Thursday, April 1, 2010

Luahan hati YB Yap, sanggup jual misainya demi rakyat


Cuit: Luahan hati YB Yap, sanggup jual misainya demi rakyat

KELMARIN saya berkesempatan bertemu dengan seorang sahabat baik yang sudah lama tidak bertemu. Beliau ialah seorang bekas wakil rakyat. Dikenali ramai sebagai wakil rakyat berjiwa rakyat. Seorang keturunan Hakka yang saban hari berada di kedai-kedai kopi, atau kopitiam dalam istilah Cina, untuk bersembang dan mendengar hati nurani rakyat.

Nama beliau ialah Datuk Yap Pian Hon, bekas Ahli Parlimen Serdang.

Cina di Serdang rata-ratanya berketurunan Hakka. Kopitiam Hakka amat terkenal di situ.

Sehingga kini beliau masih berkhidmat untuk rakyat di Serdang. Masih ada pusat perkhidmatan rakyat. Rakyat Serdang masih menganggap beliau sebagai wakil rakyat mereka, walaupun bukan lagi.

Siapa yang tidak kenal dengan YB Yap. Mula menjadi ADUN Serdang ketika berusia lewat 20-an pada tahun 1969. Kekal selama lima penggal sehingga 1995. Dari 1995-2008 sebagai Ahli Parlimen Serdang. Pada pilihan raya tsunami 2008 beliau tidak dipilih untuk bertanding. Mungkin jika bertanding, beliau akan menang.

Sekarang Serdang dipegang oleh DAP.

Berusia 66 tahun. Sehingga setahun lalu Yap dikenali sebagai ''wakil rakyat misai''. Misainya memang mahal, kerana dengan misai itu, ditambah dengan rambut sikat atas dan berkaca mata, beliau nampak tampan.

Sehinggalah dalam satu perhimpunan amal masyarakat Cina tahun lalu, beliau dan misainya menerima cabaran. ''Jika kamu sanggup cukur misai itu, kita akan lelong dan bagi duit kepada kamu."

''Saya kata kepada mereka saya setuju terima cabaran itu," tegas Yap.

Akhirnya misai beliau dilelong dengan harga RM100,000. ''Dengan wang itu dan RM100,000 lagi derma yang dikutip saya beli kerusi roda, beras dan keperluan lain untuk rakyat miskin di kawasan saya."

''Saya berikan kepada orang Melayu, orang Cina dan India." Sehingga kelmarin, katanya ''sudah setahun saya tidak simpan misai lagi."

Katanya, beliau terpaksa 'menjual' misainya kerana sudah tiada peruntukan. ''Selangor sekarang di bawah pembangkang, saya pun bukan wakil rakyat lagi jadi saya terpaksa menjualnya untuk mendapatkan sedikit peruntukan."

''Apabila saya memerlukan lagi wang kutipan kebajikan itu, saya akan menyimpan misai lagi." Tapi itu mungkin tidak 'laku' lagi kerana misai itu dulu ialah identitinya. Kini beliau sudah tiada identiti lagi.

Itulah Datuk Yap, seorang pemimpin yang sanggup turun padang sehingga ke hari ini untuk mendengar rungutan rakyat. Melihat sungai-sungai dalam kawasannya yang kotor, hanyir, banjir atau meninjau longkang-longkang tersumbat. Serta melawat rakyat daif di setinggan dan rumah-rumah flat yang memerlukan bantuan.

Pagi semalam semasa menaip tulisan ini saya sempat menelefon beliau untuk bertanyakan sesuatu. Tiga kali baru diangkat panggilan itu. Rupa-rupanya dari suara di belakang kedengaran suara-suara kuat orang ramai. Yap berada dalam sesi dialog dengan rakyat.

Itulah rutin Yap. Beliau asyik dengan rakyat, walaupun bukan lagi YB.

Namun dalam keramahan beliau bercakap, yang tidak putus-putus itu, Yap ada menyimpan perasaannya. Begini luahannya kepada saya.

''Saya sedih kerana tiga kaum terbesar kita masih belum dapat bersatu. Orang Cina dengan Cina mereka, orang Melayu dengan puak mereka dan begitu juga dengan orang India.

''Kita sudah 50 tahun merdeka, saya mahu sangat melihat kita semua bersatu-padu."

Kita, komponen BN harus sering bertemu. Jika dulu kita amat jarang berjumpa mungkin kerana sudah terlalu selesa - kita kuat, kita rasa tak boleh kalah - tapi kini lain. Kita kena bertemu sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, bukan empat tahun sekali!

Pertemuan itu harus berlangsung di semua peringkat - dari bawah hingga ke atas - supaya semua masalah, perasaan yang terpendam dan apa sahaja dapat diselesaikan demi rakyat, tegas Yap.

Dari raut mukanya, bekas Ketua Pemuda MCA, Naib Presiden MCA tiga penggal dan Exco Selangor dua penggal itu, ikhlas. Bersungguh-sungguh beliau membangkitkan isu itu.

''Saya sedih apabila disebut sahaja orang Islam, maka orang Cina akan kata itu orang Melayu, walaupun ramai juga orang Cina atau orang India di negara ini adalah Islam.

''Saya benar-benar tidak faham. Di mana silapnya apabila orang Cina mengatakan Islam itu Melayu," katanya yang merujuk kepada Dr. Ridzwan Tee Abdullah yang turut berada dalam pertemuan itu.

Ridzwan Tee hanya bersenyum. Orang Cina menganggap Ridwzan Tee ialah orang Melayu kerana dia masuk Islam.

Mungkinkah sistem kita yang sudah terlalu 'selesa' ini yang harus dipersalahkan? Sampai begitu sekalikah tanggapan orang Cina Malaysia mengenai Islam, sedangkan Islam itu ialah agama sejagat yang mempunyai sekitar 1.8 bilion umat.

Apakah peranan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)? Namanya pun telah menggambarkan yang ia harus memberi kefahaman kepada orang ramai. Tapi daripada apa yang kita (saya) nampak, ia lebih banyak menganjurkan forum-forum, seminar-seminar besar yang terlalu tinggi sifat wacananya, membabitkan pula dengan orang-orang luar.

Benarkah begitu IKIM? Apakah pegawai-pegawai penyelidiknya hanya tahu menulis dalam akhbar-akhbar sahaja. Mengapa tidak diadakan majlis-majlis dialog di kampung-kampung baru Cina atau di estet-estet India? Sensitif sangatkah?

Daripada apa yang diluahkan oleh YB Yap, kita tahu ia datang dari hati yang ikhlas.

Ia datangnya dari bekas YB yang dekat dengan rakyat. Ia datang dari wakil rakyat yang pernah menang di kawasan Melayu. Mungkin YB lain tidak peduli - kerana banyak buat hal lain - tapi bagi Yap, orang lama dan hardcore BN ini adalah lain dari yang lain.

Melihatkan gelagat Yap, teringat saya dengan bekas YB, Lee Lam Thye (kini Tan Sri).

Dulu, beliau macam itu juga. Sanggup mengangkut typewriternya ke pejabat Utusan di Jalan Chan Sow Lin dekat Sungai Besi untuk menulis kenyataan akhbar mengenai rakyat di kawasannya di Bukit Bintang.

Walaupun beliau ahli DAP ketika itu, beliau tidak pula memboikot Utusan sebagaimana generasi Lim Guan Eng sekarang. Hanya orang bodoh saja yang memboikot akhbar. Utusan bagi YB Lee ketika itu ialah rumah keduanya.

Begitu juga dengan YB Yap, saya mengenalinya kira-kira 20 tahun lalu, ketika sama-sama membuat liputan rakyat bersama-sama beliau.

Utusanlah tempat pertama yang dilawati YB Yap sebaik sahaja beliau memenangi kerusi Ketua Pemuda MCA dulu (1987-90).

''Saya berdialog dengan Zam (Tan Sri Zainuddin Maidin - Ketua Pengarang ketika itu) dan minta Utusan turut memperjuangkan nasib orang miskin Cina. Orang Melayu ingat orang Cina semuanya kaya."

Hari ini, walaupun Yap kini bukan lagi YB di atas kertas, hatinya sudah terlalu matang. Beliau mahu melihat perpaduan rakyat Malaysia lebih jitu lagi.

1Malaysialah jawapannya dan itulah solusinya.

Jika 50 tahun kita gagal dalam soal penyatuan ini, apakah kita mahu gagal 50 tahun lagi?

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm&arc=hive)

No comments: