Umno Buka Kaunter Pemilih, Ahli Pada Program Juara Rakyat
1. KUALA LIPIS, 16 Jan (Bernama) -- Umno akan membuka kaunter daftar pemilih dan keanggotaan Umno pada setiap siri program Juara rakyat di seluruh negara dalam usaha menambah lagi keanggotaannya selain memastikan mereka dapat mengundi pada pilihan raya umum akan datang.
2. Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata ketika ini terdapat lebih 4.38 juta yang layak mendaftar tetapi masih belum berbuat demikian, dengan 2.85 juta atau 65 peratus adalah Bumiputera."Usaha kita ini adalah bagi membolehkan lebih ramai mereka yang belum lagi mendaftar keanggotaan dan pemilih dapat mendaftar segera, dan dapat menunaikan hak mereka sebagai pengundi.
3. "Antara faktor yang menyebabkan kegagalan mendaftar sebagai pemilih ialah kurangnya kesedaran dan tanggungjawab terhadap kepentingan untuk menjadi pengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Taklimat dan Penerangan Pendaftaran Pemilih, Pengundi Baru dan Pemutihan Keanggotaan Umno anjuran Biro Daftar Keahlian Umno Pahang di Sungai Koyan, dekat sini, pada hari Sabtu.
4. Selain itu, Ahmad berkata Umno juga akan memperhebatkan lagi program Juara Rakyat ke semua 191 bahagian Umno di seluruh negara dengan setiap Anggota Majlis Tertinggi (MT) akan menjadikan lima bahagian sebagai "bahagian angkat"."Lima bahagian yang dipilih itu adalah daripada lima negeri yang berbeza, tiga daripadanya kawasan yang dimenangi Barisan Nasional, dua lagi bahagian yang tewas, perkara ini diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi pada 4 Dis lepas," katanya.-- BERNAMA
Posted by YB Hj. Ahmad bin Hj. Maslan at 1:42 AM
(sumber;http://ahmadmaslan.blogspot.com/2010/01/umno-buka-kaunter-pemilih-ahli-pada.html)
No comments:
Post a Comment