Thursday, April 22, 2010
Hulu Selangor penentu masa depan MIC
Hulu Selangor penentu masa depan MIC
Oleh B Anbumani
2010/04/21
Kepemimpinan parti perlu raih kepercayaan masyarakat India bagi jamin kemenangan BN
PRESIDEN MIC, Datuk Seri S Samy Vellu kini berdepan tugas dan tanggungjawab paling kritikal yang cukup mencabar dalam karier politiknya sebelum hari membuang undi. Pertarungan di Hulu Selangor Ahad ini dilihat bakal menentukan masa depan parti itu dalam kancah politik negara supaya terus kekal relevan, gah dan berdaya saing.
Kata orang ‘malang tidak berbau’ begitulah nasib Samy Vellu , 74, yang terpaksa bergelut dan tercedera selepas terkena kawad duri ketika berjalan masuk ke pusat penamaan calon bagi menemani calon Barisan Nasional (BN) P Kamalanathan. Samy Vellu perlu mencari ‘formula baru’ memperbetulkan dan menebus kembali maruah MIC dalam pertarungan ibarat ‘kalah mati’ dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor kali ini. Sekiranya penamaan calon MIC menyaksikan pelbagai drama ‘kurang menyenangkan’ di kalangan ahli MIC dan BN, Samy Vellu dan pasukannya perlu berjuang untuk kebangkitan semula MIC.
MIC kini memerlukan seorang wakil rakyat untuk bersuara di Parlimen sebagai ‘back bencher’. Ini kerana tiga wakil MIC yang lain kini berada dalam Kabinet. Kejayaan Kamalanathan bukan sekadar menambahkan jumlah wakil rakyat BN di Parlimen, malah sudah pasti suara masyarakat India dan suara 1Malaysia dari Parlimen Hulu Selangor akan berkumandang di Dewan Rakyat setelah dua tahun ‘sunyi sepi.’
Calon MIC Kamalanathan berdepan orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim selepas dua calon bebas, Johan Mohd Diah dan V S Chandran, menarik diri. Ini adalah tamparan hebat kepada kumpulan tertentu yang cuba memecahkan undi masyarakat India dan Melayu.
Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC dilihat berupaya memberi saingan sengit kepada PKR, malah diyakini dapat merampas semula Parlimen Hulu Selangor kembali ke tangan MIC dan BN. Ini kerana Hulu Selangor bukan saja menjadi kubu kuat BN, malah sebuah Parlimen yang mencerminkan kekuatan MIC sebelum ini.
Seramai 63,000 pengundi Parlimen Hulu Selangor sudah bersedia untuk memilih wakil rakyat mereka. Rata-rata pengundi Hulu Selangor mahu melihat wajah baru. Mereka mahukan seorang pemimpin berwawasan, berjiwa rakyat, berhemah tinggi dan berfikiran positif. Mereka tidak mahu pemimpin yang bersikap seperti ‘kejap ada, kejap tak ada’ dan berperangai ‘cakap tak serupa bikin’.
Sekali lagi undi masyarakat India dikatakan akan menjadi ‘penentu’ kemenangan calon BN atau PKR kali ini. Sekiranya parti komponen BN termasuk Umno, MCA, PPP, Gerakan dan parti lain sedang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan calon BN, ahli-ahli MIC pula seharusnya menghargai setiap detik perjuangan mereka dan melipatgandakan usaha dengan penuh gigih, ikhlas dan jujur untuk melengkapkan kemenangan calonnya.
MIC perlu berkomunikasi secara dekat dengan masyarakat India. Hubungan dua hala yang akrab kaedah terbaik untuk mendekati mereka. Jangan hanya mengharapkan platform ceramah bagi mendapatkan undi. Pendekatan ala ‘men to men marking’ berupaya memperkasakan hubungan dengan masyarakat India di Hulu Selangor.
Seramai 2,634 pengundi India di Hulu Bernam, 4,008 di Kuala Kubu Bharu dan 5,800 di Batang Kali dijangka akan menjadi pertaruhan penting kali ini. Mereka tidak menentang BN, cuma mereka mengharapkan pemimpin MIC dan BN mendengar ‘bisikan hati’ mereka. Mereka bukannya mengharapkan projek besar.
Masyarakat India di Hulu Selangor mahu pemimpin MIC dan BN membantu dan bersama mereka menyelesaikan masalah seperti pembangunan sekolah Tamil, pembangunan kuil, masalah pendidikan, kebajikan, taraf hidup, kemiskinan dan juga masalah perumahan secara ikhlas dan jujur. Mereka mahu melihat wajah wakil rakyat mereka turun padang bukannya tunjuk muka dua tahun atau tiga tahun sekali.
Umpamanya tragedi penipuan pakatan pembangkang di Kampung Buah Pala memberikan impak cukup besar kepada mereka. Mereka juga sudah mula menilai prestasi Pakatan Rakyat di Hulu Selangor sejak dua tahun lalu. MIC juga perlu menerbitkan lebih banyak risalah dalam bahasa Tamil untuk menerangkan isu-isu semasa.
Mereka hampa kerana gerakan pertubuhan Hindraf berpecah dalam sekelip mata. Pasti pemimpin MIC sudah mendapat gambaran sebenar daripada pengundi India di Hulu Selangor sejak beberapa hari lalu. Inilah masa untuk bertindak dan menyatupadukan masyarakat India. Jangan sesekali menghampakan harapan dan perasaan mereka. Mulakanlah gelombang ‘penyatuan masyarakat India’ dari Hulu Selangor.
MIC juga perlu menghargai dan menyanjung tinggi peranan, sokongan dan kerjasama diberikan parti India lain khususnya Barisan Progresif India Malaysia (IPF), Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Makkal Sakthi dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) pimpinan Datuk Nallakaruppan. Bersatulah sebagai satu pasukan kuat demi membela nasib masyarakat India di negara ini.
“MIC yang diberi mandat oleh BN untuk bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor perlu memastikan kemenangan pada 25 April ini supaya ia kekal relevan dalam konteks nasional,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Amanat Perdana Menteri cukup tajam sekali bunyinya. Samy Vellu seorang tidak boleh mengubah masa depan MIC dan masyarakat India. Semua pemimpin di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan nasional perlu berganding bahu untuk menjayakan misi kemenangan BN dan MIC di Hulu Selangor. Ini bukan masa untuk cakap-cakap politik atau mengkritik antara satu sama lain.
“Ini bukan masa untuk menuding jari atau melepas dendam. Jika ahli MIC tidak menceritakan kelemahan calon MIC, saya yakin BN dan MIC akan menang kali ini.
Ini adalah periuk nasi anda. Janganlah mengenakan kaum sendiri. Jangan menghampakan harapan Perdana Menteri dan juga rakyat Malaysia,” kata seorang pemimpin Pemuda Umno dari Kota Raja dengan tegas kepada penulis.
Kebangkitan dan kejatuhan MIC berada di tangan ahli-ahlinya. Kembalikan zaman kegemilangan MIC dalam usaha untuk meraih semula keyakinan masyarakat India dan juga kaum lain di negara ini. Ini adalah masa untuk berjuang demi BN. Jangan lupa, sebarang kemungkinan boleh membawa padah
kepada MIC dan juga ahlinya.
Penulis ialah perunding media dan pemerhati politik
(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HuluSelangorpenentumasadepanMIC/Article)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment