Saturday, January 16, 2010

KELUARGA : Rojak ganti nasi minyak


ARKIB utusan: 15/01/2010
Rojak ganti nasi minyak

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar NOOR AZLINA JAAFAR


Rojak pasembor untuk pengantin.

BILA nak makan nasi minyak? Itulah soalan biasa ditanyakan apabila perbualan masuk 'topik' perkahwinan.

Namun, pada masa akan datang soalan klise itu mungkin akan berbunyi "Bila lagi nak makan rojak pasembor?"

Sudah menjadi tradisi dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu, hidangan yang disediakan untuk tetamu adalah seperti nasi minyak atau nasi beriani, ayam masak merah, rendang daging, dalca, jelatah, papadom, buah-buahan, air kordial atau manisan pencuci mulut.

Hidangan seperti ini sudah menjadi sinonim pada majlis perkahwinan baik di bandar, kampung, hotel, dewan dan di rumah. Tetamu juga sudah dapat mengagak apa yang akan dihidangkan di majlis yang dihadiri sehingga jika dalam sehari itu terdapat tiga undangan, rasanya perut tidak dapat diisi lagi dengan makanan yang sama.

Kebiasaannya pada majlis pertama yang dihadiri, tetamu sudah tentu berselera menikmati hidangan. Pada majlis kedua dan ketiga, tetamu hanya meneguk air sirap atau menjamah buah dan kuih sahaja.

Kerana memahami keadaan ini dan ingin mencuba kelainan, Azizah Manshor memilih menu yang amat berbeza dan mungkin tidak pernah terfikir oleh tuan rumah lain yang mengadakan majlis perkahwinan.

Namun daripada apa yang disaksikan sendiri oleh penulis yang turut meraikan majlis perkahwinan anak perempuan Azizah, Nor Afidah Ahamad Azahari bersama pasangannya, Mohd Fahmi Zulkipli, kedua-duanya berumur 25 tahun, tetamu yang hadir begitu berselera dengan hidangan istimewa yang terhidang.

Apa tidaknya kerana di meja bufet, hidangan yang tersedia bukan nasi minyak atau lauk-pauk tetapi rojak pasembor, mi rebus, nasi goreng kampung, ayam goreng berempah, cendol, teh tarik selain air sirap, buah-buahan dan kuih-muih.

''Sebenarnya inilah kali pertama saya memilih menu sebegini untuk majlis perkahwinan anak saya. Semasa perkahwinan empat anak saya dahulu, saya menyediakan hidangan nasi minyak dan lauk-pauk.

''Apabila Pak Tam (Pengarah Urusan Juara Saji dan pemilik Restoran Tuuu...Dia Pak Tam) mencadangkan kepada saya untuk mencuba menu ini, saya rasa tak yakin. Bimbang tetamu mengata, tetamu tak boleh terima, tetamu dan saudara-mara yang datang jauh tak kenyang dan sebagainya. Lagipun tak pernah dibuat orang menghidangkan rojak pasembor dan mi rebus dalam majlis perkahwinan.

''Dua tiga kali juga saya terima cadangan tersebut dan bila rasa tak yakin, saya tolak. Bagaimanapun Pak Tam tetap meyakinkan saya untuk mencuba sesuatu yang baru dan setelah berbincang dengan suami dan anak-anak, barulah saya berani menerima cadangannya,'' kata bekas kakitangan kerajaan ini yang ditemui di rumahnya di Taman Jaya, Bandar Tun Razak, Cheras baru-baru ini.

Menurut Azizah lagi, suami dan anak-anak turut bersetuju dengan kelainan menu ini. Mujur juga saudara-mara yang datang daripada kampungnya di Melaka nampak seronok menikmati hidangan yang memang lain daripada lain yang lazimnya hanya dapat dinikmati di restoran sahaja.

Hidangan yang disediakan untuk tetamu tetap tahan sehingga ke penghujung majlis di sebelah petang kerana kerja-kerja memasak dan menggoreng sentiasa dilakukan sepanjang masa di belakang kanopi tetamu. Justeru tetamu dapat menikmati kuah rojak dan mi rebus panas-panas.

Pasangan pengantin juga turut dapat menikmati kelainan hidangan istimewa pengantin yang disediakan Pak Tam seperti udang kara goreng, ketam, mi rebus dan sebagainya yang digubah cantik untuk pasangan rasa sehari.

''Saya senang hati melihat para tetamu gembira dan seronok menikmati hidangan malah ada yang memuji kerana makanan yang dihidangkan lazat dan memuaskan hati,'' kata Azizah yang menerima kehadiran lebih 1,000 orang tetamu.

Sementara itu, Ruslin Ibrahim yang lebih popular dengan panggilan Pak Tam berkata, Juara Saji menyediakan perkhidmatan sajian di sekitar Lembah Klang bagi sebarang majlis keramaian dengan pilihan menu menarik pada harga berpatutan.

''Juara Saji sentiasa bersedia untuk memenuhi kehendak pelanggan yang memilih perkhidmatan katering kami bagi majlis perkahwinan, hari jadi, doa selamat, mesyuarat, seminar, kursus, sambutan hari keluarga dan sebagainya.

''Kami mempastikan perkhidmatan katering kami memberikan kepuasan kepada pelanggan dan bersedia menerima sebarang cadangan bagi memperbaiki mutu perkhidmatan yang diberikan,'' kata Pak Tam yang berpegang pada slogannya, 'Sedap bagi tau kawan, tak sedap bagi tau kami' yang boleh dihubungi di 03-61388388.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_02.htm)

No comments: