Wednesday, April 29, 2009
Melayu Didahulukan Perlaksanaan Diutamakan.
Dari sehari kesehari DS Najib menjadi Perdana Menteri satu persatu hak-hak istimewa Melayu terhakis satu persatu. Ke mana arah Najib ingin membawa orang-orang Melayu sangat kabur walaupun 100 hari pentadbirannya semakin hampir. Melayu yang merupakan 60% daripada keseluruhan penduduk Malaysia semakin hari semakin gelisah dengan beberapa perkembangan terbaru.
Di luar kerajaan, Melayu amat risau dengan slogan 'Harapan Baru Rakyat Malaysia' ciptaan Anwar Ibrahim sementara di dalam kerajaan, Melayu lebih-lebih risau dengan slogan 'One Malaysia' ciptaan Najib. Bagi saya kalau ditanya mana satu lebih bahaya kepada Melayu maka saya akan menyatakan slogan 'One Malaysia' sangat merbahaya buat masa ini. Kenapa?
Slogan 'Harapan Baru Rakyat Malaysia' masih hanya satu slogan tanpa kuasa untuk merealisasikannya. Sedangkan 'One Malaysia' bukan sekadar slogan tetapi mempunyai kuasa untuk mengambil sedikit demi sedikit kepentingan Melayu semata-mata untuk berlaku adil kepada semua. Najib semakin liberal, semakin berani untuk berubah dan semakin mengelirukan.
Apabila Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dibubarkan dan kuota saham Bumiputera dihapuskan secara sistematik adakah ini yang dimaksudkan berani berubah. Adakah dengan menghapuskan kementerian tempat berpayung peniaga-peniaga kecil Bumiputera merupakan satu agenda 'one Malaysia'?. Adakah penghapusan kementerian ini atas desakan orang-orang Cina kepada Najib sehingga Najib berasa gentar akan kehilangan sokongan daripada orang-orang Cina?.Mungkin juga ini satu syarat yang diberikan oleh orang Cina yang berbaur ugutan untuk mereka kembali menyokong BN?
Adakah Najib ingin mengembalikan 59% kekalahan MCA dan 67% kekalahan MIC dalam Pilahanraya umum lalu dengan 'membayar' kepada mereka iaitu menerima tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan menghiris perasaan orang-orang Melayu yang 71% menyokong UMNO dalam pilihanraya yang lepas. MCA bukan sahaja meraih keuntungan pada setiap kali Pilihanraya kecil dengan menerima peruntukan jutaan ringgit tetapi berjaya juga menambah kerusi menteri dalam kabinet baru .
Kemungkinan satu kesilapan dengan menutup MECD. Untuk menghidupkannya balik adalah mustahil kerana ianya akan menurunkan kredebaliti Najib. Tidak menjadi kesalahan untuk beliau mencipta sesuatu yang baru dimana fungsinya adalah sama dengan MECD yang dibubarkan. Buat lah sesuatu untuk menurunkan kemarahan orang-orang Melayu. Dengan kata lain, Najib perlu ganti MECD dengan yang baru supaya peniaga-peniaga kecil bumiputera akan terbela semula. Sehingga kini Najib tidak dapat memberi jawapan jelas mengapa MECD dibubarkan.
Mohd Najib boleh memperluas meritokrasi, mengamalkan liberalisasi dan globalisasi. 60% Melayu bolehkah bersaing jika Najib tidak bersedia untuk membantu dan memberi peluang kepada mereka yang rata-rata daripada golongan pertengahan dan miskin. Bolehkah Najib mencapai Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan kalau 60 peratus rakyat Malaysia tercicir dan berasa kurang yakin dengan nasib mereka sekarang dan pada masa depan?
Buat masa ini Najib kelihatan tidak adil untuk orang Melayu. Setakat ini apakah satu dasar yang memberi keuntungan kepada orang Melayu yang diutarakan oleh Najib? Sepatutnya DEB yang dicipta oleh ayahandanya 40 tahun dahulu perlu dihidupkan balik atau diberi nafas baru. Allahyarham Tun Abdul Razak perkasakan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan ini dengan melancarkan DEB pada tahun 1970. Tun Razak tidak melayan tuntutan orang Cina yang menyebabkan Perikatan kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya 1969.
Najib bukan tidak sedar dengan pencapaian orang Melayu ketika ini terutama dalam kegawatan ekonomi yang datang setiap 10 tahun. Suka atau tidak Najib perlu menjaga 71% orang Melayu yang menyokong BN dengan setia. Jangan takut hendak menolong Melayu kerana memang Melayu berhak unuk mendapt keistimewaan ini yang telah termaktub dalam perlembagaan. Melayu telah dijajah lebih 400 tahun tetapi kita baru merdeka 52 tahun. Najib perlu bantu Melayu kerana Najib PM Melayu. Kenapa hendak buang tongkat dan subsidi Melayu kerana itu memang hak Melayu.
Buatlah satu dasar yang membantu Melayu dalam waktu terdekat ini. Seandainya dalam tindakan beliau itu orang Melayu, kaum-kaum Bumiputera dan Orang Asli yang berupa rakyat majoriti terus miskin dan terpinggir, matlamat Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan mustahil tercapai.
Muhyiddin kejutkan Najib!.
Ingatkan dia banyak benda sudah hilang. Usaha bapanya Tun Razak salama 40 tahun dahulu habis dalam masa sekelip sahaja.Bank Bumiputra sudah tiada,Pernas entah ke mana, UDA pun hidup segan mati tak mahu. MARA di takok yang dulu.Perbadanan-perbadanan Kerajaan Negeri (SEDC ) juga sudah macam biskut, sekejap ada sekejap tak ada.
Kontraktor-kontraktor Melayu tidak berkembang. 20 tahun dulu kelas F sekarang masih lagi kelas F. Masih ditakuk lama. Orang Melayu baik dari Pegawai Kerajaan, guru, Pengulu masih pi mai pi mai tang tu jugak .Tahun 1975 orang Baling memberontak kerana harga getah jatuh.Makan satu kali sehari .Salepas 40 tahun mereka masih lagi menoreh getah.
Najib jangan terlalu mengikut kehendak Cina. Sebelum beliau menjadi PM, Melayu mengharapkan sesuatu daripada Najib dan mereka menaruh harapan tinggi berdasarkan rekod pencapaiannya semasa MB Pahang dan menteri di beberapa kementerian. Ramai berpendapat Najib akan mengikut kalau tidak bertambah baik daripada ayahandanya.
Orang Melayu mahu Najib berlaku adil kepadanya, Satu Malaysia, Melayu Didahulukan dan Perlaksanaan Diutamakan.
Amir Hamzah
Batu Pahat
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com
Posted by amirhamzah64 at 10:27 AM
(sumber;http://amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com/2009/04/melayu-didahulukan-perlaksanaan.html)
komen zmsegamat;
1. teringat peribahasa melayu "pergi ke telaga terlupa membawa timba, timba yang dicari dapat, tapi malangnya timba tiada bertali"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment