Thursday, January 14, 2010
Pahang tak benar guna 25 perkataan bersumber Islam
Pahang tak benar guna 25 perkataan bersumber Islam
Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my
10 ungkapan termasuk Allah turut dilarang untuk agama lain
KUANTAN: Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1989 yang diwartakan kerajaan Pahang pada 1990, tidak membenarkan penggunaan 25 perkataan dan 10 ungkapan bersumberkan Islam, termasuk kalimah Allah dalam sebarang terbitan dan ucapan yang dikaitkan dengan agama lain.
Perkataan lain yang tidak boleh diguna dan dikaitkan itu ialah firman Allah, ulama, hadis, ibadat, Kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, injil, solat, khalifah, wali, fatwa, khutbah, nabi dan tabligh.
Ungkapan seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilhamd, Allahu Akbar, Insya-Allah, Astagfirullahal Azim, Tabaraka Allah, Masya-Allah, Lahaula Walaquwata IIlabillahialiyil Azim juga tidak boleh digunakan orang bukan Islam.
Mengikut seksyen 9 (1) enakmen itu, adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa jika ia menghasilkan sesuatu tulisan atau ucapan dengan menggunakan perkataan itu atau variasinya untuk menyatakan fakta kepercayaan, idea, konsep, perbuatan dan aktiviti dengan mana-mana agama bukan Islam.
Bagi Seksyen 9(2) enakmen yang sama pula, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan dan ungkapan berkenaan kecuali sebagai petikan atau rujukan.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata mereka boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
"Enakmen ini adalah undang-undang yang merangkumi semua pihak, termasuk bukan Islam dan mereka yang melakukan kesalahan akan ditahan mengikut Kanun Prosedur Jenayah.
"Ia juga memperuntukkan kuasa kepada pihak polis untuk menjalankan penguatkuasaan dan menangkap tanpa waran mereka yang disyaki melakukan kesalahan," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.
Wan Abdul Wahid meminta semua pihak di negeri ini menghormati dan mematuhi enakmen berkenaan yang sudah wujud sejak 20 tahun lalu.
"Jika semua pihak mematuhi enakmen ini maka tidak akan berlaku masalah berbangkit sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam," katanya.
Beliau berkata, kesalahan lain mengikut enakmen itu termasuk menghantar atau menyerahkan terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang Islam, mendedahkan seorang Islam kepada pengaruh suatu agama bukan Islam dan mendekati seorang Islam untuk mendedahkannya kepada ucapan atau pertunjukan mengenai perkara berkaitan dengan suatu agama bukan Islam.
(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Nasional/20100113004210/Article/index_html)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment