Sunday, July 5, 2009
PAS-DAP Kedah…puncanya bukan setakat tempat sembelih babi
PAS-DAP Kedah…puncanya bukan setakat tempat sembelih babi
Kerajaan PAS negeri Kedah bernasib baik cuma ada satu saja wakil rakyat DAP yakni Lee Guan Aik di kawasan Kota Darul Aman.Kalau bilangannya ramai seperti di Perak atau Selangor mungkin Datuk Seri Azizan Razak lebih tidak senang duduk dibuatnya.
Namun satu tidak semestinya ketegangan antara DAP Kedah dan kerajaan negeri yang berpunca dari keputusan merobohkan tempat penyembelihan babi di Kampung Berjaya di Alor Star boleh dianggap kecil.
Para pemimpin pakatan pembangkang tahu banyak mata yang sedang perhati apakah mereka dapat keluar dari sengketa ini secara baik-baik atau sebaliknya.
Isu yang besar di sini ialah mampukah gabungan parti pembangkang yang sentiasa beri cerita-cerita indah semasa kempen pilihanraya mampu terjemahkannya bila duduk dibawah satu bumbung.
Ini kerana setiap satu parti itu perlu tunjuk ia hero kepada para penyokong masing-masing apa lagi dalam tempoh berbulan madu baru berkuasa ini.
Apa yang pasti sekarang tempat penyembelihan babi di Kampung Berjaya yang beroperasi sejak 30 tahun lampau sudah dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Alor Star.
Tindakan itu mendapat sokongan penduduk setempat yang sudah tidak tahan lagi dengan baunya.
Tempat baru bagi pembinaan pusat penyembelihan itu di Pendang – jauh dari kawasan ramai penduduk sudah disediakan.
Soalnya apa lagi yang tak puashati?
Setelah buat bising mengenainya hingga mendorong DAP Kedah nak keluar dari kerajaan pakatan dan kemudiannya Lee Guan Aik Jumaat mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN bebas,nampaknya rasa tidak puashati mereka bukan setakat isu tempat penyembelihan babi itu saja.
Azizan sendiri selaku Menteri Besar dikejutkan pula dengan dakwaan Pengerusi DAP Kedah Thomas Su ada rancangan nak robohkan kuil Hindu dan Cina di ibunegeri Kedah itu.
Beliau bukan saja menafikan dakwaan DAP Kedah malah menyifatkan tindakan berkenaan sebagai sengaja ingin mencetuskan isu perkauman.
Semua orang tertunggu-tunggu apakah keputusan bakal dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat DAP mengenai ‘ pemberontakan’ DAP Kedah itu yang akan bermesyuarat minggu depan.
Ia akan menjadi penentu samaada DAP Pusat secara rasmi merestui tindak tanduk DAP Kedah.
Sehingga petang Sabtu belum nampak penghujungnya lagi.Ini bila mana Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang yang turun ke Alor Setar untuk kumpul maklumat mengenai isu itu seolah merestui tindakan DAP Kedah.
Selepas berbincang dengan DAP Kedah, katanya beliau kini lebih memahami dan mendapati bahawa DAP negeri mempunyai alasan tersendiri untuk keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.
"Isu penutupan tempat penyembelihan babi itu cuma salah satu sebab. Selain itu mereka juga mendakwa pandangan atau pendapat DAP di Kedah tidak diambil kira,”katanya pada sidang media bersama pimpinan DAP Kedah.
Menurut Kit Siang beliau sendiri akan berjumpa dengan Azizan untuk membincangkan tentang perkara itu secepat mungkin agar ia dapat diselesaikan diperingkat negeri.
Orang kuat DAP itu sendiri sudah dapat membuat jangkaan apa bakal berlaku kalau isu itu tidak selesai dengan baik.
"Kalau tak dapat selesai di peringkat negeri, seluruh Malaysia pun akan bertanya adakah pakatan boleh jadi pilihan yang kredibel," katanya.
Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan DAP Kedah untuk keluar dari Pakatan Pembangkang, Lim berkata "Sama ada saya setuju atau tidak, itu perkara lain".
Katanya, apa sahaja masalah yang timbul perlu diselesaikan dengan baik kerana ia bukan hanya melibatkan DAP dan PAS sebaliknya semua parti dalam pakatan.
Bukan rahsia lagi bahawa wujud semacam perang dingin antara DAP dengan PAS di Kedah bilamana Azizan tidak melantik wakil rakyat tunggal DAP negeri itu sebagai salah seorang Exco Kerajaan Negeri lepas pilihanraya umum Mac 2008.
Langkah itu dikatakan satu tindak balas bila kerjaaan negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng tidak melantik wakil rakyat tunggal PAS negeri itu sebagai Exco.
Hakikatnya memang ada banyak isu dalam kelambu antara kerajaan PAS Kedah dengan DAP negeri itu.
Kalau tidak mana mungkin Kit Siang boleh keluar cakap DAP Kedah juga mendakwa pandangan atau pendapat mereka tidak diambil kira.-5/7/2009
(sumber;http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam Ziarah,
dkt2 PRK ni mcm2 wayang ada. Tp klu bc Malaysiakini mmg dendam DAP psl quota rmh tu dah lama tggu nk meleptup sj.
Post a Comment