Wednesday, April 7, 2010

Pemimpin jangan jadi "buta" terhadap kehendak pasaran.



Pemimpin jangan jadi "buta" terhadap kehendak pasaran.


Pemimpin-pemimpin politik kini perlu menyedari bahawa pendekatan politik pada masa kini telah berubah sepenuhnya.

Jika dahulu, rakyat akan menyokong sesebuah parti tanpa mengira siapapun calon yang diletakkan sewaktu berlakunya pilihanraya, kini senario tersebut nampaknya telah berubah.

Trend pemasaran politik kini bukan hanya sekadar bergantung kepada keputusan pemimpin tertinggi dan juga lambang parti semata-mata.

Kehendak politik kini lebih menjurus kepada kemahuan dan apa yang dituntut oleh rakyat setempat.
Di Bagan Pinang contohnya, TS Isa telah berjaya memonopoli undi di pilihanraya kecil kawasan tersebut hanya setelah kehendak masyarakat setempat yang mahukan beliau menjadi calon di penuhi.

Kemenangan TS Isa di pilihanraya kecil Bagan Pinang harus diambil pengajaran bahawa betapa pentingnya pemasaran politik yang bertepatan dengan kehendak masyarakat.

Harus diingat, penduduk setempat yang bertanggung jawab mengundi calon yang bertanding.

Jadi apa gunanya calon yang dipilih bagi mewakili kerajaan di satu-satu pilihanraya hanya dibuat semata-mata untuk memuaskan hati dan menjaga kepentingan sesetengah pihak sahaja?

Apakah berbaloi jika kehendak masyarakat setempat diketepikan hanya bagi memberi laluan kepada kemahuan sesetengah pemimpin?

Sepatutnya pihak yang bertanggung jawab menentukan calon pilihanraya seharusnya turun "kebawah" untuk mendengar sendiri siapa yang dimahukan oleh majoriti rakyat kawasan tersebut seperti yang dilakukan oleh TPM TS Muhyidin di Bagan Pinang.

Kita seharusnya meneliti kehendak pasaran bagi memastikan jualan kita diterima dan juga laris dikalangan pelanggan yang disasarkan.

Politik kini lebih kepada memenuhi permintaan yang wujud didalam masyarakat.

Apabila seseorang pemimpin tak mampu memenuhi tuntutan yang dimahukan di peringkat akar umbi, nescaya dia tak akan dapat menguasai pasaran politik yang sedia ada.

Oleh itu, walau apa sekalipun keputusan yang diambil oleh pemimpin atasan, suara masyarakat setempat tidak harus diketepikan sama sekali. Ini kerana setiap undi hanya bergantung kepada mereka.

Kita hanya mampu menyediakan calon yang difikirkan yang terbaik, tetapi ditangan merekalah sebenarnya terletak setiap keputusan.

(sumber;http://www.azalina.net/2010/04/pemimpin-jangan-jadi-buta-terhadap-kehendak-pasaran.html)

No comments: