Wednesday, July 22, 2009

Tun Dr. Mahathir; KAKI DALAM KASUT

KAKI DALAM KASUT
By
Dr. Mahathir Mohamad
on July 20, 2009 5:58 PM

1. Di forum anjuran Gempita dan UMNO bertajuk Kedudukan Raja-Raja Melayu dan Orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia di Zaman Liberalisasi dan Globalisasi, saya ditanya oleh seorang pensyarah Melayu dari UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apakah saya pernah fikir untuk meletak diri saya di tempat orang bukan Melayu (put yourself in the shoes of a non-Malay) bersabit dengan diskriminasi terhadap mereka di negara ini.



2. Saya percaya penyoal berpendapat orang bukan Melayu berasa amat tertekan dan kecewa dengan "ketidakadilan" terhadap mereka di Malaysia (oleh Kerajaan yang dikuasai oleh orang Melayu).



3. Saya tidak tahu samada penyoal ini pernah bertanya kepada tokoh bukan Melayu soalan yang sama iaitu perasaan orang Melayu akan keadaan di negara nenek moyang mereka yang mereka sudah jadi kaum yang secara relatif termiskin dan masih ketinggalan.


4. Jika beliau bertanya dan tokoh tersebut menjawab secara ikhlas, beliau akan dapati bahawa orang Melayu amat kecewa dengan kemiskinan relatif mereka sehingga terpaksa meminta-minta sepanjang masa dan juga ketinggalan dalam pelbagai bidang.



5. Mereka cuba yakin mereka adalah tuan di negara mereka tetapi mereka tahu sebenarnya mereka bukan tuan. Orang bukan Melayu yang menjadi tuan yang sebenar.



6. Kerana mereka rela berkongsi negara mereka dengan kaum lain, kaum yang berasal dari tamadun yang lebih tua (4,000 tahun) dan lebih berjaya, hari ini yang sedikit yang ada pada mereka pun hendak dipisah dari mereka.



7. Fikirkan hanya berkenaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Agihan kekayaan korporat dalam DEB ialah sebanyak 30% bagi bumiputra (walaupun mereka adalah 60% dari penduduk) dan 40% bagi kaum lain serta 30% bagi orang luar. Tetapi setelah diusahakan selama 39 tahun bahagian yang terdapat bagi mereka ialah 20%, sedangkan yang terdapat bagi kaum lain ialah hampir 50%, walaupun mereka hanya 26% dari jumlah penduduk.



8. Nilai harta milik bumiputra pula berjumlah 15% sedangkan yang baki dimiliki oleh bukan bumiputra disebabkan harta di bandar bernilai lebih tinggi dari di luar bandar.



9. Tokoh bukan Melayu yang cuba duduki tempat Melayu (in the shoes of the Malays) jika ikhlas, akan rasa kekecewaan Melayu melihat hampir semua perniagaan dan perusahaan serta kekayaan yang diperolehi darinya dimiliki oleh bukan Melayu. Segala estet rumah mewah juga diduduki oleh bukan Melayu. Sikit benar orang Melayu yang tinggal di estat mewah ini. Lebih ramai yang tinggal di kawasan setinggan.



10. Mungkin semua ini disebabkan kesalahan orang Melayu sendiri. Mereka tidak guna peluang yang disediakan bagi mereka. Ada yang salahguna peluang-peluang ini pun. Tetapi jika seorang pengayuh beca diberi sejuta Ringgit, apakah ia akan dapat berniaga dan berjaya dalam bidang ini.



11. Social engineering bukan hanya dilakukan oleh orang Melayu sahaja. Sosialisme dan Komunisme juga merupakan sejenis social engineering untuk mengurang atau menghapus jurang antara yang miskin dengan yang kaya. Mereka juga tidak berjaya sepenuhnya walaupun mereka mengguna kekerasan yang dahsyat. DEB dilaksanakan dengan berhati-hati tanpa kekerasan, tanpa rampasan dan sering dipinda apabila menghadapi tentangan dari bukan Melayu. Apakah persepsi orang Melayu terhadap DEB?



12. Lihat sahaja sejarah perjuangan Melayu. Pada Pilihanraya 1955, diwaktu mereka menguasai 82% dari kawasan-kawasan pilihanraya, mereka rela memberi sejumlah yang tidak kecil dari kawasan - kawasan mereka kepada kaum lain dan mengundi calon dari kaum-kaum ini sehingga menang melawan calon Melayu lain (PAS).



13. Kemudian mereka anugerahkan satu juta kerakyatan tanpa syarat biasa kepada kaum lain sehingga peratusan rakyat Melayu jatuh dari 82% kepada 60%. Siapakah yang lain yang pernah lakukan yang sedemikian?



14. Pada ketika itu nama rasmi negara ialah Persekutuan Tanah Melayu. Apabila Semenanjung Tanah Melayu dicantum dengan Singapura, Sarawak dan Sabah, perkataan "Tanah Melayu" digugur dan cantuman negeri - negeri ini dinamakan Malaysia. Dengan itu hilanglah identiti Melayu dalam nama negara sendiri. Tidak pula mereka tuntut nama-nama lain digugur.



15. Tidak seperti di negara-negara yang membenar hanya bahasa kebangsaan mereka sahaja untuk semua sekolah nasional, orang Melayu bersetuju bahasa Cina dan Tamil dijadikan bahasa pengantar di sekolah bantuan Kerajaan. Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) tidak menjadi bahasa kebangsaan seperti di negara-negara jiran dan di Eropah, Australia dan Amerika.



16. Dan banyaklah lagi korban yang dibuat oleh orang Melayu supaya kaum lain mendapat apa sahaja yang dituntut oleh mereka, demi keamanan dan perpaduan rakyat dan negara.



17. Apakah gamaknya perasaan tokoh yang meletak diri di tempat orang Melayu, terhadap semua korban ini? Apakah dia masih fikir yang orang Melayu harus korban segala-gala yang dituntut daripada mereka?



18. Dengan rencana ini saya tetap akan di cap sebagai racist oleh racist bukan Melayu. Tetapi kalau mereka sanggup menerima yang benar, mereka boleh banding korban orang Melayu pemilik asal negara ini dengan korban mereka untuk kepentingan negara ini.



19. Saya berpendapat jika negara ini hendak aman dan maju, agihan kekayaan dan kualiti hidup semua kaum hendaklah adil (fair) walaupun tidak sama (unequal). Janganlah hendaknya mana-mana pihak atau kaum tanggung beban kemiskinan yang keterlaluan, sementara kaum lain hidup mewah. Mengumpan sokongan dengan mengambil hak satu kaum untuk diberi kepada kaum lain bukanlah caranya - lebih-lebih lagi mengambil dari yang kurang berada untuk diberi kepada yang sudah lebih berada.

(sumber;http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/07/kaki-dalam-kasut.html)

zmsegamat kata;

antara komen-komen yang senada ngan zmsegamat

By Manchibut on July 20, 2009 11:21 PM

Tun Dr Mahathir,

DEB lebih banyak manfaatkan bukan Melayu berbanding bahagian yang untungkan Melayu.
Gitupun, setelah hampir 40 tahun berjalan DEB masih tak mampu naikkan taraf Melayu. Dasarnya cukup mulia. Terbaik. Sepatutnya taraf Melayu dengan bukan Melayu sekarang sudah semakin rapat sekarang. Malangnya kita tetap duduk di takuk lama.
Sebab DEB gagal:

A. Sikap rakus sesetengah pemimpin negara sejak perebutan jawatan timbalan presiden UMNO 1981 sehinggalah masa kini. Lebih fikirkan kuasa, harta dan kemewahan sendiri. Tidak memperdulikan kepentingan negara dan Melayu itu sendiri. Sebahagian mereka rasuah, buat perangai hodoh.

B. Pegawai tinggi Melayu dalam kerajaan (sebahagiannya; di semua peringkat) yang jadi petualang kepada DEB dan berlaku khianat kepada Melayu sendiri dengan macam-macam salah laku: salah guna kuasa; rasuah; tidak amanah; sekat Melayu bangsanya sendiri dari naik untuk bisnes dan macam-macam lagi.

C. Sebahagian besar korporat-korporat Melayu yang cuma pentingkan diri tak mahu tolong anak bangsa sendiri setelah mereka diberi peluang dan berjaya. Mereka berbelanja besar, mewah, semua indah. Tapi bangsanya sendiri melarat. Ini golongan 'keparat'.

D. Lebih malang lagi mereka yang pegang tempat-tempat penting Melayu: Kompleks Kewangan, Tabung Haji, Risda, Felda, Mara dan macam-macam 'Lembaga' kerajaan yang lain - buat khianat kepada Melayu. Mereka selewengkan duit badan-badan ini dengan angka beratus juta RM. Tak ada tindakan diambil.

E. Kerajaan-kerajaan Negeri, Kerajaan-kerajaan Tempatan tidak beri cukup peluang Melayu berkembang, maju dalam dunia niaga dari dulu sampai sekarang. Di sana sini mereka cuma sediakan barisan kedai dan gerai-gerai makan saja untuk Melayu. Itu pun di tempat-tempat tersorok. Tempat-tempat baik khusus untuk bukan Melayu. Ini khianat namanya.

F. Pemimpin-pemimpin negeri yang bebal belanjakan peruntukan besar negeri masing-masing. Mereka belanjakan wang negeri untuk bina masjid-masjid megah di sana sini, macam-macam kompleks lagi (sehingga semuanya ditinggal terbiar, kosong). MALANGnya rakyat kampung terus dibiarkan miskin. Melarat.

G. Rasuah yang semakin menjadi-jadi sejak dulu sehingga sekarang, hatta hingga ke peringkat 'ketua kampung' yang tersorok di hulu pun sekarang dah pandai main rasuah. Memang malang.

H. Dan itu............. dan ini lagi........ yang teruk yang mesti kita betulkan sekarang juga.

Bukan Melayu dapat manfaat lebih dari DEB; alasannya:

A. Sebahagian besar projek mega dalam negara diberi kepada syarikat 'bumi'. Tapi kemudiannya, hampir semuanya di 'AliBaba'kan. Dari sebesar-besar bahan sehingga kepada sebatang paku yang kecil pun bukan Melayu yang bekalkan. Yang untung lebih adalah mereka. Tuan Melayu yang dapat kontrak cuma senang, sedap sekejap.

PENAWAR paling mujarrab untuk Melayu:

1. Sentiasa jaga 'amanah' bila pegang jawatan dalam kerajaan, swasta, politik atau apa saja.

2. Mesti ingat: Amanah tu adalah ;Tanggungjawab' = di dunia ni boleh 'tanggung' beres. Tapi lepas meninggal dan di Mahsyar nanti kena 'jawab'.

3. Memang betul duit yang kita 'sapu' tu bukan kotor atau bernajis. Tapi 'duit rasuah' tu tetap haram,sama haramnya macam kita makan darah, makan bangkai atau makan daging babi.



By suratkhabarlama on July 20, 2009 11:16 PM
Assalammualaikum Yang Amat Berbahagia Tun semoga di rahamati Allah sentiasa di dalam keadaan Sehat Walafiat, insyallah. Saya amat bersetuju dengan kata kata Tun itu (1-19) Saya rasa pensyarah Melayu dari UIA itu munkin muda dan jahil dari pengtahuan sejarah orang melayu dan Tanah Melayu itu sendiri. Munkin beliau ada agenda tersendiri dengan soalan sedemekian, terutamanya kepada Tun seolah olah Tun tidak sensetif kepada perasaan kaum lain, di Negara ini. Atau munkin beliau mahu mendengar daripada Tun sendiri, kenapa orang Melayu perlu di bantu, supaya beliau dapat memberi kefahaman kepad mahasiswa mahasiswi yang berbilang bangsa di UIA itu, wallahwaalam.Walaubagaimanapun saya berpendapat bahawa orang orang melayu perlu di bantu berterusan dengan DEB sehingga orang Melayu dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum kaum lain di Tanah Melayu ini Mereka harus faham apa yang di tulis oleh Tun walaupun mereka akan mengutuk dan mengata Tun racist.dll. The Government should continu helping the Malays without fear or favour.Orang Melayu tidak mahu di jadikan seperti orang orang native di Australia, Hawaii, Amerika syarikat, Fiji New zealand dan lain lain di mana orang orang native ini di pinggir , dengan tidak di beri pelajaran dan di tempatkan di tanah tanah khas 'reservation'.dengan menjadi tourist attraction sahaja manakala pendatang pendatang kuilt putih menjadi tuan kaya raya, duduk di rumah rumah mewah, berkereta besar, berjawatan besar dan tinggi, ekonomi di tangan mereka. Mahu kah orang orang Melayu di Negara sendiri menjadi seperti orang orang native di negara tersebut di atas. Mahukah orang melayu menjadi pengemis di negara sendiri, mahukah orang Melayu merempat di dalam negara sendiri. Dengan demekian wahai orang orang Melayu sedarlah ambillah ikrtibar daripada negara negara tersebut. Orang Melayu yang telah terpelajar dan menjadi kaya raya ,memegang jawatan tinggi dll bantu lah orang orang Melayu yang masih merempat di luar bandar. Kerajaan hendaklah terus membantu sehingga orang Melayu duduk sama taraf kaum kaum lain Kalau mereka ada 10,000 doktor Orang Melayu mesti ada 15,000 0agitu juga dengan lain lain professional, orang Melayu mesti pegang sekurang kurang nya 50% ekonomi negara, barulah DEB boleh di hapuskan. Sekian wasalammualikum


By vinnan on July 20, 2009 11:12 PM
Tun,
Salah siapa DEB gagal?. Siapa yang harus bertanggung-jawab diatas kegagalan ini. Orang bukan Melayu tidak boleh menanggung kegagalan DEB kerana perlaksanaan DEB adalah 100% dalam tangan jabatan dan institusi kerajaan yang rata-ratanya dalam tangan orang Melayu. Orang bukan Melayu bukan tidak mahu orang Melayu maju. Tetapi kami tidak mahu dipersalahkan diatas kegagalan DEB. Adakah keengganan kami untuk menangung kegagalan kerajaan pimpinan UMNO ini sesuatu yang orang Melayu sukar menerima. Adakah keengganan ini menyifatkan saya sebagai 'racist'.

By kam on July 20, 2009 9:40 PM
Salam Tun,
Saya memang amat bersetuju dengan pandangan Tun. Jika kita lihat di syarikat-syarikat yang di kuasai oleh kaum lain, jarang sekali kita dapati pegawai atasannya adalah orang Melayu. Tetapi jika syarikat itu adalah dimiliki oleh orang Melayu, senang sekali terdapat pegawai-paegawai atasannya di kuasai oleh kaum lain. Ini termasuk syarikat-syarikat GLC. Mungkin Chairman/MD atau CEO nya orang Melayu, tetapi barisan keduanya kemungkinan besar di pegang oleh kaum lain. Jelas ini menunjuk kaum Melayu adalah kaum yang suka "berkorban".

By Abang Aji on July 20, 2009 7:35 PM
Y.Bhg Tun,
Sesungguhnya amat benarlah apa yang dikatakan oleh Tun. Kita kena ada orang bukan melayu yang sanggup berada dalam keadaan orang Melayu untuk selami perasaan orang Melayu. Ambil sahaja contoh di Singapura. Tanah Milik Melayu yang terkenal dengan peristiwa dilanggar todak akhirnya hilang segala-galanya. Semua soal hidup selain dari yang telah ditetapkan oleh hukum terpaksa mengikut acuan pemerintah yang asalnya dari kaum pendatang. Akhirnya orang Melayu dilayan sedemikian rupa sehingga apabila mati pun terpaksa didirikan di dalam lift kerana lift yang sempit. Di Singapura, orang melayu ramai yang tingal di Flat-flat. Apabila meninggal dunia, jenazah mereka akan dimandikan di atas daun pintu bilik air di dapur dan kemudiannya di kafan dan dimasukkan di dalam beg kanvas. Disembahyangkan di ruang tamu ( oleh bilal yang memandikan dan mengafankan bersama keluarga jika ada) kemudian diusung ke lift dan didirikan atau paling kurang diserongkan kerana lift yang sempit dan di bawa ke kubur. Adakah pernah mana-mana pemimpin yang asalnya dari kaum pendatang mengambil kira adab melayu Islam menguruskan jenazah. Oleh kerana mengurus jenazah bersifat fardhu Kifayah, maka buat yang wajib yang sunat tak payah. Tanah Singapura asalnya milik kaum apa??
Tun telah memberikan butir-butir pemilikan harta. Mungkin juga saham-saham Amanah yang dikhaskan untuk bumiputera pun ada yang dimiliki oleh orang bukan melayu yang menggunakan kad pengenalan orang melayu dengan sedikit bayaran saguhati setiap kali mendapat dividen dan bonus.
Kekayaan negara seharusnya dibahagi secara adil. Yang ramai akan mendapat lebih walaupun hakikatnya setiap orang akan mendapat sedikit akibat bilangan yang ramai. Orang bukan melayu tidak perlu khuatir. Sebesar manapun peruntukan diberikan kepada orang Melayu, sebesar mana pun projek diberikan pada orang melayu maka ianya pasti mengalir kepada orang bukan melayu. Hatta jika seratus kontraktor melayu diberi kontrak membina 100 buah masjid yang berharga RM200 juta setiap satu, maka sudah pasti tidak kurang dari 40% dari jumlah tersebut akan mengalir kepada pembekal bahan binaan dan perkhidmatan yang dipunyai oleh bukan melayu. Hakikatnya jika orang melayu diberi RM200 juta untuk mencetak Al Quran sekali pun, maka sudah pasti pembekal kertas dan dakwat, pembekal mesin dan alatganti yang terdiri dari bukan melayu mendapat faedah. Bagaimana pula jika 100 kontraktor bukan melayu diberi kontrak membina 100 tokong dan kuil berharga RM1 juta setiap satu, maka berapa peratuskah yang akan mengalir kepada orang Melayu?
Inilah hakikatnya.


By yeop zarulAuthor Profile Page on July 20, 2009 11:00 PM

Askm Tun,

Saya juga amat terkejut dan hampa sebab orang yang bertanya soalan tersebut adalah melayu,Islam, pensyarah universiti, pensyarah di Universiti "Islam" Antarabangsa.

andaian saya:
Beliau telah terpengaruh dengan 'ekstremis' politik.

Impak dari pemikiran beliau sebegini adalah , Beliau tidak tidak akan mampu mengemudikan pemikiran pelajar melainkan kearah pemikiran 'kreatif ekstremis' sahaja,

Cadangan saya:
1. Pensyarah ini dihantar kepada pusat 'pemulihan' ektremis,(jika mahu mengekalkan jawatan beliau)
2. Pensyarah tersebut berhenti kerja dan masuk politik sepenuh masa.

Asas kepada apa yang saya cakap diatas adalah pensyarah tersebut telah gagal memahami anspirasi dan sejarah politik Malaysia.
Kedudukan jawatan beliau sekarang merupakan satu yang sangat berbahaya kepada masa depan negara Malaysia dan akan melahirkan lebih banyak lagi ekstemis bukan shaja berpaksikan kepada parti 'hak asasi' tetapi sudah tentu akan melahirkan 'ekstremis' parti yang berlawanan. itukah pendidik yang kita hendak?

No comments: