Saturday, April 24, 2010
'Tenang, fikir dengan waras, pangkah calon yang anda suka'
'Tenang, fikir dengan waras, pangkah calon yang anda suka'
TENGAH HARI semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof dihujani dengan panggilan daripada beberapa pemberita akhbar Cina.
Pertanyaan kepada Abd. Aziz berkisar kepada calon Barisan Nasional (BN), P.Kamalanathan yang didakwa sebagai 'pengundi hantu' di Sungai Siput, Perak.
Namun dijawab dengan tenang oleh beliau, 'apa salahnya'.
"Syarat menjadi calon ialah dia mesti tinggal di mana-mana negeri (warganegara Malaysia), berusia lebih 21 tahun, siuman dan tidak bankrap. Maka dibolehkan dari segi undang-undang untuk menjadi calon pilihan raya kerusi Parlimen.
"Sama seperti Datuk Zaid Ibrahim (calon PKR), mungkin beliau mengundi di Kota Bharu, tinggal di Kuala Lumpur tetapi menjadi calon di Hulu Selangor. Lantas saya bertanya balik kepada pemberita (akhbar Cina) tadi, seperti anda yang tinggal di Kuala Lumpur tetapi mengundi di Pulau Pinang mengikut daftar pengundi yang disahkan oleh kami (SPR), anda dibolehkan juga," katanya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam.
Bagi Abd. Aziz, pertanyaan-pertanyaan tadi adalah baik untuk mencari jawapan terhadap kekeliruan yang timbul. Ia juga memperlihatkan keprihatinan dan minat mendalam terhadap proses demokrasi pilihan raya di negara ini.
Sebab itu, Abd. Aziz merasakan adalah suatu kerugian yang amat besar bagi seseorang yang sudahpun tersenarai dalam Daftar Pemilih P.94 Hulu Selangor jika tidak keluar mengundi esok. Katanya, individu yang berdaftar secara sah bukan sahaja mempunyai hak untuk memilih wakil rakyat dari parti yang disukai mereka tetapi lebih dari itu, beruntung daripada mereka yang ingin sangat berbuat demikian (mengundi).
"Seperti mana yang kita tahu, proses untuk mengesahkan seseorang individu sebagai calon pilihan raya mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk berada dalam daftar pemilih. Anda tidak boleh kata hari ini mendaftar, esok dipanggil satu pilihan raya kecil, anda segera boleh memilih wakil rakyat. Itu salah.
"Pengundi Hulu Selangor bertuah kerana mendapat peluang ini Ahad ini," katanya.
Menurut Abd. Aziz lagi, pengundi Hulu Selangor perlu mengambil peluang untuk menunaikan tanggungjawab kerana ia mungkin hanya datang sekali seumur hidup sebelum mandat kerajaan berakhir 2013.
"Ini kerana sesuatu pilihan raya kecil tidak boleh diadakan lagi jika berlaku kekosongan di luar jangka termasuk kematian wakil rakyat selepas April 2011.
"Ini kerana pilihan raya kecil tidak boleh diadakan sebelum dua tahun tempoh hayat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen," katanya.
Tempoh tiga tahun sebelum tempoh hayat itu mula dikira bermula sidang pertama Parlimen ke-12 yang bermula pada 30 April 2008. Ini bermakna mandat kerajaan dijadual berakhir pada 30 April 2013 meskipun berdasarkan sejarah pilihan raya negara, pembubaran Parlimen tidak pernah genap lima tahun pentadbiran parti pemerintah.
"Sebab itu, saya katakan tadi inilah (pengundian Ahad esok) saat terbaik anda (pengundi).
"Masuk ke tempat mengundi, segalanya rahsia, tidak ada orang yang akan kacau.
"Jangan ikut perasaan, tenang, fikir dengan waras dan pangkahlah calon yang anda suka," kata Abd. Aziz mengingatkan pengundi jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada orang yang tidak dikenali.
Untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, SPR membuka 136 saluran mengundi di 47 pusat mengundi.
Mengikut rekod SPR, sehingga akhir tahun lalu sejumlah 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih.
Dari jumlah itu, 65 peratus adalah bumiputera.
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_20.htm)
zmsegamat kata: ramai yang mengidam sekarang ni... "bila lah akan ada PRK di tempat mereka"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment