Wednesday, July 15, 2009

Ulama, Pendakwah dan Budaya Cari Makan


Written by Zul Sakhtee
Tuesday, 14 July 2009 09:04

(Antara anak Melayu yang kini berlindung di sebuah gereja di Rawang setelah didiskriminasi kerana jangkitan HIV)

Tajuk ini bukan mencela atau menghina golongan yang tersenarai sebagai sabda nabi sebagai kumpulan yang perlu dihormati malah disifatkan nabi sebagai pewarisnya. Namun perkataan ulama terutamanya hari ini hanyalah satu gelaran ataupun panggilan yang dalam banyak keadaan si empunya panggilan ini langsung tidak memiliki keperibadian seorang ulama, kecuali mulut yang petah berkata-kata kerana mereka memiliki berbakul-bakul ilmu.

Ulama, pendakwah umpamanya kini telah pun menjadi golongan elit ataupun disindirkan sebagai golongan bangsawan Islam yang kedudukannya sangat tinggi bukan di atas tingkat kerusi atau pangkat tetapi seakan-akan bersila diatas timbunan diatas buku-buku dan kitab –kitab ilmuan mereka.

Bagi saya perkataan ulama hari ini tidak ubah seperti pergelaran Datuk yang bersepah dan lebih menyedihkan ulama hari ini menggunakan status quo piawaian Islam terhadap kemurniaan gelaran itu untuk kepentingan peribadi bagi permainan duniawi mereka dengan menjual segala pengetahuan dunia akhirat.

Saya tidak takut untuk mencela golongan ini malah sudah sampai masanya insan biasa seperti saya selaku umat Islam menuding jari ke batang hidung ulama supaya segera bermuhasabah, sedar diri dan paling penting kalau merasa diri tidak layak eloklah memakai gelaran Pak Lebai sahaja.

Apabila isu lapan pengidap HIV Melayu Islam terpaksa menumpang disebuah gereja di Rawang kerana ketiadaan tempat tinggal ia bukan isu baru tentang bagaimana gereja “tanpa sebarang prejudis saya tidak menggangap usaha ini sebagai satu taktik mengkristiankan orang Islam, tetapi sebagai nilai murni orang Kristian yang menyeru kepada kasih sayang dan kebaikan”.

Bagi organisasi gereja, peranan mereka turut membabitkan usaha membela golongan terbiar. Adalah tidak adil, sekiranya usaha kemanusiaan itu dianggap sebagai misi kristianiti, hanya kerana gereja turut menyediakan khidmat kemanusiaan kepada orang Islam yang tersisih dan terbiar.

Kita tidak boleh lagi menggunakan alasan Tok Kaduk: Sentiasa menyalahkan orang lain apabila kita gagal menjalankan tanggungjawab terhadap bangsa dan agama sendiri.

Kenapa ulama dan pendakwah yang saya bantai?

Kerana ulama adalah peneraju bagi gerakan ummah samada berorentasikan gerakan dakwah masjid, pertubuhan kebajikan atau apa jua bentuk peranan yang lebih dominan yang sepatutnya mereka mainkan sesuai dengan cabaran zaman yang tidak lagi memerlukan kelompok ulama elit yang lagaknya duduk di bilik mewah berkenderaan kelas A dan sentiasa sibuk ala-ala CEO agama.

Pengalaman Satu

Setahun yang lalu dengan biaya yang diberikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan saya menerbitkan sebuah dokumentari mengenai kisah seorang gadis AIDS yang sudah berada ditahap kronik dan dilaporkan oleh doktor mempunyai peluang hidup antara enam bulan ke dua tahun. Gadis ini adalah mangsa rogol ketika masih kanak-kanak dan kemudian tercampak ke Chow Kit lalu menjadi pelacur dan penagih dadah.

Enam tahun lalu, ketika ditanahan penjara, gadis ini disahkan HIV positif, dan mula menerima kesan kemerosotan kesihatan yang sangat mendadak. Ini menyebabkan dia mengalami radang paru-paru dan menghabiskan sebahagian besar waktunya dengan terbaring di kaki lima jalan.

Atas persetujuan AADK, gadis ini kami pilih sebagai watak utama dalam dokumentari khas yang ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri 2008 melalui Saluran Ria.

Tragedi gadis ini bukan sekadar penderitaan HIV, tetapi lebih menyedihkan enam tahun lalu, ketika mengalami masalah kesihatan dan ketiadaan biaya untuk mendapatkan bekalan ubat bagi penyakit HIV yang dideritainya gadis ini ditemui oleh sekumpulan pendakwah wanita beragama Kristian dan diberikan perlindungan disebuah gereja dengan peruntukan perubatan bagi merawat penyakitnya yang menjadi sangat kronik kerana beliau juga mengidap asma yang serius.

Akhirnya tanpa dipaksa dia mengaku kepada saya telah memeluk agama Kristian kerana amat terharu dengan kasih sayang, perhatian dan sokongan yang diberikan oleh pihak gereja ketika beliau melalui sisa – sisa kehidupan yang perit di penghujung hidupnya.

Waktu itu, penagih dadah dan pelacur dianggap jijik oleh masyarakat dan menjadi bertambah jijik dengan kempen-kempen dan pandangan sempit para ulama, yang menjual air liur dengan mencela golongan ini sebagai puak yang dilaknat Allah, dan apa yang mereka deritai sebagai pembalasan akibat dosa mereka.

Pandangan ulama dan pendakwah memberi pengaruh yang amat besar kepada masyarakat kerana mereka adalah jurupandu yang menentu bentuk mentaliti umat Islam terhadap sesuatu isu dan pengaruhnya menjadi lebih kuat apabila golongan ulama memberikan tafsiran menggunakan hukum agama tanpa menggunakan budi bicara, khemah dan hikmah serta nilai-nilai murni dalam Islam berhubung konsep keinsanan dan kemanusiaan.

Ketika pertemua awal gadis ini memberikan syarat: Dia hanya bersetuju kisahnya didokumentarikan sekiranya pihak produksi saya sanggup membantunya untuk kembali kepada Islam dan mengaturkan pertemuan dengan pihak yang bertanggungjawab (ulama dan pendakwah) untuk mengislamkan kembali dirinya.

Penerbit dokumentari ini menghubungi seorang ustaz yang amat-amat terkenal ditanahair dan mempunyai pengaruh yang sangat luar biasa dalam masyarakat. Kami menjelaskan hasrat produksi untuk meminta bantuan beliau mengislamkan kembali gadis yang sudah pun murtad ini namun usaha kami gagal kerana tiga pekara yang disyaratkan oleh ustaz itu yang pada saya sangat menjijikkan.

1. Bayaran enam ribu ringgit bagi kemunculan beliau di dalam dokumentari ini.
2. Produksi mesti menyediakan bilik hotel lima bintang berkelas suite untuk beliau dan keluarganya.
3. Membayar semula klim minyak dan tol untuk perjalanan beliau hadir di lokasi penggambaran.

Secara komersialnya, apa yang diminta oleh ustaz yang terkenal ini terutama dari segi kewangan adalah terlalu tinggi dan tidak mungkin mampu kami bayar bagi sebuah produksi berbajet kecil yang kami hasilkan semata-mata untuk menyedarkan masyarakat mengenai ribuan pelacur dan penagih wanita yang tersadai dijalanan menunggu kematian tanpa sebarang pembelaan.

Dalam keadaan waktu yang suntuk, penerbit program ini teringat akan Datuk Zainal Abidin Sakom, ahli politik dan aktif dalam kegiatan dakwah. Melalui notis enam jam, Datuk Zainal terus bersetuju, malah sangat teruja hingga kami dapat mendengar suaranya yang sebak di telefon, mengucapkan ribuan terima kasih kerana penerbitan kami memberikan beliau peluang untuk melaksanakan satu ibadat yang tidak pernah beliau lakukan seumur hidupnya.

Akhirnya Datuk Zainal hadir dan majlis berjaya dilakukan dimana hampir semua krew, pelacur dan penagih dadah wanita di sekitar Chow Kit dan serta jemaah surau turut sebak dan menitiskan airmata kerana peristiwa begini hampir tidak pernah disaksikan.

Datuk Zainal sendiri menangis dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi membolehkan gadis itu mendapatkan rawatan kerana ketika itu tahap asmanya sudah kronik.

Persoalan saya ialah apa kejadahnya ustaz popular itu, menuntut begitu banyak harta dunia untuk melaksanakan satu kewajiban dunia akhirat, yang sepatutnya menjadi tanggungjawab beliau melakukannya secara ikhlas?

Sampai sekarang timbul perasaan benci dan marah terhadap peristiwa itu, di mana saya langsung tidak dapat menerima hakikat seorang pendakwah yang sentiasa muncul di kaca tv dan hampir keseluruhan jadual hidupnya dipenuhi dengan programi ceramah dan koleksi vcd ceramah yang bertimbun laris di pasaran, tergamak mengenakan syarat yang demikian.

Pada saya, ini satu kesesatan yang melampau, seakan-akan ilmu yang ada padanya itu, satu aset komersial yang perlu dibayar, sekalipun terhadap mereka yang ingin menyerahkan diri kembali ke jalan Allah.

Pengalaman kedua

Anak saudara saya berjaya menjadi guru sandaran di sebuah sekolah rendah di Shah Alam. Dia baru sahaja lulus dari Universiti Utara Malaysia dan kebetulan tinggal di kampung, maka pengetahuan dan pengalamannya untuk mengendalikan satu program yang diamanahkan oleh pihak sekolah, terasa amat berat.

Satu hari, dia datang bantuan saya: Mencari nombor telefon seorang pendakwah yang tersohor.

Kisahnya begini, PIBG sekolah tersebut mula merasakan hubungan di antara guru dan ibu bapa pelajar berada di dalam keadaan amat renggang, malah sudah berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya. Justeru Jawatankuasa PIBG mengambil keputusan untuk menjemput seorang pendakwah tersohor bagi menarik kehadiran ibubapa sebagai kaedah mengakrabkan hubungan.

Topik ceramah dicadangkan menyentuh mengenai betapa pentingnya hubungan guru-guru dan ibubapa demi kebaikan murid-murid, terutama isu yang menyentuh prestasi pendidikan dan akhlak. Ceramah itu secara umumnya juga, diharap dapat menjadi satu pedoman atau tazkirah kepada semua yang hadir agar mengambil berat akan soal anak-anak, serta melihat makna tanggungjawab tersebut dari perspektif Islam.

Malah jawatankuasa sekolah itu turut bercadang untuk menaikan kain rentang, di sekitar kawasan perumahan berdekatan sekolah tersebut dengan harapan menjadikan kawasan sekolah bukan sekadar temapt untuk murid-murid tetapi setahun sekali mampu menjadi pusat kemasyarakatan melalui majlis-majlis dakwah ke arah penyatuan umat.

Saya segera memberikan nombor telefon seorang pendakwah terkenal untuk dihubungi dan saya percaya sekiranya kain rentang yang dicadangkan oleh pihak sekolah memaparkan wajah sang tokoh ini maka sudah tentu populariti dan rasa hormat masyarakat terhadap ketrampilan beliau yang selama ini memonopoli pelbagai program di hampir semua saluran tv tempatan akan mampu menarik ibu bapa, penduduk malah golongan muda bukan sahaja disekitar Shah Alam tetapi juga dari kawasan–kawasan berdekatan terutama Klang.

Al kisahnya begini, apabila anak sudaranya saya menghubungi sang tokoh yang memiliki ilmu agama yang kalau ditimbun boleh menjadi beratrus-ratus bakul banyaknya, dan jawabannya amat mengecewakan. Beliau meletakkan syarat lapan ribu ringgit untuk 90 minit sesi ceramah walaupun anak saudara saya memaklumkan pihak sekolah hanya memiliki bajet sekitar RM3 ribu hasil sumbangan tabung PIBG.

Maka sekali lagi anak saudara saya datang menemui saya untuk mendapatkan bantuan kedua. Yakni mencari dermawan untuk mendapatkan dana tambahan RM5 ribu untuk menampung kos bayaran kepada penceramah tersohor ini.

Saya terkedu dan tidak percaya tetapi itulah kenyataannya dan akhirnya apa yang dapat saya katakana hanyalah satu jawaban yang mudah. “Lupakanlah, kalaulah itu permintaannya majlis ini tidak mendapat barakah kerana yang diundang adalah seorang yang memperniagakan kalam-kalam Allah”.

Memandangkan sudah kesuntukan masa anak saudara saya memaklumkan bahawa penceramah itu ada mencadangkan beberapa nama penceramah yang lain yang sememangnya rate bayaran mereka sekitar RM4 ribu maka disebutlah anak saudara saya satu demi satu nama yang disenaraikan nama penceramah tersohor itu sekiranya pihak sekolah hanya mampu menyediakan dana sekitar RM 4 ribu adalah disebutkan empat lima nama yang sebahagiannya saya kenal dan sebagaiannya tidak pernah saya dengar namanya.

Namun yang jelas pada waktu itu nama-nama itu tidak lagi penting, kerana saya diserang tekanan perasaan yang luar biasa hingga keseluruhan tubuh saya menggigil dan menyebabkan anak saudara saya menjadi takut lalu segera pulang. Untuk pertama kali walaupun sudah 16 tahun berada di dalam dunia media massa saya mendengar kewujudan rate harga berdasarkan standard dan populariti seseorang pendakwah yang telah pun ditentukan di dalam pasaran semasa.

Pengalaman ketiga.

Hubungan baik dengan pihak AADK dilanjutkan lagi dengan penerbitan tiga siri dokumentari sempena persidangan wakil wakil Jabatan Agama Negeri mengenai dadah yang diadakan di sebuah hotel empat bintang di Kuala Lumpur, mengikut maklumat awal AADK terdapat 200 pegawai agama akan hadir pada seminar empat hari ini bagi mendengar pelbagai pembentangan kertas kerja dan berdialog secara langsung dengan aktivis anti dadah, bekas penagih dadah serta penagih yang sedang menagih.

Saya dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan ceramah pada sesi terakhir dan seterusnya menganjurkan program Tinjau Terus pada sebelah malam dengan membawa kumpulan pegawai agama dari seluruh Malaysia ini melawat secara langusng ke kawasan–kawasan panas yang menjadi destinasi pesakit HIV, pelacur HIV, gadis remaja yang terbabit dengan dadah sintetik, kanak-kanak bawah umur yang managih gam, kumpulan mat rempit yang menggunakan methaphetamin sebagai dadah rangsangan untuk meningkatkan keberanian mengayakan aksi maut ketika berlumba di jalanraya.

Berdasarkan networking saya kesemua permintaan AADK ini berjaya diatur dan saya menyediakan 10 destinasi hot spot bagi membolehkan para pegawai agama melihat sendiri lokasi , aktiviti penagihan malah menyediakan kumpulan penagih yang sanggup berdialog dengan pegawai agama di tepi jalanan secara tidak formal.

Matlamat saya, saya ingin memberi dimensi baru kepada kakitangan kerajaan dan dalam kontek ini. Mereka yang mengendaklikan pentadbiran berkaitan dengan Islam di negeri masing-masing untuk mendapat maklumat first hand dan melihat sendiri apa yang selama ini hanya mereka dengan atau tonton dikaca tv.

Malangnya barangkali kerana program ini dijalankan di hotel empat bintang berikutan bajet AADK yang gak meruncing atau mungkin kerana mentaliti pegawai-pegawai agama yang beranggapan seminar yang berkaitan dengan dadah tidak mempunyai kaitan dengan fungsi dan peranan Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing.

Jadi yang hadir hanya 74 orang. Dalam erti kata yang lain hanya 33 peratus, pihak AADK agak terperanjat kerana sebelum ini angka kehadiran 200 orang itu bukanlah anggaran tetapi adalah maklum balas yang difaks secara rasmi oleh Ketua-ketua Jabatan Agama dua minggu sebelum seminar ini diadakan.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa di dalam soal kehadiran tetapi saya mengerah 40 pengarah penerbit, jurukamera dan wartwan yang mempunyai networking yang akrab di kawasan-kawasan hot spot ini untuk merancang dan melaksanakan plan pertemuan Program Tinjau Terus ini dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun pihak AADK memaklumkan kami mereka tidak mempunyai bajet untuk sebarang bayaran melainkan memohon pihak produksi saya memberikan bantuan atas semangat kerjasama demi negara.

Pada saya sampai isu ini wang bukan soal utama tim produksi saya teruja kerana mereka sudah lama melihat lingkaran hidup golongan ini dan amat maklum betapa juahnya kelompok terbuang ini terasing dari masyarakat terutama hubungan dengan pegawai-pegawai agama.

Lapan kumpulan tim program Tinjau Terus dibentuk dengan 10 pegawai agama dalam setiap kumpulan, pegawai-pegawai atasan AADK menyertai setiap satu kumpulan kerana mereka bertanggungjawab terhadap laporan maklum balas bagi program yang pertama kali dianjurkan dalam bentuk di luar persidangan seminar.

Seorang pegawai agama wanita menangis apabila seorang pelacur menderita HIV merayu dia dan kawan-kawannya diberikan telekong dan meminta seorang guru agama dihantar kepada mereka untuk tempoh satu minggu untuk mengajar penagih ini bersolat keadan menjadi lebih sebak kerana seorang penagih wanita, mengatakan dia bersolat setiap kali merasa runcing atau tertekan.

Jadi kumpulan yang meninjau kawasan Chow Kit ini di bawa ke tempat di mana si pelacur ini bersolat tempatnya adalah ruang tamu sebuah rumah sewa yang didiami oleh golongan mak nyah yang mana ruang tamunya tempat beliau mendirikan ibadah terdapat meja yang penuh tersusun dengan patung-patung Budha.

Manakala kumpulan yang lain sempat bertemu dengan anak-anak pelacur yang bertaburan untuk menunggu bersama ibu mereka setelah selesai waktu melacur. Anak- anak ini tidak bersekolah dan tidak pernah dihantar ke kelas agama malah hanya tahu membaca dua kalimah syahadah sahaja. Seperti yang dirancang kumpulan-kumpulan lain sempat bertemu dengan kanak-kanak berusia 10-15 tahun yang menagih gam dikawasan Cheras dan ada yang bernasb baik berjaya menyelongkari kawasan semak dan bertemu dengan kelompok remaja wanita yang sedang menghisab syabu secara berkumpulan.

Hingga hari ini saya masih menanti apakah impak yang dibawa pulang oleh 74 pegawai agama yang hadir dan apakah seminar dan program Tinjau Terus ini memberikan mereka satu kesedaran baru apa yang sebenarnya berlaku dalam sebuah dunia yang selama ini terasing dari realiti perkerjaan mereka kecuali paparannya hanya mereka lihat dimedia massa.

Apa yang menyedihkan mereka yang hadir hanyalah pegawai-pegawai agama yang tidak mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu apabila pulang ke negeri masing-masing memandangkan kedudukan mereka dalam jabatan hanyalah bertaraf pegawai, yang menyedihkan 67 peratus peserta yang tidak hadir adalah ketua-ketua yang menjadi kumpulan pembuat dasar yang mungkin sekiranya hadir, mampu melakukan sesuatu berdasarkan bidang kuasa yang ada apabila mereka merangka semua tanggungjaawab Jabatan Agama sewajarnya turut membabitkan isu berkaitan dengan dadah, pelacuran, anak-anak terbiar dan paling penting pesakit HIV lelaki dan wanita yang bertebaran di jalanan.

Saya berterima kasih dengan pendedahan ustaz Amin mengenai nasib lapan pesakit HIV Islam lelaki yang terpaksa menumpang di gereja untuk mendapatkan sumber perubatan dan makanan. Untuk makluman, ini bukan kes terpencil tetapi hampir di semua gereja di seluruh negara melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan sejajar dengan kepercayaan mereka kepada agama Kristian dan saya mengingatkan semua pihak bahawa jangan sesekali menuduh program kemanusiaan ini dilakukan dengan agenda mengkristiankan orang Islam.

Saya mempunyai pengalaman bertemu dengan ratusan aktivis Kristian, Budhha, Hindu, Tao, Zhen malah Yahudi yang menjalankan pelbagai misi kemanusiaan membantu masyarakat Islam atas nama kemanusiaan.

Saya melihatnya di Acheh ketika Tsunami, saya melihatnya di Etopia dan Somalia dalam krisis kebuluran dan perang saudara, saya melihatnya di khemah-khemah Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan sepanjang enam tahun perjalanan saya sebagai wartawan ketika membuat liputan nasib umat Islam di garisan krisis.

Sekiranya anda ke Afghanistan, di sepanjang jalan anda akan melihat begitu banyak papan tanda yang membabitkkan projek bantuan makanan, perubatan dan tangki bekalan air, tandas malah pendidikan dilasanakan oleh pelbagai NGO daripada Itali, Perancis dan Amerika Syarikat. Di Etophia di Kabrebeya, Somalia kawasan yang menjadi tumpuan 9 juta penduduk yang kebuluran termasuk pelarian Somalia yang menyeberangi sempadan dan berlindung di Etopia tidak ada satu projek pun dibangunkan oleh gerakan Islam.

NGO Turki memonopoli program bekalan air bersih, Britain menyumbang ke arah kebersihan sistem perkumbuhan, Amerika membangunkan banyak program pertanian manakala Perancis memiliki lebih 100 orang doktor yang bertugas secara suka rela merawat penduduk Etophia yang kebuluran serta pelarian Somalia yang berlindung di tujuh kawasan utama dengan lebih 10 ribu khemah perlindungan.

11 hari berkelana dari Adis Ababa, ibu kota Ethopia yang didiaami lima juta penduduk yang hidup di kaki lima hingga ke Kabrebeya yang dipenuhi dengan kanak-kanak yang mengidap pelbagai penyakit terutama masalah cacing dan kekurangan vitamin malah hampir setiap hari ada sahaja kematian mangsa di bawah umur lima tahun tidak ada seorang pun pendakwah aktivis atau NGO Islam yang saya temui.

Ketika merentas Asia Tengah melihat umat Islam selepas 10 tahun kejatuhan Komunis isu utama di Uzbekistan, Khazastan dan Kyrgstan adalah ketiadaan guru agama serta kekurangan masjid malah untuk mendapatkan satu naskhah Al Quran bagi satu keluarga pun adalah satu yang mustahil.

Jadi pada saya ulama dan pendakwah di negara kita bukanlah bangsawan agama yang hidup dengan menggunakan status mereka untuk menipu dan memperkudakan masyarakat yang mempercayai dan menghormati mereka malah lebih daripada itu mereka juga golongan yang tidak memiliki golongan jiwa apa itu ertinya golongan insan sesame Islam di seluruh dunia.

Tulisan saya mungkin keras tetapi hanya kekerasanlah ilmu yang tidak sempat dipelajari oleh ulama kita. Mereka tenggelam dalam keangkuhan dan kemabukan hidup kerana gelaran ulama dan pendakwah telah menjadikan mereka tidak lebih daripada sang dewa-dewa.

Akhir sekali saya merayu kepada PM, semoga dalam bajet 2010 diperuntukkan dana khas untuk membeli cermin dan kemudian diagih-agihkan kepada semua ulama, pendakwah, ustaz dan uztazah pegawai-pegawai agama serta mereka ynag memakai pakaian Islam agar dapat berdiri di hadapan cermin dan melihat wajah mereka sendiri.

Dan suka saya ingatkan kepada orang ramai supaya tidak lagi merasa tertipu atau takut dengan kenyataan, ulama adalah pewaris nabi kerana sebenarnya hadis nabi yang merujuk kepada pekara tersebut telah didominasi oleh golongan tertentu untuk meletakkan kita di bawah telunjuk mereka.

Bagi saya untuk umat Islam sekarang perjuangan menyedarkan ulama, pendakwah dan mereka yang memakai pakaian Islam agar sedar akan tanggungjawab mereka agar berubah sikap utuk tidak mempergunakan Islam sebagai alat kepentingan diri – kini adalah jihad!

(sumber;http://www.malaysia-instinct.com/english/index.php?option=com_content&view=article&id=9027:ulama-pendakwah-dan-budaya-cari-makan&catid=51:berita-tempatan&Itemid=15)

No comments: