masyarakat Melayu ditahap mereka yang paling mundur.

20. Kemerdekaan beri kita ruang supaya sifat pembangunan kolonial itu dirobah. Kemerdekaan ialah zaman membina ekonomi nasional, memecahkan diri daripada belenggu pembangunan kolonial.
Pembangunan yang berpusat di bandar-bandar yang dibina oleh Inggeris mesti disalurkan kepada kawasan masyarakat Melayu yang menjadi rakyat asal negara ini.

21. Ini sebenarnya bukan satu keistimewaan, Ini adalah pemulangan hak masyarakat bumiputera yang dinafikan sepanjang-panjang zaman penjajahan. Sebab hasil negerinya telah dieksploitasikan, digunakan untuk menyisihkan bangsanya sendiri.

22. Mungkin pemahahaman kita mengenai sejarah telah diselewengkan. Kita belajar dalam sejarah, zaman Inggeris dilambangkan sebagai zaman pembangunan ekonomi, bijih, kelapa sawit, getah tetapi kita tidak pernah lihat bahawa segala-gala itu sebenarnya mempamerkan sifat-sifat pembangunan ekonomi kolonial bukan ekonomi nasional.

23. Amat penting menyedari bahawa Melayu wajib peka dan faham asas-asas perjuangan yang sahih. Sebab Melayu adalah Islam dan dalam masyarakat terbuka, nilai moral kita cukup tinggi, keyakinan kita mesti dibina atas keyakinan moral dan agama bahawa hak itu mutlak sifatknya.

24. Kalau kita tidak faham, kita menanggap itu bukan hak kita, kita seolah-olah minta sedekah, bukan menuntut pemulangan hak. Ini sangat penting yang patut kita sedari. Pulihkan keyakinan sebagai bangsa Melayu di buminya sendiri.

25. UMNO satu-satunya parti dalam dunia yang boleh hidup lebih setengah abad dan berjaya membuka langkah memecahkan belenggu penindasan kolonial dan membangunkan bangsanya.

26. Mengkritik menjadikan kita lebih perkasa. UMNO terus menggilap asas-asas perjuangan kita yang sahih. Kita tidak mahu lahir satu generasi yang terputus daripada pemahamannya mengenai perjuangan bangsa.

27. Pendeta Zaaba diberi tugas menamakan pertubuhan Melayu yang hendak ditubuhkan. Kata Za’aba, di bumi Melayu, masyarakat Melayu adalah masyarakat ibu, masyarakat induk, masyarakat teras. Bukan Melayu di bumi Melayu ini masyarakat serpihan yang terpelanting dari masyarakat induknya daripada negara asal. Oleh sebab Melayu ini adalah masyarakat ibu, haknya berbeza dengan masyarakat serpihan.

28. Matlamat perjuangan UMNO adalah menterjemahkan perjuangan Melayu itu dalam semua bidang. Mesti jadi induk dalam politik, pendidikan, ekonomi.

29. Ini hak Melayu sebagai masyarakat ibu dan itulah matlamat perjuangan UMNO. Ini adalah pemulangan hak kepada bangsanya yang telah dinafikan hak sejak sekian lama

30. Orang Melayu kena menggilap pesanan pendeta Zaaba itu. Kita ibu, teras dan induk di Malaysia. Kita menjadi rujukan. Segala-galanya mesti merujuk kepada Melayu. Ini termasuklah prinsip sensitiviti. Kebijaksanaan dan hikmah dalam menyelesaikan masalah.

31. Jangan sampai sensitiviti masyarakat pendatang, seolah-olah lebih terpelihara daripada sensitiviti Melayu yang mempunyai akar umbi di bumi ini.

32. Bukan bumiputera menjadi rakyat semata-mata atas wujudnya perlembagaan itu. Kalau dipersoalkan setelah jadi rakyat, ertinya mereka persoalkan asas kerakyatan. Kalau ini menjadi fokus ia amat bahaya.

33. Kalau keistimewaan ini tidak dihargai ia akan hanya memaksa kemungkinan lahir satu generasai Melayu yang akan bersikap lebih keras daripada apa yang ada sekarang.

34. UMNO adalah bahtera perjuangan bangsa. Nilainya tidak terhingga. Kita kena pelihara. Dalam bahtera perjuangan bangsa, ada watak yang kita suka dan tidak. Penyelesaiannya bukan secara memecahkan bahtera itu. Bahtera itu kena kita jaga dan bahtera perjuangan Melayu yang bernama UMNO ini kita mesti pastikan ia berkuasa supaya segala cita-cita harapan dan impian dapat kita laksanakan.

35. Mudah-mudahan ia dapat menyumbang memelihara dan memperbaiki matlamat dan arah perjalanan bahtera perjuangan kita. Ini adalah ibadah dan satu tuntutan agama dan moral kepada manusia melalui yang beragama Islam.

(sumber;http://umno-online.com/?p=5615)

No comments: