Saturday, January 30, 2010

Tindakan mencemar di dua masjid cabar polis, gugat keselamatan negara: Tan Sri Musa

'Jangan main api'
Oleh Suhana Roslan
suhanaroslan@bharian.com.my

HISHAMMUDDIN pada sidang media di Masjid Jumhuriah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya, semalam. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Tindakan mencemar di dua masjid cabar polis, gugat keselamatan negara: Musa

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memberi amaran polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara dengan mencemarkan rumah ibadat.

"Jangan cuba bermain dengan api, saya tidak mahu keselamatan negara diganggu. Polis juga tidak mahu orang ramai atau mana-mana parti mencabar polis dengan memainkan isu sensitif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penemuan empat kepala babi hutan bersama sejumlah wang tunai di dua masjid di Jalan Klang Lama di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian di Masjid Al-Imam At-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, seorang jemaah, Sharif Shaari, 57, menemui satu bungkusan putih mengandungi dua kepala babi di kawasan letak kereta masjid berkenaan ketika hendak menunaikan solat Subuh, kira-kira jam 5.30 pagi.

Beberapa keping wang kertas RM1, RM5 dan RM10 berjumlah RM35 juga ditaburkan di sekeliling bungkusan itu.


MUSA meninjau tempat kepala babi ditemui di Masjid Al-Imam At-Tirmizi, Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur, semalam.

Kira-kira jam 5.45 pagi pula, bilal Masjid Jumhuriah Taman Datuk Harun menemui satu bungkusan mengandungi dua kepala babi bersama 30 keping wang kertas RM1 di pintu belakang masjid berkenaan.

Musa yang ditemui pemberita di Masjid Al-Imam, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai perbuatan khianat dan polis tidak menolak kemungkinan dua kejadian itu dilakukan individu atau kumpulan sama.

Beliau berkata, ini berdasarkan persamaan modus operandi yang digunakan dalam kedua-dua kejadian itu.

Musa berkata, beliau sudah mengarahkan polis melakukan pemeriksaan segera di semua restoran dan kedai makanan eksotik di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan kes itu.

"Pemeriksaan itu memastikan sama ada kepala babi hutan itu dibawa dari premis berkenaan atau tidak," katanya.

Musa juga menasihatkan ahli jawatankuasa masjid dan orang ramai bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya salurkan maklumat yang ada bagi membantu polis menahan pihak terbabit.

"Kita bersikap adil dan tidak kira kumpulan mana dilaporkan, akan ditangkap dan dikenakan tindakan seperti kes kebakaran gereja, baru-baru ini yang hampir selesai," katanya.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20100128042128/Article/)

No comments: