Saturday, April 24, 2010

Kemenangan Kamalanathan tentukan kelangsungan politik masyarakat India

Kemenangan Kamalanathan tentukan kelangsungan politik masyarakat India
Oleh B Anbumani

2010/04/24
"KALAU masyarakat India nak memainkan peranan dan pengaruh dalam politik negara kita terutama sekali MIC, maka semua warga negara Malaysia keturunan India mesti sokong calon kita. Mereka tak banyak kerusi," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara ikhlas dan jujur.

Kenyataan itu perlu dilihat, dinilai dan dipandang serius oleh masyarakat India di Hulu Selangor demi kepentingan 1.8 juta masyarakat India di negara kita. Beliau memberi kepercayaan kepada calon India, P Kamalanathan untuk mewakili MIC/BN bagi memperkasakan lagi suara masyarakat India di negara ini dan juga Parlimen.
Masyarakat India di Hulu Selangor perlu sedar bahawa Najib begitu komited untuk menyatupadukan masyarakat India selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Pakatan pembangkang lebih gemar bermain politik ala ‘budaya kecincaian’. Misi mereka hanya satu, mahu ‘memperalatkan’ masyarakat India untuk kepentingan politik mereka. Masyarakat India perlu menyokong calon BN daripada MIC, Kamalanathan bagi memastikan mereka mempunyai pengaruh kuat dan suara lantang dalam arena politik negara yang kini dilihat sebagai mencabar. Imej dan penjenamaan semula MIC dimulakan di Hulu Selangor.

Seperti dituntut pelbagai pihak termasuk mengambil kira suara akar umbi, MIC menamakan calon muda, bersih, berdedikasi dan berdisiplin seperti Kamalanathan demi memperjuang dan membela nasib masyarakat Malaysia dalam konteks 1Malaysia.

Hakikatnya, MIC sudah bertindak seperti ‘berani kerana benar’ dalam isu pemilihan calon kali ini. Walaupun Presidennya Datuk Seri S Samy Vellu mengakui kesilapannya menamakan timbalannya, Datuk G Palanivel sebagai calon BN awal lagi, beliau tidak tunduk kepada tekanan untuk melepaskan kerusi itu. Beliau berjaya mempertahankan kerusi Hulu Selangor untuk terus diwakili MIC sejak 1986.

Seperti kata Perdana Menteri ‘kita bagi peluang kepada MIC kerana kalau kita nak kira majoriti, tak ada satu pun kerusi Parlimen yang keturunan India ada majoriti. Jadi sampai bila mereka ada peluang untuk wakil Parlimen? Sampai kiamat pun tak ada wakil.’
MIC hanya menang tiga kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri pada 2008. Namun kerajaan BN tetap melantik wakil MIC, Datuk Dr S Subramaniam sebagai Menteri Sumber Manusia mewakili suara masyarakat India dalam Kabinet. MIC turut diperuntukkan dua jawatan Timbalan Menteri dan tiga jawatan Exco di kerajaan Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Malah kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas pembangunan Kabinet mengenai masyarakat India yang dipengerusikan Perdana Menteri. Baru-baru ini, Kabinet juga menubuhkan jawatankuasa khas pemantau masyarakat India.

Dalam tempoh setahun ini, Najib mengambil pelbagai pendekatan mendekati masyarakat India secara rela, tulus dan lurus hati. Penduduk India di Hulu Selangor begitu selesa apabila ditanya mengenai prestasi Najib sebagai Perdana Menteri. “Beliau amat terbaik sekali. Beliau adalah Perdana Menteri kami,” kata seorang pengundi India di kawasan Kalumpang.

Pada PRU 2008, Palanivel dilaporkan berjaya menarik 51 peratus undi masyarakat India. Berdasarkan kajian penulis di kawasan masyarakat India, pengundi lama masih bersama MIC dan BN. Kata mereka kemenangan calon MIC amat penting demi survival masyarakat India di luar bandar.

Dalam tempoh kurang 24 jam lagi, jentera Pemuda, Puteri dan Wanita MIC perlu melipatgandakan usaha untuk menawan hati pengundi generasi muda yang dikatakan terpengaruh dengan budaya emosional yang cuba dipaparkan pakatan pembangkang.

“Kami bukan India yang cepat lupa… kami tetap ingat jasa dan pengorbanan Palanivel di kawasan ini. Mungkin perubahan masa menuntut pembaharuan dan kami yakin dengan penampilan calon muda dan berwawasan seperti Kamalanathan memberikan imej baik kepada MIC dan BN.

“Saya amat menyayangi MIC dan BN. Janganlah kita bertindak seperti kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” kata pengundi di Kerling.

Rata-rata masyarakat India yang ditemui tidak terlepas daripada menyebut nama Samy Vellu. Mereka masih menghormatinya sebagai pemimpin yang disegani. Namun, mereka berpandangan masanya sudah berlalu dan berharap kemenangan MIC di Hulu Selangor menjadi ‘hadiah istimewa’ kepada Samy Vellu sebelum beliau bersara.

Mereka turut mengakui kerja kuat Samy Vellu untuk membantu masyarakat India walaupun dirinya sering menjadi sasaran selepas 2008. Mereka berharap MIC dapat menampilkan calon berwibawa pada peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional. Mereka tidak mahu pemimpin cawangan menjadi pemimpin kosmetik dan berperangai seperti one man show.

Kata mereka, MIC perlu mengutamakan kualiti bukannya kuantiti. Bilangan cawangan yang banyak tidak mencerminkan kekuatan sebenar parti itu pada peringkat bahagian. Di sebalik cakap-cakap itu, bekas penyokong Hindraf dikatakan sudah mula kembali menyokong kepemimpinan Perdana Menteri atas beberapa dasar.

Pertubuhan Hindraf dikatakan gagal membalas jasa dan budi baik masyarakat India setelah gerakan itu ‘berkecai’ dalam tempoh dua tahun. Di sebalik insiden itu, masyarakat India terhutang budi kepada Najib yang membebaskan lima pemimpin Hindraf seperti diharapkan mereka.

Masyarakat India di Hulu Selangor langsung tidak mengenali Zaid (calon PKR) dan kurang serasi dengannya. Mereka yakin kebolehan Kamalanathan sebagai seorang insan biasa tanpa kedudukan tinggi dapat ‘merakyatkan Parlimen Hulu Selangor’ sekiranya terpilih nanti.

Masyarakat India perlu keluar daripada permailan politik pihak pembangkang di Hulu Selangor ketika ini.

Selepas dua tahun menghilangkan diri, mereka menjanjikan bulan dan bintang ketika PKR dilanda krisis dalaman paling teruk. Kuasa di tangan anda, tetapi jangan tersilap langkah seperti 2008.

Penulis ialah perunding media dan pemerhati politik

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KemenanganKamalanathantentukankelangsunganpolitikmasyarakatIndia/Article)

1 comment:

ISAC said...

Salam ziarah,

Mohon linkkan dengan blog kawan; http://bumiyang.blogspot.com/