Saturday, July 25, 2009

Melayu boleh bersatu jika ada ancaman lain – Sanusi

Melayu boleh bersatu jika ada ancaman lain – Sanusi

Bekas tokoh UMNO, Tan Sri Sanusi Junid berpendapat orang Melayu tidak akan bersatu atas dasar parti sama ada antara UMNO dengan PAS sebaliknya boleh berbuat demikian atas ancaman lain.

Mengambil contoh ancaman Inggeris mahu menubuhkan Malay Union satu ketika dahulu, semua pihak katanya termasuk Raja-Raja Melayu serta ulama bersatu untuk menjaga maruah dan bangsa Melayu.

Malah menurut bekas Setiausaha Agung UMNO itu, selepas tragedi 13 Mei, PAS sanggup bersama-sama UMNO kerana khuatir ancaman kaum lain untuk mengambil alih negara ini.

Sedangkan sebelum itu kata beliau, PAS tidak mahu menyertai UMNO kerana menganggap parti itu seperti tong najis dan sesiapa yang sudah masuk ke dalamnya tidak akan bersih walaupun dicuci berkali-kali.

“PAS masuk (UMNO) bukan duduk dalam tong (najis) tapi duduk luar tong sebab nak sama-sama jaga negara ketika itu,” ujar Sanusi dalam Forum Bual Bicara UMNO anjuran Ibu Pejabat UMNO di ibu negara, malam Sabtu.

Lebih 100 tetamu hadir di forum bulanan yang dimoderatorkan oleh Profesor Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Sanusi mengimbau perbualannya dengan pemimpin utama PAS ketika itu, Abu Bakar Hamzah yang memberitahu beliau bahawa PAS tidak akan masuk UMNO sebab menganggap parti itu macam tong najis.

Menurut bekas menteri dan Menteri Besar Kedah itu, kekuatan orang Melayu dahulu juga disebabkan takut kehilangan kuasa, kepandaian dan sebagainya.

Sebab itu katanya, ada tindak tanduk kerajaan mahupun UMNO yang tidak dapat diterima akal tetapi dilaksanakan supaya orang Melayu mendapat pembelaan.

“Dulu kita takut terkebelakang dalam pelajaran. Pemuda UMNO tekankan supaya Melayu dapat kuota masuk universiti dan dapat biasisiswa,” katanya.

Katanya, kerajaan boleh buat begitu tanpa tentangan kaum lain kerana biasiswa swasta bebas diberikan kepada anak-anak mereka bagi menuntut pelajaran asalkan biasiswa kerajaan untuk pelajar Melayu.

Sanusi yang pernah keluar UMNO bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei tahun lalu berkata, selepas pilihanraya umum ke 12, nampak sikap orang Melayu sanggup menerima kekalahan tanpa rasa malu dan takut kehilangan apa yang ada sebelum ini.

“Melayu hari ini sudah boleh terima kekalahan…ini alamat Melayu akan hilang maruah dan hilang kekuatan,” jelas beliau.

Beliau turut merujuk sikap orang Melayu yang kini tidak lagi berani mempertahankan kedaulatan raja-raja, Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi.

“Dulu perkara-perkara inilah yang jadi wadah perjuangan menguatkan Melayu. Sekarang berapa ramai yang sanggup pertahankannya,” soal Sanusi.

Beliau mengaitkan perubahan ini dengan sikap ‘kecairan rasa Melayu’ dikalangan orang Melayu di negara ini.

Menyentuh mengenai UMNO pula, Sanusi mahu parti itu mesti jujur dan berani memberi penjelasan kepada semua orang termasuk ahli-ahli mengenai perjuangan sebenar UMNO.

Malah beliau mendakwa, ada kalangan meteri yang tidak tahu mana ekor atau kepala dalam UMNO selain pemimpin yang datang ke perhimpunan agung parti hanya ketika perasmian dan penutup sahaja.

Katanya, ibu pejabat UMNO perlu memanfaatkan tokoh dan pemimpin veteran UMNO untuk memberi penerangan dan menceritakan sejarah perjuangan parti bagi mengembalikan semangat ahli serta pemimpin.

Sanusi juga berpendapat, UMNO perlu memutuskan seseorang pemimpin itu sama ada mahu menjadi Ketua Bahagian, Wakil Rakyat atau ahli perniagaan apabila terbabit politik.

Katanya, penyakit ‘3 in 1’ perlu diatasi kerana mereka tidak boleh berjaya melakukan tiga perkara dalam satu masa yang akhirnya memberi kesan buruk kepada parti dan rakyat yang memilih mereka.-25/7/2009

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_ae0d6154-7f000010-9647)

1 comment:

Anonymous said...

Kalau Melayu di hina Islam pun di hina atau sebaliknya. Kita perlu membuat renungan sepenuhnya berlaku di Singapure apabila Melayu dari kaum majoriti ke kaum minority dan kedudukan terkini kaum Melayu 18% dan kaum India sudah melebihinya dengan memberi kerakyatan kepada pendatang India. Tujuan ini adalah untuk menghapuskan kekuatan Melayu secara sistematik