Friday, April 30, 2010

Ezam Mohd Noor 2010 : Ke Mana Khairy Selepas Ini?


April 29, 2010
Ezam Mohd Noor 2010 : Ke Mana Khairy Selepas Ini?
(petikan dari blog azli shukri)

KUALA LUMPUR 28 April - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor adalah antara empat individu yang akan dilantik sebagai ahli Dewan Negara. Ezam yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan mengenai berita pelantikannya sebagai senator itu tetapi enggan mengulas lanjut.

"Ya, benar Alhamdulillah. Cuma saya akan buat kenyataan hanya selepas majlis angkat sumpah nanti. Sekarang masih di Jakarta, bertugas,'' katanya ketika dihubungi di sini malam ini. Beliau juga Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan, turut akan dilantik sebagai senator ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pagoh, Noriah Mahat. Mereka akan mengangkat sumpah jawatan untuk tempoh tiga tahun di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Isnin ini. Bagi Palanivel, ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia. Pelantikan itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor. Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga disebut-sebut akan diberi jawatan dalam kerajaan. Sementara itu, Setiausaha Dewan Negara, Datuk Zamani Sulaiman yang dihubungi malam ini juga mengesahkan pelantikan itu tetapi enggan mengulas lanjut.


Ulasan Saya

1. Terdapat beberapa pandangan dalam soal ini - antaranya, ada dalam kalangan sebahagian besar ahli UMNO yang tidak berapa selesa dengan bekas ahli-ahli PKR yang kembali ke pangkuan UMNO. Menurut golongan ini - bekas ahli-ahli PKR inilah yang dahulu sangat ganas membelasah dan memburuk-burukan UMNO, malah, mereka juga dicop sebagai penderhaka kepada UMNO, sehingga UMNO dilihat begitu jijik serta kotor dalam kalangan rakyat jelata. Dan sekarang, ramai dalam kalangan ahli UMNO akar umbi yang tidak berpuas hati atas layanan yang diberikan kepada mantan pemimpin-pemimpin PKR, khususnya Ezam Mohd Nor.


2. Persoalan kedua - terdapat juga tanda-tanya dalam kalangan ahli UMNO akar umbi berhubung soal, perlukah UMNO diperkukuhkan dengan cara mengutip kembali ahli-ahli PKR yang sudah kembali ke pangkal jalan - bagi tujuan melondeh dan membuka pekung Anwar Ibrahim dan saki-baki kuncu-kuncunya? Menurut golongan ini - mereka bertanya, apakah UMNO tiada kekuatan sendiri? Sehingga terpaksa menggunakan bekas ahli-ahli PKR untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada UMNO? Apakah UMNO tidak mempunyai cukup pemidato dan penceramahnya bagi mendapatkan semula sokongan rakyat? Golongan ini, tidak mahu UMNO dilihat seolah-olah terpaksa mengambil "orang luar" dan mengenepikan "orang sendiri" bagi mengukuhkan parti.


3. Persoalan ketiga ialah - apakah Ezam Mohd Nor akan diberi tempat dalam barisan kepimpinan DS Najid pada masa akan datang? Baik dalam kabinet, mahupun dalam parti. Dan tidak mustahil Ezam akan dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Pusat, sekaligus memegang potfolio seorang menteri. Apakah sejarah Anwar Ibrahim yang di bawa masuk oleh Dr Mahathir akan berulang?


4. Persoalan keempat - Kembalinya Ezam ke pangkuan UMNO dan dengan restu DS Najib - maka UMNO sudah mempunyai seorang pengucapan awam yang hampir setanding dengan Anwar Ibrahim - soalnya, ke mana Khairy Jamaluddin selepas ini? Apakah ini merupakan mesej daripada DS Najid bahawa Khairy telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ketua Pemuda UMNO? Dan apakah kumpulan pengucapan awam Pemuda UMNO yang dibentuk oleh Khairy telah gagal dengan fungsinya? Sehingga kita terpaksa mengambil Ezam bagi menyaingi kehebatan oreta Anwar Ibrahim?


5. Sememangnya, secara jujur kita akui Pemuda UMNO di bawah Khairy sangat lemah keadaanya. Tidak menonjol dan tidak ada banyak perubahan. Malah, jika di banding dengan dengan Dewan Pemuda PAS - mereka kelihatan lebih ke hadapan. Dan kehadiran Ezam dalam pentas arus perdana - setelah beliau dinobatkan sebagai senator - akan membawanya kembali ke tengah gelanggang politik, sekali gus menjadi pahlawan baharu UMNO di barisan hadapan, khususnya dalam PRU ke-13 kelak. Kehadirannya, mungkin tidak memberi apa-apa persaingan kepada Khairy dalam tempoh yang singkat - namun demikian, untuk tempoh yang panjang, ia bisa sahaja menjadi duri dalam daging kepada mana-mana pemimpin muda UMNO yang mempunyai sejarah hasad dengki dan iri hati.


6 Tetapi - bagi saya, secara berterus-terang dan jujur - saya mengalu-alukan Ezam kembali cergas ke barisan hadapan - bagi mempertahankan UMNO, andaikata tugas ini telah gagal dilakukan oleh Pemuda UMNO Malaysia secara berkesan. Malah, saya juga secara jujur mahu melihat kepimpinan Pemuda UMNO Malaysia mempunyai persaingan yang sihat, dan ahli-ahli pemuda UMNO diberi kebebasan dalam memilih ketuanya yang berkualiti dan bukan liabiliti.


7. Ezam - pada saya merupakan aset baharu UMNO dalam usaha menggempur barisan pertahanan utama Anwar Ibrahim. Malah - andaikata DS Najid melantiknya sebagai menteri penuh sekali pun - saya fikir ahli-ahli UMNO akar umbi tidaklah perlu gelisah dan beralih arah. Sekurang-kurangnya - UMNO semakin bertambah dengan kepimpinan yang berkualiti.


8. Saya tidak tahu sejauh mana hubungan Ezam dengan Khairy - tetapi, setidak-tidaknya kemunculan Ezam di Parlimen, tetap akan memberi persaingan kepada Ketua Pemuda UMNO itu. Dan sesunggunhnya - untuk masa yang akan datang, persaingan yang sihat harus ada dalam memilih dan menentukan pucuk pimpinan parti.


9. Kita juga sedar - terdapat pemimpin-pemimpin UMNO yang kurang senang dengan kehadiran semula Ezam di pentas politik UMNO. Namun demikian, DS Najid tidak berupaya memuaskan hati semua ahli UMNO, bersyukur dan berfikiran terbuka, amat dituntut pada masa kini.


10. Saya percaya Ezam boleh pergi lebih jauh dalam hierarki kepimpinan UMNO pada masa akan datang. Dalam usianya yang masih muda -43 tahun- dan dengan sokongan DS Najid - tidak mustahil beliau kembali menjadi ikon golongan muda di dalam UMNO, apatah lagi dengan kelebihan pengucapan awamnya yang hebat, bertenaga dan pengalaman politiknya dalam UMNO dan PKR - menjadikan masa depan politik Ezam serba mungkin - Bahkan, jangan terkejut beliau mungkin mampu mendaki tangga Naib Presiden pada satu hari nanti.


11. Nampaknya - ramai yang tidak sedar, kehadiran semula Ezam dalam politik UMNO - bakal menyaksikan landskap politik UMNO berubah ke fasa yang baharu. Jika dahulu rumah UMNO pernah dipenuhi dengan "orang-orang ABIM" bawaan Anwar Ibrahim, maka pada kali ini - untuk permulaan yang baru ini - rumah UMNO akan mula dipenuhi dengan kehadiran "bekas orang-orang PKR" bawaan Ezam Mohd Nor. Ia terpulang kepada kita - bagaimana mahu menafsirnya. Jika dahulu Anwar Ibrahim dikatakan anak emas Dr. Mahathir, kerana membawa beliau menyertai UMNO (sekaligus menguatkan UMNO untuk bersaing dengan PAS), maka tiba giliran DS Najid pula "mungkin" menjadikan Ezam sebagai anak emas yang baharu untuk UMNO melangkah lebih jauh.


12. Walau apa pun alasanya - Ezam tetap diperlukan demi melemahkan Anwar dan PKR - hanya itulah cara yang paling segera dan pantas untuk mengembalikan semula sokongan orang Melayu kepada UMNO - setelah kaum Cina membuktikan di Hulu Selangor tiada tanda-tanda bahawa mereka akan tetap bersama BN dalam PRU yang akan datang. Kini, fokus BN adalah sedaya upaya untuk mendapatkat sebanyak mungkin sokongan orang Melayu dan India, bagi mengimbangi undi kaum Cina yang semaki hari semakin menyebelahi PKR dan DAP. Dan Ezam - merupakan kunci saktinya!.


13. Untuk masa yang akan datang - yang timbul hanyalah - apakah jenis hubungan yang akan wujud antara Ezam dengan Khairy? Sebagai pesaing, pelengkap, atau musuh? Dan bagaimana pula hubungan Ezam dengan Mukhriz? - Semua persoalan ini akan menjawab ke mana kepimpinan muda dan para pelapis kepimpinan UMNO selepas ini.
Ditulis Oleh Muhammad Azli Shukri di 11:21 AM
Label: Corat-Coret

(sumber;http://azlishukri.blogspot.com/2010/04/ezam-mohd-noor-2010-ke-mana-khairy.html)

4 comments:

Anonymous said...

campak kj ke dalam jamban

Megat Alam Gempita said...

Betui tu bro...teman setuju bebenor.

Anonymous said...

salaam bro, ya betol tu. saya menjangkakan, adalah tak mustahil ezam bakal menduduki 1 daripada 3 naib presiden umno.

Anonymous said...

saya sokong 100% ezam. org macam ni adalah pejuang tegar. tak takut kena belasah. tak lari bila kena hambat dek polis. tak risau bila kena lock up. ezam berani naik pentas memenggal org lain dgn lidahnya tanpa takut pada isa. beliau tahu bila kena sumbat dalam maka hilanglah keseronokan dunia. tak ada makanan sedap, tak ada bini dan anak, tak ada tv, tak leh lepak2 dgn member.

kualiti mcm ni ada tak pada pemimpin umno hari ni?

hidup ezam....