Saturday, January 30, 2010

KPN: Bertenang dan tampil bantu polis




Jan 27, 10 11:56am

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan polis.

Musa juga memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak supaya tidak melakukan provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Pagi tadi, kepala babi dikesan dilontarkan di dua masjid sekitar Jalan Klang Lama, di ibu negara,

Kepala babi berkenaan dijumpai di masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya dan di masjid Al-Imam Al-Tirmizi di Taman Sentosa.

Nurul Izzah turut di masjid

Dalam pada itu, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang juga berada di tempat kejadian berharap, satu siasatan diraja dilakukan bagi menangani kes-kes mencemarkan rumah ibadat.

Ditanya sama ada dia puashati dengan tindakan polis setakat ini, Nurul berkata, "Saya tak kata berpuashati tetapi saya lihat ada ketekunan".

Nurul Izzah juga berkata, kejadian seumpama itu adalah di luar jangkaan dan terdapat juga kebatasan dalam bilangan anggota polis.

Nurul Izzah tiba pada jam 9 pagi, manakala Musa pula tiba kira-kira jam 11 pagi, walaupun pihak polis dilaporkan berada di lokasi seawal jam 6.40 pagi.

Malam ini
, Nurul Izzah akan menghadiri majlis tazkirah di masjid yang sama.

Sementara itu, imam masjid berkenaan, Zulkifli Mohamad kesal dengan perbuatan tersebut.

Katanya, beliau keluar melihat bungkusan itu selepas dimaklumkan oleh seorang anak kariah.

Berikutan kejadian itu, mereka menghubungi polis.

Serangan mungkin cetuskan pertelingkahan kaum

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang sampai ke Masjid Jumhuriyyah Taman Datuk Harun pada jam 1.30 petang bersolat Zohor terlebih dahulu sebelum melawat tempat kepala babi hutan itu ditemui.

Bercakap kepada media selepas itu, Khairy berkata beliau meminta pihak polis melakukan rondaan kekal di masjid dan rumah ibadat bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang.

Khairy yang juga ahli parlimen Rembau meminta semua pihak mengelakkan spekulasi berhubung perkara berkenaan.

Ditanya sama ada kes di Kampung Datuk Harun ini membimbangkannya kerana mungkin mencetuskan pertelingkahan kaum Khairy menganggap semua serangan terhadap rumah ibadat adalah membimbangkan.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/122985)

No comments: