Friday, April 30, 2010

Patuhi peraturan di Selangor


Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat bilik makmal dan beramah mesra bersama pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin selepas majlis perasmian sekolah tersebut, semalam.


Patuhi peraturan di Selangor

SEGALA puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, bersyukur beta ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, beta dapat bersama-sama dengan rakyat beta di dalam majlis perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja, Klang pada pagi ini.

Beta amat gembira kerana pada pagi yang berbahagia ini beta berpeluang merasmikan sebuah sekolah menengah agama tinggi yang telah menzahirkan hasrat dan menjunjung cita-cita nenda beta iaitu Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah, Sultan Selangor yang ketujuh, yang mahukan pendidikan agama Islam diperkembangkan dan institusi pengajian tinggi Islam ditubuhkan bagi keperluan pendidikan masyarakat Islam di negara ini.

Beta rasa amat berbangga dengan terbinanya bangunan sekolah ini yang menempatkan anak-anak Islam bagi mengikuti sistem pendidikan Islam di negeri Selangor. Beta mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Persekutuan yang telah membantu pembangunan sekolah-sekolah aliran agama Islam di negeri Selangor ini dengan membiayai pembinaan dan penyelenggaraan bangunan sekolah, penempatan dan gaji guru-guru serta geran pengurusan pendidikan.

Bagi beta, sistem pendidikan Islam ini adalah warisan sistem pendidikan yang perlu dipertahankan dan dipertingkatkan ke arah memenuhi hasrat negeri dan negara pada masa depan. Beta percaya sekolah ini akan mengeluarkan pelajar-pelajar aliran agama Islam yang berdedikasi dan berhemah tinggi bagi memartabatkan lagi agama Islam dan beta juga percaya pelajar-pelajar lepasan sekolah ini kelak akan memenuhi permintaan institusi pengajian tinggi Islam yang terdapat di negara ini.

Beta juga bersyukur kepada Allah SWT kerana sistem pendidikan Islam berkembang dengan amat baik di negeri Selangor ini. Beta sentiasa maklum mengenai perkembangan ini melalui pendaftaran Sekolah-sekolah Agama Menengah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Beta dapati banyak faedah telah dinikmati oleh sekolah-sekolah berkenaan. Pengurusan dan pentadbiran sekolah-sekolah ini semakin mantap, guru-guru telah menikmati peluang perjawatan, bantuan-bantuan pembangunan kurikulum dan ko-kurikulum berjalan lancar serta program-program pembangunan murid semakin baik.

Beta ingin mengingatkan agar kerjasama ini diperkukuhkan lagi antara JAIS dan Kementerian Pelajaran. Apa sahaja program yang dilaksanakan mestilah tidak menghilangkan identiti, nilai, budaya dan sejarah sekolah-sekolah ini. Kurukulum Pendidikan Islam JAIS (Sukatan Al Azhar) juga perlu dipelihara dan diperkemaskan.

Kita sedia maklum, bahawa Jabatan Agama Islam Selangor adalah bertanggungjawab mengendalikan Hal Ehwal Islam di negeri Selangor. Program dan aktiviti yang disediakan kepada masyarakat Islam adalah bertujuan untuk menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat. Program Pendidikan Islam adalah salah satu aktiviti JAIS ke arah mencapai cita-cita ini.

Beta percaya, melalui pendidikan Islam yang kukuh, ia akan mampu melahirkan generasi Islam yang teguh akidahnya, benar ibadahnya dan sejahtera akhlaknya..

Mereka inilah nanti yang akan memimpin dan membentuk sebuah masyarakat yang beridentitikan Islam. Masyarakat sebeginilah yang akan dapat memajukan negeri Selangor, bukan sekadar maju pada nilai materialnya tetapi juga maju dari segi rohani dan jasmani serta nilai kemanusiaannya.

Sekolah merupakan institusi terbaik bagi melahirkan modal insan yang berakhlak. Oleh hal yang demikian sekolah perlu menjadi pusat bagi menghasilkan insan yang terbaik untuk dimanfaatkan oleh ummah. Golongan guru di sekolah-sekolah perlu menyumbang ilmu dan pengalaman mereka untuk mengajar, mendidik dan membimbing murid-murid menjadi Muslim yang berakhlak mulia.

Guru-guru tidak wajar merasakan tugas mereka telah selesai apabila telah tamat waktu di sekolah. Fahamilah bahawa murid-murid di luar sekolah akan berdepan dengan krisis identiti, personaliti, budaya dan kerjaya. Sekiranya mereka gagal mengurus diri mereka, mungkin ramai yang akan hanyut dibawa arus pembangunan tanpa mempunyai pegangan hidup yang tertentu. Mereka ini akan menjadi manusia yang hidup tanpa pegangan dan objektif.

Sehubungan dengan itu, beta berpendapat bahawa kerjasama dengan ibu bapa wajar terus dipertingkatkan dan menjadikan sekolah milik bersama masyarakat. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlu lebih aktif bersama dengan pihak sekolah bagi menjayakan aktiviti-aktiviti pembangunan akhlak di kalangan murid.

Penglibatan komuniti masyarakat perlu ditingkatkan agar masalah gejala sosial dapat ditangani bersama. Beta berharap semua pihak akan saling bekerjasama menjayakan usaha murni ini.

Beta yakin bahawa al-Quran yang dibaca dan dihayati serta solat yang didirikan dengan penuh kefahaman akan melahirkan murid yang berjaya berasaskan Islam dan tabah dalam mengharungi cabaran global. Dengan menguasai al-Quran dan memahami solat, ia akan menjadi benteng yang paling kukuh dalam mengharungi cabaran hidup remaja. Beta berpandangan bahawa untuk menjadi masyarakat Islam yang maju, seseorang itu hendaklah menguasai ilmu duniawi dan ilmu akhirat secara seimbang.

Kita mesti menerima hakikat bahawa kemajuan dunia pada hari ini adalah amat ketara jika dibandingkan dengan masa lalu. Dalam era globalisasi, dunia semakin canggih dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan teknologi yang membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain dengan begitu cepat. Selain daripada itu, sumber maklumat dan komunikasi yang lebih berkesan boleh disalurkan ke seluruh pelosok dunia dengan lebih pantas.

Justeru, beta berkenan pihak-pihak yang bertanggungjawab haruslah mengambil berat tentang perkara ini dengan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar sekolah aliran agama, agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan dunia pada masa ini.

Oleh yang demikian, pihak kementerian dan juga JAIS perlulah mengkaji sukatan pendidikan sekolah agama ini supaya jangan hanya menumpukan kepada ajaran agama sahaja tetapi hendaklah juga memasukkan sukatan pendidikan sains dan matematik, sejarah negara kita dan lain-lain. Dengan yang demikian sekolah aliran agama akan dapat mengeluarkan murid-murid yang cemerlang dalam bidang agama Islam dan juga ilmu keduniaan.

Beta benar-benar berharap supaya generasi masyarakat Islam pada masa yang akan datang menjadi sebuah masyarakat yang berpendidikan tinggi, seimbang di antara dunia dan akhirat serta mempunyai cita-cita insan yang cemerlang.

Beta sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini bertanggungjawab untuk memastikan bahawa sistem pendidikan Islam di negeri Selangor ini berkembang dengan baik dan umat Islam mendapat pendidikan yang sempurna serta memastikan bahawa umat Islam di negeri ini bersatu padu dan tidak berpecah belah.

Rakyat beta yang beta kasihi, di sini beta ingin mengambil kesempatan untuk memberikan penjelasan terhadap titah beta supaya tidak menggunakan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat untuk berpolitik kerana ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah beta tersebut dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah.

Beta ingin menjelaskan kepada rakyat beta semua bahawa titah larangan penggunaan masjid dan surau di Selangor sebagai tempat untuk berpolitik adalah bertujuan untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadat orang Islam. Ini adalah kerana masjid dan surau merupakan tempat di mana umat Islam berkumpul bagi melakukan amal ibadat di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Sekiranya masjid dan surau dibiarkan untuk digunakan sebagai pentas kempen politik adalah dikhuatiri ia akan disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melakukan perbuatan yang boleh mencemar kesucian masjid seperti caci-mencaci, fitnah memfitnah, tohmahan yang tidak berasas, memburukkan keperibadian seseorang dan sebagainya.

Sekiranya keadaan ini tidak dibendung dan dihalang, ia akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan di kalangan masyarakat Islam di negeri Selangor ini.

Keadaan ini berbeza di zaman Rasulullah SAW, di mana Baginda berceramah di masjid untuk menyedarkan dan menyeru umat Islam supaya mengukuhkan perpaduan kerana pada ketika itu umat Islam diancam dan diserang oleh musuh-musuhnya.

Di masjid tempat yang paling sesuai untuk mereka berlindung dan Rasulullah SAW memberikan semangat untuk umat Islam mempertahankan agama Islam yang maha suci ini.

Nabi Muhammad SAW tidak menyebarkan fitnah atau menghina orang lain di dalam masjid sebagaimana yang berlaku sekarang ini. Baginda juga menggunakan masjid untuk menyedarkan umat Islam pada masa itu kerana di masjid tempat umat Islam berkumpul untuk beribadat dan menguatkan silaturahim.

Justeru, adalah tidak munasabah bagi membandingkan peranan Rasulullah SAW menggunakan masjid untuk berpolitik dengan keadaan sekarang yang mana ahli-ahli politik mengambil kesempatan untuk menggunakan masjid sebagai platform untuk menyebarkan agenda politik mereka.

Pada zaman Rasulullah juga tidak ada kemudahan-kemudahan lain untuk berceramah kecuali masjid berbanding zaman sekarang di mana terdapat tempat-tempat yang sesuai untuk berceramah mengenai politik seperti stadium, balai raya, pusat konvensyen dan dewan serbaguna. Berceramahlah di tempat-tempat tersebut dan jangan menggunakan masjid sebagai tempat untuk berceramah politik.

Rakyat beta juga harus maklum bahawa beta tidak menghalang rakyat dari negeri-negeri lain di Malaysia ini datang ke negeri Selangor untuk bermastautin atau mencari rezeki. Walau bagaimanapun mereka yang datang ke negeri Selangor ini hendaklah mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ada di negeri Selangor.

Mereka yang datang ini tidak seharusnya mempertikaikan peraturan dan undang-undang yang telah dibuat. Peraturan dan undang-undang ini diwujudkan untuk keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor yang beta kasihi. Jika seorang itu tidak bersetuju dengan peraturan yang telah ditetapkan di Selangor ini, maka hendaklah beliau mengelakkan diri daripada datang ke negeri Selangor.

Akhirnya, beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada JAIS yang terus menjayakan usaha meningkatkan kualiti pendidikan Islam di negeri Selangor.

Beta akan terus menyokong segala usaha menjadikan Selangor sebagai model pelaksanaan Pendidikan Islam di Malaysia. Sebagai ketua agama Islam di negeri ini, beta mengharapkan agar agama Islam dipelihara dan dipertingkatkan daripada segi dasar dan pelaksanaan.

Beta berkenan untuk melihat Islam menjadi amalan bagi masyarakat Islam di negeri ini. Ini sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan. Beta percaya ia bermula dengan pendidikan yang dilaksanakan di semua sekolah JAIS.

Dengan lafaz "Bismillahir rahmanir rahim" beta merasmikan Sekolah Agama Menengah Tinggi Jalan Kota Raja Klang ini dengan nama Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)

No comments: