Monday, April 5, 2010
Teka-teki siapa calon BN di Hulu Selangor
Teka-teki siapa calon BN di Hulu Selangor
Teka-teki siapa akan menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini kini menjadi tumpuan masyarakat akar umbi di kawasan itu.
Ia menjadi topik hangat sejak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kekosongan kerusi itu ekoran kematian penyandangnnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR akibat barah otak pada 25 Mac lepas.
Pilihan raya umum Mac 2008 menyaksikan Zainal Abidin menewaskan Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel, yang mewakili kawasan itu sejak 1990, dengan majoriti 198 undi - satu keputusan mengejutkan kerana kesemua tiga DUN dalam kawasan parlimen Hulu Selangor iaitu Ulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baharu, dimenangi oleh BN, lapor Bernama.
Persoalannya kini berkisar sama ada MIC akan terus bertanding di situ, dan jika ini berlaku, siapakah tokoh MIC yang akan mewakili BN di situ?
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan pengerusi BN dilaporkan berkata kerusi parlimen itu kemungkinan dikekalkan kepada MIC.
Semalam, Muhyiddin berkata calon BN akan diumumkan pada 15 April ini, dua hari sebelum penamaan calon.
Bagi Palanivel sendiri, beliau optimis status quo itu akan dikekalkan.
"Ini kerusi MIC lagipun ini kerusi campuran, sepatutnya tiada perubahan," katanya ketika ditemui di Batang Kali Jumaat lepas.
Hampir 53 peratus atau 34,020 daripada 64,500 pemilih berdaftar adalah pengundi Melayu manakala kaum Cina dan India masing-masing terdiri 16,964 pengundi (26.3 peratus) dan 12,453 pengundi (19.3 peratus).
Perdana Menteri. Datuk Seri Najib Tun Razak ketika turun ke Kuala Kubu Baharu Sabtu lepas berkata beliau perlu berunding dengan banyak termasuk Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berhubung pemilihan calon itu.
"Banyak nama yang layak tetapi presiden hanya calonkan Palanivel sebab beliau lama jadi wakil rakyat di sini," kata seorang pemimpin akar umbi MIC yang enggan namanya disiarkan.
Palanivel, yang juga bekas wartawan, merupakan pengerusi MIC Selangor dan ketua MIC bahagian Hulu Selangor.
Selain Palanivel, nama lain yang disebut-sebut ialah naib pengerusi MIC Hulu Selangor K Balasundram, setiausaha agung MIC S Murugesan, ketua Pemuda MIC bahagian itu V Mugilan, ahli jawatankuasa MIC Hulu Selangor, K Arunasalam, ketua penerangan MIC kebangsaan P Kamalanathan dan bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam.
Mugilan dan Subramaniam dikatakan calon popular kerana kedua-duanya merupakan anak tempatan, masing-masing berasal dari Ladang Kerling dan Ladang Lima Belas, Hulu Selangor.
Apa yang pasti, seperti kata Muhyiddin, individu yang terpilih adalah terjemahan "denyut nadi" rakyat di kawasan itu bagi memastikan kerusi itu kembali ke tangan BN.
Sentimen sama disuarakan timbalan pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar di Batang Kali baru-baru ini dengan berkata: "Dalam perjuangan perlu ada satu suara, siapa dipilih adalah calon BN dan perlu disokong sebulat suara."
Sementara itu, 54 pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan persekutuan (JKKP) yang sebahagian besarnya ketua Umno cawangan di Hulu Selangor, telah menghantar memorandum kepada perdana menteri, mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.
Memorandum tersebut telah diserahkan oleh naib ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Adnan Buyong.
Penghantaran memorandum tersebut dilihat sebagai langkah serius dan bersungguh-sungguh Umno bahagian untuk mendapatkan kembali kerusi tersebut yang kini ditandingi oleh calon MIC.
(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/128345)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment