Saturday, January 30, 2010
Memburu dari mana datangnya kepala babi
Salhan K Ahmad
Jan 28, 10
5:00pm
Kepala babi hutan yang ditemui di dua masjid di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semalam mungkin diperolehi daripada satu sumber ternakan haiwan tersebut, menurut seorang imam masjid terlibat.
Menurut ketua imam Masjid Al-Imam Al-Tirmizi di Taman Sri Sentosa, Abu Bakar Yaakob babi berkenaan mungkin diperolehi daripada ladang ternakan yang terdapat di Banting atau Semenyih.
"Babi hutan ini mungkin yang dipelihara di ladang itu. Mungkin saja, kita tak tahu betul atau tidak," katanya yang mendapat maklumat berkenaan melalui laporan akhbar.
Ketika ditemui Malaysiakini di masjid tersebut hari ini, Abu Bakar bagaimanapun tidak dapat memastikan tarikh dan keluaran akhbar yang dimaksudkannya itu.
"
Babi hutan ini dibela untuk pasaran makanan eksotik," katanya lagi dan menambah terdapat beberapa restoran yang menyediakan hidangan daripada haiwan seperti itu di kawasan berkenaan.
Abu Bakar juga berkata pihak yang bertanggungjawab meletakkan kepala haiwan berkenaan di perkarangan masjid mungkin merancangnya dengan rapi kerana kegiatan mereka sukar dijejaki.
"Kita tengok kerja mereka ini sangat rapi, macam sudah dirancang. Di masjid (Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya) pun seperti itu juga.
"Setakat ini kita masih belum boleh agak siapa punya kerja sebenarnya," katanya lagi yang tidak mahu membuat sebarang tuduhan liar agar tidak mengganggu siasatan polis.
Selitkan nasihat pada majlis tazkirah
Ditanya mengenai pendekatan yang diambil bagi meredakan kebimbangan ahli kariah masjid berkenaan, beliau berkata akan menyelitkan nasihat dalam majlis tazkirah yang dianjurkan.
"Kita juga akan nasihatkan para penceramah agama di masjid ini supaya tidak menimbulkan prasangka atau tuduhan-tuduhan kepada mana-mana pihak atas kejadian yang berlaku," katanya lagi.
Sementara itu, seorang lagi imam masjid tersebut, Zulkifli Mohamad berkata masjid itu kini sedang mengambil langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Kita bertemu dengan pengarah JAWI semalam dan beliau memberi reaksi positif untuk tempatkan pengawal keselamatan di masjid ini.
"Pengawal ini untuk berkawal di waktu malam sahaja. Buat masa ini, polis juga beritahu akan tingkatkan rondaan di kawasan ini," katanya.
Kepala babi hutan mungkin sisa buruan
Sementara itu, seorang pemburu pula berkata kepala babi berkenaan juga mungkin diperolehi daripada sisa buruan.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Loo menjelaskan, walaupun pemburuan dan penjualan babi hutan memerlukan lesen, bahagian-bahagian badan binatang itu tidak sukar untuk diperolehi.
Tambahnya, yang berpengalaman memburu babi hutan selama 20 tahun, pemburu lazimnya membuang kepala, perut dan belulang selepas binatang itu ditembak.
Katanya, bahagian-bahagian yang tidak dikehendaki itu, biasanya dibiarkan di hutan untuk dijadikan makanan binatang liar lain, ataupun diletakkan di dalam beg plastik dan dibuang di kawasan berdekatan.
Tambahnya, lokasi pemburuan haiwan itu termasuk di Hulu Langat, Hulu Klang dan juga Puchong.
Babi peliharaan mudah dikenali
Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kin Hee berkata, babi hutan digunakan pada kes pencemaran masjid semalam mungkin kerana jika babi peliharaan digunakan ia mudah dikenali.
Beh menjelaskan babi dari satu-satu ladang itu boleh dikenal pasti melalui tanda yang dilekatkan di telinga binatang itu ketika ia berumur satu minggu.
(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123140)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment