Awang tidak terkejut dengan reaksi keterlaluan media bukan Melayu dan pembangkang terhadap laporan muka depan Utusan Malaysia, Rabu lalu tentang seruan bangkitlah Melayu.
Gesaan beberapa pemimpin Melayu dan badan bukan kerajaan itu agar Melayu bangkit bersatu ternyata telah disalah tafsir dan digambarkan seolah-olah satu provokasi kepada kaum lain.
Laporan tersebut sebenarnya hanya berupa reaksi balas kepada banyak kenyataan dan tuntutan pihak-pihak tertentu kebelakangan ini termasuk dalam akhbar bahasa ibunda dan blog.
Ia mengajak orang Melayu kembali bersatu dalam konteks perpaduan Melayu adalah tonggak kestabilan semua kaum di negara ini. Salahkah kalau Melayu bersatu dan mengapa harus gundah kepada perpaduan Melayu?
Lebih menghairankan, laporan tersebut dilihat kononnya tidak selari dengan gagasan Satu Malaysia yang diangkat oleh Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Ada media tertentu dengan pantas menganalisis laporan tersebut sebagai isyarat bercampur-campur dengan gagasan yang mahu disampaikan oleh Najib. Malah ada juga kolumnis bukan Melayu yang mahu Najib lebih mengawal media termasuk Utusan.
Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Terserahlah kepada sesiapa sahaja untuk membuat penilaian dan analisis termasuk jika mahu mengaitkannya dengan gagasan Satu Malaysia. Bahkan jika mahu menjadikan isu itu untuk menekan Utusan, juga tidak mengejutkan kerana gelombang asakan terhadap institusi Melayu termasuk media Melayu makin hebat pada pasca Pilihan Raya Umum Ke -12.
Hari ini, realitinya akhbar Melayu seakan perlu tunduk kepada tekanan gerakan politik bukan Melayu. Jika akhbar berbahasa ibunda menyiarkan laporan dan berita yang amat berbaur perkauman, ia hanya dianggap sebagai kebebasan media atas nama demokrasi. Tetapi jika akhbar Melayu melaporkan suara isi hati orang Melayu dan adakalanya menyanggah tuntutan keterlaluan kaum lain, ia dituduh rasis.
Buatlah kajian kandungan akhbar bahasa ibunda tertentu, pasti mengejutkan. Awang saban hari dimaklumkan tentang kandungannya oleh rakan-rakan bukan Melayu sendiri termasuk sahabat mualaf, tentang aliran bahaya yang dibawa oleh akhbar- akhbar berkenaan. ''Laporan mereka jauh lebih dahsyat seolah-olah Malaysia bukan negara pelbagai kaum," kata seorang rakan.
Pada Awang, sebahagian media berkenaan memberikan banyak isyarat berbeza dan mengelirukan. Dalam mereka mendakwa mendokong kerajaan, ia tidak dicerminkan dengan laporan yang secara konsisten boleh dibaca membawa agenda berlainan. Pun begitu, tidak timbul desakan agar para pemimpin Cina mengawal akhbar mereka.
Persoalannya apakah perlu ada piawaian berbeza antara media Melayu dan bukan Melayu? Akhbar Melayu tidak boleh lantang sementara akhbar bukan Melayu mesti diberi lebih kebebasan?
Malah pada hari ini, semua orang tahu, akhbar bahasa ibunda jauh lebih bebas dan berani memperjuangkan kepentingan kaum mereka berbanding akhbar bahasa Melayu. Apakah kebebasan yang mereka nikmati itu mahu dibiarkan untuk melenyapkan akhbar bahasa Melayu?
Sememangnya ada gerakan terancang terutama parti pembangkang tertentu untuk melemahkan akhbar Melayu khususnya Utusan atas muslihat politik. Ini kerana Utusan selama ini menjadi wadah mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu atas rasa tanggungjawab untuk menjamin keharmonian pelbagai kaum.
Pendirian syarikat akhbar ini cukup jelas dan konsisten iaitu menolak ekstremisme kaum dan agama sepanjang 75 tahun sejarah penubuhannya. Sebab itu, Utusan mendokong UMNO yang mengamalkan pendekatan kesederhanaan berbanding parti tertentu sebelum ini yang membawa aliran ekstrem. Dasar UMNO itulah yang menjadi payung berlindung kepada masyarakat pelbagai kaum. Kepimpinan negara dan juga UMNO mengambil pendirian yang berani dalam melawan ekstremisme biarpun terpaksa bertembung dengan sebahagian orang Melayu. Dalam hubungan ini, UMNO yang memulakan perkongsian kuasa dengan kaum lain sehingga berdekad-dekad lamanya dituduh bekerjasama dengan golongan kafir. UMNO juga berjaya menghalang kelompok pelampau yang mahu kekayaan negara dibolot oleh Melayu sebagai kaum teras di negara ini.
Tetapi siapa peduli kepada hakikat sejarah itu termasuk sumbangan Utusan?
Awang tidak berhajat untuk mengulas panjang kerana akur nasihat Najib agar semua pihak termasuk media tidak memainkan sentimen perkauman. Tiada siapa harus ambil mudah seruan beliau. Apa yang Awang nyatakan tadi sekadar luahan untuk renungan bersama.
Inilah masa untuk semua pihak memberikan sokongan padu kepada beliau bagi menangani pelbagai cabaran. Tetapi sokongan itu perlulah ikhlas, bukannya percaturan untuk menguntungkan kaum sendiri sahaja. Najib cukup komited untuk membawa keberhasilan kepada semua kaum menerusi Satu Malaysia.
Bijaklah menghargainya.
(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm)
No comments:
Post a Comment