Saturday, January 16, 2010

'Layan' sampai licin

ARKIB : 15/01/2010
'Layan' sampai licin



Kuah chicken chop yang cukup membuka selera pengunjung ke Marisa Burger and Western di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

Malam semakin larut dan jarum jam di tangan sudah menghampiri pukul 12 tengah malam.

Secara logik mengikut putaran alam, sepatutnya waktu begitu kebanyakan kita sedang berkira-kira untuk masuk tidur dan mungkin juga sudah ada yang dibuai mimpi enak.

Namun senario sebaliknya cukup berbeza apabila anda berada di medan selera Atap Berlian di Hutan Bandar, Johor Bahru, Johor.

Ini kerana orang ramai masih lagi memenuhi kawasan itu tanpa terdapat tanda-tanda untuk mereka mahu pulang ke rumah.

Tanpa menghiraukan kedinginan malam dan embun pagi yang mula menitis, penangan makanan Barat di gerai Marisa Burger and Western adalah jawapan kepada segala-galanya.

Gara-gara chicken chop yang berharga hanya RM5, hidangan Barat itu telah mendapat sambutan luar biasa dan menimbulkan satu fenomena di kalangan pengunjung.

Pemiliknya, Rahmat Atan, 41, tidak perlu meletakkan set karaoke di atas pentas atau pun skrin layar besar seperti di restoran mamak sebagai tarikan utama ke gerainya.

Hanya berteman suasana malam yang romantik, ia sudah cukup membuatkan pengunjung ralit menikmati hidangan.

Di kelilingi konsep ala-ala pondok yang mampu membuat pelanggan berasa selesa dan santai, pastinya kunjungan anda meninggalkan satu kenangan terindah.

Hari ini, masyarakat perlu mengakui bahawa chicken chop semakin mendapat tempat di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan hidangan Barat itu bukan lagi sekadar menjadi pilihan orang kebanyakan.

Siapa mampu menepis keenakan hidangan chicken chop yang panas-panas baru di angkat dari kuali dan dilimpahi sos lada hitam untuk dimakan bersama air jus oren.

Namun bagaimana pula kalau chicken chop itu hanya berharga RM5 berbanding harga standard sekitar RM10 malah ada yang mencecah harga hingga RM20?

Dengar macam tidak percaya membuatkan penulis bersama jurugambar, Raja Jaafar Ali agak teruja untuk mencubanya.

Sempat terlintas di fikiran mungkin saiznya telah dikecilkan, kuantiti kentang goreng dan coleslaw yang sedikit serta hiasan salad ala-ala kadar sahaja.

Sebaik rezeki sudah di depan mata, melihat hiasan hidangan itu saja sudah membuka selera perut yang sedang berkeroncong.

Sebaik sahaja menikmati hidangan berkenaan, tiada rasa yang kurang malah kombinasi daging ayam, kentang goreng, coleslaw dan salad begitu menjadi hingga membuat kami 'melayan' sehingga licin.

Hilang semua telahan negatif yang bermain di fikiran dan ingin pula mengetahui rahsia di sebalik hidangan daging ayam yang digoreng dengan serbuk roti itu.

Bekas chef hotel

Gerai Marisa Burger dan Western dikendali chef profesional, Rahmat yang berpengalaman luas dalam bidang sajian makanan Barat di beberapa hotel terkemuka negara ini sejak 23 tahun lalu.

Rahmat bersama isteri, Suhaili Md. Nor, 34, kini tidak lagi menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus bermula pukul 6.30 petang hingga 2.30 pagi setiap malam.

Ditanya mengapa chicken chop itu hanya berharga RM5, dia menjelaskan, tanggapan negatif masyarakat yang sinonim mengatakan makanan Barat adalah mahal perlu dikikiskan.

Dia mahu memberi peluang kepada semua golongan masyarakat termasuk yang berpendapatan rendah atau pun golongan pelajar untuk menikmati hidangan makanan itu pada harga berpatutan.

"Setiap malam, sebanyak 40 hingga 50 kilogram (kg) daging ayam digunakan untuk chicken chop, tujuh hingga lapan kg daging lembu untuk stik dan 20 kg daging kambing.

"Untuk menjimatkan kos, saya hanya menempah daging mentah itu dan akan memotongnya sendiri selain menghasilkan sos lada hitam ciptaan sendiri," katanya..

Rahmat berkata, dia dan isteri menjanjikan kepuasan tinggi agar pelanggan yang datang menjamu selera di gerainya gembira dengan apa yang disajikan.

Katanya, ini kerana menjadi matlamat Marisa Burger and Western untuk menyajikan hidangan berkualiti dan kuantiti yang berbaloi dengan harganya.

Kepada mereka yang ingin membuat tempahan atau membuat pesanan, anda boleh menelefon Rahmat di talian 013-7472013 dan 013-7550192.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm)

No comments: